June 30, 2006

Jangan Tunggu Esok

"Malaslah. Nanti-nantilah selesaikan kerja. Esok kan masih ada..."

Tentu kita biasa mendengar nada sebegini. Sikap bertangguh kerja begini memang biasa jadi amalan kebanyakan kita. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, sikap ini sebenarnya menggambarkan si pelakunya pemalas dan tidak optimis.

Bertangguh kerja juga menunjukkan sikap tidak mementingkan masa. Masyarakat kita banyak sekali mencipta bidalan atau perumpamaan yang berkaitan dengan sikap dan masa seperti "Kerja bertangguh tak menjadi", "Bertangguh pencuri masa", "Masa itu emas" dan sebagainya. Semuanya menjurus pada kesedaran supaya kita menghargai dan mementingkan masa.

Malah Islam juga amat memberikan penekanan pada masa. Lewat Surah Al-Asr, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran."

Mesej yang dihantar melalui firman ini amatlah jelas. Sebagai manusia, kita digalakkan supaya beramal soleh dan nasihat-menasihati mengenai kebenaran dan kesabaran.

Namun sebahagian besar manusia masih lalai dan cuai, masih hidup bergelumang dosa, yang bukan sahaja merugikan mereka di dunia tetapi juga bakal menerima seksa di akhirat kelak.

Malah Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Bukhari turut memberi penekanan serupa. Ibnu Omar berkata bahawa Rasulullah SAW telah memegang bahunya seraya bersabda:

"Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Jika engkau berada di waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika anda di waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunalah peluang masa sihat sebelum datang sakit. Dan gunalah peluang masa hidup sebelum tiba mati."

Oleh itu, segeralah lakukan tugas. Jangan tunggu esok!

Wallahu a'lam.

June 28, 2006

'Lemak' yang Baik untuk Tubuh

Sebut sahaja lemak, pasti ramai wanita yang menolaknya mentah-mentah. Alasannya, lemak penyebab berat badan naik. Biarpun dianggap memudaratkan tubuh, lemak sebenarnya membekalkan tenaga kepada tubuh selain karbohidrat.

Tetapi, bukan semua lemak dianggap jahat. Ada juga lemak yang dikategorikan sebagai lemak baik yang berperanan memberi impak sihat pada tubuh.

Lemak tak tepu dari sumber kekacang seperti kacang tanah dan buah zaitun paling baik untuk tubuh. Lemak jenis ini bertindak mengurangkan kadar kolesterol tidak sihat dalam darah [LDL].

Lemak dari jenis kekacang ini juga membekalkan protein dan serat kepada tubuh selain sumber fitokimia. Malah serat, protein dan fitokimia ini juga mampu merendahkan risiko kanser.

Buah avokado dan ikan laut juga antara makanan berlemak yang paling sihat dimakan. Avokado merupakan pembekal utama vitamin E, manakala ikan laut pula pembekal omega 3 terpenting tubuh.

Jadi, usahlah takut dengan lemak-lemak terpilih ini!

Wallahu a'lam.

June 26, 2006

"Suamiku Lelaki Soleh"

"Apakah doa kamu?"

"Semoga dikurniakan suami soleh yang boleh membimbing saya dunia dan akhirat."

Jawapan begini biasa diberikan gadis yang bakal mendirikan rumahtangga ataupun pengantin baru. Kebanyakan wanita jika diajukan mengenai jodoh, mahukan suami soleh. Tetapi, apakah suami yang diidamkan itu benar-benar memenuhi keperluan wanita?

Cuba kita jenguk apa yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga selepas doa si gadis untuk mendapatkan 'suami soleh' mungkin telah dimakbulkan Allah SWT.

Lelaki yang soleh amat takut kepada Allah SWT. Salah satu bukti ketakutannya kepada Allah SWT ialah mengerjakan solat. Jadi lelaki yang soleh akan menyuruh, malah kekadang sehingga memaksa isterinya solat.

Tetapi ada isteri yang liat untuk solat, sedangkan sebelum kahwin dia kata dia mahukan suami yang soleh. Sedang si isteri sedap tidur di waktu malam, si suami kejutkan suruh solat tahajud.

"Apalah suamiku ini?" rungut si isteri.

Dulu si gadis mahukan lelaki soleh, tetapi selepas dapat lelaki soleh yang kejutkan si isteri untuk solat tahajud, dia marah-marah pula.

