November 28, 2005

Kongsilah Ilmu

Kongsilah ilmu yang baik dengan orang lain. Sememangnya orang yang berilmu akan dihormati dan diperlukan dalam masyarakat. Dengan ilmu, masyarakat dapat dibangunkan dan sebuah negara dapat ditegakkan. Tamadun yang hebat bermula dengan orang yang berilmu.

Disebabkan itu, Islam sangat menghargai ilmu dan golongan ilmuwan seperti firman Allah SWT lewat Surah Al-Mujadalah: 58 yang bermaksud;

"...nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..."

Disebabkan tingginya kedudukan ilmu, maka Islam mewajibkan umatnya untuk belajar.

Berjihad dalam ilmu bermaksud bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna supaya dapat memberikan gambaran yang betul mengenai sesuatu perkara, tanpa iri hati atau tamak.

Rasulullah SAW juga pernah berpesan supaya umatnya tidak lokek menyebarkan ilmu. Pesan Baginda;

"Si kedekut ilmu yang jika ditanya mengenai sesuatu (ilmu), dia menyembunyikannya, maka pada hari Kiamat nanti akan diikat mulutnya seperti kekangan di mulut kuda dengan kekangan daripada api neraka".

Justeru kongsilah ilmu yang berguna; kerana semakin ramai orang yang berilmu, maka makin kuatlah sebuah masyarakat. Masyarakat yang kuat akan membentuk negara yang gagah. Dan negara yang gagah akan menjadi sebuah tamadun yang boleh dibanggakan generasi demi generasi.

Wallahu'alam.

November 25, 2005

Resipi Kasih Sayang

Warna ikatan yang putih
bercahaya dengan kerlipan kasih
bersinar dengan cahaya jernih
dari hati dan nurani
yang berhamparan sejati

Keserasian yang tumbuh
adalah dari keserasian yang utuh
menyuluh peribadi yang murni
menuras jejak yang suci
tidak terperi

Ketenteraman di dasar perasaan
hasil tumpahan pengertian
yang ranum pada jiwa
membuahkan bunga-bunga
bahagia
di dahan waja

Lumrah kejadian mengintai
keharmonian
resipi kasih sayang
sepanjang diri menitip ikatan
untuk kesejahteraan
hingga ke puncak pengabadian


[Sajak Hasil Nukilan: Nazira Mohd Noor, Kuala Terengganu]

November 24, 2005

Makan Lebih Salmon

Tahukah anda bahawa risiko strok di kalangan lelaki boleh diturunkan sehingga 43% hanya dengan memakan ikan 1 - 3 kali sebulan.

Itulah yang dibuktikan hasil kajian yang dilakukan secara berterusan selama 12 bulan melibatkan 4300 orang.

Dikatakan bahawa 80% serangan strok di Amerika Syarikat disebabkan oleh gangguan iskemik (ischemic) iaitu pengumpulan darah yang menyekat aliran darah kaya oksigen ke otak.

Perkara ini dapat dicegah dengan mengambil ikan yang kaya asid lemak omega-3 secara kerap, khususnya ikan laut dalam seperti salmon.

Wallahu'alam.

November 23, 2005

5 Cara Tingkatkan Kesuburan Lelaki

1. Sarungkan seluar longgar
  • Untuk menjaga testis tetap sejuk dan kualiti sperma sihat, jangan terlalu kerap memakai seluar ketat / jeans.
  • Menurut pakar kesuburan, memakai seluar lebih longgar akan membantu menjaga testis tetap sejuk sehingga mampu meningkatkan pengeluaran sperma.

2. Banyakkan pengambilan zink

  • Zink adalah zat yang boleh mengaktifkan sperma.
  • Antara makanan yang kaya zink ialah makanan laut. daging merah, semua biji-bijian dan kekacang, termasuk juga produk kering seperti keju.
  • Namun begitu, pengambilan zink tidak harus lebih dari 30mg setiap hari.

3. Berhenti merokok

  • Merokok merosakkan membran sperma dan mempengaruhi kemampuan sperma untuk mencapai sel telur.

4. Minum air putih

  • Minum 1.5 - 2 liter air mineral sehari penting untuk menjaga kesihatan tubuh.
  • Minum kafein terlalu banyak seperti kopi boleh menurunkan pengeluaran sperma.

5. Cuci buah sebelum dimakan

  • Racun serangga yang biasanya melekat pada sayur-sayuran dan buah-buahan yang dimakan, mempengaruhi tingkat kesuburan.
  • Untuk membatasi risiko, pakar kesuburan menyarankan lelaki untuk mencuci sayuran dan buah-buahan sebelum memakannya atau bertukar ke makanan organik.

Wallahu'alam.

