May 29, 2005

Tips Elakkan Sifat Takbur atau Sombong

1. Apabila kita berjumpa dengan kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak itu lebih mulia daripada kita. Ini kerana kanak-kanak itu belum diberati dosa, sedangkan kita sudah berlarut-larut hampir setiap langkah berbuat dosa.

2. Apabila kita berhadapan dengan orang tua, anggaplah orang tua itu lebih mulia kerana ia lebih lama beribadah daripada kita.

3. Ketika kita berjumpa dengan orang alim, anggaplah beliau lebih muliadari kita kerana banyak ilmu-ilmu yang tidak kita ketahui tetapi beliau mengetahuinya.

4. Jikalau kita melihat orang yang jahil, anggaplah dia lebih mulia daripada kita kerana dia berbuat kesalahan atau dosa kerana kejahilannya sedangkan kita berbuat dosa dalam keadaan kita mengetahuinya.

5. Sekiranya kita berjumpa dengan orang jahat, janganlah menganggap kita mulia atau lebih baik daripadanya tetapi katakanlah bahawa orang jahat itu mungkin di masa tuanya ia bertaubat, memohon ampun dari Allah S.W.T akan perbuatannya. Sedangkan kita sendiri belum tahu lagi bagaimana kita akhirnya.

6. Sebaiknya apabila kita berjumpa dengan orang kafir, katakanlah dalam hati bahawa si kafir itu belum tentu kafir selamanya. Mungkin di suatu hari datang keinsafan padanya, dia memeluk Islam dan semua dosanya di dalam kekafiran dulu diampuni Allah S.W.T sedangkan kita ini sejak lahir sudah Islam, tetapi dosa terus dikerjakan juga dan balasan pahala belum tentu lagi.

Wallahu'alam.

Takbur & Sombong: Maksiat Hati yang Perlu Dijauhi

Mengenali Sifat Sombong atau Takbur

Sifat sombong atau takbur ini terbahagi kepada dua iaitu takbur lahir dan takbur batin. Takbur lahir dapat dilihat melalui perbuatan dan tindakan. Biasanya dapat dilihat pada gaya, mulutnya tajam, mudah menghina orang.

Imam Al-Ghazali pernah berkata; "orang yang takbur itu ialah orang yang apabila ditegur, ia marah dan benci sedangkan kalau ia menegur orang lain, ditegurnya dengan keras dan kasar."

Ia akan dengki dan dendam apabila orang lain mendapat nikmat atau kesenangan.


1. Takbur Batin - ialah membesarkan diri di dalam hati. Inilah maksiat di dalam hati yang dicela. Dengan adanya rasa angkuh di dalam hatilah lahirnya kata-kata membanggakan diri.

2. Takbur terhadap Allah S.W.T - ialah tidak mempedulikan ancaman-Nya dan memandang remeh segala syariat dan peraturan-Nya.

3. Takbur terhadap Rasul-Nya - ialah enggan mengikuti petunjuknya. Kebanyakan orang sekarang pula tidak mahu mengikut ajaran Rasulullah S.A.W kerana menganggapnya kolot, orthodoks, ketinggalan zaman dan berbagai alasan lagi.

4. Takbur terhadap Sesama Manusia - ialah orang yang merasa dia lebih tinggi daripada orang lain dalam semua hal. Orang yang berpangkat tinggi merasa patut dihormati, dimuliakan dan menganggap orang lain rendah. Apabila seorang isteri berpangkat tinggi dan ada nama, dia susah untuk taat dan memuliakan suaminya sebagaimana yang dikehendaki oleh syariat.

Takbur ialah penyakit hati yang merbahaya. Orang yang berpenyakit seperti ini, tidak boleh menjadi pemimpin. Ditakuti melalui tindak tanduknya, akan menampakkan akhlak yang buruk. Kata-katanya pula akan menyakiti orang hingga menyebabkan mereka hilang kepercayaan. Lebih bahaya lagi jika ia mewakili sekumpulan masyarakat.

