April 28, 2006

Tip Memilih Rumah

Sekiranya berpeluang untuk memiliki unit rumah yang hendak dibeli, mungkin anda perlu mengambil kira beberapa faktor luaran dan dalaman bagi membolehkan kita membuat pilihan yang tepat.

Perkara yang perlu diambil kira antaranya ialah :

1. Kedudukan bilik-bilik di bahagian dalam rumah tidak terdedah kepada penglihatan orang yang lalu-lalang di luar terutama sekali tingkap bilik dan dapur.

2. Usahakan sedapat mungkin agar mendapat jiran yang menenteramkan, sebagaimana sepotong kata-kata hikmah yang masyhur di kalangan kita :

"Lihatlah dulu siapakah yang bakal menjadi jiran sebelum memilih rumah".

Wallahu a'lam.

April 26, 2006

Bercerita kisah al-Quran bantu bentuk watak anak

[Oleh Rosnah Ahmad]

SETIAP kali sebelum tidur terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah dari al-Quran, cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan kesusahan hidup emak ketika penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kami adik beradik tidak jemu-jemu mendengarnya walaupun berkali-kali ceritanya diulang. Inilah kegiatan yang kami sukai pada musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Saat itu mendamaikan jiwa dan masih menenangkan perasaan saya apabila mengenangkan kembali nostalgia itu.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak saya yang berusia lapan, tujuh dan satu tahun. Mata mereka akan bersinar kegembiraan dan kadang-kadang dahi berkerut kerana cuba memahami apa yang diceritakan.

Soalan mereka banyak sekali. Adik kecil yang baru berusia setahun juga seperti mengerti dan sesekali cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi yang belum difahami. Sangat susah untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak banyak sekali. Ia kadang-kadang agak meletihkan, tetapi kegembiraan anak dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka selepas selesai bercerita cukup menghiburkan.

Kanak-kanak dan cerita bagaikan tidak boleh dipisahkan. Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita dapat membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi, meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa serta memberikan pelajaran budi pekerti dan nilai murni melalui peristiwa yang diungkap dalamnya. Ramai ibu bapa merungut apabila anak seperti tidak mengendahkan kata-kata apabila cuba memberi nasihat atau mendisiplinkan mereka dengan akhlak mulia.

Mereka kadang kala tidak menurut kata ibu bapa bukan kerana degil tetapi tidak faham nasihat atau arahan yang diberikan. Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa kerana perbuatan ini dimurkai Allah dan berdosa. Perkataan menderhaka mungkin biasa bagi kita, tetapi ia adalah baru dan susah untuk mereka fahami.

Cara paling berkesan menerangkan maksud menderhaka adalah dengan bercerita. Contohnya, kisah Si Tanggang yang derhaka kepada ibunya. Anak akan lebih mudah memahami sesuatu perkataan apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita yang disampai atau dibacakan kepada mereka.

Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Contohnya, apabila menunggu kehadiran adik baru dalam keluarga, anak biasanya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu. Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita mengenai adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain di fikiran mereka. Ini dapat menolong meyakin dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita banyak diambil alih oleh cikgu sekolah, tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apa pun ibu bapa harus memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak. Bercerita adalah aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang.

Secara tidak langsung anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Ada juga ibu bapa yang merasakan apabila anak pandai membaca, kerja mereka semakin mudah kerana mereka mampu membaca sendiri cerita kegemaran masing-masing. Mereka tidak perlu lagi bercerita.

Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Kanak-kanak pada usia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa untuk menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan untuk memperjelaskan mesej sebenar di sebalik cerita yang dibaca.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita. Al-Quran mengandungi banyak kisah. Manusia memperoleh pelajaran berharga daripadanya. Keunggulan al-Quran terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya.

Kita diajak bercerita mengenai kisah nyata yang diceritakan Allah dalam al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:

"Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir". (Surah al-Araf, ayat 176)

Kisah Al-Quran sentiasa mengajar bahawa kebenaran akan melenyapkan kebatilan. Ini dapat memberi kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.

Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita mengenai kebaikan dan keindahan makhluk ciptaan Allah seperti haiwan, serangga dan tumbuh-tumbuhan sesuai dengan fitrah anak-anak yang sukakan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Kisah Rasulullah, nabi, sahabat dan pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat terpuji mereka.

Ibu bapa juga boleh mereka sendiri watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak. Anak-anak saya sudah mengenali watak Abu yang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti Abu balik kampung dan Abu dapat adik baru.

Cerita ini saya reka secara spontan ketika cuba menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini lebih berkesan kerana ego anak-anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding menasihati mereka secara terus.

Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan, termasuk bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan patung. Carilah cerita yang akan memberi manfaat dan mengandungi unsur humor yang dapat menarik perhatian anak-anak.

Apabila bercerita secara lisan, gunakan nada suara dan mimik muka yang sesuai supaya menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak. Jadikanlah bercerita satu aktiviti keluarga yang menarik dan disukai oleh mereka.

Wallahu a'lam.

[PENULIS adalah pengurus taman asuhan kanak-kanak dan boleh dihubungi melalui wanitajim0@yahoo.com]

April 24, 2006

11 Tips Mendidik Anak menjadi Soleh

[Oleh Puteri Nisa Abdullah to Relexjap]

Tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak bermula dari buaian hingga ke liang lahad. Di bawah ini disertakan 1-11 perkara yang perlu ibu bapa lakukan untuk menjadikan anak-anak soleh dan solehah. Adalah menjadi kewajipan ibu bapa membentuk keluarga Islam supaya menjadi role model kepada anak-anak apabila mereka dewasa kelak.

1. Cinta dan Taatkan Allah, Rasul, Al-Quran, Ibubapa, Keluarga Dan Negara

Ibu bapa bertanggungjawab sepenuhnya menyemai, mengasuh dan membimbing anak-anak supaya mencintai AllahSWT dan Rasul-Nya. Sifat cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya mestilah mengatasi cinta kepada makhluk yang lain.

Ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Seseorang muslim dijamin akan mendapat kemanisan iman sekiranya terdapat pada dirinya tiga perkara berikut. Hendaklah Allah SWT dan Rasul-Nya lebih ia cintai; Selain daripada keduanya, hendaklah ia tidak mencintai seseorang melainkan semata-mata kerana Allah dan hendaklah ia benci untuk menjadi kufur sebagaimana ia benci untuk dicampakkan ke dalam api neraka”. [Riwayat Bukhari & Muslim]

Imam At-Tabrani meriwayatkan dan Ali RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya : “Didiklah anak-anak kamu pada tiga perkara iaitu mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca Al-Quran. Sebab orang-orang yang memelihara Al-Quran itu berada di dalam lindungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain perlindungan-Nya beserta para Nabi-Nya dan orang-orang yang suci”. [Riwayat Ad-Dailami]

Di dalam buku Ihya ‘Ulumiddin Imam Al-Ghazali mewasiatkan supaya mengajar anak-anak Al-Quranul Karim, hadis-hadis Nabi, hikayat orang-orang alim dan beberapa hukum-hukum agama.

Maka apabila perasaan cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya telah tertanam di dalam jiwa anak-anak, ibu bapa mudah untuk mendidik dan menyuruh mereka mentaati segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya terutamanya cinta dan taatkan Al-Quran, ibu bapa, keluarga dan pemimpin negara.

2. Rukun Islam dan Iman

Ibu bapa perlu mendedahkan dan menerangkan kepada anak-anak tentang Rukun Islam dan Rukun Iman seterusnya menyuruh mereka menghafal dan mengamalkannya di dalam kehidupan mereka seharian kerana kedua-duanya merupakan asas sebagai seorang muslim dan mukmin sejati.

