July 29, 2006

Merawat Penyakit Dalam

Biasanya penyakit ini sukar dirawat dan diubati kerana tidak dapat dilihat dengan jelas. Di antaranya ialah sakit paru-paru, jantung, buah pinggang, gastrik dan seumpamanya.

Sekiranya anda mengalami salah satu penyakit ini dan sudah berubat dengan bermacam-macam ubat tetapi tidak juga sembuh, maka eloklah anda cuba berubat dengan cara memohon kepada Allah SWT.

Caranya:

Mula-mula lakukanlah Solat Hajat 2 rakaat dengan khusyuk.

Selepas itu, mohonlah kepada Allah SWT supaya menyembuhkan penyakit tersebut sama ada pesakit itu anda sendiri ataupun orang lain.

Kemudian, baca Surah Al-Fatihah sebanyak 41 kali pada air dan berikan kepada pesakit untuk diminum.

Insya-Allah, sakit tersebut akan berkurangan dan sembuh.

Wallahu a'lam.

[Sumber: Fadilat & Khasiat Surah-Surah Mustajab Doa & Hajat]

July 28, 2006

Kerja adalah Ibadah

Allah SWT telah berfirman di dalam Al Quran, Surah Al-Baqarah ayat 21 yang bermaksud:

"Wahai sekelian manusia, sembahlah tuhan mu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Seruan ini Allah SWT tujukan kepada semua manusia tidak kira orang Islam, orang yang beriman, orang yang durhaka atau pun orang kafir. Pendek kata, setiap manusia adalah dikehendaki oleh Allah SWT supaya menyembah-Nya.

Ada pun menyembah Allah SWT itu bererti mengabdikan diri atau memberi baktinya kepada Allah SWT. Pengabdian diri ini adalah dikehendaki oleh Allah SWT secara total dan menyeluruh di dalam setiap aspek kehidupan manusia itu.

Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Az-Zuriat ayat 56 yang bermaksud:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Ku."

Dalam erti kata yang lain, setiap jin dan manusia ini adalah dijadikan khusus untuk beribadah kepada Allah SWT. Ertinya, apa sahaja yang dibuat oleh manusia, ia merupakan ibadahnya atau pengabdian dirinya atau amal baktinya kepada Allah SWT.

Tidak kiralah sama ada usahanya itu merupakan usaha dalam mencari rezeki, dalam membangunkan rumahtangga, dalam mengatur pendidikan anak-anak, dirinya atau pun keluarganya, dalam mengatur pergaulan masyarakat, dalam berekonomi, berjual-beli, dalam berjuang dan berjihad dan dalam apa sahaja baik dalam tidur atau makan minum kita seharian, semuanya mestilah menjadi ibadah kepada Allah.

Ini jelas Allah SWT gambarkan dalam sepotong firmannya yang lain dalam Surah Ali Imran ayat 191 yang bermaksud:

"Orang yang mengingati Allah sambil berdiri dan duduk dan dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia belaka'."

Jadi, Allah SWT tuntut dari setiap manusia supaya sentiasa, setiap saat dan ketika memberikan ibadah dan amal baktinya kepada Allah. Oleh itu, haruslah kita mengetahui bagaimana kita hendak mengisi setiap usaha dan ikhtiar kita agar ia menjadi ibadah kita kepada Allah SWT.

Ibadah terbahagi kepada tiga: pertama ibadah asas, kedua ialah ibadah furu' (cabang) yakni amalan-amalan utama dan yang ketiga ialah ibadah umum.

Ibadah asas ialah ibadah utama dan penting. Termasuk di dalamnya ialah keenam-enam rukun iman dan kelima-lima rukun Islam. Hukumnya fardhu ain yakni tiap-tiap orang wajib meyakini dan beramal dengannya. Tanpa ibadah asas seseorang itu tidak beriman (kafir).

Ibadah cabang atau ibadah furu' ialah yang berkaitan dengan fardhailull a'mal (amalan utama). Di antaranya seperti sembahyang dhuha, sembahyang witir, sembahyang tahajjud, zikir yang tertentu dan lain-lainnya.

Manakala ibadah umum termasuklah semua kegiatan hidup kita yang kita lakukan setiap hari. Bermula dari kita mengatur diri, anak isteri, rumahtangga, kampung halaman hinggalah kepada soal-soal pendidikan, ekonomi, masyarakat, politik, persoalan dalam dan luar negeri.

Kalaulah semua dapat kita aturkan sebagaimana yang Allah SWT kehendaki maka ia akan jadi ibadah yakni kita akan diberi pahala. Sebaliknya kalau kita cuai mengatur hidup kita tidak mengikut syariat, maka rugilah kita.

Kita hanya dapat pahala dari sembahyang, puasa, zakat, haji, zikir, wirid (fadhailull a'mal) tapi tidak pernah mengutip pahala dari amalan-amalan yang lebih banyak kita buat tiap-tiap hari itu.