Lelaki yang soleh amat taat kepada Allah. Islam mewajibkan wanita tutup aurat. Jadi suami yang soleh tidak akan benarkan isterinya keluar rumah atau mengenakan pakaian sesuka hati. Atau berhias dan bermekap tebal. Suami yang soleh akan memastikan si isteri tutup aurat.

Tetapi ada isteri kurang senang dengan perkara begini. Bukankah dulu anda berdoa untuk mendapatkan suami yang soleh, tetapi bila dimakbulkan anda bantah pula cakapnya!

Suami yang soleh tidak akan duduk di rumah sahaja 'berada di bawah ketiak isteri sepanjang hari'. Ini kerana jihad fisabilillah adalah antara program lelaki soleh. Dia akan sentiasa keluar untuk berjuang. Sama juga dengan mencari rezeki halal sehingga kadang-kadang balik lewat malam. Ini lagi tak disukai wanita. Jika dulu anda dambakan suami soleh, bila dah dapat, cara hidupnya pula yang tidak anda sukai.

Lelaki yang soleh juga akan menjadikan masjid sebagai 'rumah keduanya'. Ini pun ada wanita tak suka. Asyik-asyik ke masjid aje, kata mereka.

Lelaki yang soleh amat taat kepada kedua ibu bapanya. Malah, baktinya kepada ibu bapanya melebihi kepada isteri. Ini menyebabkan sesetengah isteri amat cemburu. Dulu anda mahukan lelaki yang soleh (amat taat kepada ibunya), bila dah dapat, anda marah pula! Macamana doa anda dulu?!

Lelaki yang soleh juga tidak hidup bermewah-mewah. Wangnya yang banyak dihabiskan dalam perjuangan. Dia pun takut terima rasuah dan segala macam duit haram. Jadi dia tak dapatlah beri barang-barangan mewah seperti rumah besar, kereta besar dan rantai berjela kepada isteri dan keluarganya. Dalam perkara ini pun ada isteri yang tak gemar. Jika dulu doa mahukan suami soleh, tetapi sekarang tidak suka pula sikapnya.

Lelaki yang soleh mahu menjauhkan diri daripada maksiat. Dia buat yang halal sahaja. Salah satu perkara yang halal ialah kahwin empat. Ini memang mana-mana perempuan pantang, malah membenci suaminya kahwin lagi. Bukankah dulu anda mahukan lelaki yang soleh? Demikian banyaknya perkara yang tidak disukai oleh isteri, walaupun doanya dulu mahu mendapat suami yang soleh.

Berdasarkan kriteria yang dibincangkan di atas, jelaslah suami yang soleh tidak dapat memberikan sebahagian besar daripada kehendak duniawi si isteri.

Si isteri tak perlulah mengeluh, sebaliknya bersyukur kerana doa untuk mendapatkan suami yang soleh telahpun dimakbulkan oleh Allah SWT.

Ingatlah, isteri-isteri Rasulullah SAW sendiri pernah ditawarkan pilihan dunia (kesenangan) atau akhirat. Akhirnya mereka memilih akhirat.

Wallahu a'lam.

June 23, 2006

Bidadari Syurga

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah SWT kepada seorang lelaki yang memasuki syurga.

Bagi seorang wanita yang solehah, maka bidadari bagi suaminya adalah di kalangan bidadari-bidadari kurniaan Allah SWT dan dia (isteri solehah) merupakan ketua akan segala bidadari-bidadari tersebut.

Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah SWT dan ini merupakan sunnah Nabi SAW juga di kalangan sahabat-sahabat.

Al-kisahnya, Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain.

Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika Nabi SAW memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah), kata baginda sesiapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari Syurga.

Mendengar berita itu, seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut. Tetapi dia malu nak bertanyakan kepada Nabi SAW kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain.

Namun dia tetap memberi nama sebagai salah seorang yang akan keluar/pergi berjihad. Sebelum Zohor, Nabi SAW akan tidur sebentar (dipanggil khailulah), maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tidur bersama-sama.

Semasa tidur, dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah dan bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik serta muka yang berseri-seri.

Lalu dia bertanya, di manakah dia berada.

Lelaki itu menjawab, "Inilah Syurga."

Lantas dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Ainul Mardhiah. Lalu ditunjuk oleh lelaki itu ke suatu arah. Maka berjalanlah dia menuju ke arah itu.

Sampai di suatu pepohon, beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia melihat kecantikan sebegitu. Juga tak pernah dilihat di dunia ini.

