August 30, 2005

Patuhi Allah dan Teladani Rasul

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya sentiasa taat kepada Allah SWT. Allah telah menjadikan alam ini dan segala makhluk di dalamnya. Allah telah menyediakan segala kemudahan untuk kita hidup. Allah telah menyediakan udara untuk kita bernafas dengan percuma.

Maka untuk menunjukkan terima kasih kepada Allah yang telah banyak berjasa, kita perlulah mentaati segala perintah-Nya. Pepatah Melayu ada mengatakan: "Masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek." Maka apabila kita masuk ke 'kandang' Allah (hidup di atas mukabumi ini), undang-undang siapakah yang patut kita ikuti? Jika ada orang yang tidak mahu mengikut hukum-hakam Allah, Allah mencabar di dalam hadis Qudsi untuk mereka mencari tuhan lain dan mencari bumi lain untuk hidup!

Allah menghantar wakilnya iaitu Rasulullah SAW untuk menunjukkan contoh teladan di dalam menjalani kehidupan di atas mukabumi ini. Ramai yang mengaku mencintai Rasulullah SAW, tetapi tidak mengamalkan sunnah-sunnah baginda, malah sebaliknya meninggalkannya pula.

Jadi kita perlu mendidik anak-anak agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai role-model atau contoh teladan yang terbaik untuk diikuti. Didiklah mereka agar mengikut segala sunnah yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW
  • Menutup aurat
  • Menghormati dan taat ibu bapa
  • Solat
  • Berakhlak mulia
  • Menghormati orang lain
  • Memakai serban

Gunakan Nama Allah dan Rasul

Gunakanlah nama Allah dan Rasul setiap kali memberi nasihat dan berbicara kepada anak-anak. Kaedah ini amat penting dalam mendidik anak-anak, kerana jika kita menggunakan nama Allah dan Rasul, maka akan lahirlah rasa sayang dan cinta yang mendalam dalam diri anak-anak terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Kita mahu melatih anak-anak supaya merasakan Allah SWT sebagai 'Pengawas' yang sentiasa memerhatikan dirinya sama ada dia berada di tengah ramai atau berada berseorangan di dalam bilik.

Kita juga mahu melatih anak-anak supaya menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola yang dipuja dan dicontohi.

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Allah

  • "Allah melihat apa yang kita buat"
  • "Allah tidak suka orang yang sombong"
  • "Gempa bumi dan ombak besar tsunami yang melanda Acheh adalah ketentuan Allah"
  • "Allah suka orang yang berkasih sayang"

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Rasul

  • "Rasulullah akan memberi syafaat (pertolongan) kepada umatnya yang soleh di akhirat nanti"
  • "Nabi Muhammad cinta kepada pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid"
  • "Rasulullah melaknat umatnya yang mengamalkan homoseks dan lesbian"
  • "Rasulullah sayangkan anak yatim"

Wallahu'alam.

August 29, 2005

Surah Al-Jaathiyah

Surah Al-Jaathiyah merupakan surah yang ke-45 di dalam Al-Quran, mengandungi 37 ayat, diturunkan di Makkah.

Al-Jaathiyah bererti "bertelut" menerangkan setiap manusia akan bertelut dalam keadaan sentiasa cemas pada hari akhirat ketika menunggu suratan amalannya disampaikan. Surat amalan itu akan menentukan sama ada ia akan masuk syurga atau dihumban ke dalam neraka.

Surah tersebut menjelaskan bahawa pada langit dan bumi serta segala isinya, dan juga pada kejadian diri manusia itu sendiri terdapat tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya serta keluasan rahmat-Nya bagi mereka yang mahu berfikir.

Manusia yang menolak keterangan-keterangan Allah di dalam Al-Quran akan menerima akibat seburuk-buruknya. Mereka yang mengamalkan amal saleh akan menerima balasan nikmat dan kebaikan, manakala yang menentang hukum-hukum Allah akan menerima balasan neraka.

Diterangkan juga peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari akhirat termasuk balasan baik terhadap orang-orang yang beriman dan balasan buruk (neraka) bagi mereka yang kufur engkar.

Surah Al-Jaathiyah adalah satu dari tujuh surah sederet di dalam Al-Quran yang dimulai dengan "Haa Miim". Pada hari kiamat nanti surah ini akan berusaha agar mereka yang membaca dan menghayati surah ini tidak akan dimasukkan ke neraka jahannam.

Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dari Khalil menyatakan bahawa di dalam Al-Quran terdapat tujuh surah yang dimulai dengan "Haa Miim"; (di akhirat kelak) akan datang ke setiap pintu neraka jahannam dan memohon kepada Allah: "Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam neraka ini) orang yang percaya dan membaca aku."

Wallahu'alam.

August 26, 2005

Parenting Links

Bismillah. Assalamualaikum wbt & Salam Sejahtera.

I've add a few new links to Parenting Links.

Parenting Links:
Links Teach R Kids sangat bermanfaat kepada ibu bapa yang ingin mengajar anak-anaknya mengenai keselamatan di jalan raya, memupuk minat berniaga, belajar matematik mahupun belajar membaca.
Link Parents & Kids Domain pula menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik secara maya untuk kanak-kanak dan juga untuk ibu bapa berdiskusi mengenai isu yang berkaitan dengan keibubapaan.
So, have fun and enjoy your surf there!

Wallahu'alam.

August 25, 2005

Set Berpantang

Dalam posting kali ini, saya akan perincikan satu jenama untuk set bersalin @ berpantang iaitu produk Nona Roguy.

It's not for the marketing purpose actually coz i'm not the dealer to this product. Tapi sebab produk ni ada kena mengena dengan topik posting yang akan datang iaitu "confinement" atau berpantang (selepas bersalin). Plus, the quality of this product is superb!

Semasa berpantang anak pertama dan kedua, saya menggunakan beberapa produk dalam set bersalin Nona Roguy ini. Itupun atas saranan dari adik saya dan juga seorang kakak yang saya kenali sebagai Kak Dayang semasa saya masih lagi anak dara. She's a dealer for Nona Roguy and she'd start using this product since her confinement on her 3rd child.

Before this, she'd been using others product such as Mustika Ratu, Nyonya Maneer, Air Mancur etc. But she keep on saying to me that this product is superb and no other product could bet it. She said if she was allowed to run and jump during her confinement, she would do it on the 10th. Just imagine! hehehe.

Sebab itulah saya usahakan untuk mencari perincian tentang khasiat dan kegunaan setiap produk ini untuk tatapan bersama. Bak kata pepatah "Tak kenal, maka tak cinta".

