April 28, 2005

Kenali Potensi & Akil Baligh Anak

Secara umumnya, usia baligh itu antara umur 9 tahun hingga 14 tahun. Sebelum itu, anak dibekalkan dengan pelbagai didikan oleh ibu bapanya. Ibu bapa berilmu akan merebut peluang keemasan untuk mengisi segala jenis ilmu kehidupan di dunia dan di akhirat sejak anak masih janin lagi. Agar anak itu lebih bersedia menanggung fardhu ain dan fardhu kifayah apabila usianya mencapai baligh.

Terdapat 10 perkara penting yang menyentuh potensi dan akil baligh anak-anak:

1. PERTALIAN POTENSI DENGAN AKIL BALIGH - Potensi adalah kemampuan atau bakat. Setiap anak yang dianugerahkan oleh Allah SWT mempunyai potensi untuk menjadi 'manusia sebenar' yang sihat, sempurna dari segi fizikal, berilmu, berkemahiran serta berkebajikan. Segala potensi anak itu menjurus ke arah ibadah terhadap penciptaNya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada Ku". (Surah Az-Dzariyaat, ayat 56)

2. POTENSI CEMERLANG - Semakin bertambah tanggungjawab itu, semakin bertambah kemampuan untuk memikulnya. Al-Quran menyebut potensi bagi manusia sebenarnya dalam keadaan yang sebaik-baiknya sebagaimana disebut dalam Al-Quran, "Sesungguhnya Kami menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)". (Surah At-Tin, ayat 4)

2.1 Potensi atau kemampuan anak itu berkembang dalam usia tertentu. Antara potensi anak ialah:

2.1.1 Kemampuan mendengar - faham bahasa-bahasa, dalil, adab dan akhlak.

2.1.2 Kemampuan melihat - kenal simbol, bahasa dan benda-benda.

2.1.3 Kemampuan menyentuh - kenal benda-benda yang disentuh tanpa melihat.

2.1.4 Kemampuan bergerak - berjalan, berlari dsb.

2.1.5 Kemampuan bertutur - mudah bersilaturrahim, belajar dan berkebajikan.

2.1.6 Kemampuan mengacu - menulis, melukis dan membuat kerja tangan halus.

2.1.7 Kemampuan beremosi - menjadi orang yang baik dan berakhlak.

2.1.8 Kemampuan berfikir - menggunakan akalnya untuk beribadah dan berkebajikan.

2.1.9 Kemampuan berfirasat - mengesan perkara yang tersirat.


3. KEMAMPUAN OTAK SARAF - Segala kemampuan seperti melihat, mendengar, menyentuh, bergerak, bertutur, mengacu, beremosi, berfikir dan berfirasat ditentukan oleh sistem otak-saraf. Jika otak-saraf anak baik, baiklah kemampuannya. Jika otak sarafnya cedera atau pembangunannya terencat, lalu tergugatlah kemampuannya itu.


4. PEMBANGUNAN ANAK PENTING PADA TAHAP AWAL - Pendidikan dan pembangunan anak peringkat awal merupakan waktu penting untuk dimanfaatkan oleh ibu bapa.

4.1 Bermula dengan detik kehamilan hingga 3-4 bulan - Kesihatan ibu, ibadahnya, doa ibu bapa, makanan dan 'in-utero stimulation' (stimulasi dalam rahim) perlu dijaga. Ia membantu sel-sel neuron menjadi lengkap dan sempurna.

4.2 Dari 3-4 bulan kehamilan hingga anak dilahirkan - Sel-sel neuron, sel-sel glial dan selaput myelin menjadi matang, rangkaian dendrit bercambah dan membina asas-asas untuk ilmu, kemahiran, emosi, amalan dan fikiran. Pada waktu lahir, prasarana ini akan mencapai 25 peratus kesempurnaannya. Kesihatan ibu, ibadahnya, doa ibu bapa, makanan dan 'in-utero stimulation' (stimulasi dalam rahim) perlu terus dijaga.

4.3 Waktu anak dilahirkan - Anak perlu dijaga kerana dia mudah cedera pada tahap ini. Sekiranya ibu yang melahirkan anak mengalami masalah, usaha kita tidak banyak kecuali berdoa, bersedia dan bertawakkal agar dimudahkan proses melahirkan anak.

4.4 Dari kelahiran hingga bayi berusia 6 bulan - Pada tahap ini, pembinaan bahasa, pembangunan fizikal dan asas emosi anak. Sistem otak-saraf anak akan mencapai tahap 50 peratus kesempurnaannya apabila anak berusia 6 bulan.

4.5 Dari usia 6 bulan hingga 3 tahun - Penjagaan anak pada tahap ini amat penting kerana ia melibatkan proses pembangunan sehingga 85 peratus ketika usianya 3 tahun. Asas-asas prasarana untuk mengenali bahasa, perbendaharaan kata dan nama-nama benda, asas kesihatan, emosi, daya gerak-geri, asas kemampuan sosialnya, hafalan surah, doa dan zikir.