Wallahu'alam.

May 28, 2005

Takbur Penghalang ke Syurga

Takbur adalah perasaan tinggi diri dan menganggap diri lebih baik daripada orang lain. Ini merupakan sejenis penyakit hati yang mesti dielakkan oleh semua muslimah. Takbur terbahagi kepada dua iaitu pekerti dalam hati dan yang lahir iaitu kelakuan yang terzahir dari anggota badan.

Bahayanya sikap takbur kerana ia boleh mengakibatkan kesan luar biasa kepada jiwa dan akhlak sebagai seorang muslim. Malah sifat takbur boleh menjadi tabir atau penghalang bagi seseorang memiliki syurga.

Rasulullah SAW sendiri menegaskan hal ini dalam sabda baginda yang bermaksud; "Tidak dapat masuk syurga seseorang yang dalam hatinya terdapat seberat debu daripada sifat ketakburan." (Riwayat Muslim)

Takbur berkait rapat dengan sifat sombong iaitu enggan menerima kebenaran dan juga sikap memandang hina orang lain.

Hal ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabda baginda yang bermaksud; "Takbur itu adalah menolak kebenaran dan menghinakan makhluk". (Riwayat Muslim, Baihaqi, Ahmad dan Tarmizi)

Wallahu'alam.

Banyak Ketawa, Mati Hati

Suka dan duka begitulah warna kehidupan manusia. Kita menangis dan berhiba apabila berada dalam duka dan derita. Dan kita pasti ketawa jika riang dan beroleh segala yang diinginkan.

Memang begitulah manusia. Islam pun tidak pernah melarang umatnya yang mahu menyatakan rasa kegembiraan mereka dengan ketawa. Namun selaras sebagai agama unggul yang sarat dengan pelbagai adab dan disiplin, ada batas ketawa yang harus dipatuhi. Ini bukanlah suatu kongkongan sebaliknya menjadi panduan agar orang islam tidak dipandang rendah martabatnya oleh bukan islam.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (Surah At-Taubah: 82)

Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan At-Tarmidzi)

Hati yang sudah mati akan memudahkan syaitan menakluki dan merajai diri, seterusnya akan membawa individu ke lembah hina dan menyeleweng dari landasan kebenaran.

Jika hati sudah mati, punahlah keperibadian manusia. Malah jika hati sudah rosak, maka binasalah juga maruah diri.

Sementara seorang abid, Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata: "Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudahpun dikeluarkan dari istana Allah."

Muhasabahlah diri. Ketawalah sebagai suatu penyataan kesyukuran tetapi jangan sampai mematikan hati!


Wallahu'alam.

May 22, 2005

Hakikat Harta

Lazim manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dan dunia, kita sering teralpa akan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan Tuhan. Kita bekerja dari pagi sehingga malam, hingga terlupa tanggungjawab pada keluarga. Kita begitu sibuk dengan urusan pejabat sehingga membiarkan orang tersayang terabai dan tersingkir dari hati sendiri.

Hakikat harta diterangkan Rasulullah SAW seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Sahih Muslim)

Disebabkan itu juga Rasulullah SAW berpesan supaya jangan sesekali berbangga dengan kelebihan yang dimiliki. Seelok-eloknya, tunduklah supaya kita dapat melihat bahawa ada orang lain yang lebih malang daripada kita. Justeru diri akan terasa lebih insaf.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-ruah dan dengan kecantikan, maka tengoklah pula orang-orang yang serba kekurangan". (Sahih Muslim)

Wallahu'alam.

Sederhana Segala-Galanya

Islam menuntut kesederhanaan dalam berakhlak. Baik dalam berbelanja, makan minum malah menyatakan perasaan. Semuanya haruslah secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan sehingga mendatangkan mudarat.

Mengenai orang yang dermawan, Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud; "Dan mereka (yang diredhai Allah itu adalah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu".