So, here we are gals. Let's read it one by one. :)

1. Phyto Natal

Formula idaman ramai , warisan Nona Roguy dalam penjagaan lengkap untuk kesihatan dan kecantikan selepas bersalin. Membantu menguatkan peranakan , melegakan meroyan, menggiatkan aliran susu ibu , menyerikan wajah, menurunkan berat badan dan mengencangkan.

Dos : Diambil 2 – 4 biji tablet harian

2. Minyak Herbanika
Minyak pelembap warisan Melayu khusus diadakan untuk ibu-ibu yang lepas bersalin. Minyak pelembap ini dapat melembutkan dan mengencangkan kembali perut yang kendur, lembik serta pecah berjalur. Selain daripada itu ia juga dapat mengatasi masalah seperti :

a. Penyakit Arthritis, Rheumatisme, Ghout, Tyroid dan semua jenis penyakit sendi dan otot-otot. Selepas menggunakan Lulur, sapu Minyak Herbanika sebagai minyak sapu. Keberkesanannya telah terbukti.

b. Kembali Rapat dan Rapi Saluran Faraj. Jika seseorang wanita itu mengalami masalah saluran faraj yang longgar serta berair. Selepas menggunakan Uncang Cuci, dinasihatkan ruangkan dalaman faraj dengan Minyak Herbanika. Lakukan ini setiap hari sehari 2 kali iaitu sekali di waktu pagi dan sekali di waktu petang. Ia juga amat berkesan untuk anda yang kurang resa.

c. Kembali Kekuatan Tenaga Kelelakian. Ia amat sesuai untuk lelaki yang bermasalah tenaga batin.

Cara kegunaannya ialah guna Minyak Herbanika di tempat sulit dengan menyapu ke seluruh bahagian paras pinggang ke bawah. Mulakan urutan dari bawah buah zakar, urat di celah peha kemudian ke zakar dan bahagian ari-ari dan seterusnya naik ke pusat dan ke seluruh bahagian perut. Lakukan ini setiap hari iaitu 2-3 jam sebelum tidur.

Insya-Allah dalam masa seminggu anda akan dapat kesannya.

3. Herbanika Lulur
Membantu menegangkan payudara yang kendur. Memecahkan lemak serta lendir yang degil dan mengembalikan kepejalan badan. Pembersih antiseptik yang membantu mengatasi penyakit dan mempercepatkan pemulihan serta mengatasi penyakit kebas, mudah sejuk, urat saraf serta peluh yang berbau. Mengecutkan bengkak-bengkak yang disebabkan oleh angin lendir di sendi, otot, urat saraf dan urat-urat timbul. Membantu sebagai penyegar dan penyental kulit daripada daki mati, parut hitam, parut bersalin, jeragat hitam, kulit kasar dan berjerawat. Terbukti keberkesanannya bagi lelaki dan perempuan.

4. Akar Herbanika

Rumusan Akar Herbanika terdiri dari rangkaian herba dan akar yang terpilih seperti Sirih, Halia dan Temu Lawak. Ramuan herba dan akar ini mengandungi pelbagai bahan-bahan penyembuh seperti depuratif, balsam, karminatif dan galactogenic. Bahan-bahan penyembuh ini membersihkan sistem badan dengan membantu :

a. Menyegarkan urat saraf

b. Mengurangkan Air yang berlebihan

c. Melawaskan Pembuangan Air Kecil

d. Membantu memecahkan lemak yang degil

e. Menghindarkan serta mengawal bau badan

f. Mengatasi keletihan

g. Membantu mengatasi masalah sendi seperti Ghout,Rheumatisme, Arthritis, sakit-sakit sendi, bisa, Rheumatoid Arthritis

h. Meringankan badan yang terasa lemah, berat atau malas

i. Mengeluarkan Susu Badan yang lebih pekat dan segar untuk ibu-ibu dalam pantang bersalin

j. Mengatasi penyakit Gastrik dan Migrain.

5. Herbanika Ramping Perut
Sangat berkesan untuk ibu-ibu yang perutnya membesar selepas bersalin. Dapat mengatasi perut yang lembik, kembang, kendur dan buncit. Dapat menghilangkan parut-parut dan jaluran pecah-pecah di kulit perut. Membantu melicinkan perjalanan darah dan mengeluarkan darah-darah busuk dari saluran rahim. Dapat merampingkan pinggang dan mengempiskan perut.

6. Minyak Berubat Mustajab
Minyak Mustajab adalah minyak serbaguna untuk kegunaan luaran dan dalaman badan, tetapi bukan untuk diminum. Resipi tradisi purba ini telah diguna dengan luasnya dan dirumus khas oleh keluarga DiRaja Solo Jawa Tengah dan Siak Sumatra. Minyak Mustajab mengandungi estrak Minyak Kelapa Hijau (Cocos Nucifera), Kayu Putih (Eucalyptus Globulus) dan Sirih (Piper Betel) yang mempunyai bahan-bahan yang berkhasiat dan berfungsi seperti berikut :-

Fungsi Minyak Mustajab :

a. Pelembap

b. Astringent

c. Penyegar Kulit

d. Antiseptik

Minyak Mustajab amat berkesan jika digunakan untuk penyakit urat saraf, otot-otot, sendi, tulang, penyakit kulit, batuk, selsema, lelah, paru-paru kembang dan basah, resdung hidung (sinus), sakit gusi dan gigi, sakit telinga, sakit kepala (migrain), luka-luka parah seperti bengkak-bengkak, benjol, melecur akibat terkena benda panas, terseliuh, gigitan serangga dan sakit perut. Selain daripada itu, ia juga amat berkesan bagi :-

i. Kembalikan Kesegaran Tempat Sulit. Kegunaan di tempat sulit untuk mengeluarkan angin-angin darah dan lendir yang kotor serta berbau semasa haid. Kesannya membolehkan anda terasa segar, bersih di tempat sulit.

Untuk ibu-ibu atau gadis-gadis, pada hari pertama haid sehingga hari ke lima haid, guna Minyak Mustajab dengan cara yang berikut :

Ambil sekeping kapas yang lebar (facial cotton), titik sehingga basah dengan Minyak Mustajab ke atas kapas tersebut dan letakkan ia di pintu faraj kemudian pakai tuala wanita (pad). Buat cara ini sehari 2 kali.

ii. Memperbaiki Dan Menyembuhkan Tisu-tisu Saluran Faraj. Selepas bersatu (coitus) dengan suami, cuci tempat sulit dengan Uncang Cuci (buat pilihan sendiri) yang telah dicampurkan dengan air panas dari pancuran (pipewater) sehingga bersih. Kesat sehingga kering dan sapu Minyak Mustajab ke seluruh faraj termasuk dalaman faraj sehingga tersentuh mulut rahim. Khasiatnya ialah ia dapat mengembalikan kesegaran yang juga dapat mengubati luka-luka, bengkak-bengkak tisu yang berlaku semasa bersatu.

iii. Kembali Kekuatan Tenaga Kelakian. Guna Minyak Mustajab sebagai minyak urut dengan mengurut perlahan-lahan dari arah bawah iaitu di buah zakar sehingga ke zakar serta naik ke atas di bahagian ari-ari dan seterusnya di seluruh perut dan pusat. Sebelum itu, lumur Minyak Mustajab ke seluruh bahagian dari paras pinggang sehingga ke bawah. Amalkan tiap-tiap hari, Insya-Allah dalam masa satu minggu terbuktilah keberkesanannya.

iv. Kembali Tegang dan Segar Payudara dan dapat Mengesan Ketumbuhan di Peringkat Awal di Payudara. Selepas menggunakan Herbanika Lulur disyorkan menggunakan Minyak Mustajab untuk menegangkan payudara yang kendur dan dapat memelihara kesihatan dan kecantikan payudara.