4.6 Dari usia 3 tahun hingga 6 tahun - Tahap ini melibatkan proses lanjutan, pengembangan dan kematangan kepada pembangunan yang berlaku sepanjang 3 tahun pertama. Pada usia 6 tahun, pembangunan mencapai tahap 95 peratus kesempurnaannya. Oleh itu, kita digalakkan mengajak anak bersolat bermula dari usia 7 tahun.

Anak cemerlang iaitu apabila anak yang berusia 6 tahun fasih bertutur dalam 2 atau 3 bahasa, mampu membaca dalam dua bahasa, membaca Al-Quran, mampu menghafal 20-30 surah, doa dan zikir, cergas fizikalnya, selalu sihat, ceria, mudah bersosial serta cerdik.


5. KONSEP RUBBUBIYAT - Ia bermaksud menyanjungi Allah SWT sebagai Pencipta kepada semua makhluk dan kejadian. Ciri-ciri kehidupan manusia hendaklah berlandaskan kepada ketuhanan. Contohnya; menjadi hamba Allah yang berilmu, beriman, beramal, bertakwa serta bersyukur di atas segala nikmat yang diberikanNya.


6. POTENSI SISTEM OTAK-SARAF MANUSIA - Sistem otak-saraf merupakan anugerah yang amat besar daripada Allah SWT kepada manusia. Ia merupakan organ pertama yang terbina pada janin. Pada hari ke-16 kehamilan, sel-sel otak pertama terbina sebelum organ-organ lain. Apabila janin berusia 3 hingga 4 bulan, jumlah sel bertambah dengan kadar yang amat tinggi; 250,000 pada setiap minit atau 4000 setiap saat atau lebih dari itu.

Melalui neuron, glial dan rangkaian dendrit, anak berusia 3 tahun mempunyai kemampuan untuk menyimpan cebisan-cebisan ilmu sebanyak 10,000 kali ganda lebih daripada kandungan Encyclopedia Britannica yang mempunyai 15 jilid setebal 4 cm bagi setiap satu jilid.


7. OTAK-SARAF ASAS KECEMERLANGAN MANUSIA - Sistem otak-saraf anak amat mudah ditingkatkan (atau dicederakan). Ia hanya memerlukan rangsangan. Rangsangan ini berlaku apabila anak bergerak, mendengar, melihat, menyentuh, bertutur, menulis, melukis, mendapat makanan yang baik, mengalami emosi yang positif, mendengar bacaan surah dan doa. Anak-anak yang mendapat rangsangan dari awal akan mudah ditingkatkan pembangunannya.


8. CIRI-CIRI KECEMERLANGAN PADA AKIL BALIGH - Kita harus melihat tugasan anak sebagai Khalifah; sebagai satu konsep yang serius. Surah Al-Baqarah, ayat 30-34 mengisahkan manusia yang dilantik sebagai Khalifah serta kisah iblis yang sebelum itu menjadi makhluk tercinta di sisi Allah SWT, telah kufur dan dilaknati Allah SWT. Selain itu, isu yang berbangkit dari ayat-ayat itu termasuk isu syurga-neraka, maaruf-mungkar, pahala-dosa dan iman-derhaka.


9. POTENSI MANUSIA ADALAH ANUGERAH ALLAH SWT - Manusia berpotensi menjadi Khalifah di bumi Allah SWT. Ia mencerminkan keadilan Allah apabila manusia diberikan pelbagai kemampuan. Tugas ibu bapa menjadi ibadah jika dapat memberi peluang kepada anak untuk memperoleh kemampuan seperti membina ilmu, kemahiran, akhlak, adab dan amalnya. Antara tugas ibu bapa adalah akhlak, keimanan, kesihatan, amalan harian, ilmu, kemahiran doa serta keazaman dalam mendidik anak-anak.


10. POTENSI ADALAH ASAS KEBAJIKAN - Potensi manusia sebagai Khalifah setaraf dengan asas kebajikan atau membuat kebajikan. Anak yang cemerlang adalah anak yang dibina kehidupannya dari sudut penghayatan, pelajaran, kesihatan, adab, akhlak serta kemahirannya yang tinggi lagi kukuh. Apabila anak mampu menjadi hamba Allah SWT yang agung di muka bumi ini, kita tidak perlu lagi pening kepala tentang kepincangan, kejahatan atau kejahilan dalam masyarakat. Tiada lagi kerisauan untuk memikirkan usaha-usaha pemulihan, penderaan atau pencegahan dalam masyarakat.

Wallahu'alam.


(Sumber: Dipetik dari Majalah Nur Januari 2005)

April 22, 2005

15 Kesilapan Ibu Bapa dalam Mendidik Anak-anak

Kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak ialah:

1. KURANG BERDOA

1.1 Kurang berdoa semasa mengandung. Antara doa-doa yang digalakkan untuk diamalkan semasa mengandung ialah:

1.1.1 Doa memohon zuriat yang baik - Surah Al-Imran ayat 38, yang bermaksud; "Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar Doa".