Malah cara berbelanja itu juga ditegaskan Allah SWT seperti dalam perumpamaan yang dinyatakan menerusi Surah Al-Isra, ayat 29 yang bermaksud; "Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan".

Begitu juga lama urusan makan minum, umat islam digalakkan tidak terlalu rakus kerana itu tidak mewakili akhlak Islam yang sebenar. Ini dinyatakan Allah SWT dalam Surah Al-A'raf, ayat 31 yang bermaksud; "Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas".

Sederhana dalam segala hal juga ditegaskan Rasulullah SAW lewat sabda baginda yang diriwayatkan oleh Baihaqi yang bermaksud; "Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan".

Wallahu'alam.

10 Ciri Pemimpin yang Berkesan

1. Kebersihan Jiwa dan Rohani - Seorang ketua harus sentiasa menyelidik dan memeriksa segala keaiban dan kelemahannya sendiri lalu memperbaikinya. Kebersihan jiwa dan rohani diperoleh dengan keikhlasan tujuan bahawa segala perbuatan semata-mata untuk Allah SWT. Memperbanyakkan amalan sunnah dan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT.

2. Kuat dan Sihat Tubuh Badan - Orang yang lemah tentulah tidak cerdas dan cergas dalam melaksanakan tugas yang mencabar. Oleh yang demikian, seorang ketua tidak boleh sekali-kali mengabaikan keadaan kesihatannya.

3. Memiliki Keupayaan Mental dan Fikiran - Keadaan dunia hari ini yang semakin rencam dengan berbagai ragam idea, ideologi dan kebudayaan memerlukan pemimpin membangunkan keupayaan mental dan fikirannya bagi membolehkannya menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran. Akalnya perlu diperkembangkan dengan bahan-bahan yang berbagai rupa supaya menjadi lebih subur, matang dan mantap. Ketua mesti banyak membaca dan peka dengan peristiwa sekeliling.

4. Mengenal Ahli dan Organisasi yang Dipimpin - Selain tekun melaksanakan kegiatannya, ketua harus juga memerhatikan tindak-tanduknya dengan teliti dan jujur. Dia juga harus tahu berkenaan situasi fikiran dan organisasinya. Dia harus mengenali pendapat para anggotanya dan memahami masalah-masalah mereka.

5. Mengenali Jiwa - Pemimpin wajib mengetahui potensi yang ada pada dirinya, mengukuhkan kekuatan dan menguatkan mana-mana kelemahannya. Dia mesti berusaha memperkaya pengetahuan amnya serta mempelajari pelbagai topik, pendapat dan fikiran dalam pelbagai bidang. Dia harus memberi perhatian dengan mengkaji peribadi pemimpin yang terdahulu.

6. Memberi Perhatian kepada Ahli - Ketua harus dapat menawan keyakinan orang bawahannya bagi membolehkan dia mendapat manfaat daripada kebolehan ahli sendiri untuk seluruh organisasi yang dipimpin. Namun hal ini akan berjaya sekiranya pemimpin benar-benar menunjukkan usaha mahu mengenali anggota-anggotanya dari dekat, mengambil tahu hal-ehwal mereka sama ada yang berbentuk peribadi atau bercorak umum, ikut menyertai mereka ketika mereka gembira dan duka serta berusaha mencari penyelesaian bagi masalah-masalah mereka.

7. Menjadi Teladan yang Baik - Orang bawahan yang dipimpin akan sentiasa memerhati dan memandang kepada pemimpin mereka sebagai contoh terbaik yang boleh mereka teladani. Oleh itu, telatah pemimpin, kecergasannya, budi pekertinya, kata-kata dan segala perubahannya mempunyai pengaruh yang amat berkesan ke atas seluruh organisasi. Oleh itu pemimpin mesti menunjukkan contoh teladan yang baik untuk diteladani.