Sebenarnya apa saja kerja yang kita lakukan untuk jadi ibadah, ia mesti menempuh lima syarat.

Apabila setiap kerja kita, yang kita lakukan menepati kehendak kelima-lima syarat itu, maka ia akan diterima sebagai ibadah, sebagai amal bakti dan sebagai satu pengabdian diri kita kepada Allah SWT.

Syarat itu ialah: 1. Niat mesti betul, 2. Perkara yang dibuat sah/ halal ikut syariat, 3. Perlaksanaan mesti betul, 4. Natijah mesti betul, 5. Tidak meninggalkan perkara yang asas (ibadah asas).

Supaya lebih difahami saya akan buat satu tamsilan atau ibarat bagaimana sesuatu kerja itu boleh jadi ibadah. Kalau faham tamsil ini, maka ribuan kerja lain boleh dikiaskan supaya jadi ibadah. Untuk tamsil ini, saya pilih bidang perniagaan sesuai dengan selera masyarakat kita yang sedang sibuk berjuang untuk meninggikan taraf ekonomi melalui bidang ini.

Perniagaan itu luas. Jadi saya bincang tentang berniaga kedai runcit, bagaimana perniagaan itu boleh jadi ibadah.

1. Niat berniaga mesti betul. Misalnya hatinya berkata begini, "Di tempat ini ramai umat Islam, tapi satu pun tak ada kedai runcit. Ini hal fardhu kifayah. Kalau tak selesai ertinya semua umat Islam di sini menanggung dosa. Kalau begitu aku nak buka kedai runcit." Itu adalah niat yang betul. Yang tidak betul apabila hatinya berkata, "Aku nak berniaga supaya untung. Bila untung, aku nak 'ekyen'." Mana boleh niat nak sombong (eksyen). Itu niat tak betul.

2. Perkara yang diniagakan sah atau halal menurut Islam seperti gula, garam, asam, kicap dan keperluan-keperluan lain. Barang-barang yang tidak boleh jual ialah todi, "anchor beer", "tiger beer", dadah, tiket loteri, rokok dan lain-lain.

3. Perlaksanaan atau pengendalian kedai hendaklah dijalankan mengikut syariat. Timbangan mesti betul, sukatannya pun betul, tidak ada penipuan dan tidak ada unsur-unsur riba.

4. Natijah mesti betul. Hasil keuntungan mestilah disalurkan kepada kehendak syariat. Bila mendapat untung, cukup haul maka keluarkan zakat. Bantu fakir miskin, derma masjid dan surau, korban untuk jihad fisabilillah dan sebagainya. Natijah yang tidak betul ialah digunakan keuntungan dari perniagaan itu ke meja judi, ke tempat-tempat disko, kelab-kelab malam, ke tempat pelesiran dan lain-lain lagi.

5. Berniaga jangan sampai tidak sembahyang. Mentang-mentang hendak menegakkan fardhu kifayah, fardhu ain tak payah. Mana boleh fardhu ain tak payah. Ia lebih utama daripada fardhu kifayah. Ertinya fardhu ain lebih utama dari fardhu kifayah. Orang yang berniaga tapi tak sembahyang, tidak akan dapat pahala apa-apa. Perniagaan yang diaturkan oleh orang-orang yang tak sembahyang tidak diterima sebagai ibadah di sisi Allah.

Sebaliknya, seorang yang berniaga mengikut syariat dengan menunaikan kelima-lima syarat itu dianggap ia telah berbakti, beribadah dan mengabdikan diri ke pada Allah SWT.Kalau 10 jam dia berniaga, maka 10 jam pulalah dia dalam beribadah. Yakni 10 jam dia diberi pahala.

Kalaulah dalam masa yang sama, ada seorang lain yang beriktikaf di masjid, sembahyang sunat, membaca Al-Quran, berzikir, berwirid, maka di sisi Allah si peniaga itu adalah lebih baik daripada orang yang beriktikaf itu. Kerana orang berniaga tidak boleh menyesal atau rasa bersalah disebabkan dia berkedai, maka dia tidak dapat beriktikaf.

Sebab orang yang di dalam masjid dia beramal untuk dirinya sedangkan orang yang berkedai itu berkhidmat untuk orang lain. Islam memandang mulia kepada orang yang berbuat amal untuk masyarakat.

Sabda baginda SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik manusia ialah manusia yang banyak manfaatnya pada manusia."

Daripada contoh usaha/ ikhtiar yang menempuh 5 syarat ini, maka bolehlah kita kiaskan dengan lain-lain usaha ikhtiar kita; seperti menyusun rumahtangga, berpendidikan, berpolitik, berjuang dan berjihad dan lain-lainnya.

Di situ nanti kita akan dapat menilai yang mana kalau seluruhnya tidak menempuh 5 syarat, maka ia tidak menjadi ibadah.

Wallahu a'lam.