Rukun Islam mengandungi 5 perkara dan rukun Iman pula ada 6 perkara. Kedua-dua rukun ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW ketika menjawab pertanyaan Malaikat Jibrail AS :

Maksudnya : “Wahai Muhammad! Apakah dia Rukun Islam? Rasulullah SAW menjawab: Rukun Islam itu ialah hendaklah engkau mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan sembahyang, membayar zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan menunaikan Haji sekiranya mampu".

Jibrail AS berkata: "Benar jawapanmu".

Jibrail AS berkata lagi: "Maka terangkan pula kepadaku tentang apakah dia Rukun Iman?"

Rasulullah SAW menjawab: "Rukun Iman ialah hendaklah engkau beriman kepada Allah, MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulnya, hari akhirat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar Allah Taala”. [Riwayat Bukhari]

Anak-anak juga perlu diajar tentang asas-asas ilmu tauhid seperti sifat wajib mustahil dan harus bagi Allah dan bagi RasulNya, Nama-nama Allah, Syurga dan Neraka serta perkara-perkara yang boleh menjejaskan keimanan seseorang muslim dan juga hukum-hukum syarak. Ini supaya mereka terlatih untuk melakukan kebajikan dan menjauhi kejahatan rohani dan jasmani.

3. Menghafaz Ayat-Ayat Lazim

Al-Quran merupakan sebuah kitab yang menjadi pegangan dan rujukan kepada setiap orang Islam. Ia akan dipelihara oleh Allah SWT dari sebarang perubahan dan gangguan.

Begitu juga orang yang belajar, mengajar, membaca, menghafaz, menjaga, memelihara dan mengamalkan Al-Quran akan dijaga dan diberikan rahmat oleh Allah Taala. Maka ibu bapa perlu mengajar anak-anak membaca Al-Quran kerana ia adalah di antara hak dan tanggungjawab ibu bapa ke atas anaknya.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Israk ayat 82 :

Maksudnya : “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya”.

Ibu bapa juga perlu menyuruh mereka menghafaz surah-surah dan ayat-ayat lazim supaya lidah mereka fasih membaca Al-Quran, diberi rahmat, cahaya dan perlindungan serta dijaga daripada kejahatan zahir dan batin.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Hijr ayat 9 :

Maksudnya : “Sesungguhnya Kami (Allah Taala) telah menurunkan Al-Quran ini dan sesungguhnya Kami jugalah yang akan menjaganya”.

Rasulullah SAW bersabda :Maksudnya : “Al-Quran adalah pemberi syafaat dan kitab yang wajib diyakini (kebenarannya), barangsiapa yang menjadikan Al-Quran di hadapannya, Ia akan memandunya ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkan Al-Quran di belakangnya pula, Ia akan memandunya ke neraka”. [Riwayat Baihaqi]

Sabdanya lagi, Maksudnya : “ Sesungguhnya orang yang di dalam rongganya tidak melekat sesuatu ayat Al-Quran, maka ía laksana rumah yang runtuh”. [Riwayat Ahmad]

4. Menunaikan Perintah Allah SWT

Kanak-kanak pada usia ini hendaklah dilatih dan dibimbing oleh kedua ibu bapanya supaya menunaikan segala perintah Allah SWT terutamanya perintah-perintah yang wajib seperti solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menutup aurat, bercakap benar dan akhlak-akhlak yang terpuji.

Ini supaya mereka terbiasa dan dapat membentuk diri mereka ke arah keredhaan Allah SWT sehingga dewasa. Ibadah dan amalan ini akan menjadi benteng bagi mereka dari maksiat dan kemungkaran seterusnya meletakkan diri mereka sentiasa berada dalam pemeliharaan dan rahmat Allah SWT sepanjang masa.

Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 132:

Maksudnya : “Maka kendaklah kamu (ibu bapa) memerintahkan kepada ahli keluarga kamu supaya mendirikan solat dan bersabarlah dalam melakukannya (menyuruh melakukan solat tersebut)”.