Nota : Untuk mendapat kesan yang lebih mujarab anda disyorkan menggunakan gabungan Minyak Mustajab dan Minyak Herbanika. Tetapi untuk payudara disyorkan mengguna Minyak Mustajab sahaja melainkan jika ada ketumbuhan.

Kepada bakal ibu dan individu yang berminat untuk memiliki produk ini, bolehlah menghubungi dealer atau Stokis Nona Roguy yang berdekatan di tempat anda.

Anda juga boleh membuat pesanan online melalui E-Dagang Nona Roguy.

(Credits to: JamuCantik Herbshop)

Wallahu'alam.

August 23, 2005

Surah Al-Mulk

Surah Al-Mulk (bererti Kuasa Pemerintahan) merupakan surah yang ke-67 di dalam Al-Quran, mengandungi 30 ayat. Di antara isi kandungannya ditegaskan tentang kekuasaan mutlak Allah SWT iaitu menguasai pemerintahan dunia dan akhirat. Seluruh alam telah diciptakan-Nya begitu rapi tanpa sebarang cacat celanya.

Di akhirat kelak, mereka yang kufur ingkar akan mendapat balasan azab yang amat buruk dan menggerunkan. Mereka yang mentaati Allah akan mendapat keampunan dan balasan yang sebaik-baiknya.

Terdapat banyak hadis Rasulullah SAW yang menyatakan fadhilat, faedah dan hikmah bagi mereka yang mengamalkan membaca Surah Al-Mulk ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tarmizi, An-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah yang bermaksud:

"Sesungguhnya di dalam Al-Quran terdapat 30 ayat yang kandungannya akan memberi syafaat kepada orang yang membacanya sehingga ia mendapat keampunan dosanya iaitu Surah Al-Mulk."

Daripada Ibnu Abbas RA, seorang sahabat Rasulullah SAW menceritakan ia telah mendirikan khemah di atas kubur yang beliau tidak ketahui. Dari kuburan itu, beliau terdengar suara orang membaca Surah Al-Mulk sehingga khatam. Beliau lalu menemui baginda dan berkata:

"Wahai Rasulullah, saya dirikan khemah di atas sebuah kubur yang saya tidak ketahui; saya mendengar seseorang sedang membaca Surah Al-Mulk sehingga khatam."

Maka Nabi SAW bersabda:

"Itulah yang menahan dan menyelamatkan dia dari siksa kubur."

(HR At-Tarmizi)

Daripada Jabir RA, sesungguhnya Rasulullah SAW tidak akan tidur sehingga baginda membaca Surah Alif Laam Miim, As-Sajdah dan Al-Mulk.

(HR At-Tarmizi)

Daripada Anas Ibnu Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda:

"Satu surah di dalam Al-Quran menghadiahkan kepada pembacanya sehingga memasukkannya ke dalam syurga iaitu Al-Mulk."

(HR At-Tarmizi)

An-Nasai juga meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang membaca Surah Al-Mulk setiap malam, maka Allah mencegahnya daripada azab kubur."

"Terdapat sebuah surah di dalam kitab Allah (Al-Quran), tiada surah yang demikian melainkan mengandungi 30 ayat, yang kelak memberi syafaat kepada orang yang membacanya, mengeluarkannya daripada neraka pada Hari Kiamat lalu memasukkannya ke dalam syurga iaitu Surah Al-Mulk."

Anas RA pula meriwayatkan, sesiapa yang membaca Surah Al-Mulk dan As-Sajdah pada waktu malam, maka keadaannya seperti ia menemui malam Lailatul-Qadr.

Umat Islam adalah digalakkan supaya selalu mengamalkan membaca Surah Al-Mulk sebaik-baiknya setiap malam.

Wallahu'alam.

August 18, 2005

Surah An-Nabaa'

Surah An-Nabaa' (bererti berita besar) adalah surah yang ke-78 di dalam Al-Quran, mengandungi 40 ayat.

Di antara kandungannya menegaskan tentang kebenaran "berita besar" iaitu kebangkitan manusia dihidupkan semula untuk menerima pembalasan pada Hari Kiamat. Surah ini membentangkan hujah-hujah betapa zalimnya keingkaran golongan kafir musyrik yang meragui akan berlakunya Hari Kiamat.

Telah nyata Allah SWT telah menciptakan langit dan bumi serta segala isinya yang begitu rumit. Maka sudah tentulah tidak susah bagi-Nya untuk menghidupkan mereka semula kelak bagi menerima pembalasan.

Ketika itu kelak, orang-orang kafir itu akan menyesal dan berkata, "Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (sahaja supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima pembalasan)."

Di antara hadis Rasulullah SAW yang menerangkan fadhilat dan faedah mengamalkan membaca Surah An-Nabaa' ini ialah hadis yang diceritakan oleh Abu Darda' yang bermaksud:

"Pelajarilah Surah An-Nabaa', pelajarilah Surah Al-Buruuj, pelajarilah Surah Qaaf dan pelajarilah Surah At-Taariq, kerana jika kamu mengetahui fadhilat-fadhilat dan besarnya pahala membaca surah-surah tersebut, maka kamu akan berhenti dari tugas-tugas kamu lalu mempelajari surah-surah tersebut; dan juga mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan membacanya. Sesungguhnya Allah SWT akan mengampunkan dosa mereka yang mengamalkan membacanya selain dari dosa syirik."

Memandangkan fadhilat dan faedahnya yang begitu besar, umat Islam disarankan agar mengamalkan membacanya, sebaik-baiknya pada tiap-tiap hari.

Wallahu'alam.

August 16, 2005

Mendidik Bertahap-Tahap

1. Tahap Usia

Rasulullah SAW pernah menyebut, bahawa mendidik anak-anak hendaklah menggunakan pendekatan yang bertahap-tahap.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ibu bapa hendaklah menyuruh anak-anak solat ketika berusia 7 tahun dan sekiranya mereka enggan, maka hendaklah ibu bapa merotannya pada usia 10 tahun."