July 26, 2006

Doa Keluarga

[1] Doa untuk Kedua Ibu Bapa

"Ya Allah! Ampunilah bagiku segala dosaku dan juga dosa kedua ibu bapa ku dan kasihanilah mereka keduanya sebagaimana mereka memelihara dan mendidikku di masa kecil."

[2] Doa untuk Kebahagiaan Sekeluarga

"Wahai Tuhan Kami! Berilah kepada kami dan isteri-isteri kami dan anak cucu kami pendingin mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa."

[3] Doa Mendapat Keturunan Yang Baik

"Wahai Tuhanku! Berilah kepadaku dari pihak-MU keturunan yang baik kerana sesungguhnya Engkau mendengar doa."

[4] Doa untuk Mendapat Anak


Ini doa Nabi Zakaria AS. Dia tidak mempunyai anak selama 10 tahun. Jadi, dia pun berdoa kepada Allah SWT. Dengan izin-Nya, isteri Nabi Zakaria AS pun mengandung.

Doa ini juga sesuai untuk orang yang jodohnya lambat.

"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan bersendirian walhal Engkaulah sebaik-baik waris."

[5] Doa agar Anak Cucu Mendirikan Solat

"Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan Solat dan begitu juga anak cucuku. Wahai Tuhan kami! Terimalah doaku, Wahai Tuhan kami! Ampunilah akan daku dan kedua ibu bapaku dan orang-orang yang beriman pada hari tegaknya hisab."


Wallahu a'lam.

July 25, 2006

Berpuasa di Bulan Rejab

Imam al-Nawawi (rahimahullah) menyebut:

“Tiada larangan dan tiada juga galakkan berhubung dengan bulan Rejab itu sendiri, walau bagaimanapun:

• berasaskan bahawa pada prinsipnya berpuasa itu sendiri merupakan suatu amalan yangdipuji, dan
• di dalam Sunan Abu Dawud, Rasulullah telah menggalakkan berpuasa di bulan-bulanHaram, dan bulan Rejab adalah salah satu dari bulan-bulan Haram.

Hadith Berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab

[1] `Uthman ibn Hakim al-Ansari berkata: "Aku bertanya Said ibn Jubair berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, dan kami sedang berada di bulan Rejab, dan beliau berkata:

“Aku mendengar Ibn ‘Abbas berkata: “Rasulullah pernah berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak akan berbuka sama sekali, dan beliau juga [ada ketikanya] tidak berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa beliau tidak berpuasa sama sekali”.

[Diriwayatkan oleh Muslim dan Abu Dawud dalam Kitab al-sawm, dalam bab berpuasa di bulan selain dari bulan Ramadhan, dan berpuasa di bulan Rejab]

Imam Nawawi seterusnya berkata bahawa:

"Berdasarkan hadith Said ibn Jubair dari Ibn `Abbas itu bolehlah dibuat kesimpulan bahawa berpuasa di bulan Rejab itu sendiri tidaklah dilarang dan tidaklah juga digalakkan secara khususnya, namun, ianya tertakluk kepada kaedah sepertimana berpuasa di bulan-bulan lain".

"Tiada dalil khusus yang mensabitkan secara nyata bahawa berpuasa di bulan Rejab itu dilarang mahupun digalakkan, namun berdasarkan prinsip bahawa berpuasa itu sendiri merupakan amalan perbuatan yang digalakkan dan di dalam Sunan Abu Dawud (*) menyebut bahawa Rasulullah telah menjadikan berpuasa di bulan-bulan Haram adalah amalan terpuji, maka bulan Rejab yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram, berpuasa di bulannya turut digalakkan. Wallahu alam.”

[Imam Nawawi, Sharh Sahih Muslim Kitab 13 Bab 34 #179]

(*) Di dalam Sunan Abu Dawud pada Kitab al-Siyam, pada Bab “Berpuasa di bulan-bulan Haram”, juga di dalam Ibn Majah dan Ahmad, di mana hadis seorang lelaki yang mengulangi kata-katanya kepada Rasulullah : "Aku boleh menanggung lebih dari itu," dan Rasulullah akhirnya bersabda:

"Berpuasalah di bulan-bulan Haram."

Ianya juga sabit bahawa Ibn `Umar berpuasa di bulan-bulan Haram.

[Lihat Musannaf `Abd al-Razzaq 4:293, Musannaf Ibn Abi Shayba 1:125]

[2] Abdullah, seorang hamba yang dibebaskan oleh Asma’, anak perempuan kepada Saidina Abu Bakar al-Siddiq, merupakan bapa saudara kepada anak ‘Ata melaporkan bahawa "Asma' telah mengutusku kepada Abdullah ibn `Umar dan berkata: "Telah sampai kepadaku bahawa kau mengharamkan tiga perkara: jubah berjalur, kain pelana diperbuat dari sutera merah dan berpuasa penuh di bulan Rejab.”

