February 28, 2006

Children Learn What They Live

If children live with criticism
The learn to condemn

If children live with hostility
They learn to fight

If children live with ridicule
They learn to be shy

If children live with shame
They learn to feel guilty

If children live with tolerance
They learn to be patient

If children live with encouragement
They learn confidence

If children live with praise
They learn to appreciate

If children live with fairness
They learn justice

If children live with security
They learn to have faith

If children live with approval
They learn to like themselves

If children live with acceptance and friendship
They learn to find love in the world


[A nice poem by: Dorothy Law Nolte]

February 24, 2006

Amiin (Ya Allah, Perkenankanlah Doa Kami)

Antara kelebihan umat Nabi Muhammad SAW ialah ucapan AMIN, yang bermaksud, Ya Allah perkenankanlah doa kami.

Keistimewaan ini adalah antara beberapa keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW yang menimbulkan rasa hasad kepada orang Yahudi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Perkara yang menjadikan Yahudi berasa dengki kepada kamu ialah kerana kamu dikurniakan ucapan salam dan Ta’min (Amin).” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, ertinya:

“Orang Yahudi berasa dengki kerana kita dikurniakan solat Jumaat oleh Allah SWT kerana kita telah diberi petunjuk, sedang mereka telah sesat dengannya. Allah SWT telah menentukan Qiblat yang menjadi petunjuk kepada kita dan mereka sesat dengannya dan kerana ucapan Amin kita di belakang imam.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, ertinya:

“Sesungguhnya orang Yahudi jemu terhadap agama mereka dan mereka bersifat dengki, mereka hasad kepada muslimin kerana tiga keistimewaan iaitu jawapan salam, solat jemaah bersaf dan ucapan Amin di belakang imam ketika solat fardhu.” (Riwayat Al-Thabrani)

Rasulullah SAW berbangga dengan beberapa pemberian Allah SWT.

Hal ini dijelaskan oleh hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memberi kepadaku tiga perkara: Allah SWT memberi aku solat bersaf, Al-Tahiyat; sesungguhnya tahiyat adalah ucapan ahli syurga; kemudian mengurniakan ucapan Ta’min (Amin). Allah SWT tidak pernah mengurniakan kepada seorang Nabi pun sebelumku (ucapan Amin) kecuali kepada Nabi Harun, iaitu ketika Nabi Musa berdoa lalu Nabi Harun mengaminkannya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Ucapan Amin adalah satu pintu daripada pintu keampunan.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:

"Apabila imam berkata (غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين) maka hendaklah kamu kata Amin. Sesungguhnya orang yang beriringan ucapan Aminnya dengan Amin malaikat, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Keampunan tersebut termasuklah untuk semua jemaah masjid kerana An-Nasa’i meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang bermaksud:

“Maka sesungguhnya siapa yang berkebetulan ucapannya (ucapan Amin) dengan ucapan (Amin) malaikat akan diampunkan dosa orang berada di dalam masjid.” (Riwayat An-Nasa’i)

Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa siapa yang berkata AMIN akan diperkenankan oleh Allah doanya dengan katanya, “Hendaklah kamu kata Amin nescaya Allah SWT mengkabulkan.”

Hadis menjelaskan yang bermaksud:

“Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada suatu malam lalu kami menemui seorang lelaki merayu-rayu dalam doanya dan Rasulullah SAW berhenti untuk mendengarnya."

Rasulullah SAW bersabda, “Doanya pasti akan dikabulkan jika dikhatamkan.”

Lantas seorang lelaki bertanya, “Dengan apakah ia perlu dikhatamkan?”

Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Dengan lafaz Amin. Sekiranya dia berbuat demikian doanya pasti akan dimakbulkan."

Selepas itu orang yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu pun berlalu.

Kemudian Rasulullah SAW menemui lelaki yang berdoa itu seraya berkata:

“Tamatkanlah doa kamu dengan Amin dan bergembiralah kamu (dikabulkan).”

(Riwayat Abu Dawud)


Orang mukmin itu bersama dengan saudaranya yang mukmin dalam berdoa dengan memohon dan mengharap diperkenankan Allah SWT.

Hal ini dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud:

“Apabila para pembesar yang berhimpun lalu sebahagian mereka berdoa sedang sebahagian yang lain mengaminkan nescaya doa itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.” (Riwayat Al-Hakim)

Oleh itu sesiapa yang tidak mengucap amin, maka ia tidak memperolehi apa-apa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bandingan orang yang tidak mengucap Amin seperti seorang yang akan diundi samada ia turut berperang dengan kaumnya atau tidak. Kemudian ia tidak terpilih lalu ia bertanya, kenapa anak panahku tidak terpilih? Begitulah perumpamaannya bagi orang yang tidak menyebut Amin." (Riwayat Abu Yakli)

Hadis tersebut di atas menyatakan perbandingan orang yang tidak menyebut Amin bersama Imam kerana lupa dan lalai memberi perhatian kepada bacaan imam; mereka serupa dengan tentera yang berperang serta dapat harta rampasan.