8. Pandangan yang Tajam - Seorang ketua haruslah mampu melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat bagi membuat keputusan yang tegas dalam pelbagai suasana dan masa. Perkara ini penting bagi kestabilan organisasi dan ahli yang dipimpinnya. Sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas akan mengakibatkan keadaan kucar-kacir sehingga menyebabkan para anggota bawahan menjadi hilang keyakinan dan seterusnya menyukarkan pengawalan ke atas anggota dan perjalanan pasukan.

9. Kuat Kemahuan - Hanya dengan kemahuan yang kuat sahaja memungkinkan ketua sanggup mengharung segala rintangan dan masalah yang sememangnya dijangkakan akan berlaku dalam mengendalikan sesebuah kumpulan atau organisasi.

10. Optimistik - Selaku ketua, barisan pemimpin mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas anggotanya. Jika pemimpin berputus asa, maka ia sudah pasti mendedahkan barisan perjuangannya itu kepada kekecewaan dan putus asa. Sebaliknya jika ia bersikap optimistik, tentulah ia akan menyemarakkan semangat mereka.

Wallahu'alam.

May 21, 2005

Hidup Berprinsip & Berpendirian

Hidup mesti berpendirian kerana itulah yang mencerminkan jati diri kita sebagai seorang Muslim. Pendirian dan prinsip yang betul pula akan menjadi pedoman agar kehidupan tidak tersasar atau tenggelam timbul dalam arus yang tidak menentu.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Janganlah setiap kamu menjadi orang yang tiada pendirian dan berkata, saya dengan orang, jika mereka berbuat baik, nescaya saya berbuat baik. Dan jika mereka berbuat jahat, nescaya saya berbuat jahat. Tetapi biasakan diri kamu, jika orang berbuat baik, berbuat baiklah dan jika mereka berbuat jahat, elakkanlah kejahatan mereka." (Riwayat At-Tarmidzi)

Mudah terikut-ikut dengan tabiat buruk orang lain, bermakna diri menempah banyak kesusahan. Malah kadangkala lebih buruk lagi apabila diri bakal dipandang serong, kerana demikianlah tabiat masyarakat yang mudah menghukum sesuatu berdasarkan apa yang mereka lihat dengan mengambil kira dengan siapakah seseorang itu bergaul atau bersahabat.

Waspadalah dengan rakan yang buruk akhlaknya. Jangan mudah terpengaruh dengan orang keliling yang menunjukkan contoh yang tidak baik. Yang lemah pendiriannya, pasti mudah terpesong dan terpengaruh. Justeru, berhati-hatilah!


Wallahu'alam.

May 15, 2005

Romantis... Ikutlah Sunnah Rasulullah SAW

Cara yang paling tepat untuk membina sebuah rumahtangga berlandaskan Islam ialah dengan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW. Kehidupan dan alam perkahwinan Rasulullah SAW ternyata kaya dengan amalan-amalan dan suasana romantis dan mesra sehingga setiap perkahwinannya kekal hingga waktu ditakdirkan oleh Allah SWT.

Panduan berikut mungkin boleh membantu anda membina sebuah rumahtangga yang bahagia seterusnya mengekalkannya hingga ke akhir hayat.

1. Seorang suami haruslah selalu lembut dalam berbicara, demikian pula sebaliknya.

2. Masing-masing harus selalu membersihkan diri agar tampil sentiasa menyenangkan pasangan.

3. Berusahalah untuk selalu berhias secara wajar, memakai wangi-wangian dan memanggil pasangan masing-masing dengan panggilan kesayangan.

4. Hindari sikap saling merendahkan, baik di sudut tahap pendidikan, ilmunya, hartanya mahupun keturunannya.

5. Harus saling menutupi kelemahan atau kekurangan pasangannya.

6. Jika ada yang melakukan kesalahan, sebagai pasangan kita mestilah membuka pintu kemaafan seluas-luasnya.

7. Tidak semua wanita pandai memasak. Untuk itu, seorang suami jangan mencelanya sebaliknya berilah nasihat dan teguran bagaimana dia boleh memperbaiki masakannya agar menepati selera seisi keluarga.