FirmanNya lagi dalam Surah Al-Ankabut ayat 45:

Maksudnya : “Demi sesungguhnya solat itu akan mencegah pelakunya daripada perbuatan-perbuatan keji dan mungkar ".

Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Ajarkanlah anak-anak kamu mengerjakan solat jika mereka sudah berumur 7 tahun, dan pukullah (apabila tidak mahu solat) jika mereka sudah berumur 10 tahun”. [Riwayat Hakim]

Sabdanya lagi, Maksudnya : “Puasa itu adalah benteng (dari melakukan maksiat dan mungkar)”. [Riwayat An-Nasaei]

5. Meninggalkan Larangan Allah SWT

Setiap ketaatan yang diajar kepada anak-anak juga perlu diiringi dengan perintah supaya mereka meninggalkan larangan Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini bagi menjamin mereka sentiasa berada dalam keadaan bersih dan suci dari dosa terutama dosa-dosa yang besar dan tidak mudah terpengaruh dengan bisikan dan ajakan ke arah kejahatan kerana ia akan membawa anak-anak dan ibu bapanya ke arah api neraka.

Firman Allah SWT dalam Surah At-Tahnim ayat 6:

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada api neraka yang mana bahan apinya terdiri daripada manusia dan batu-batu”.

Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Taatlah kepada Allah dan takutlah berbuat maksiat kepada Allah dan suruhlah anak-anak kamu untuk mentaati perintah-perintah dan menjauhi larangan-larangan Allah. Kerana hal ini akan memelihara mereka dan kamu dan api neraka”.

6. Menggalakkan Berjamaah.

Ibu bapa perlu mengasuh dan mendidik anak-anak supaya berjamaah dan bersama-sama di dalam melakukan aktiviti ibadah ataupun harian. Ini bagi menyemai perasaan kasih sayang di antara satu sama lain dan semangat kekitaan dalam rumahtangga. Dengan berjamaah juga akan sentiasa mendapat pertolongan Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “Pertolongan dan rahmat Allah bersama dengan orang yang berjamaah”. [Riwayat At-Tarmizi]

Perkara yang paling dituntut supaya berjemaah di dalam rumahtangga ialah solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa, makan minum dan lain-lainnya. Bahkan pahala berjemaah lebih besar daripada bersendirian.

Rasulullah SAW bersabda :

Maksudnya : “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat”. [Riwayat Muslim]

7. Membaca Doa Dan Wirid Harian

Ibu bapa juga bertanggungjawab mengajar anak-anak mereka dengan doa-doa harian dan wirid-wirid yang perlu diamalkan dari pagi hingga waktu sebelum tidur.

Doa-doa tersebut adalah seperti doa sebelum tidur dan selepas bangkit darinya, doa sebelum dan selepas makan, doa masuk ke dalam tandas, doa selepas mengambil wuduk, doa memakai pakaian, doa selepas sembahyang lima waktu, dan sebagainya.

Pendedahan doa-doa seperti ini kepada anak- anak amat penting kerana setiap amal yang dimulakan dengan doa akan mendatangkan keberkatan terhadap perbuatan tersebut. Seterusnya doa-doa ini sekiranya dibaca mendekatkan anak-anak kepada Allah dan menenangkan hati mereka.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Fatihah ayat 5 :

Maksudnya : “Hanya kepada Mu-lah (Ya Allah) yang kami sembah dan hanya kepada Mu-lah jua tempat kami meminta pertolongan”.

Wirid-wirid yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW perlu diajarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak kerana kesan daripada berzikir itu dapat membentuk dan mendidik kerohanian anak-anak dan menghampirkan diri mereka kepada Allah SWT. Malahan doa-doa dan wirid harian ini akan menjadi pendinding yang menghindarkan diri mereka dari godaan Syaitan.

Firman-Nya lagi dalam Surah Ar-Ra’d ayat 28 :

Maksudnya : “(laitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.