Apabila Rasulullah SAW memberi nasihat; nasihat baginda singkat, pendek, padat dan tidak membosankan. Jangan terlampau ghairah dalam mendidik anak-anak hingga sering memberi ceramah, celoteh dan khutbah yang panjang menjela-jela. Lagi rendah usia anak itu, lagi ringkas dan pendek nasihat kita.

2. Tahap Kemampuan

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Berbicaralah dengan manusia mengikut tahap kemampuan orang itu."

Maka untuk mendidik anak-anak juga perlu diambil perhatian kemampuan anak itu untuk menerima nasihat yang berkaitan.

Anak yang lebih cerdik dan yang telah meningkat baligh mungkin boleh menerima arahan yang lebih sulit dan rumit, tetapi anak yang berusia muda tidak mampu menerima bebanan yang sama. Jika pun ada, bebanan dan nasihat itu harus dipermudah dan diringkaskan.

3. Tahap Kesusahan Kerja atau Tugas

Anak-anak hendaklah diberi kerja yang ringan dan mudah terlebih dahulu. Jika dia dapat menyelesaikan dengan mudah, barulah ditambah dengan kerja yang lebih rumit dan susah. Kaedah ini sama seperti anak-anak belajar Matematik.

Sebab itu ibu bapa harus bijak menghuraikan tugas dan kerja yang susah kepada beberapa bahagian yang boleh diselesaikan satu persatu. Dalam tahap yang lebih tinggi, anak-anak dilatih untuk menghuraikan sendiri kerja yang susah kepada beberapa bahagian supaya mudah diselesaikan.

Bagaimana Menghuraikan Kerja yang Rumit?

Tugas: Bapa anda menugaskan anda mengemaskan sebuah stor yang berselerak di rumah anda. Di dalam stor tersebut; terdapat kerusi yang baik dan yang patah, buku teks lama, suratkhabar lama, cermin tingkap yang pecah dan yang baik, kain buruk, botol kosong, minyak pelincir kereta dan tayar lama.

Bagaimana anda melaksanakan tugas ini?

Penyelesaian: Pertama, anda pecahkan tugas tersebut kepada beberapa bahagian, mengikut keutamaan dan keperluan. Kemudian, buat satu persatu hinggalah selesai.

Kronologi Penyelesaian:

a) Tugas 1: Asingkan barang-barang yang perlu dibuang dan terus dibuang.
  • Buang terus: Kerusi patah, cermin tingkap pecah.
  • Buku teks lama, suratkhabar lama dan botol kosong dijual kepada pembeli suratkhabar lama

b) Tugas 2: Asingkan barang-barang yang akan dipindahkan keluar dari stor dan terus letakkan barang-barang itu di tempat barunya.

  • Tayar lama akan dijadikan tempat tanam bunga.
  • Kerusi yang masih baik boleh digunakan di anjung rumah, di taman atau di garaj.

c) Tugas 3: Asingkan barang yang perlu disimpan kembali di dalam stor.

  • Minyak pelincir kereta
  • Kain buruk

d) Tugas 4: Bersihkan lantai stor dengan cara membasuh dan mengeringkan.

  • Jangan biarkan lantai stor lembab.

e) Tugas 5: Susun semula barang-barang yang perlu disimpan di dalam stor mengikut kategori. Barang yang boleh disangkutkan di dinding, buat penyangkutnya.

  • Minyak pelincir kereta
  • Kain buruk

f) Tugas 6: Usahakan untuk stor itu dikunci.

Tugas selesai.

Wallahu'alam.

August 12, 2005

Doa Amalan untuk Ibu Bapa

Surah-surah yang baik untuk diamalkan oleh para ibu bapa mahupun bakal ibu bapa.

1. Doa agar diberi anak yang baik
  • Surah Al-Imran, ayat 38

2. Doa agar diberikan zuriat yang menyenangkan hati

  • Surah Al-Furqan, ayat 74

3. Doa agar anak patuh kepada Allah

  • Surah Al-Baqarah, ayat 128

4. Doa agar anak tetap mengerjakan solat

  • Surah Ibrahim, ayat 40

Wallahu'alam.

August 10, 2005

Menasihati Pada Waktu yang Sesuai

Untuk mendapat kesan yang optimum di dalam mendidik anak-anak, pilihlah masa yang sesuai dan tepat untuk berkomunikasi dan menasihati mereka.

Masa Untuk Menasihati Anak-Anak
  • Di atas sejadah selepas solat berjemaah bersama
  • Sebelum tidur malam kerana waktu itu mereka amat mudah untuk menerima nasihat
  • Sebelum melangkah ke sekolah (nasihat yang ringkas)
  • Pada waktu berehat yang santai
  • Ketika berehlah
  • Ketika berehat selepas riadah
  • Di dalam kenderaan
  • Selepas menonton sesuatu rancangan atau cerita di tv dan simpulkan pengajaran yang dapat diambil daripadanya
  • Apabila ibu atau bapa hendak meninggalkan anak untuk jangka masa yang lama
  • Apabila anak sakit/demam

Boleh juga menasihati anak ketika mereka sedang tidur lena. Kaedah ini bunyinya ganjil tetapi telah terbukti berkesan. Melalui kaedah ini, bercakaplah dan nasihatilah anak-anak dengan cara bercakap di dalam hati dan perasaan.

Ibu bapa juga boleh mendoakan anak-anak di kepala mereka, kemudian hembus di ubun-ubunnya, insya-Allah berkesan.

Ibu bapa tidak perlu mengkhususkan suatu waktu yang khas atau satu majlis yang formal untuk menasihati anak-anak. Malah lebih berkesan jika nasihat disampaikan secara tidak langsung supaya minda di bawah sedar mereka menerima dengan berkesan. Kalau boleh jangan pula sampai mereka sedar bahawa itu adalah suatu sessi memberi nasihat!

Wallahu'alam.

August 08, 2005

Kenal Pasti Kecenderungan dan Bakat Anak

Ibu bapa hendaklah berusaha membantu dan membimbing anak-anak untuk mengembangkan dan memenuhi dua perkara dalam diri anak-anak:

1. Minat atau Kecenderungan - Minat atau kecenderungan adalah sifat yang datang kemudian apabila anak itu mula mumaiyiz. Minat dan kecenderungan dipengaruhi oleh asuhan, didikan dan juga pengaruh alam sekitar di mana anak-anak itu dibesarkan.

Minat memerlukan pemangkin sebagai pencetus. Sebab itu anak-anak perlu didedahkan dengan pelbagai alat bantuan belajar, aktiviti, permainan dan peralatan. Anak-anak yang kurang minat pun boleh dipupuk dan disuburkan.