Abdullah menjawab: "Adapun berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab, bagaimana pula kiranya seseorang itu berpuasa sepanjang waktu? Adapun berhubung dengan pakaian berjalur, aku mendengar `Umar ibn al-Khattab berkara bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang memakai pakaian diperbuat dari sutera, tiada baginya saham buatnya di Hari Akhirat kelak." Dan aku khuatir jalur juga termasuk sebahagian darinya".

"Adapun berhubung dengan kain pelana merah, nah! ini adalah kain pelana Abdullah dan ianya adalah merah. Aku kembali kepada Asma’ dan memaklumkan kepada beliau, lalu beliau berkata: "Nah! Ini adalah jubah Rasulullah ," dan beliau keluarkan dan tunjukkan kepadaku jubah yang diperbuat dari kain Parsi dengan dihiasi dari jalur-jalur sutera, dengan bahagian hujung tangan jubah itu juga dihiasi sutera dan berkata: "Ini adalah jubah Rasulullah bersama `Aishah sehingga beliau ('Aishah) meninggal dunia, kemudiannya aku memilikinya. Rasulullah pernah memakainya dan kami membasuhnya kepada orang sakit supaya mereka dapatdisembuhkan dengan sebabnya."

[Diriwayatkan oleh Muslim dalam Kitab al-Libas]

Imam Nawawi seterusnya berkata: "`Jawapan Ibn Umar di atas berhubung dengan berpuasa di bulan Rejab itu adalah merupakan penafian beliau terhadap apa yang didengari oleh Asma’ kononnya beliau mengharamkannya, dan penegasan beliau bahawa beliau berpuasa penuh di bulan Rejab dan juga berpuasa sepanjang waktu, kecuali pada Hari Raya dan Tashriq. Ini adalah mazhab beliau dan mazhab bapanya, Saidina`Umar ibn al-Khattab, `Aisyah, Abu Talhah, dan lain-lain di kalangan Salaf, begitu juga Imam Shafi`e dan lain-lain. Pendirian mereka ialah puasa secara berterusan itu bukan sesuatu yang makruh.

[Pandangan lain Ibn ‘Umar melalui hadith diriwayatkan Ahmad di dalam kitabnya "al-Mughni" 3:167, di mana beliau tidak menggalakkan berpuasa sepenuhnya di bulan Rejab, tetapi berkata:“Berpuasalah sebahagiannya, dan berbukalah sebahagiannya.”]

* * * * *

Imam Nawawi seterusnya menambah: "Hadith ini adalah dalil bahawa digalakkan mengambil berkat dari barang peninggalan dan pakaian para solehin. (wa fi hadha al-hadith dalil `ala istihbab al-tabarruk bi āthār al-salihīn wa thiyābihim)."

[Sharh sahih Muslim Kitab 37 Bab 2 #10]

[3] Bayhaqi meriwayatkan dalam Shu`ab al-iman (#3802):

Abu Abdallah al-Hafiz dan Abu Muhammad ibn Abi Hamid al-Muqri telah berkata:

dari Abu al-`Abbas al-Asamm,
dari Ibrahim ibn Sulayman al-Barlisi,
dari Abdallah ibn Yusuf,
dari`Amer ibn Shibl,
yang berkata: "Aku mendengar Abu Qilabah berkata:

"Di sana ada suatu tempat di Syurga untuk mereka yang berpuasa di bulan Rejab.”

Imam Bayhaqi seterusnya menambah: "Walaupun ianya mawquf setakat Abu Qilabah (tidak sampai kepada Rasulullah), yang merupakan salah seorang Tabi’in, dia sesungguhnyya tidak mengucapkan sedemikian itu melainkan pernah mendengarnya dari orang yang pernah mendengar orang yang diturunkan kepadanya wahyu (iaitu Rasulullah ), dan kejayaan itu adalah dari Allah jua."

Selawat dan Salam buat Junjungan Rasulullah , kaum keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda.

GF Haddad ©

-Siap diterjemahkan dengan izin Sheikh Gibril Fuoad Haddad oleh Abu Afaf pada hari ini, 27/07/2006, bersamaan 2 Rejab 1427 di Edinburgh, Scotland-

[Sumber: http://www.abim.org.my/]

July 24, 2006

Kelebihan Berselawat ke atas Rasulullah SAW

Rasulullah SAW telah bersabda bahawa: "Malaikat Jibrail AS, Mikail AS, Israfil AS dan Izrail AS telah berkata kepadaku."

Berkata Jibrail AS: "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atas mu tiap-tiap hari sebanyak 10 kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi Titian Siratul Mustaqiim seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail AS: "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil AS: "Mereka yang berselawat kepada mu akan aku sujud kepada Allah SWT dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah SWT mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail AS pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atas mu, akan aku cabut roh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut roh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah SAW? Sedangkan para Malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW.