8. Sebagai pasangan normal, suami isteri pastinya mempunyai sifat cemburu. Untuk itu, berhati-hatilah agar hal-hal yang boleh mengundang kecemburuan dihindari.

9. Jauhkan membandingkan pasangan kita dengan orang lain. Hal itu amat melukakan hati pasangan kita. Seeloknya apabila kita mengambil keputusan menikah dengannya, kita harus bersedia menerima pasangan kita dengan segala kelebihan dan kekurangannya.

10. Agar kemesraan terus terjalin, adakan waktu bersenda-gurau dengan pasangan kita. Berikan hadiah pada hari-hari istimewanya. Ajaklah dia bersolat jemaah.

11. Sentiasalah mendoakan agar pasangan ini selalu diberi rahmat, taufik dan hidayah dari Allah SWT agar menjadi pasangan suami isteri yang sakinah, mawadah dan penuh rahmah.

Wallahu'alam.

May 14, 2005

10 Langkah Mendisiplinkan Anak

1. Memastikan bahawa setiap perbuatan baik akan mendapat ganjaran sedangkan perbuatan buruk tidak akan mendapat apa-apa, malah hanya akan merugikan - Kedengarannya mudah dan biasa. Kita seringkali merasa malu dan terganggu ketika anak merengek-rengek meminta kita membelikan mereka dengan macam-macam barang kesukaan mereka saat kita sedang membeli belah. Dengan rasa terpaksa, kita cuba juga menunaikan permintaan anak. Namun, tahukah anda bahawa peristiwa ini membuatkan anak anda meletakkan satu kesimpulan dalam fikirannya bahawa jika dia merengek di tempat awam, pasti permintaannya akan ditunaikan. Anak-anak memang akan menjadi perhatian. Biarkan mereka merengek atau menangis. Yang pasti, anda harus tegas mengatakan pada mereka bahawa jika mereka merengek, mereka tidak akan mendapat apa-apa. Sebaliknya, jika mereka berkelakuan baik, mereka pasti akan mendapat hadiah.

2. Berhemah dengan kata larangan - Jangan terlalu banyak menggunakan kata 'tidak' dan 'jangan'. Berhematlah dengan kata 'tidak' dan 'jangan'. Usahakan agar kata ini hanya digunakan untuk hal-hal yang penting, darurat dan tidak boleh ditafsirkan lain. Pada dasarnya anak anda sukakan kegiatan yang menguji fizikal dan minda. Anak-anak tidak suka dan tidak biasa duduk diam. Disebabkan itu anak akan merasa lebih teruja dengan perkataan "Cuba, ibu ingin lihat, Azli boleh 'parking' motor mainan ini di sebelah kereta ayah atau tidak?" dibandingkan dengan "Azli, jangan 'parking' atau letakkan mainan sebarangan...!" Sebagai anak-anak yang masih kecil, Azli tidak suka dilarang melakukan sesuatu dan tidak mengerti dengan maksud "letakkan sebarangan". Gunakan kata 'tidak' dan 'jangan'. Misalnya, "Azli tidak boleh main pisau, ya!".

3. Jelas - Jangan memberikan aturan yang abstrak dan tidak dapat difahami oleh anak. Kata-kata seperti "Jangan nakal!" terdengar sangat abstrak dan tidak ada ertinya bagi anak. Begitu juga dengan "Jangan buat ibu marah, ya!". Tahukah anda bahawa anak anda sebenarnya tidak tahu apa yang membuatkan anda marah. Cuba jelaskan bahawa anda tidak mahu anak anda bermain di halaman rumah disebabkan kereta di luar amat laju dan membahayakan diri mereka.