8. Memohon Restu Kedua Ibu bapa

Anak-anak dalam lingkungan usia begini perlu dididik agar menghormati ibu bapa menurut garis-garis panduan seperti berikut :-

a] Redha Allah SWT ada pada keredhaan Ibu bapa.

Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Keredhaan Allah itu berada dalam keredhaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah itu berada dalam kemurkaan kedua ibu bapa”. [Riwayat At-Tabrani]

b] Berbuat baik kepada Ibu bapa lebih utama berbanding Jihad di Jalan Allah.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud:

Maksudnya : “Saya bertanya kepada Nabi SAW apakah amal yang paling disukai oleh Allah Taala?"

Beliau menjawab: "Solat pada waktunya".

Saya bertanya lagi: "Kemudian apa?"

Beliau menjawab: "Berbuat baik kepada kedua Ibu bapa".

Saya bertanya lagi: "Kemudian apa?"

Beliau menjawab: "Berjihad (berjuang) di jalan Allah”.

[Riwayat Bukhari & Muslim]

Jahamah RA telah mendatangi Nabi SAW seraya berkata : “Wahai Rasulullah, aku ingin berperang, dan aku datang untuk bermusyawarah denganmu”.

Nabi bertanya, “Apakah engkau mempunyai ibu?”.

Ia menjawab, “Ya”.

Baginda bersabda: “Tinggallah berbakti kepadanya, kerana sesungguhnya Syurga itu berada di bawah telapak kakinya”.

[Riwayat Ahmad & An-Nasaei]

c] Mengutamakan berbuat baik Kepada Ibu Berbanding Ayah.

Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA :

Maksudnya : “Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang paling berhak aku temani dengan baik?

Baginda bersabda: "Ibumu".

Ia bertanya: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibumu".

Ia berkata: "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ibumu".

Ia bertanya : "Kemudian siapa?"

Baginda menjawab: "Ayahmu".

[Riwayat Bukhari & Muslim]

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Israk ayat 23-24 :

Maksudnya : “Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara kedu-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan “Ah” dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: “Wahai Tuhanku kasihilah mereka keduanya sebagaimana mereka telah mendidik aku semasa kecil dahulu”.

Sabda Rasulullah SAW :

Maksudnya : “Kamu dan harta kamu adalah untuk ibu bapa kamu”. [Riwayat Ibnu Majah]

Aishah RA berkata : “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW dengan membawa seorang tua".

Baginda bertanya kepadanya: "Hai lelaki! Siapakah orang yang bersamamu ini?"

Lelaki itu menjawab: "Ayahku".

Baginda bersabda: "Janganlah engkau berjalan di depannya, jangan duduk di hadapannya, jangan panggil ía dengan namanya dan janganlah engkau samakan ia dengan sesuatu”.

9. Latihan Amali Fardhu ‘Ain

Ibu bapa hendaklah sentiasa menjadi contoh kepada anak-anak dalam melakukan ibadah-ibadah Fardhu ‘Ain seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menghormati orang-orang tua, melafazkan kata-kata yang baik dan lain-lain lagi.

Bahkan anak-anak perlu diberi penekanan dan latihan yang berterusan tentang perkara tersebut. Ibadah Fardhu ‘Ain ini amat penting kerana ia menjadi asas kepada terlaksananya ibadah-ibadah yang lain.

10. Mengadakan Usrah Keluarga

Dalam usaha untuk mewujudkan institusi keluarga yang kukuh, maka ibu bapa perlu mengadakan usrah yang terdiri daripada anggota keluarga iaitu memperingatkan ahli keluarga supaya melaksanakan hukum Allah.

Mengeratkan silaturrahim antara anggota keluarga.Satu proses tarbiah diri dan keluanga.Mengujudkan satu budaya menghayati ilmu agama di dalam rumah.

11. Halaqah Muhasabah

Halaqah Muhasabah adalah satu tuntutan agama. bagi meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab seorang hamba kepada Allah.

Firman Allah Taala dalam Surah Al-Hasyr ayat 18:

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang Ia telah sediakan (dan amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”.