2. Bakat - Bakat adalah sifat semulajadi yang diwarisi anak-anak sama ada daripada keturunan atau atau anugerah Allah kepada anak itu. Adalah penting para ibu bapa mengenalpasti dan kemudiannya mencungkil bakat yang ada pada anak-anak. Inilah yang diistilahkan sebagai bakat terpendam. Apabila ibu bapa melihat sesuatu bakat pada anak-anak, mereka hendaklah berusaha agar ia dibangunkan dan dikembangkan menjadi kebolehan yang besar. Bakat apabila dihiasi dengan minat, akan melahirkan keajaiban.

Realitinya, kebanyakan ibu bapa tidak berjaya mengenal pasti minat, kebolehan, kecenderungan dan bakat anak-anak. Untuk mengatasi masalah ini, rujuklah kepada guru-guru, kawan-kawan, adik-beradik dan orang-orang yang terdekat dengan mereka.

Setelah mengenalpasti kecenderungan anak-anak, cuba pupuk semangat mereka agar lahirlah rasa puas hati dan bahagia di dalam diri mereka. Mereka akan berasa lega dan gembira.

Mengikut kaedah psikologi, anak yang berasa lega dan gembira akan mencontohi orang-orang yang cemerlang. Kerana itulah amat penting untuk kita kenal pasti akan bakat dan kecenderungan anak-anak.

Bagaimana Memupuk Minat dan Bakat Anak-Anak?
  • Salurkan mereka ke dalam kegiatan ko-kurikulum yang berkaitan. Misalnya; jika anak meminati robot, galakkan mereka menjadi ahli Persatuan Rekacipta.
  • Libatkan anak-anak dengan aktiviti luar seperti pertandingan melukis/mewarna, pakaian beragam, pertandingan bercerita di kompleks membeli-belah, dewan orang ramai dan sebagainya.
  • Bawa melawat ekspo dan pameran atau libatkan mereka dengan aktiviti pentas.
  • Belikan buku-buku atau VCD dan langgan majalah bulanan yang berkaitan dengan minat mereka, dari dalam dan luar negara.
  • Galakkan anak-anak menyertai pertandingan yang disiarkan di dalam akhbar seperti pertandingan mengarang, pertandingan fotografi, teka silangkata, teka gambar dan sebagainya.
  • Galakkan anak-anak bergiat dengan persatuan atau kelab yang mereka minati.
Wallahu'alam.

August 05, 2005

Menjana Keyakinan Diri Anak-Anak

Ibu bapa hendaklah berusaha meningkatkan kemahuan, keyakinan diri dan kekentalan jiwa anak-anak melalui teknik berikut:

a. Belajar Menyimpan Rahsia - Seandainya anak-anak pandai menyimpan rahsia sejak kecil lagi, maka mereka sebenarnya telah membentuk kekentalan dalam jiwa dan akhirnya menghasilkan keyakinan dalam dirinya.

b. Berpuasa Sunat - Latih anak berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Syarat utama untuk latihan ini ialah ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali hendaklah sama-sama bangun untuk makan sahur dengan anak-anak.

Didik anak-anak bahawa puasa baik untuk kesihatan tubuh badan dan otak. Puasa juga menginsafkan kita terhadap umat Islam yang kurang bernasib baik di merata tempat di dunia ini seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Sudan dan di Afrika.

Berpuasa adalah ibadah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila melihat seseorang, kita tidak tahu samada dia berpuasa atau tidak. Orang yang engkar boleh mencuri makan dan minum dan berpura-pura puasa selepas itu.

Sebab itu dari latihan berpuasa akan terbentuk keikhlasan. Keikhlasan akan membentuk keyakinan diri kerana seseorang itu tahu kekuatan dirinya yang menyebabkan dia mampu berpuasa terutama bagi puasa sunat.

Di rumah, jadikan waktu berbuka puasa satu majlis yang ceria dengan juadah yang istimewa yang akan menyebabkan anak-anak tertunggu-tunggu untuk berpuasa sunat pula pada minggu berikutnya.

c. Didik Kemahiran Sosial - Mendidik anak di dalam kemahiran sosial paling penting membantu mereka membentuk keyakinan diri.

d. Rajin Membaca - Latih anak-anak supaya sentiasa ada buku di tangan walau di mana jua mereka berada; seperti waktu rehat di rumah, di dalam kereta, sementara menunggu bas sekolah datang, waktu pulang ke kampung nenek dan waktu berkelah di tepi pantai.

Ibu bapa hendaklah mengawasi bahan bacaan anak-anak. Kenalkan mereka kepada buku atau majalah yang bermaklumat dan berpengetahuan. Cuba elakkan majalah yang berunsur hiburan semata-mata. Majalah hiburan selalunya mendedahkan pemikiran, budaya dan cara hidup yang tidak sihat.

Untuk menarik minat anak-anak membaca, ibu bapa boleh menceritakan sesuatu perkara yang sangat disukai oleh anak tersebut dan beritahu bahawa ibu bapa mengetahui cerita tersebut dari majalah atau buku tertentu. Anak-anak pasti gembira untuk mengetahui sambungan cerita selanjutnya.

Kajian mendapati bahawa kaedah yang paling mujarab untuk menggalakkan anak-anak membaca ialah dengan ibu bapa sentiasa ada sebuah buku di tangan!