4. Selalu memberikan alasan yang baik dan masuk akal - Penjelasan memberikan anak ruang untuk berfikir sendiri. Kesempatan ini akhirnya membolehkan anak-anak agar dapat menerapkan untuk melakukan hal yang sama ketika berhadapan dengan situasi yang sama dengan situasi pengalaman yang mereka lalui satu masa lalu. Misalnya, "Azli, simpan semula kasut itu di tempatnya". Maka, Azli akan bertanya-tanya mengapa anda menyuruhnya agar menyimpan semula kasut itu? Apakah kerana kasut itu kotor? Mudah rosak? atau apa? Namun jika anda cuba menerangkan kepada anak dengan jelas bahawa kasut itu kepunyaan ayahnya untuk dipakai ketika pergi bekerja, maka anak anda akan memahami bahawa dia perlu menjaga dan menghormati barang orang lain yang bukan kepunyaannya.

5. Berikan kepercayaan kepada anak - Anak tidak akan membesar dan berfikir dengan baik jika mereka terus-menerus diawasi dengan ketat. Ada masanya, kita harus membiarkan anak berusaha sendiri. Misalnya, biarkan anak bergaul dengan lingkungan rakan-rakannya tanpa campur tangan kita untuk sentiasa mengingatkannya agar tidak lupa mengucapkan salam, terima kasih, maaf dan sebagainya. Biarkan anak berani menyapa dan berkawan sendirian. Anda hanya perlu mengawasinyadari jauh. Tindakan ini akan memberikan ruang untuk anak anda membentuk rasa yakin dalam diri mereka selain memberikan mereka peluang agar lebih bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang diambilnya.

6. Konsisten dengan prinsip-prinsip kita - Jika kita menginginkan anak supaya patuh pada peraturan, maka kita harus konsisten juga untuk patuh pada peraturan. Sekecil mana pun peraturan tersebut, kita harus mendidik anak untuk mematuhinya. Contohnya, membuang sampah di tempat yang betul walau di mana mereka berada. Begitu juga dengan kesepakatan antara orang tua. Jangan sekali-kali bertengkar tentang apa sahaja masalah di hadapan anak-anak. Jika ada perbezaan pendapat, sebagai seorang ayah dan ibu, anda harus menyelesaikannya di tempat yang tidak dapat dilihat dan didengar anak, atau menunda sahaja perdebatan pada waktu lain yang lebih sesuai. Tunjukkan bahawa kita adalah ibu bapa yang sempurna. Jangan biarkan anak-anak berasa takut atau gerun terhadap anda. Dekati anak-anak secara psikologi. Tentu anda tidak mahu anak-anak menjauhi anda kerana takut berhadapan dengan anda tetapi melakukan perbuatan sumbang di luar pengetahuan anda, kan?

7. Realistik terhadap peraturan yang dikenakan pada anak - Setiap anak memiliki kemampuan dan pemahaman yang berbeza, pada usia yang juga berbeza. Oleh kerana itu, peraturan dan disiplin yang diterapkan pada anak harus disesuaikan dengan kemampuan dan usia anak. Contohnya, kanak-kanak yang masih kecil mungkin belum dapat diberi peraturan untuk membawa sendiri piring dan gelas mereka ke dapur sesudah selesai makan. Tapi mereka perlu diberi penghargaan jika mahu makan tanpa disuapkan. Peraturan yang anda kenakan pada anak yang masih kecil tentu sekali tidak sesuai dilaksanakan pada anak anda yang sudah besar sedikit. Ini kerana penerimaan mereka juga akan berbeza.

8. Berbicara kepada anak dengan cara yang baik, tidak dengan merendahkan harga diri anak, memaki atau berteriak - Anak-anak amat manja dan sensitif. Memarahi anak atau menengking mereka di hadapan rakan-rakan mereka yang lain pasti membuatkan mereka merajuk dan berjauh hati. Peristiwa ini adakalanya memberikan kesan pada diri mereka hingga mereka dewasa. Dulu Rasulullah S.A.W. pernah melarang seorang sahabat yang bersikap kasar kepada seorang anak. Ini kerana baginda sangat memahami bahawa kerosakan yang disebabkan sikap kasar tersebut amat sulit untuk dihilangkan. Apalagi jika sejak kecil anak tersebut didera dan dicela oleh ibu bapa atau pengasuh mereka. Pastinya sulit untuk mereka mencipta rasa yakin dan percaya terhadap diri mereka sendiri.