Kemudian mereka berkumpul untuk membahagikan harta rampasan dan membahagikan hadiah, tetapi seorang daripada mereka tidak memperolehi sesuatu. Ia rugi kerana tidak mendapat sesuatu daripada harta rampasan itu lalu dia bertanya kepada ketua tentera, kenapa aku tidak memperolehi bahagianku?

Jawab ketua tentera, sebab awak tidak mengucapkan bersama orang yang berkata Amin.

Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Oleh itu Rasulullah SAW menyuruh kita memperbanyakkan mengucap Amin dengan sabdanya, “Banyakkanlah berkata Amin.”

Wallahu a'lam.

[Copyright Controlled]

February 22, 2006

Kita Yang Terlalai

*** Got this from e-mail ***

Sedikit renungan dicelah kesibukan kita setiap hari.

Semoga ia menjadi peringatan buat kita semua (yang sering alpa dan terlalai) untuk mendapat keredhaan-Nya.

Juga moga kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya dan berbahagia di dunia dan juga di akhirat, insya-Allah (amiin).
*********************************************
Dalam suatu pertemuan iblis, syaitan dan jin dikatakan:

"Kita tidak dapat melarang kaum muslim ke Masjid"

"Kita tidak dapat melarang mereka membaca Al-Qur'an dan mencari kebenaran"

"Bahkan kita tidak dapat melarang mereka mendekatkan diri dengan Tuhan mereka Allah SWT dan Pembawa risalah-Nya Muhammad SAW"

"Pada saat mereka melakukan hubungan dengan Allah SWT, maka kekuatan kita akan lumpuh."

"Oleh sebab itu, biarkanlah mereka pergi ke Masjid."

"Biarkan mereka tetap melakukan kesukaan mereka, TETAPI CURI WAKTU MEREKA sehingga mereka tidak lagi punya waktu untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT."

"Inilah yang akan kita lakukan," kata iblis.

"Alihkan perhatian mereka dari usaha meningkatkan kedekatannya kepada Allah SWT dan awasi terus kegiatannya sepanjang hari!"

"Bagaimana kami melakukannya?" tanya para hadirin iaitu iblis, syaitan dan jin.

"Sibukkan mereka dengan hal-hal yang tidak penting dalam kehidupan mereka, dan ciptakan tipudaya untuk menyibukkan fikiran mereka."

Jawab sang iblis "Rayu mereka agar suka BELANJA, BELANJA DAN BELANJA SERTA BERHUTANG, BERHUTANG DAN BERHUTANG."

"Pujuk para isteri untuk bekerja di luar rumah sepanjang hari dan para suami bekerja 6 sampai 7 hari dalam seminggu, 10 - 12 jam seminggu sehingga mereka merasa bahawa hidup ini sangat kosong."

"Jangan biarkan mereka menghabiskan waktu bersama anak-anak mereka."

"Jika keluarga mereka mulai tidak harmoni, maka mereka akan merasa bahwa rumah bukanlah tempat mereka melepaskan lelah bila pulang dari bekerja."

"Dorong terus cara berfikir seperti itu sehingga mereka tidak merasa adanya ketenangan di rumah."

"Hasut mereka untuk membunyikan radio atau kaset selama mereka berkenderaan."

"Dorong mereka untuk menonton TV, VCD, CD dan PC di rumah sepanjang hari."

"Bunyikan muzik terus menerus di semua restoran maupun pusat membeli-belah di dunia ini."

"Hal ini akan mempengaruhi fikiran mereka dan merosak hubungan mereka dengan Allah SWT dan Rasul-Nya."

"Penuhi meja-meja rumah mereka dengan majalah-majalah dan tabloid."

"Sajikan mereka dengan berbagai berita dan gosip selama 24 jam sehari."

"Serang mereka dengan berbagai iklan-iklan di jalanan."

"Banjiri kotak surat mereka dengan informasi tak berguna, katalog-katalog, undian-undian, tawaran-tawaran dari berbagai macam iklan."

"Muatkan gambaran wanita yang cantik itu adalah yang berbadan langsing dan berkulit mulus di majalah dan TV untuk menggoda para suami hingga mereka terfikir bahwa PENAMPILAN itu menjadi unsur terpenting; sehingga membuat para suami tidak tertarik lagi pada isteri-isteri mereka."