Wallahu a'lam.

April 21, 2006

Mendidik Anak cara 'Sichida'

Artikel ini saya copy dari website Fauzynm (credits to him).

Kaedahnya sangat berguna untuk dipraktikkan sewaktu mendidik anak-anak, insya-Allah.

Assalamualaikum. Ini ada sedikit panduan untuk mendidik anak yang diberi oleh kawan saya. Moga-moga kita akan mendapat manfaat daripada pengalaman beliau. Wassalam.

Beberapa minggu lepas, boss saya ada memberitahu bahawa dia menghantar anak dia yang baru berusia 2 tahun belajar kat kelas Sichida. Kelas Sichida ini diuruskan oleh orang Jepun untuk melatih anak-anak berfikir menggunakan otak sebelah kanan. Otak sebelah kanan ni lebih efektif sebenarnya dari otak sebelah kiri, tetapi perlu dilatih penggunaannya.

Kelas ni teramatlah mahal kosnya.Kalau kelas tadika Juanna yang saya nak masukkan tahun depan tu kosnya lebih tinggi dari kos kita belajar 1 semester kat UiTM. Kos belajar 1 semestar kat Kelas Sichida ni pula rasanya sama banyak dengan kos 1 semestar buat Master.

Tapi atas inisiatif beliau yang menyedari bahawa ramai sangat orang cina yang menghantar anak-anak mereka belajar kat kelas tu, sedangkan orang Melayu cuma setengah kerat aje, maka beliau secara ikhlas bersetuju untuk mengajar saya dan staff melayu yg lain.

Saya juga nak kalian praktikkan kaedah ini kepada anak-anak kalian. Sebab walau pun baru seminggu sahaja saya buat kat anak saya tapi dah mula nampak keberkesanannya.

1. Sewaktu anak nak tidur @ tidur-tidur ayam.

Cakap kat dia sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia, dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, tak sakit, dia budak pandai dsb. Sebab ketika tidur-tidur ayam, otak kanan sedang bekerja sedangkan otak kiri dah lena.

Boleh gak dipraktikkan kat suami, tapi perlu dibuat dengan ikhlas. Jangan buat ketika tengah marah. Kalau anak anda dah lena, ramas-ramaslah @ picit dengan lembut tangannya agar dia kembali berada dalam keadaan tidur-tidur ayam.

Saya buat kat anak saya Nana sebab dahlah dia sentiasa lewat bangun pagi, pastu siap melalak-lalak lagi. Saya cakap hari-hari kat dia; dia budak baik, dia suka pergi sekolah, dia budak sihat, dia suka bangun awal. Sekarang jam 6.30 pagi, dia dah bangun kecuali hari Sabtu dan Ahad.

2. Start guna Flash Card untuk mengajar anak.

Saya ajar Nana ABC-Z guna card seminggu je. Sekarang dah kenal semua huruf. Siap boleh eja perkataan pendek-pendek. Buat card banyak-banyak dan tunjuk kat dia secara laju / cepat. Macam.. a... b.. c.. d.. e, insya-Allah dia cepat tangkap sebab bila kita tunjuk kad secara laju / cepat, otak kanan dia akan bekerja keras untuk menangkap benda yang kita tunjuk tu.

Kita boleh buat card 1,2,3, gambar dll. Potonglah gambar kat mana-mana majalah, suratkhabar dsb. Sebaiknya, guna bahasa English.

3. Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan.

Jadi, ajar anak anda main tanah liat, main water colour, melukis, gunting kertas, origami dsbnya. Memanglah kita yang kena mengemas tapi takpe. Lagi satu, cuba anda lukis gambar. Cth : rama-rama, tapi lukis sebelah sahaja dan suruh dia sambung lukis ikut apa yg anda lukis tu kat sebelah lagi. Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.

Kalian tahu tak kenapa orang cina dan jepun pandai-pandai? Sebab mereka makan menggunakan chopstik. Chopstik tu mengaktifkan kerja tangan dan juga menggerakkan otak kanan.