1.1.2 Doa memohon rahmat - Surah Al-Imran ayat 8-9, yang bermaksud; "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi Engkau, kerana sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi. Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengumpulkan manusia untuk (menerima pembalasan pada) hari yang tidak ada keraguan padanya. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji".

1.1.3 Doa agar anak mengerjakan solat - Surah Ibrahim ayat 40-41, yang bermaksud; "Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, berikan keampunan kepada aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)".

1.2 Kurang berdoa semasa membesarkan anak. Doa-doa yang digalakkan untuk diamalkan semasa membesarkan anak-anak ialah:

1.2.1 Doa agar dikurniakan cahaya mata yang menyejukkan hati - Surah Al-Furqan ayat 74, yang bermaksud; " Dan orang-orang yang berkata: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami, isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa".

1.2.2 Doa agar anak patuh kepada Allah SWT - Surah Al-Baqarah ayat 128, yang bermaksud; "Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima Taubat Lagi Maha Penyayang".


2. DIDIKAN TARHIB (MENAKUTKAN) DARIPADA TARGHIB (DIDIKAN ATAU MOTIVASI)

2.1 Menakutkan anak-anak dengan sekolah.

2.2 Menakutkan anak-anak dengan tempat gelap.

2.3 Menakutkan mereka dengan hutan rimba, bukit-bukau dan juga binatang.

2.4 Menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur atau makan dsb.


3. TIDAK TEGAS DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

3.1 Tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak.

3.2 Terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.


4. MENEGUR ANAK SECARA NEGATIF

4.1 Menggunakan bahasa kasar dan maki hamun kepada anak-anak terutamanya ketika marah.

4.2 Membandingkan anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.


5. DIDIKAN YANG TIDAK SEIMBANG ANTARA JASMANI, ROHANI DAN INTELEKTUAL5.1 Kebanyakan ibu bapa lebih mementingkan pendidikan minda anak-anak daripada pendidikan rohani atau agama.


6. KURANG MEMBERI SENTUHAN

6.1 Ini merupakan satu kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Sedangkan Rasulullah SAW kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah RA: Pada suatu hari, Rasulullah SAW mencium Hassan atau Hussien bin Ali RA. Ketika itu, Agra bin Habis At-Tamimiy sedang berada di rumah baginda. Berkata Agra: Ya Rasulullah! Aku mempunyai sepuluh orang anak, tetapi aku belum pernah mencium seorang pun dari mereka. Rasulullah melihat kepada Agra, kemudian berkata: Siapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi". (Maksud Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


7. TIDAK MEMENTINGKAN PENAMPILAN DIRI

7.1 Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak apabila berada di rumah iaitu berpakaian secara selekeh atau seksi di hadapan anak-anak.


8. PERSEKITARAN RUMAH KURANG MENYENANGKAN

8.1 Suasana rumah yang tidak teratur serta tidak kemas menjadi contoh tidak baik kepada anak-anak. Mereka akan terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.


9. TIDAK MENGHIDUPKAN SUASANA SUNNAH

9.1 Suasana sunnah dalam persekitaran keluarga tidak diwujudkan seperti memberi salam, makan bersama-sama, solat berjemaah, melakukan ibadah bersama-sama dsb.


10. TIDAK MENGGANTUNGKAN ROTAN

10.1 Merotan dengan tujuan untuk mendidik anak-anak merupakan satu sunnah dalam Islam. Sebagai ibu bapa, anda hendaklah menggantung rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Bukan untuk menakutkan mereka tetapi sebagai peringatan.


11. TIDAK MENDEDAHKAN ANAK-ANAK DENGAN MODEL TERBAIK

11.1 Anak-anak tidak didedahkan dengan model yang cemerlang seperti para ulama dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan amalan solat berjemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.


12. BERTENGKAR DI DEPAN ANAK-ANAK

12.1 Jangan sesekali anda suami isteri bertengkar atau memulakan pertengkaran di hadapan anak-anak. Situasi ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari anda.


13. BERGAUL DENGAN ORANG YANG TIDAK ELOK SAHSIAHNYA

13.1 Pergaulan anda sebagai ibu bapa juga hendaklah ditekankan dalam kehidupan seharian. Sama ada sahabat anda atau sahabat anak anda sendiri kerana ia akan memberi contoh yang tidak baik dalam perkembangan anak-anak yang semakin membesar.


14. AWASI RANCANGAN TV
14.1 Sikap ibu bapa yang kurang mengawasi rancangan yang ditonton sama ada dari tv ataupun video. Pengawasan di dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media banyak menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak serta kelakuan yang sedikit sebanyak boleh merosakkan perkembangan anak anda.


15. TERLALU BERGANTUNG KEPADA PEMBANTU RUMAH ATAU PENGASUH

15.1 Terlalu bergantung kepada pembantu rumah atau pengasuh dalam mendidik anak-anak. Dalam soal ini, ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan seratus peratus kepada orang luar. Mereka sekadar membantu dalam meringankan tanggungjawab ini. Bagaimanapun, menjadi kepentingan untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam.

Wallahu'alam.

(Sumber: Petikan dari Majalah Perempuan April 2005)