e. Luaskan Pengetahuan - Anak-anak hendaklah dilatih meluaskan pengetahuan melalui pelbagai sumber. Di antaranya ialah:
  • Membaca akhbar harian
  • Menonton berita perdana dan berita dunia di tv
  • Menonton dokumentari di tv
  • Melanggan majalah pengetahuan bulanan dalam/luar negara
  • Membaca sumber-sumber di dalam bahasa Inggeris
  • Mendapatkan maklumat dan pengetahuan dari internet
  • Membeli video dokumentari
  • Menulis surat kepada sahabat pena di luar negara
  • Berchatting yang bermanfaat
  • Suka berkomunikasi dengan pelancong
f. Ajar Anak Berniaga - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "90% punca rezeki datang dari perniagaan".
Bangsa yang bertamadun tinggi di dunia menjalankan perniagaan. Mereka berniaga bukan sahaja sesama mereka malah merentasi benua dan lautan. Ada bangsa yang menakluki dunia dengan perniagaan. Malah tamadun manusia berkembang melalui perniagaan.
Di zaman moden hari ini pun, kuasa besar dunia menakluki minda rakyat dan tanah air negara-negara kecil di dalam rangkaian dunia ketiga juga melalui perniagaan.
Rasulullah SAW juga seorang ahli perniagaan sebelum dilantik menjadi Rasul. Baginda memperdagangkan barangan Sayidatina Khadijah serta mendapat keuntungan besar serta berlipat ganda.
Kepintaran dan kejujuran Rasulullah SAW ini telah menarik perhatian Khadijah hingga membuahkan bibit cinta lalu dia menghantar wakil untuk meminang baginda menjadi suaminya.
Maka seharusnya kita ajar anak-anak kita berniaga sedari kecil. Berniaga mendidik hati untuk yakin kepada kekuasaan Allah SWT. Orang berniaga banyak bergantung harap kepada Allah SWT kerana punca rezeki mereka tidak menentu.
Di zaman moden dunia hari ini, ilmu perniagaan sudah boleh dipelajari dari kursus-kursus di kolej dan universiti, dalam dan luar negara. Bagaimanapun, latihan berniaga harus menjadi darah daging anak-anak kita sepertimana menjadi darah daging sesetengah bangsa di dunia seperti bangsa Cina.
Jadi, pilihan terbaik kita ialah melatih anak-anak berniaga sejak kecil terutama pada masa-masa lapang mereka, cuti hujung minggu atau ketika cuti sekolah. Berniagalah apa sahaja barangan yang bermanfaat. Pastikan lokasi perniagaan yang strategik supaya perniagaan itu berdaya maju.
Berniaga juga akan melatih anak-anak supaya cekap dan amanah. Cekap dalam ertikata menguruskan barangan perniagaan dan perhitungan untung rugi. Amanah pula merujuk kepada barangan dan wang ringgit yang diuruskan. Sifat amanah Rasulullah SAW lah yang telah menjadikan perniagaan baginda berjaya dan mengaut keuntungan yang besar.
Anak-anak juga harus diingatkan bahawa perniagaan juga boleh menjerumuskan manusia kepada risiko hutang dan kerugian jika tidak cekap dan tidak amanah.
g. Dengar Pandangan Anak-Anak - Apabila anak-anak cuba mengutarakan pandangan dan pendapatnya, dengarlah dengan bersungguh-sungguh. Berhentilah dari melakukan sebarang perbuatan ketika mendengar pandangan mereka.
Lihat tepat ke muka atau ke dalam mata mereka. Beri sokongan terhadap pendapat yang cuba diutarakan dengan memberi reaksi positif dan riak muka yang meyakinkan. Bantu menguatkan hujah mereka apabila mereka tersekat di dalam mengeluarkan idea.
Jangan pandang rendah kemampuan dan pendapat mereka terutama bagi anak yang kian meningkat remaja atau dewasa. Apabila pandangan mereka dihargai, mereka akan merasa diri mereka lebih yakin.
Sebaliknya, jika ada pandangan anak-anak yang menyalahi kebenaran; tegurlah dengan baik dan berhemah supaya mereka boleh mengubah pandangan dan pendirian mereka terhadap sesuatu perkara itu.
Jangan sekali-kali bertengkar dengan anak-anak, ataupun bertegang urat dengan mereka kerana banyak kesan negatif yang akan timbul.
Kesan Bertengkar Dengan Anak-Anak:
  • Anak akan hilang rasa hormat pada ibu bapa
  • Mereka mula tidak yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri
  • Anak-anak akan rasa rendah diri
  • Mereka berasa tidak dihargai
  • Timbul rasa kebencian di antara kedua belah pihak
h. Didik Anak Membuat Keputusan - Anak-anak hendaklah dididik untuk pandai membuat keputusan sendiri. Jangan mengharapkan orang lain menentukan peraturan dan perjalanan hidup mereka hingga dewasa.
Mungkin ketika kecil, ibu dan bapa boleh membantu mereka membuat keputusan. Tetapi, tidak untuk selama-lamanya. Apabila dewasa, mereka harus berdikari.
Anak yang terlalu bergantung kepada ibu dan bapanya untuk membuat keputusan, sering memandang muka ibu atau bapanya apabila terpaksa membuat keputusan. Ketika itu, ibu atau bapa hendaklah menghalakan pandangan ke tempat lain. Latih anak itu untuk membuat keputusan sendiri.
i. Pandai Menyelesaikan Masalah - Anak-anak hendaklah dididik menyelesaikan masalah terutama masalah peribadinya. Untuk bijak menyelesaikan masalah peribadi, anak-anak hendaklah dididik mengatur kehidupan harian dengan sempurna. Apabila kehidupan teratur, masalah akan berkurangan. Masalah peribadi tidak wajar dibebankan kepada orang lain.
Anak yang telah terdidik bijak mengatasi masalah peribadi akan mampu menolong menyelesaikan masalah orang lain seperti kawan-kawan atau adik-beradiknya.
Di satu tahap yang lebih tinggi, anak itu akan mempunyai inisiatif sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah keluarga, orang ramai, masyarakat atau masalah ummah.
Kemahiran menyelesaikan masalah ini akan dapat menjana keyakinan diri seseorang anak dengan cemerlang.
j. Minta Nasihat Dari Anak-Anak - Apa salahnya jika ibu atau bapa meminta nasihat anak-anak terutama daripada anak yang telah dewasa dan matang?
Rasional Ibu Bapa Meminta Nasihat Daripada Anak-Anak:
  • Melatih anak-anak supaya mempunyai keyakinan diri lebih awal dan lebih mantap
  • Anak mungkin mempunyai kepakaran/kemahiran tertentu
  • Anak mungkin ada sudut pandangan berbeza yang tidak terjangkau oleh ibu bapa
  • Anak-anak juga memahami masalah keluarga kerana mereka terlibat di dalamnya
  • Anak akan merasa dihargai
  • Anak merasakan dirinya cepat matang
  • Anak akan lebih memahami keluarganya
Perlulah diingat bahawa anak-anak kita memang cemerlang, cuma kita sahaja yang sering terlepas pandang.