4. Jangan marah-marah atau tengking anak!

Sebab dia boleh simpan kesemuanya dalam otak kiri. Kalau termarah tanpa sengaja, pergi balik ke cara no 1 tadi dan minta maaf kat dia.

5. Develop their imagination.

Kita mulakan dengan bercerita kat dia dan kemudian minta dia sambung cerita tu. Walaupun cerita tu mungkin merapu, tapi takpe. Kitapun bukannya tak biasa merapu, betul tak.

6. Main teka-teki.

Letak satu barang dalam kotak tisu dan suruh dia teka apa benda tu. First few times, bolehlah bagi dia hints dulu. Cth : bagi tau warna, bunyi dsb. Lama-kelamaan dia akan develop his/her 6 Sense. By concentrating, dia boleh teka apa benda dalam kotak tisu tu. Ni semua untuk aktifkan otak sebelah kanan.

Tapi ingat, semua ‘game’ yang kalian bercadang nak buat tu hanya boleh dibuat selama ½ jam sahaja dalam sehari. Jangan amik masa lama. Sebelum membuatnya, tarik nafas dalam-dalam dan releks (santai / tenang).

Jangan buat kaedah ini sewaktu tengah sibuk nak memasak, membasuh kain, menonton TV dsb. Nanti tak berhasil. Buatlah dengan ikhlas dan merendah diri. Kita kena berusaha dan sekiranya ia berhasil, kita kenalah bersyukur ke hadrat-Nya. Sebab kalau anak kita pandai, ia adalah kerana dengan izin-Nya jua.

Wallahu a'lam.

April 17, 2006

How to Insert Sound/Song to your Blog

Entry ni khas buat Syikin dan sesiapa sahaja yang berminat untuk memasukkan lagu atau muzik latar dalam blog memasing.

1] Upload lagu/audio (dalam format ie. midi, mp3 etc) kat memana Free Web-Hosting (ie. Geocities, Tripod etc). Kalau takde akaun lagi, silalah register dulu untuk jadi member bagi membolehkan anda menyimpan/upload lagu yang diinginkan.

2] Saya andaikan anda telahpun upload lagu anda dalam Geocities, Tripod etc.

Berikut adalah contoh URL di mana fail lagu yang diinginkan telah di upload di Geocities.

3] Copy and Paste html berikut ke dalam template blog anda.

[Pls take note. Semasa "paste script", sila delete semua tanda **]

<**embed src="http://www.geocities.com/aidura/vanessa.mp3" autostart="TRUE" loop="TRUE" width="123" height="25" volume="100%" align="center"><**/embed>

4] Selamat Mencuba.

April 14, 2006

Jika Makanan Jadi Penyakit

Penyakit yang singgah di tubuh manusia biasanya berkait rapat dengan makanan yang disuap. Makanan bukan sekadar mengenyangkan perut tetapi boleh juga menjadi racun seandainya tidak dikawal dengan baik.

Sebuah riwayat menceritakan bahawa Raja Negus menghantarkan seorang tabib (doktor) untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW.

Ketika menerima kedatangan tabib berkenaan, Rasulullah SAW memberitahunya bahawa baginda dan para sahabat sangat menjaga perut kerana perut adalah wadah pelbagai penyakit.

Kata-kata Rasulullah SAW itu ada kaitannya dengan firman Allah SWT lewat Surah An-Nahl: 114 yang bermaksud:

"Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) daripada apa yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu daripada benda halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata".

Ulama terkenal, Dr Yusof Al-Qaradhawi juga pernah menyatakan, jika perut itu sarang kepada penyakit, maka melaparkan perut adalah raja bagi segala ubat.

Maksud ulama ini mungkin lebih tepat jika dikaitkan dengan ibadah puasa yang dilakukan oleh umat Islam. Dalam pada itu, bukan bermakna kita terbatas untuk makan, tetapi seelok-eloknya kawal pengambilan makanan agar tubuh segar dan seimbang.