November 21, 2005

Bantu Mangsa Tercekik

[1] Suruh mangsa batuk beberapa kali untuk keluarkan benda yang tersengkang di tekaknya.

[2] Bongkokkan badan mangsa ke depan dan tepuk badannya 5 kali.

[3] Jika mangsa masih tercekik, berdiri di belakang mangsa. Letakkan tangan anda di bahagian ulu hati mangsa (seperti memeluk dari belakang) dan tarik tangan anda ke atas. Ulang 5 kali.

[4] Ulang semua langkah sehingga objek dapat dikeluarkan.

Jika keadaan masih tidak berubah, segera hubungi ambulans. Mangsa perlu mendapatkan rawatan segera kerana kedudukan objek mungkin telah menghalangnya daripada keluar.

Wallahu'alam.

November 17, 2005

Kentang Goreng

Makan Kentang Goreng Berisiko Barah Payudara

Menurut penyelidik Amerika Syarikat, kanak-kanak yang sering makan kentang goreng menghadapi risiko menghidap barah payudara apabila besar.

Satu hidangan kentang goreng seminggu ketika usia 3 - 5 tahun meningkatkan 27% risiko menghidap barah payudara apabila dewasa kelak.

Penyelidik mendapat banyak bukti bahawa amalan pemakanan sewaktu kecil memainkan peranan membentuk penyakit di kalangan wanita apabila mereka dewasa.

Wallahu'alam.

November 15, 2005

Pengharum Udara

Hati-hati Gunakan Pengharum Udara

Menurut sebuah kajian, pengharum udara atau produk aerosol yang digunakan di rumah boleh menyebabkan diarea dan sakit telinga pada anak dan depresi bagi ibu.

Maklumat dari kajian Children of The 90's di Universiti Bristol menunjukkan bahawa pengharum udara bertanggungjawab meninggikan 'volatile organic compounds' (VOC) di rumah.

Penggunaan sehari-hari seperti deodoran dan penyembur rambut boleh meningkatkan risiko diarea sehingga 30% pada bayi, sakit kepala 10% dan 16% depresi pada ibu.

Adalah lebih baik jika anda hadkan penggunaan produk-produk ini di rumah.

Wallahu'alam.

November 11, 2005

Surah Al-Hasyr

Surah Al-Hasyr yang diturunkan di Madinah ini merupakan Surah yang ke 59 dalam Al-Quran, mengandungi 24 ayat.

Di antara kandungannya ialah menceritakan pengusiran puak kaum Yahudi dari Madinah disebabkan mereka mengkhianati Nabi Muhammad SAW dan umat Islam. Mereka ditimpa azab demikian kerana menentang perintah Allah dan Rasul-Nya.

Selanjutnya diterangkan juga perihal orang-orang Islam di Madinah (Muhajirin dan Ansar) dengan sifat-sifat mereka yang mulia dan terpuji.

Di antara fadhilat terpenting bagi mereka yang mengamalkan membacanya ada disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Daripada Fadhil Umu Yassar Al-Muzani berkata, Nabi SAW bersabda :

"Sesiapa ketika bangun Subuh membaca " A'uzubillahi-minash-shaitaanir-rajim ", diikuti membaca 3 ayat akhir Surah Al-Hasyr, maka Allah SWT mewakilkan 70 malaikat berselawat atasnya hingga ke petang, dan jika dia meninggal dunia pada hari itu, dikira mati syahid." [HR At-Tarmizi]

Wallahu'alam.

November 09, 2005

Surah At-Taariq

Surah At-Taariq (bererti bintang yang menembus sinaran cahayanya) mengandungi 17 ayat. Ia dinamakan At-Taariq kerana Allah Taala bersumpah dengan langit dan bintang yang demikian sifatnya bahawa tiada suatu diri jua pun melainkan ada malaikat yang menjaga dan mencatat segala amalan baik buruknya.

Oleh sebab itu, setiap orang Islam hendaklah sentiasa beringat dan mengawasinya. Dengan demikian kita akan sentiasa terdorong untuk mengerjakan segala suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Hadis Rasulullah SAW ada menerangkan fadhilat dan faedah mengamalkan membaca surah ini sebagaimana juga Surah An-Nabaa'.

Fadhilat dan faedahnya ialah:

a. Mendapat pahala yang amat besar.
b. Mendapat keampunan dosa kecuali dosa syirik.

Memandangkan fadhilat dan faedahnya yang besar itu, adalah disarankan agar umat Islam sentiasa mengamalkan membaca surah ini sebaik-baiknya setiap hari.

Wallahu'alam.