Marilah kita berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad SAW.

Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah SWT, Rasul dan para malaikat, insya-Allah, amiin.

Wallahu a'lam.

July 19, 2006

20 Tips Memelihara Hubungan Ibu Bapa dan Anak

1. Mulakan hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan.

2. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.

4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.

5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga. Seorang penulis menyatakan anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali.

7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, janganlah anda mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka beban.

8. Dengarlah cerita anak anda. Cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap.

9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkandiri. Mereka akan menirunya.

11. Buatlah sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut ulangtahun kelahirannya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.

12. Kemungkinan anak kita menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan kita mengajar mereka lebih daripada sekali.

13. Luangkanlah masa bersama anak anda di luar rumah. Peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa kepentingan kehadiran mereka dalam kehidupan anda suami isteri.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu 'real' dalam dunia mereka.

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Dalam masa yang sama, mereka akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam dari anda.

17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress menjadi ibu bapa.

18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Kelak anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripada keluarga.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka. 20 tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda.

Kain yang putih terpulang kepada anda untuk mewarnakannya. Semuanya di tangan anda. Fikir-fikirkanlah. Nampak mudah tapi bermakna.

Wallahu a'lam.

July 17, 2006

Apa Punca Anak Derhaka?

Berguraulah dengan anak kamu kala usianya 1 - 7 tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka; geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat.

Lepas 7 - 14 tahun, kita didik dan ajar. Kalau salah, pukullah dia sebagai pengajaran. Di mana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya. Bukan muka, punggung, telinga atau tempat-tempat yang sensitif.

Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan.

Kala umur mereka 14 - 21 tahun, jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka.

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang. Maka, mereka tidak akan tergamak menderhaka.

Dari pemerhatian, biasanya anak-anak yang lari daripada rumah berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah.

Yang penting, dia balik ke rumah suka dan pergi sekolah pun seronok. Mungkin ibu bapa beralasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain.

Tatkala balik di tengah malam, anak-anak telahpun tidur. Pergi ke bilik mereka dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur. Walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup.

Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka. Jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan 'bodoh, kurang ajar', sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka. Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.

Doa Anak-Anak Termakbul

Lazimnya, menjadi pantang kepada orang tua bila si anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar. Kerana pesan orang tua-tua, "Bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar."

Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima. Begitu juga dengan Rasulullah SAW. Kalau berjumpa anak-anak kecil, baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas. Jadi, jangan ambil endah tak endah.

Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegurpun, dengan ekor mata dan herdikan.

Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu. Kalau jumpa kawan yang baik, tidak mengapa. Tetapi kalau jumpa kawan yang samseng, sudah tentu membawa padah!

Bertaubat Sebelum Melarat

Jika Allah menurunkan hidayah, segeralah insaf dan bertaubat. Tetapi bagaimana caranya jika orang tua telah meninggal sedangkan sewaktu hidupnya kita derhaka dan melawan mereka?

Bila insaf, selalulah ziarah kubur emak ayah kita dan bacakan ayat-ayat suci untuknya. Jumpa semula kawan-kawan baik ibu ayah atau jiran-jiran yang masih hidup dan buat baik dengan mereka. Sedekah ke masjid atas nama ibu ayah.

Walaupun ibu ayah sudah meninggal, minta maaf berkali-kali semoga ibu bapa redha dan Allah SWT ampunkan dosa. Allah maha pengampun dan luas rahmatnya.

Tetapi jangan ambil kesempatan. Buat jahat kemudian bertaubat. Hidup tidak tenteram ataupun bala akan turun. Cuba kita perhatikan kemalangan yang berlaku setiap hari. Misalnya; tayar kereta pecah. Jangan lihat dengan mata kasar sahaja. Cuba selidiki apa kesalahan yang telah kita buat hari ini.

Pertama; bagaimana hubungan kita dengan Tuhan? Jika semuanya baik, turun ke peringkat kedua. Bagaimana pula hubungan dengan ibu? Pastikan hubungan dengannya sentiasa harmoni dan lancar. Tidak rugi menjalinkan hubungan yang baik kerana hayat mereka bukanlah terlalu panjang untuk bersama kita.

Hubungan dengan Bapa

Lazimnya ibu yang dilebihkan, sedangkan bapa menjeruk perasaan kerana tidak dipedulikan anak-anak. Hubungan dengan bapa sepatutnya sama dengan ibu.

Tetapi dalam konteks Islam, sekiranya berlaku pertembungan; Nabi suruh utamakan ibu dahulu. Tiga kali ibu, barulah sekali kepada bapa.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya kasih sayang dan perhatian biarlah sama agar kedua-duanya tidak berkecil hati.

Begitu juga dengan nenek, walaupun kata-katanya ada yang mengarut tetapi jangan melawan di depan mereka. Sebenarnya golongan nyanyuk dan tua banyak mencabar kesabaran kita. Walaupun Allah SWT tidak mengambil kira kata-kata mereka tetapi kita wajib mentaati dan menghormati golongan tua.