Tubuh yang sihat dibentuk oleh makanan yang berkhasiat. Begitu juga rohani yang bersih turut berpunca daripada makanan yang berkhasiat.

Wallahu a'lam.

[Copyright Controlled]

April 12, 2006

Syukuri Kenikmatan

Sesuatu yang paling wajar disyukuri oleh warga Malaysia adalah kebebasan untuk beribadah walau di mana sahaja mereka berada.

Tidak perlu takut, bimbang atau resah untuk melaksanakan apa jua ibadah; ibadah khusus atau am kerana kita sememangnya dijamin untuk bebas melaksanakan ajaran agama masing-masing.

Namun ada juga yang tidak mensyukuri nikmat itu sama ada kerana tidak menyedarinya atau tidak mahu mengambil peluang.

Ada yang tidak mengerjakan solat tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak sedangkan masjid ada di merata-rata dan indah tersergam.

Ada juga yang sengaja ponteng berpuasa, tidak membayar zakat dan enggan mengerjakan haji sedangkan diri mewah, negara aman dan makmur serta pelbagai lagi kurniaan Allah SWT yang lain.

Daripada Ma'qil bin Yasar, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Beribadah pada masa-masa sulit sama dengan hijrah kepadaku". [Riwayat Muslim]

Allah SWT sudah menjanjikan bahawa dengan keteguhan beribadah dan beramal, maka akan beroleh keberkatan dan rahmat-Nya.

Bersyukurlah atas keamanan dan keselesaan yang diperoleh dan dinikmati ini.

Wallahu a'lam.

[Copyright Controlled]

April 10, 2006

Makanan untuk Meningkatkan Kesuburan Lelaki

Makanan yang Boleh Membantu Meningkatkan Keupayaan S*ks Lelaki :
  • Telur Ayam Kampung
  • Belut
  • Madu
  • Herba Tongkat Ali
  • Ginseng
  • Ginkgo

Amalan untuk Menjaga Tahap Kesuburan Lelaki :

  • Jangan makan nasi berulam air. Adalah lebih baik jika minum setelah selesai makan iaitu 2 minit selepas suapan terakhir.
  • Kurangkan memakan pisang embun.
  • Jangan kerap minum air batu. Ini akan melemahkan keupayaan tenaga batin.
  • Jangan hembus nafas ketika minum. Cara ini dikatakan dapat membantu daripada cepat penat dan mudah lemah.

[Copyright Controlled]

April 07, 2006

Makanan agar Wanita Mudah Hamil

Makanan yang Menggalakkan Kesuburan Wanita :
  1. Taugeh
  2. Bayam
  3. Dal Kanji
  4. Kacang Botol
  5. Herba Organik
  6. Cendawan
  7. Daun Dukung Anak

Makanan untuk Ibu Hamil :

  1. Tempe
  2. Ikan Bilis
  3. Ikan
  4. Tofu
  5. Jantung Pisang
  6. Halia
  7. Daging Rusa

Makanan yang Membantu Melancarkan Perjalanan Darah :

  1. Pegaga
  2. Ulam Raja
  3. Anggur
  4. Petai
  5. Lada Hitam
  6. Daun Dukung Anak

[Copyright Controlled]

April 05, 2006

Brokoli Sesuai untuk Wanita

Untungnya anda yang menggemari sayuran hijau ini.

Brokoli amat penting untuk wanita. Ia mampu membuang lebihan estrogen berbahaya yang berpotensi menyebabkan kanser.

Bagi penderita kencing manis pula, brokoli membantu melonjakkan kadar gula dalam darah kerana kandungan mikromineral kromiumnya yang tinggi.

Bagi penghidap penyakit ini, amalan pengambilan brokoli dalam diet harian begitu disarankan untuk mengawal pemakanan dan kesihatan yang berkekalan.

Wallahu 'alam.

[Copyright Controlled]