9. Biarkan anak memikul tanggungjawab atas segala perbuatannya - Ajar anak tentang sebab dan akibat dari segala perbuatan mereka. Ketidakmampuan anak untuk memperbaiki keadaan bukanlah alasan untuk membebaskan anak dari tanggungjawab. Misalnya, jika anak anda marah dan mencampak gelas atau botol susunya ke lantai, maka biarkan dia memikul tanggungjawab dengan menyuruhnya membersihkan tumpahan susu. Mungkin anak anda belum dapat membersihkan lantai dengan sempurna, namun paling tidak dia harus merasakan akibat dari perbuatannya. Setelah anak anda sempurnakan tanggungjawabnya sebaik mungkin, barulah anda atau pembantu rumah mengambil tugas menyempurnakan kerja-kerja membersihkan tumpahan tersebut sekali lagi. Namun jangan pula anda meleteri anak serta menjatuhkan airmukanya.

10. Penerapan konsep 'sebab dan akibat' harus dilakukan dengan segera - Jika anak berbuat salah, penerapan konsep 'sebab dan akibat' harus disegerakan. Misalnya, jika anak anda memukul rakannya, maka sebagai ibu bapa anda harus serta-merta menegur mereka dengan tegas. Sebutkan apa kesalahan mereka dan jatuhkan hukuman pada anak dengan segera. Jika tidak, anak akan merasa bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak salah. Jangan simpan kesalahan anak sehingga mereka lupa akan kesalahan yang telah dilakukannya.

Wallahu'alam.

May 12, 2005

5 Deria di Bilik Tidur

Pilihan aksesori di dalam bilik tidur yang tepat boleh mencetuskan suasana harmoni dan tenang. Cubalah ikuti panduan memilih aksesori mengikut keperluan deria pula.

1. Melihat - Pilih perabot dan aksesori yang sedap mata memandang. Dapatkan rekabentuk produk yang cantik dan unik pada cermin dinding, penyangkut baju, bakul sampah dan kusyen kecil pada sofa di bilik.

2. Mendengar - Bagi anda yang berminat untuk memerap di bilik tidur dan mahukan bunyi-bunyian, anda boleh membeli discman atau radio. Wind chime boleh dijadikan alat alternatif bunyi-bunyian yang disangkutkan pada tingkap.

3. Mencium - Pilih produk haruman yang sesuai untuk diletakkan di dalam bilik. Produk haruman ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Terdapat haruman yang boleh membangkitkan mood tertentu. Anda boleh menggunakan potpouri, semburan ataupun lilin beraroma terapi sebagai bahan haruman di bilik.

4. Menyentuh - Dalam sebuah bilik berukuran besar mahupun kecil, pasti mempunyai pelbagai barang. Deria sentuhan berasa lembut mahupun kasar pada tekstur fabrik, dinding perabot serta lantai. Pelbagaikan tekstur dalam bilik anda supaya ia seimbang.

5. Merasa - Anda boleh menikmati keenakan tidur di bilik yang kemas, bersih dan cantik. Apabila semua deria anda diberi rangsangan dalam bentuk positif, jiwa anda akan berasa tenang dan ceria. Elakkan unsur-unsur negatif dalam hiasan bilik tidur anda seperti pakaian kotor serta barang tak terpakai.

Wallahu'alam.

(Sumber: Petikan dari Majalah Nur Januari 2005)
Nukilan Sofiee
Daisypath Anniversary Years Ticker

Shout Box

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x