Bidang Kemahiran Sosial
1. Kemahiran Bercakap (Public Speaking/Khutbah) - Anak hendaklah dilatih petah dan mahir bercakap melalui latihan formal yang dipanggil "Public Speaking" atau "Khutbah". Beri galakan anak-anak memasuki pertandingan bercerita, bersyarah, forum, berbahas dan sebagainya. Di dalam majlis tidak rasmi di kalangan keluarga atau kawan-kawan tonjolkan anak-anak supaya berani bercakap dan memberi pendapat.
2. Kemahiran Berkomunikasi - Latih anak-anak berhubung dengan pelbagai lapisan masyarakat. Terdapat anak-anak yang tidak pandai membahasakan panggilan diri yang formal iaitu "saya", sebaliknya menggunakan bahasa "panggilan" atau "gelaran" seperti "adik", "abang", "along", "kita" dan sebagainya mengikut gelaran yang biasa digunakan di kalangan keluarga di rumah. Penggunaan bahasa diri ini kadang-kadang digunakan sehingga dewasa.
3. Kemahiran Bergaul - Anak-anak hendaklah dilatih mahu bergaul dengan saudara-mara, jiran-jiran dan masyarakt setempat. Di sinilah pentingnya mengadakan "Hari Keluarga" samada di pejabat, syarikat atau di kalangan ahli keluarga.
Untuk melatih anak-anak bergaul, hendaklah diciptakan agenda yang akan menyebabkan mereka berinteraksi di antara satu sama lain seperti:
  • Adakan acara sukan persahabatan
  • Wujudkan kumpulan belajar (Study group)
  • Membuat projek sekolah bersama
  • Lawatan bersama
  • Gotong-royong
  • Jamuan atau kenduri-kendara
  • Majlis hari lahir
4. Kemahiran Menyesuaikan Diri - Latih anak-anak supaya pandai menyesuaikan diri di dalam majlis dan suasana yang berlainan. Jika tidak, mereka akan menjadi "Kera Sumbang". Mereka akan dipandang ganjil oleh orang lain dan akhirnya mereka akan malu.
5. Kemahiran Bertoleransi - Jangan biarkan anak terlalu keras dengan kehendak, kemahuan dan prinsipnya. Ajar mereka bertoleransi asalkan tidak menyalahi syariat Islam. Anak-anak hendaklah bertoleransi dengan orang yang bukan segolongan atau sependapat dengannya, berlainan bangsa atau agama dan orang yang belum mereka kenali.
Ingat: Lebih baik kita mengalah dalam jangka masa pendek asalkan kita menang dalam jangka masa panjang. Beralah bukan bererti mengalah atau menggadai prinsip. Kelembutan kita akan memikat hati orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, nanti Allah akan utamakan kepentingan anda insya-Allah.
6. Kemahiran Membaca Bahasa Tubuh (Body Language) - Anak-anak hendaklah dilatih agar peka dan boleh membaca bahasa tubuh (body language) orang lain. Jangan sekali-kali mengabaikan atau buat tidak peduli terhadap bahasa tubuh orang lain.
Lazimnya, bahasa tubuh dilakukan tanpa dirancang atau tanpa disedari. Ia dilakukan dengan spontan mengikut gerak hati dan keinginan minda seseorang itu. Bahasa tubuh jenis inilah yang mesti kita peka dan faham serta bertindak mengikut isyarat tersebut.
Tetapi, ada orang yang sengaja memberi bahasa tubuh kepada tetamunya. Bahasa tubuh jenis ini ada yang tidak ikhlas. Lebih baik kita berterus-terang kepada tetamu kita daripada sengaja memberi isyarat bahasa tubuh. Orang lain akan lebih hormat kepada kita jika kita berterus-terang.
Misalnya, jika kita ada tetamu sedangkan pada masa yang sama kita ada komitmen lain. Maka, janganlah memberi isyarat dengan sering melihat jam di tangan atau jam di dinding. Sebaliknya, berterus-teranglah dengannya bahawa kita ada komitmen lain dan berjanji untuk berurusan lagi dengannya pada masa yang lain.
7. Kemahiran Bertindak - Latih anak-anak bertindak balas dengan segera terhadap segala tindakan. Jadikan mereka anak yang pro-aktif. Anak-anak yang pro-aktif bertindak spontan. Bagaimanapun, bertindak hendaklah di atas pertimbangan akal fikiran yang waras.
Jangan bertindak tergesa-gesa dan membuta tuli tanpa pertimbangan yang teliti. Pastikan tindakan kita menyenangkan semua pihak dan tidak menyinggung sesiapa.
8. Kemahiran Mempertahankan Diri - Anak hendaklah diajar mempunyai maruah diri. Jangan menggadaikan maruah diri semata-mata kerana perkara yang kecil, mudah dan murah. Jika ada orang lain yang memperkecil-kecilkan atau merendah-rendahkan diri kita, wajib kita mempertahankan diri demi maruah.
Lebih-lebih lagi jika kita dilontarkan dengan hasutan, fitnah dan cacian. Maka menjadi kewajiban kita untuk mempertahankan diri, malah hendaklah mendedahkan kebenaran. Jangan biar diri kita dipijak oleh orang lain.
Sebaliknya, anak-anak hendaklah dididik supaya tidak bertegang leher menegakkan yang palsu atau yang tidak benar. Jika kita telah tersilap langkah, biarlah kita berani mengaku kesilapan kita dan meminta maaf. Jangan sekali-kali cuba "menegakkan benang yang basah".
9. Kemahiran Kepemimpinan - Anak-anak hendaklah dilatih menjadi pemimpin dari kecil. Galakkan mereka menjadi ketua kumpulan, ketua kelas, ketua pasukan dan sebagainya. Bila berada dalam sesuatu kumpulan, galakkan mereka mengetuai kumpulan tersebut. Ibu bapa hendaklah berusaha memberi kemudahan dan jalan ke arah itu. Berikan sokongan moral dan material.
Konsep kepemimpinan hendaklah ditonjolkan kepada anak-anak. Di kalangan adik-beradik pun, biasakan melantik seorang di antara mereka menjadi ketua mengepalai sesuatu misi atau tugas. Selalunya anak yang paling tua dilantik menjadi ketua.
Elakkan melantik anak yang muda kerana abang-abangnya akan kecil hati , kecuali di dalam sesuatu tugas yang si adik memang mempunyai kemahiran atau kelebihan yang ketara berbanding si abang. Namun, adik lelaki boleh dengan mudah dilantik menjadi ketua kepada kakak-kakaknya.
Aspek Menyesuaikan Diri
a. Pakaian - Pakaian hendaklah bersesuaian dengan majlis. Jangan memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata atau yang "over". Ada pakaian yang sesuai untuk ke surau atau ke masjid atau apabila menziarahi orang sakit, menziarahi orang meninggal dunia, menghadiri majlis membaca Yaasin atau kenduri/tahlil arwah; tetapi pakaian yang sama tidak sesuai dipakai ke majlis perkahwinan/kenduri-kendara, majlis sambutan hari lahir, sukaneka/outdoor/acara padang, pameran/ekspo atau majlis rasmi/forum/seminar/kursus.
b. Aksesori - Jangan memakai aksesori yang berlebihan atau "over". Aksesori yang berlebihan akan memperlihatkan anda seperti lampu isyarat (traffic light) merah, kuning, hijau atau seperti "Mak Datin" kecuali anda memang ingin kelihatan begitu atau ingin menonjolkan imej sebegitu! Memakai topi koboi dan cermin mata hitam adalah perlakuan biasa jika majlis diadakan di tempat terbuka, di tepi pantai atau di tempat panas.
c. Peralatan Yang Dibawa - Bawa peralatan yang diperlukan untuk sesuatu majlis atau program dengan selengkapnya. Misalnya, jika program membaca Yaasin, hendaklah bersedia membawa Surah Yaasin dan pakaian solat. Jika aktiviti sukan keluarga, hendaklah sedia membawa pakaian riadah dan kasut sukan. Bukankah ganjil jika anda masuk pertandingan tarik tali atau main bola jaring dengan berkaki ayam atau memakai kasut tumit tinggi?
d. Usia - Jangan masuk ke dalam majlis yang pesertanya mempunyai perbezaan usia yang terlalu jauh dengan kita. Jika termasuk juga, maka hendaklah pandai menyesuaikan diri.
e. Golongan Audien - Kenalpasti audien bagi majlis yang kita hadiri sama ada golongan pelajar rendah, menengah, IPT, petani, orang kampung, golongan korporat, pekerja kolar biru, golongan seni atau golongan suri rumahtangga.
f. Jenis Majlis - Kenalpasti majlis apa yang kita hendak hadiri itu. Apakah majlis sosial, ibadah, aktiviti lasak (outdoor), ceria atau berkabung (misalnya kematian, sakit) atau sebagainya.
g. Masa - Pastikan apakah majlis itu diadakan di waktu pagi, petang atau malam? Kadang-kadang warna dan jenis pakaian pun diambil kira mengikut waktu pagi, petang atau malam. Apakah majlis itu melibatkan waktu solat atau waktu makan tengahari? Jika melibatkan waktu solat, hendaklah bersedia dengan peralatan untuk bersolat. Jika melibatkan makan tengah hari, hendaklah bersedia untuk makan tengah hari. Misalnya, jangan makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut.
Wallahu'alam.