Lalu diberi salam dan dia bertanya, "Andakah Ainul Mardhiah?"

Wanita itu menjawab, "Ehh tidakk. Saya khadamnya. Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana."

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata perhiasan di dalam mahligai.

Lantas dia memberi salam dan bertanya lagi, "Adakah anda Ainul Mardiah?"

Lalu wanita itu menjawab, "Eh tidakkk. Saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana."

Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikannya sungguh mengkagumkan.

Lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua dan tak pernah dia lihat di dunia.

Lantas wanita itu berkata, "Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku."

Pabila lelaki itu mendekatinya, wanita itu berkata "Nantiii kamu belum syahid lagiiii......"

Pemuda itu pun tersentak lantas terjaga dari tidurnya. Lalu dia menceritakan tentang mimpinya itu kepada satu sahabat lain. Namun begitu, dia berpesan agar sahabat itu tidak menceritakannya kepada Nabi SAW melainkan sekiranya dia syahid.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan jemaah beserta Nabi SAW telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid.

Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa, maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan mendekati Nabi SAW lantas menceritakan perihal mimpi sahabat yang syahid tadi.

Sewaktu dia bercerita, Nabi SAW berkata benar, benar, benar di sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya Nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di Syurga. Subhanallah.

Wallahu a'lam.

June 22, 2006

Doa Sewaktu Bersujud & Keistimewaannya

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah SWT. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW : "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah SWT dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah SAW biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud : "Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat."

Mendengar itu para sahabat bertanya : "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab baginda : "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat menjawab : "Bahkan !"

Rasulullah menyambung : "Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berseri-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudhu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"

KEISTIMEWAANNYA

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud."

Begitulah Allah SWT memuliakan hambaNya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

Wallahu a'lam.

June 19, 2006

Menu Seminggu Diet Tinggi Fiber

SARAPAN PAGI
  • Isnin: 1 keping capati, kuah dhall, 1 cawan milo susu
  • Selasa: 1 mangkuk oat dan susu rendah lemak (*kismis dan buah-buahan), 1 cawan nescafe susu
  • Rabu: 2 keping roti mil penuh, 4 sudu tuna dengan salad & timun, 2 sudu marjerin, 1 cawan milo susu
  • Khamis: 1 keping capati, kuah dhall, 1 cawan milo susu
  • Jumaat: 1 mangkuk oat dan susu (*kismis dan buah-buahan lain), 1 cawan nescafe susu
  • Sabtu: 2 keping roti mil penuh, 4 sudu tuna dengan salad & timun, 2 sudu marjerin, 1 cawan milo susu
  • Ahad: 1 mangkuk soto, 1 cawan milo
MINUM PAGI
  • Isnin: 1 ketul popiah
  • Selasa: 1 cawan yogurt
  • Rabu: 1 potong kek pisang
  • Khamis: 1 ketul tauhu sumbat
  • Jumaat: 1 potong kastad jagung
  • Sabtu: 1 ketul popiah
  • Ahad: 1 ketul kek pisang
MAKAN TENGAHARI
  • Isnin: 1 mangkuk nasi, 1 ketul ayam, 1 cawan sayur, 1 gelas air sirap, 1 potong tembikai
  • Selasa: 1 mangkuk nasi, 1 ekor ikan bakar (*sayur hijau), 1 gelas air sirap limau, 1 biji pear
  • Rabu: 1 mangkuk nasi, 1 senduk udang masak sambal, 1 cawan ulam dan sambal belacan, 1 gelas air, 1 potong betik
  • Khamis: 1 mangkuk nasi, 1 ketul ayam masak kari, 1/2 cawan sayur hijau, 1 gelas air, 1 biji epal
  • Jumaat: 1 mangkuk nasi, 1 ekor ikan sambal, 1/2 cawan sayur campur, 1 gelas air, 1 biji oren
  • Sabtu: 1 mangkuk nasi, 4 ketul daging, 1/2 cawan sayur campur, 1 gelas air sirap
  • Ahad: 1 pinggan spaghetti, 1 mangkuk salad, 1 biji pisang
MINUM PETANG
  • Isnin: 2 ketul vadai
  • Selasa: 1 mangkuk jagung
  • Rabu: 1 mangkuk taufu fa
  • Khamis: 2 ketul pulut panggang
  • Jumaat: 4 keping biskut mil penuh
  • Sabtu: 1 mangkuk taufu fa
  • Ahad: 1 mangkuk jagung
MAKAN MALAM
  • Isnin: 1 mangkuk mi hailam (*lebihkan sayur), 1 biji pisang
  • Selasa: 2 keping pizza, 1 mangkuk salad, 1 biji oren
  • Rabu: 1 mangkuk mihun sup, 1/2 biji buah jambu batu
  • Khamis: 1 bungkus nasi kerabu, 1 potong tembikai
  • Jumaat: 1 mangkuk yong taufu (*kangkung), 1/2 biji buah jambu batu
  • Sabtu: 1 mangkuk nasi ayam, 1 ketul ayam, 1 cawan salad, 1 biji oren
  • Ahad: 1 mangkuk mi goreng (*lebihkan sayur), 1 potong tembikai
Panduan:
  • Susu yang digunakan ialah susu rendah lemak
  • Cawan merujuk kepada saiz cawan teh