November 07, 2005

Doa Yang Berterusan

Ibu bapa hendaklah mendoakan anak-anak mereka setiap masa terutamanya selepas setiap waktu solat secara berterusan.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: "Ketahuilah hanya dengan mengingat Allah, hati akan menjadi tenang". [Surah Ar-Ra'du: 28]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu adalah senjata bagi orang beriman, tiang agama, cahaya langit dan bumi". [Riwayat Abu Ya'la dan Hakim]

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Doa adalah otak ibadah". [Riwayat Bukhari]

Orang yang tidak suka berdoa seperti badan yang tidak berkepala atau kepala yang tidak berotak.

Pelbagai bangsa dan agama mempunyai cara yang berlainan untuk berdoa. Satu perkara yang sama ialah semua manusia berdoa dengan bersungguh-sungguh dan membayangkan di dalam minda mereka apa yang mereka minta. Proses ini dinamakan Visualization.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa Tuhan akan mengabulkan doa tersebut, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya mereka berjaya memperolehi seperti yang mereka minta. Maka, terkabullah doa mereka.

Doakan anak-anak dengan segala aspek yang positif. Tetapi adakalanya kita lupa atau terlepas pandang bahawa apa yang difikir dan dituturkan oleh ibu bapa merupakan doa yang amat mustajab.

Oleh itu, demi melihat anak-anak kita mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, sematkan pada fikiran kita bahawa anak-anak kita memang cemerlang.

Kaedah ini bersesuaian denga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah beserta dengan apa yang kamu sangka".

Fikirlah bahawa anak-anak kita adalah anak yang terbaik yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Selalulah sebut kepada anak-anak: "Kamu adalah anak abah yang baik, yang hebat, pandai, bertanggungjawab dan yang cemerlang".

Ulangilah ucapan seperti ini kerana apabila ianya diulang, ia akan menjadi doa yang sangat mustajab.

Metadologi Berdoa
  • Gambarkan apa yang diminta
  • Tumpukan pandangan mata
  • Rapatkan jari dan tangan

Waktu Yang Mustajab Berdoa

  • Sepertiga malam yang akhir [mulai jam 2 pagi]
  • Pada malam Jumaat dan juga siangnya
  • Di antara azan dan iqamah
  • Setelah selesai solat 5 waktu
  • Di dalam bulan Ramadhan
  • Pada waktu berbuka puasa [puasa wajib & puasa sunat]
  • Pada malam Lailatul Qadar [10 malam akhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan]
  • Pada hari Arafah [9 - 10 Zulhijjah]

Syarat-Syarat Berdoa

  • Memuji Allah SWT di awal doa
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan para sahabat Baginda
  • Dilakukan dengan ikhlas
  • Tidak terburu-buru
  • Berdoa untuk kebaikan sahaja. Jangan berdoa untuk keburukan atau kejahatan.
  • Keluar dari lubuk hati yang dalam
  • Makan minum hendaklah halal

Adab-Adab Berdoa

  • Sebelum membaca doa, hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT di atas dosa-dosa yang lalu.
  • Mulakan dengan membaca Basmalah.
  • Membaca Hamdalah iaitu memuji kepada Allah SWT.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan sahabat Baginda.
  • Diulang doa 3 kali terutama pada bahagian yang penting.
  • Panjatkan doa dengan hati yang khusyuk, rendah diri dan bersungguh-sungguh.
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan dan rapatkan di antara satu sama lain.
  • Akhiri doa dengan Hamdalah dan Selawat sebagaimana permulaan.
  • Merendahkan suara.

Doa Yang Tidak Ditolak

  • Doa orang yang teraniaya walaupun orang kafir
  • Doa orang yang di dalam keadaan terdesak kerana kesungguhannya berdoa.
  • Doa pemimpin dan penguasa yang adil yang tidak mementingkan diri sendiri.
  • Doa ibu bapa terhadap anaknya.
  • Doa anak soleh terhadap ibu bapanya.
  • Doa orang yang berjasa terhadap masyarakat.
  • Doa orang yang menghubungkan tali silaturrahim.
  • Doa orang yang bertaubat.

Wallahu'alam.

November 04, 2005

Rangsang Kecerdasan Minda

Ibu bapa hendaklah sentiasa berusaha merangsang minda dan pemikiran anak-anak. Allah SWT menjadikan semua anak kita dengan anugerah tertinggi iaitu otak dan akal yang sama dan setara bagi semua manusia.

Kaedah untuk merangsang minda anak-anak ini amat penting kerana ianya akan mendatangkan kesan-kesan positif kepada anak-anak kita nanti.