August 03, 2005

Isyarat Bahasa Tubuh (Body Language)

1. Sering melihat jam di tangan atau jam di dinding
  • "Saya ada komitmen lain atau saya tak ada masa untuk awak"

2. Membuat kerja lain ketika tetamu sedang bercakap
  • "Saya tak minat dengan apa yang awak cakap..."
  • "Segeralah keluar dari bilik saya"
3. Sering memandang ke arah tingkap
  • "Saya ada tugas lain di luar"
4. Meneleku kedua belah tangan di atas meja
  • "Saya berminat dengan apa yang awak cakap/sampaikan"
5. Memandang tepat ke dalam mata pendengar
  • "Teruskan, ceritalah lagi..."
6. Bersandar di kerusi atau menyilangkan kaki
  • "Saya bersedia mendengar idea awak"
7. Menggeliat, meletupkan jari atau menarik nafas panjang
  • "Saya letih mendengar cakap awak"
  • "Ringkaskan cerita awak"
8. Mengalih/mengubah kedudukan di kerusi
  • "Cepatkan apa yang awak hendak beritahu"
9. Memandang arah ke atas, berpaling ke kiri atau ke kanan dengan meletakkan tangan di dagu atau merenung ke dinding yang kosong
  • "Nantilah saya fikirkan tentang idea awak itu"
10. Menggerak-gerakkan bibir, mulut atau lidah; mengerut kening atau mengurut janggut/misai
  • "Saya tidak pasti atau curiga dengan idea awak"
Wallahu'alam.

August 01, 2005

Guna Firasat dan Gelombang Minda

Ibu bapa wajar menggunakan gerak hati, gerak batin atau firasat (intuition) dalam usaha mendidik anak-anak. Kaedah ini amat berkesan terutamanya jika diamalkan oleh ibu-ibu.

Gunakan firasat atau ilham yang telah Allah berikan ini untuk bertindak dan memainkan peranan sebagai ibu bapa. Gunakan gerak batin, jangan tunggu sehingga si anak memberitahu. Sebaliknya, cubalah memahami dan bercakap dengannya dari hati ke hati. Beri nasihat kepada mereka melalui bercakap dengan hati.

Selalunya hati kecil kita sentiasa benar dan bersifat suci. Inilah fitrah manusia sepertimana juga fitrah seorang anak yang baru lahir, hatinya suci bersih seperti kain putih.

Sabda Rasulullah SAW: "Anak dilahirkan suci bersih. Ibu bapanyalah yang menjadikan ia Nasrani, Yahudi atau Majusi." (Riwayat Bukhari)

Mengapa Ibu Lebih Rapat Dengan Anak-Anak?
  1. Kerana ibu mengandungkan si anak di dalam rahimnya selama sembilan bulan sepuluh hari. Mereka berkongsi saluran pernafasan dan saluran makanan yang sama.
  2. Ibu lazimnya mengasuh, membela dan mendidik anak dari kecil hingga dewasa.
  3. Tangan ibu menyuapkan makanan ke mulut si anak.
  4. Anak perempuan mahupun anak lelaki sering bersama, bertemu dan mengadu hal kepada ibu.
  5. Ibu lebih bersifat lemah lembut dan lunak hati. Ini yang memudahkan anak berhubung dengannya.
Sebab itu anak-anak yang sedang sakit umpamanya, jika meracau-racau akan menyebut nama ibunya daripada menyebut nama bapanya dalam keadaan separa sedar.
Sebab itulah apa yang terlintas dalam minda ibu harus ditanggap dengan cepat dalam menangani masalah anak-anak. Apabila ibu melihat dan merasa ada perkara yang tidak kena dengan anaknya, ibu harus bertindak cepat dan jangan membiarkan ia berlalu begitu sahaja.
Riwayat apa yang hati kecil kita rasa, itulah sebenarnya perasaan yang mutlak. Hati kecil yang sifatnya suci tidak mungkin menipu perasaan kita. Jika hati kita hampir dengan Allah SWT, maka Allah akan mendatangkan ilham ke dalam hati kita untuk memberi petunjuk atau gerak hati di dalam menangani sesuatu perkara atau masalah.
Antara manusia dengan manusia juga terdapat gelombang yang sering berhubungan di antara satu sama lain. Kadang-kadang manusia berhubung di antara satu sama lain di dalam mimpi, di dalam minda atau di dalam perasaan. Inilah yang dipanggil gelombang minda.
Gelombang minda sering berhubungan jika dua manusia itu mempunyai hubungan yang rapat. Hubungan yang rapat dibina melalui kecintaan di antara satu sama lain.
Seorang yang cintakan kekasih, sering terbayangkan wajah kekasihnya itu di dalam mimpi atau ketika jaganya. Murid yang cinta dengan gurunya sering dapat berhubung dengan minda gurunya itu.
Sebab itu di antara ibu dan ayah, ibulah yang mempunyai hubungan yang lebih rapat dengan anak-anak.
Wallahu'alam.
Nukilan Sofiee
Daisypath Anniversary Years Ticker

Shout Box

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x