Usah Derhaka kepada Mertua

Mertua mesti dimuliakan seperti kita menghormati orang tua sendiri. Kalau mereka kecil hati, samalah seperti tersinggungnya hati emak. Kita sayang anaknya, kenapa tidak sayang orang tua yang melahirkannya juga?

Ada menantu kecil hati dan pendam perasaan terhadap mertua yang terlalu ambil berat tentang anaknya. Bersabarlah dan jalin hubungan baik kerana taraf mereka sama seperti ibu bapa kandung.

Kewajipan anak lelaki; pertama kepada Allah, kedua Rasul, ketiga emak dan emak mertua, keempat bapa dan bapa mertua dan kelima barulah isteri. Isteri kena faham. Kalau dia sayang dan melebihkan ibu bapa, itu memang wajar.

Sebaliknya kewajipan anak perempuan; yang pertama Allah, kedua Rasul dan ketiga suami.

Jalan pintas ke syurga bagi anak-anak selain Allah SWT, adalah emak dan ayahnya. Perasaan mertua perlu dijunjung kerana mereka berhak ke atas menantu.

Seperti kisah Nabi Allah Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail.

Suatu hari, Nabi Ibrahim ke rumah anaknya dan kebetulan Nabi Ismail tidak ada di rumah. Isterinya pun tidak kenal dengan mertuanya. Menantu berkasar menyebabkan Nabi Ibrahim kecil hati. Dan sebelum balik dia berpesan kepada menantunya suruh suaminya tukar alang rumah kepada yang baru.

Bila Nabi Ismail balik, isterinya pun menggambarkan rupa lelaki tersebut yang menyampaikan pesan. Nabi Ismail sedar itu adalah ayahnya. Nabi Ismail insaf. Di sebalik simbol kata-kata ayahnya bahawa isterinya bukan daripada kalangan wanita yang berakhlak, lalu isterinya diceraikan.

Nabi Ismail berkahwin kali kedua dan bapanya masih tidak mengenali menantu. Sekali lagi Nabi Ibrahim melawat dan menantunya melayan dengan bersopan santun walaupun tidak kenal siapa Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim tertarik hati dan sebelum balik berpesan lagi; katakan alang rumah anaknya sudah cukup baik dan jangan ditukar kepada yang lain.

Wallahu a'lam.

July 14, 2006

40 Kesilapan Mendidik Anak-Anak

Menurut Pakar Motivasi Dr Hasan Hj Mohd Ali, terdapat 40 kesilapan ibu bapa dalam mendidik anak-anak:

1. Pemilihan jodoh tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

2. Perhubungan suami isteri tanpa memperhitungkan mengenai zuriat

3. Kurang berlemah lembut terhadap anak-anak

4. Memaki hamun sebagai cara menegur kesilapan anak-anak

5. Tidak berusaha mempelbagaikan makanan yang disajikan kepada anak-anak

6. Jarang bersama anak-anak sewaktu mereka sedang makan

7. Melahirkan suasana yang kurang seronok ketika makan

8. Membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak-anak

9. Kurang melahirkan kasih sayang

10. Sering mengeluh di hadapan anak-anak

11. Tidak meraikan anak-anak ketika mereka pergi dan pulang dari sekolah

12. Tidak mengenalkan anak-anak dengan konsep keadilan

13. Tidak memberatkan pendidikan agama di kalangan anak-anak

14. Tidak terlibat dengan urusan pelajaran anak-anak

15. Tidak memprogramkan masa rehat dan riadah anak-anak

16. Tidak menggalakkan dan menyediakan suasana suka membaca

17. Mengizinkan anak-anak menjamah makanan dan minuman yang tidak halal

18. Tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik di hadapan anak-anak

19. Jarang meluangkan masa untuk bergurau senda dengan anak-anak

20. Terdapat jurang komunikasi di antara ibu bapa dengan anak-anak

21. Tidak menggunakan bahasa yang betul

22. Suka bertengkar di hadapan anak-anak

23. Sentiasa menunjukkan muka masam di hadapan anak-anak

24. Tidak membimbing anak-anak supaya mematuhi syariat Islam

25. Memberi kebebasan yang berlebihan kepada anak-anak

26. Terlalu mengongkong kebebasan anak-anak

27. Tidak menunaikan janji yang dibuat terhadap anak-anak

28. Tidak menunjukkan minat kepada aktiviti anak-anak

29. Tidak memupuk semangat membaca di kalangan anak-anak

30. Tidak berminat melayan pertanyaan atau kemusykilan anak-anak

31. Tidak memberi perhatian terhadap buah fikiran anak-anak

32. Lambat memberi penghargaan kepada anak-anak

33. Kerap meleteri sesuatu kesilapan yang dilakukan anak-anak

34. Hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan

35. Sering mengancam dan menakutkan anak-anak

36. Menghukum tanpa menyatakan kesalahan yang dilakukan

37. Tidak konsisten dalam menjatuhkan hukuman ke atas anak-anak

38. Memberi nasihat yang sama kepada anak-anak

39. Tidak tegas mendidik anak-anak

40. Tidak menggalakkan anak-anak hidup bekerjasama

Teknik mengajar anak MENGHORMATI dan mengeratkan hubungan anak dengan ibu bapanya:

I. Jika si ibu marahkan anak, bapa DILARANG backing anak semasa anak itu dimarahi. Begitulah sebaliknya.

Jika tidak, anak akan hilang rasa hormat terhadap ibu atau bapa yang memarahinya. Anak mencontohi apa yg diajar atau dididik oleh ibu bapanya.

Apabila berlaku percanggahan arahan, anak akan menjadi keliru akan arahan siapakah yang patut dipatuhi sama ada si ibu ataupun si bapa.

Apabila berlaku pertentangan pendapat yang ditunjukkan ibu dan bapa ke atas anak ketika anak dimarahi, ia telah menjatuhkan MARUAH dan MARTABAT orang yang memarahi (ibu/bapa).

Anak hilang rasa hormat dan merasakan perbuatan nakal mereka adalah betul belaka kerana ada yang backing.

II. Bapa DILARANG menengking/mengherdik/bertengkar dengan Ibu di hadapan anak-anak. Begitulah sebaliknya.

Anak mencontohi tindak tanduk ibu bapa. Satu rutin putaran kehidupan akan kembali dilakukan oleh anak ke atas ibu yang sering ditengking oleh bapa di hadapan anak-anak.

III. Sentiasa masak untuk anak dan ajak anak sama-sama masak dan makan. Masakan hasil tangan ibu dapat mengeratkan hubungan rohani di antara ibu dan anak.

IV. Ibu bapa MESTI makan bersama anak-anak.

Wallahu a'lam.

July 12, 2006

Memelihara Rumahtangga

Setiap Muslim hendaklah mengawal rumahtangganya daripada gangguan syaitan dan iblis.

Antara cara untuk memelihara rumahtangga daripada gangguan syaitan adalah:

1. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala, membawa berkat dan menyelamatkan penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan.

2. Zikir ketika masuk dan keluar rumah

Daripada Abu Malik Al-Asyaari bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri. Kemudian memberi salam kepada keluarga."
(Riwayat Abu Daud).

3. Memberi salam kepada keluarga dan ahli rumah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik." (Surah An-Nur: ayat 61)

Imam An-Nawawi berkata: "Disukai untuk mengucapkan salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah itu ada orang atau pun tidak."

Rumah yang tiada penghuni perlu juga diberi salam sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi salam dijamin Allah SWT keselamatannya.

4. Zikir ketika makan dan minum

Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: "Aku tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: "Aku boleh menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: "Aku boleh bermalam dan makan malam."
(Riwayat Muslim)

5. Membersihkan rumah daripada gambar patung

Islam melarang segala bentuk gambar patung disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada gambar patung atau tanda salib dalamnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah melihatnya, baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya.

Maka, diketahui daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: "Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosaku?"

Baginda bersabda: "Bagaimana keadaan bantal kecil ini?"

Aisyah menjawab: "Aku sudah membelinya untuk engkau duduk padanya dan bersandar."

Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dan dikatakan kepada mereka: hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu."

Imam An-Nawawi berkata: Jika hendak membuat juga gambar itu, maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya.

Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.

6. Membanyakkan solat sunat di rumah

Solat yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke rumah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur."
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).

Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat sunat di rumah.

Rasulullah SAW selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum solat fardhu di masjid seperti sabdanya bermaksud:

"Wahai manusia, solatlah kamu (sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdhal adalah di rumahnya kecuali solat wajib." (Riwayat Nasai')

7. Harmonikan rumahtangga

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsana di atas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu."
(Riwayat Muslim dan Nawawi)

Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni, ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada gangguan syaitan dan konconya.

8. Bentengkan anak daripada gangguan syaitan

Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir (doa) pada waktu jimak 'bersama' bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan dari awal lagi.

Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri, hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: "Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu selama-lamanya."
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi)

Daripada Abi Rafi' bahawa beliau melihat Rasulullah SAW mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan sihat.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian ucapkan doa bermaksud:

"Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman berbahaya serta daripada semua mata yang jahat."

Rasulullah SAW memohon perlindungan kepada Allah SWT dengan doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan:

"Sesungguhnya bapa kamu berdua memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak."
(Riwayat Bukhari dan At-Tirmizi)

Wallahu a'lam.