Kaedah Merangsang Kecerdasan Minda Anak-Anak

1. Dedahkan anak-anak dengan input yang pelbagai.

2. Tanamkan motivasi yang tinggi dalam diri anak-anak.

3. Beri didikan agama yang intensif dan lengkap. Telah terbukti bahawa anak-anak di peringkat sekolah rendah yang berusia sekitar 7 - 10 tahun yang mempunyai pencapaian yang cemerlang, mampu untuk menghafal Al-Quran sebanyak 1 juzuk dalam masa 1 - 2 bulan di samping kerja harian seperti pelajar lain.

4. Gambarkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

5. Beri tugasan yang mencabar.

6. Beri contoh teladan yang mudah diikuti atau dicapai oleh anak-anak.

7. Jangan terlalu menyuapkan bahan-bahan ke minda anak-anak. Galakkan mereka mencari sendiri.

8. Ibu bapa perlu menceritakan pengalaman positif mereka yang lalu untuk dicontohi.

9. Apabila berbual dengan anak-anak, tinggalkan persoalan untuk anak-anak mencari sendiri jawapannya.

10. Selalu gambarkan perkara abstrak yang mungkin menjadi cita-cita atau wawasan bersama keluarga pada masa akan datang.

11. Agihkan sebahagian daripada tugas ibu bapa yang mudah-mudah kepada anak-anak.

12. Rangsang anak-anak dengan teknik berfikir, teknik belajar dan teknik bersoal-jawab dengan betul.


Merangsang Minda Dari Segi Fizikal
  • Pastikan anak-anak diberi pemakanan yang seimbang, berzat dan berkhasiat. Realitinya, orang kita kurang memberi penekanan terhadap pemakanan yang sebenarnya.
  • Beri kemudahan untuk anak-anak mendapat makanan tambahan (food supplement) seperti vitamin, kismis, susu, buah tamar, air kacang soya dan sebagainya,
  • Pastikan anak-anak diberi makanan yang bersih, halal dan tidak syubhat dari segi penyediaan dan juga dari segi sumber pendapatan ibu bapa.
  • Pastikan anak-anak mendapat riadah ringan setiap hari. Riadah yang cergas akan menyebabkan darah mengalir dengan efisyen ke otak. Darah akan membawa oksigen yang sangat diperlukan oleh otak untuk menghasilkan minda yang cemerlang.

Makanan Tambahan Untuk Merangsang Minda Anak-Anak
  • Vitamin
  • Kismis
  • Susu
  • Air Kacang Soya
  • Kurma
Wallahu'alam.

November 02, 2005

Berdialog

Ibu bapa hendaklah memberi peluang kepada anak-anak untuk berdialog dengan mereka.

Ibu bapa hendaklah menjawab apa yang ditanya sebaik mungkin. Jangan memotong percakapan anak-anak sebelum mereka habis menyuarakannya.

Sesi dialog lazimnya melibatkan dua orang. Jika lebih ramai terlibat, maka majlis bertukar menjadi sesi muzakarah atau perbincangan.

Bagaimanapun, untuk menghidupkan sesi dialog ini perlulah dengan cara yang berhikmah dan penuh kasih sayang. Kaedah ini merupakan kaedah yang amat penting untuk merangsang anak-anak kita yang sememangnya cemerlang.

Kepentingan Ibu Bapa Berdialog Bersama Anak-Anak
  • Anak-anak ada hak untuk memberi pendapat atau pandangan di dalam sesuatu hal.
  • Anak-anak boleh bertanya apa-apa yang mereka musykilkan.
  • Anak-anak boleh menjawab apa yang ditanya oleh ibu bapa jika diminta menjawab.
  • Anak-anak boleh menyuarakan hasrat atau kehendaknya.
  • Anak-anak dapat meluahkan masalahnya.
Tujuan Berdialog Dengan Anak-Anak
  • Untuk mencari atau menjelaskan kebenaran.
  • Untuk menggerakkan minda anak-anak.
  • Menggerakkan kemahiran berfikir di kalangan anak-anak.
  • Untuk anak-anak mendapat maklumat.
  • Mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak.
  • Menimbulkan keyakinan diri anak-anak.
  • Melatih anak-anak cekap berhujah.
Adab-Adab Berdialog Dengan Anak-Anak
  • Kedua-dua pihak tidak boleh meninggikan suara.
  • Jangan keluar dari tajuk perbahasan/perbincangan.
  • Jangan sindir-menyindir di antara kedua-dua belah pihak.
  • Ibu bapa jangan menunjuk jari ke muka, menunjukkan simbol pergaduhan seperti genggaman penumbuk atau mengenakan tindakan fizikal atau deraan seperti memukul, mencubit dan sebagainya.
  • Hadkan masa, jangan meleret-leret.
Jika adab-adab di atas tidak dapat kedua-dua belah patuhi, maka jangan mulakan sesi dialog langsung.
Wallahu'alam.