"Buatlah para isteri menjadi sangat letih pada malam hari, buatlah mereka sering sakit kepala."

"Jika para isteri tidak memberikan cinta yang diinginkan sang suami, maka sang suami akan mulai mencari hiburan di luar."

"Hal inilah yang akan mempercepatkan retaknya sesebuah keluarga."

"Terbitkan buku-buku cerita untuk mengalihkan kesempatan mereka untuk mengajarkan anak-anak mereka akan makna dan kepentingan bersolat."

"Sibukkan mereka sehingga tidak lagi punya waktu untuk mengkaji bagaimana Allah SWT menciptakan alam semesta."

"Arahkan mereka ke tempat-tempat hiburan, fitness, konsert2, panggung2 wayang dan pusat2 yang melekakan."

"Buatlah mereka menjadi SIBUK, SIBUK DAN SIBUK."

"Perhatikan jika mereka berjumpa dengan orang soleh, bisikkan gosip-gosip dan percakapan tidak berfaedah sehingga percakapan mereka tidak mendatangkan apa-apa pahala sebaliknya berbuat dosa semata-mata."

"Isi kehidupan mereka dengan keindahan-keindahan semua yang akan membuat mereka tidak punya waktu untuk mengkaji kebesaran Allah SWT."

"Dan dengan segera mereka akan merasa bahwa rezeki, kebaikan/kesihatan keluarga adalah merupakan hasil usahanya yang kuat (bukan atas izin Allah SWT)."

"PASTI BERHASIL, PASTI BERHASIL."

"RENCANA YANG BAGUS."

Iblis, syaitan dan jin kemudian pergi dengan penuh semangat melakukan tugas MEMBUAT MUSLIM MENJADI LEBIH SIBUK, LEBIH KELAM KABUT DAN SENTIASA HURU-HARA.

Dan hanya ada sedikit waktu saja untuk beribadat kepada Allah Maha Pencipta.

Tidak lagi punya waktu untuk bersilaturrahim dan saling mengingatkan akan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Sekarang pertanyaan saya adalah, "APAKAH RENCANA IBLIS INI AKAN BERHASIL???"

"KITALAH YANG MENENTUKAN !!!"


Wallahu a'lam.

(Copyright Controlled)

February 20, 2006

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah SWT akan menjadikan rumah itu bahagia." [Riwayat Bukhari]

Rumahku Syurgaku merupakan konsep rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar; yang boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang. Malah hormat menghormati serta penuh dengan pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.

Malah terdapat beberapa tempat yang jika dilakukan ibadah di dalamnya akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain. Tempat berkenaan termasuklah melakukan solat di Masjidil Haram yang setara dengan 100,000 solat di tempat lain.

Begitu juga solat di Masjid Nabawi yang setara dengan 1,000 solat di tempat lain dan solat di Masjid Al-Aqsa yang menyamai dengan 500 solat di tempat lain.

Solat yang paling utama dilakukan di masjid adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.

Kesempatan berada di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangunkan masyarakat Muslim.

Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabungan isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Jadikanlah kediaman kita sebagai syurga kerana di sana banyak keberkatannya.

Wallahu'alam.

(Copyright Controlled)

February 16, 2006

Nilai Sekeping Hati

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan hartamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalmu." [Riwayat Muslim]

Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada.

Bagaimanapun Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.

Katanya, "Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kekotoran batin dan maksiat, padahal Allah SWT hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam Surah Asy-Syams, ayat 7 hingga 10."

Hati diibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua kegiatan.

Jika hati baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu. Jika sebaliknya, maka buruklah peribadi seseorang itu.

Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah SWT yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.

(Copyright Controlled)

Wallahu'alam.

February 13, 2006

Tuntut Ilmu Satu Kewajipan

~::~ Posting kali ini dedikasi khas buat adik-adik blogger iaitu Aini, Aida, Yati, Hany, Zilla, Iena, Ieka, Annnum dan yang seperjuangan dengannya. Moga-moga tazkirah ini dapat menjadi pendorong dan peniup semangat buat kalian meneruskan perjuangan menuntut ilmu demi mencari keredhaan Allah SWT, insya-Allah, aminn ~::~

Ilmu pengetahuan adalah punca kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa. Disebabkan itu, umat Islam digalakkan supaya berlumba-lumba dengan bangsa lain bagi menuntut ilmu untuk kemajuan dan kebaikan masa depan. Ini kerana hanya dengan ilmu pengetahuan dapat menjamin kemajuan dan ketinggian umat Islam.

Umat maju dan tinggi taraf hidupnya kerana mereka dapat menguasai ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Umat mundur kerana jahil dan tidak berilmu pengetahuan. Demikianlah perbandingan yang ketara antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.