Wallahu a'lam.

June 16, 2006

Tips Mengekalkan Kasih Sayang

Berikut adalah tips untuk mengekalkan kasih sayang di antara suami isteri.

Juga boleh digunakan jika salah seorang pasangan (suami atau isteri) didapati mula rasa tawar hati sehingga kekadang menimbulkan krisis dalam rumahtangga.

  • Baca Surah Al-Fatihah sebanyak 3x dan setiap kali sampai pada ayat "Ar-rahmanirrahim" ulang 3x dan tiup pada muka pasangan.
  • Selepas itu, sambung dengan Surah Ali Imran ayat 31 "Qul in kuntum tuhibbuu nallaha fattabi 'uuni yuhbib kumullah". Baca ayat ini 3x dan ditiup pada muka pasangan.
  • Waktu membaca dan meniupnya ke muka pasangan ialah ketika pasangan sedang tidur.
  • Insya-Allah kasih sayang suami isteri akan bertaut semula dan bertambah teguh.
Wallahu a'lam.

June 13, 2006

Pedoman Berorganisasi

Manusia hidup di dunia secara berorganisasi. Organisasi dianggap sebagai wadah untuk kesempurnaan dakwah.

Organisasi bukannya matlamat kehidupan kerana manusia tidak kekal dan organisasi akan ditinggalkan apabila manusia kembali kepada Pencipta.

Tradisi berorganisasi dalam Islam mengambil pertimbangan muafakat supaya organisasi terbina secara tersusun dan terancang.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Saf: 4 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah sangat menyukai orang yang bekerja (berjuang) di jalan-Nya dalam barisan yang tertib bagaikan bangunan yang tersusun rapi."

Peringatan Allah ini dianggap sebagai pedoman dalam berorganisasi. Pertimbangan akal, tenaga dan perancangan yang menjadi gerak kerja dalam organisasi perlu dipandu dengan Al-Quran.

Dengan demikian organisasi bukan sahaja membawa kebaikan kepada ahli dan organisasi, malah matlamatnya menyumbang ke arah kekuatan bangsa dan ummah.

Pengurusan dalam sesebuah organisasi pula harus dilihat sebagai amanah.

Pertama, amanah dari segi perhubungan manusia dengan Allah dan seterusnya membawa kepada hubungan manusia sesama manusia.

Jika hubungan manusia dengan Allah mantap, maka hubungan sesama manusia juga akan mantap. Sebaliknya, jika hubungan manusia dengan Allah longgar, struktur dan susunan organisasi juga akan longgar.

Wallahu a'lam.

June 09, 2006

Surah Adh-Dhuha

Surah Adh-Dhuha (bererti waktu Dhuha) merupakan surah yang ke-93 di dalam Al-Quran, mengandungi 11 ayat.

Ia dinamakan Adh-Dhuha kerana di awal surah itu Allah Taala bersumpah dengan waktu tersebut dan juga dengan waktu malam bahawa Dia tidak meninggalkan atau membenci Nabi Muhammad SAW sebagaimana yang diperkatakan oleh kaum kafir musyrik.

Allah SWT memberi semangat kepada baginda agar jangan menghiraukan tuduhan dan fitnah musuh-musuh Islam.

Fadhilat dan Faedahnya :

1. Menurut ulama, apabila surah ini diamalkan membacanya menjadi wirid 7x pada setiap pagi ketika matahari terbit dan 7x setiap matahari terbenam, insya-Allah akan terselamat dari kehilangan atau kecurian.

2. Sekiranya terjadi kehilangan atau kecurian, maka kerjakanlah Solat Sunat Dhuha 3x (2 rakaat sekali) pada setiap pagi Jumaat sehinggalah yang hilang itu didapatkan semula. Selepas memberi salam, berdoalah memohon kepada Allah SWT.

3. Selain dari itu, sesiapa yang mengamalkan membaca surah Adh-Dhuha 40x setiap hari selama 40 hari dan berdoa memohon kepada Allah SWT, insya-Allah hidupnya terjauh dari keadaan fakir.

Wallahu a'lam.

June 06, 2006

Surah Al-Insyirah

Surah Al-Insyirah (bererti melapangkan dada Nabi) adalah surah yang ke 94 di dalam Al-Quran, mengandungi 8 ayat.

Allah SWT menegaskan salah satu nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW ialah melapangkan dadanya serta mengisinya dengan iman dan hidayah bagi meringankan beban perjuangannya.

Ditegaskan juga dalam surah tersebut bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai dengan kemudahan. Umat Islam diperintah agar berusaha dengan bersungguh-sungguh mematuhi perintah Allah dan berbakti untuk kebaikan diri dan masyarakat.

Fadhilat dan Faedahnya :

1. Mempermudahkan segala urusan dan murah rezeki apabila diamalkan membacanya 7 atau 10 kali setiap lepas Solat Fardhu.

2. Apabila ada sesuatu hajat yang penting, kerjakan Solat Sunat Hajat atau Tahajjud di tengah malam, dan baca surah ini 103 kali atau lebih banyak menurut kemampuan. Insya-Allah hajatnya akan tercapai.

3. Amalkan membaca surah ini, insya-Allah terjauh dari wabak penyakit panas dan penyakit berjangkit.


Wallahu a'lam.

June 01, 2006

Surah Al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas (bererti tauhid yang sebersih-bersihnya) adalah surah yang ke 112 di dalam Al-Quran mengandungi 4 ayat sahaja.

Ia dinamakan Al-Ikhlas kerana Rasulullah SAW diperintahkan agar menegaskan kepada umum bahawa Allah Taala Maha Esa dan tiada tolok bandingan-Nya.

Surah ini merupakan firman Allah yang menjadi pokok akidah yang sebersih-bersihnya untuk dijadikan asas pegangan hidup umat Islam.

Terdapat banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menerangkan fadhilat, faedah dan hikmahnya bagi sesiapa yang mengamalkan membaca surah ini.

Fadhilat dan Faedahnya :

1. Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas ini 1 kali, maka Allah Taala memberi pahala sebanyak pahala 100 orang pahlawan syahid. [Maksud hadis dari Ubai bin Ka'ab]

2. Sesiapa yang membacanya 10 kali selepas solat Subuh, maka tidak akan terjadi kepadanya suatu dosa pun, walaupun syaitan bersungguh-sungguh menggodanya. [Maksud hadis dari Ali bin Abu Talib RA]

3. Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas 1 kali, maka seolah-olah ia membaca sepertiga Al-Quran [Maksud hadis dari Anas bin Malik]

4. Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas dalam solat-solat Fardhu, maka Allah Taala mengampuninya beserta kedua ibu bapanya dan orang-orang yang celaka lalu menuliskannya dalam buku daftar orang-orang yang berjaya.

5. Sebuah hadis Rasulullah SAW pula bermaksud, sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas 10 kali, maka Allah Taala akan membinakan untuknya sebuah rumah di dalam Syurga.

6. Sesiapa membaca surah Al-Ikhlas semasa dalam kesakitan yang membawa kepada kematiannya, maka ia tidak akan terkena fitnah kubur dan aman dari himpitan kubur dan ia akan dibawa oleh malaikat dengan tapak tangannya hingga melepasi Sirat menuju ke Syurga. [Maksud hadis Riwayat At-Tabrani]

7. Sebuah lagi hadis Rasulullah SAW bermaksud, sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas di atas perkuburan sebanyak 11 kali, dan pahalanya dihadiahkan kepada umat Islam yang telah meninggal dunia, maka diterimakan kepadanya pahala sebanyak mereka yang telah meninggal dunia.

Terdapat banyak lagi hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai fadhilat dan faedah serta hikmah mengamalkan membaca surah Al-Ikhlas.

Wallahu a'lam.
Nukilan Sofiee
Daisypath Anniversary Years Ticker

Shout Box

Name :
Web URL :
Message :
:) :( :D :p :(( :)) :x