Dalam sebuah hadis, Abi Darda' berkata; "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntut ilmu dalamnya pengetahuan, Allah SWT membuka baginya satu jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat menghentikan sayapnya tanda hormat kepada penuntut ilmu pengetahuan dan sesungguhnya seorang alim memohon baginya siapa yang ada di langit dan siapa yang ada di bumi hingga ikan di air. Dan keutamaan seorang alim ke atas orang biasa umpama keutamaan bulan ke atas cakerawala yang lain. Sesungguhnya ulama adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak meninggalkan wang ringgit, bahkan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Maka sesiapa yang mengambilnya, mendapat keuntungan yang banyak." [Riwayat Abu Daud dan Tarmizi]

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah SWT mengangkat darjat (kedudukan) mereka yang beriman daripada kamu dan mereka yang menuntut ilmu pengetahuan." [Surah Al-Mujadalah: 11)

Demikianlah pentingnya menuntut ilmu dan bergunanya pada orang Islam sehingga ia diletakkan pada taraf wajib.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik, katanya; Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Dan orang yang meletakkan ilmu bukan pada tempatnya adalah seperti orang yang menghias babi-babi dengan permata dan mutiara dan emas." [Riwayat Ibn Majah & lainnya]

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.

February 09, 2006

Hati Yang Selalu Muda

Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai 2 perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda." [Riwayat Muslim]

Kehidupan akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain, apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat walaupun dalam usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'.

Ingatlah bahawa manusia selalu diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tibanya 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.

Jika kita percaya akan kedatangan hari Kiamat dan kematian itu pasti tiba bila-bila masa, maka kita tidak akan menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Detik yang kita miliki hanyalah sekarang! Oleh itu, jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang teguh kepada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.

February 06, 2006

Bersyukurlah

Dari Abdullah bin Amru bin 'Ash, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sungguh amat beruntunglah orang yang Islam (berserah diri) dan merasa cukup dengan apa yang direzekikan Allah SWT serta berpada dengan apa yang diberikan-Nya." [Riwayat Muslim]

Rasulullah SAW menasihatkan agar kita selalu melihat kepada orang yang berada di bawah. Usah melihat kepada orang yang di atas (lebih bernasib baik) kerana yang demikian itu akan membuatkan kita tidak bersyukur.

Sebaliknya dengan melihat orang yang berada di bawah (kurang bernasib baik), kita akan lebih merasai nikmat yang diberikan Allah SWT dan bersyukur dengan pemberian-Nya.

Namun sukar dinafikan, bahawa itulah masalah manusia. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik, sentiasa mahukan yang lebih banyak.

Bukan bermakna kita tidak boleh mengejar yang lebih baik apatah lagi kerana rezeki itu hak dan kepunyaan Allah SWT. Maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada keizinan daripada-Nya.

Yang lebih utama, bersyukurlah dengan apa yang ada. Jika belum kesampaian, maka berusahalah. Tetapi jangan sampai menyanggah syariat.

Jika sudah dapat apa yang dihajati, maka bersyukurlah kerana Allah SWT mengganjarkan usaha anda itu dengan kebaikan.

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.


February 02, 2006

Istiqamah Penggerak Kejayaan

Dalam suatu hadis menceritakan, seorang lelaki datang bertanyakan Rasulullah SAW:

"Wahai Rasulullah! Beritahulah kepadaku tentang satu pegangan hidup dalam Islam yang tidak perlu lagi aku ajukan soalan lain."

Baginda menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:

"Katakanlah! Aku beriman kepada Allah SWT, kemudian tetap teguhlah (beristiqamahlah) pada pendirian itu." [Riwayat Muslim]

Istiqamah bermaksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah juapun.

Walau apapun yang terjadi dan kemungkinan yang bakal dihadapi, pendirian tetap dipertahankan walaupun jasad dan nyawanya akan menjadi bahan taruhan.

Yang nyata, iman merupakan penggerak utama dalam kehidupan individu Muslim. Jika iman yang bertapak di sudut jiwanya kukuh dan mantap, maka dia adalah seorang yang benar-benar beristiqamah dalam kehidupannya.

Sebaliknya jika imannya tipis, maka dia mudah terpedaya oleh godaan dan pesona dunia yang menghimpit hidupnya. Akhirnya, dia tidak memiliki pendirian yang tetap dan akan jatuh tersungkur daripada landasan yang lurus.

Beristiqamahlah agar segala apa jua yang dicita-citakan akan menemui matlamatnya, insya-Allah.

(Copyright Controlled)

Wallahu'alam.