July 10, 2006

Fahami Fikiran Anak apabila Mendidik

Mendidik anak perlu bersandarkan pengetahuan. Meniru cara didikan dari keluarga yang anda anggap cemerlang semata-mata tanpa menyesuaikannya dengan keperluan keluarga anda serta kemampuan diri hanya akan menyebabkan anda dianggap sebagai ibu bapa yang tidak berpendirian.

Didikan awal kanak-kanak amatlah penting kerana ia membawa kepada corak keperibadiannya pada masa depan. Mustahaknya aspek itu sehinggakan Islam amat menitikberatkan didikan anak-anak dan menggalakkan agar ibu bapa melalui kehidupan yang sempurna.

Malah Imam Al-Ghazali pernah menyatakan: "Hendaknya anak kecil diberi kesempatan bermain. Melarangnya bermain dan menyibukkannya dengan belajar terus akan mematikan hatinya, mengurangi kecerdasannya dan membuatnya jemu terhadap hidup. Sehingga dia akan sering mencari alasan untuk membebaskan diri daripada keadaan sesak itu."

Dalam hal ini, biarlah anak kecil bebas melakukan apa yang mereka suka asalkan tidak memudaratkan diri dan orang lain serta berfaedah untuk dirinya. Namun kegiatan itu perlu dipantau agar tidak melanggar syariat Islam.

Malangnya, segelintir ibu bapa hari ini masih kurang memahami aspek didikan menyebabkan anak menjadi keliru mengenai kewujudan dirinya dalam keluarga.

Pakar Psikiatrik Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Selayang, Dr Fauzi Ismail berkata; beberapa ciri keibubapaan yang dikenalpasti diamalkan hari ini ialah: 1. Mengarah, 2. Menyekat, 3. Membenarkan dan 4. Mendidik.

Jelasnya, ibu bapa yang gemar mengarah selalunya berpunca dari ibu bapa yang tidak bersedia menimang anak menyebabkan kehadiran mereka dianggap tidak penting.


Sementara itu, ibu bapa yang gemar menyekat atau cenderung mengongkong apa yang dilakukan anak sehingga menyebabkan segala tindakan yang dilakukan oleh anak semuanya tidak betul. Malah mereka mudah menghukum.

Ibu bapa yang gemar membenarkan pula turut menimbulkan kemudaratan kerana sikap membenarkan atau membiarkan sahaja segala tindak-tanduk anak tanpa memikirkan dan mempedulikan akan kesan positif dan negatif tindak-tanduk anak tersebut.


Keibubapaan yang terbaik ialah membimbing dan memberikan tunjuk ajar serta menghukum apabila silap, tetapi memberikan kebebasan apabila perlu.
Didikan dianggap aspek paling penting kerana ia adalah acuan awal untuk membentuk keperibadian mereka apabila mereka dewasa kelak.

Kita biasa mendengar orang selalu berkata, "Alaaa... budak-budak, biasalah kena marah. Kalau tak, mereka tak tau (tak belajar)."

Sebenarnya, kanak-kanak boleh dimarahi tetapi marah itu perlu diiringi dengan kemahiran. Jangan sampai anak menyangka ibu bapa marah kerana membencinya dan bukan kerana ingin memperbetulkan kesilapannya.

Ada segelintir anak yang secara luarannya nampak selamba dan tidak kisah apabila dimarahi. Tetapi jangan terkejut, kerana ada di antara mereka yang menyimpan dendam dan membuat tanggapan bahawa ibu bapa membencinya. Sehingga menyebabkan apabila mereka dewasa kelak, mereka enggan berjumpa dengan ibu bapanya sendiri.

Didikan yang kurang sempurna boleh memberikan kesan kepada anak menyebabkan anak kurang keyakinan diri. Mereka sering ketinggalan di dalam kelas dan mempunyai masalah disiplin.

Sebaliknya, didikan yang sempurna mampu merapatkan hubungan kekeluargaan, melahirkan anak yang ceria dan cemerlang serta yakin terhadap kemampuan diri sendiri kerana ibu bapa sering memberikan sokongan moral.

Ibu bapa sering tersalah anggap dengan mengatakan bahawa anak tidak memahami apa yang mereka lalui. Sehingga menyebabkan mereka cenderung menipu.


Sebagai contoh andai seorang ibu menitiskan airmata kerana dikasari oleh suaminya, dia boleh katakan pada si anak, "Mak menangis sebab dimarahi oleh ayahmu."

Kenyataan itu sudah cukup walaupun tidak menerangkan sebab dia dimarahi. Tetapi yang paling penting, jangan menipu. Jangan menitipkan elemen menipu dalam keluarga kerana kesannya amatlah buruk.

Selain aspek didikan, apa yang ditonton oleh anak-anak seperti tv dan komputer turut mempengaruhi sikap mereka. Media hiburan ini sebenarnya dapat dikawal oleh ibu bapa. Asalkan sahaja mereka sentiasa mengambil berat tentang apa yang ditonton oleh anak-anak. Ini termasuklah memantau jenis cerita/bahan yang ditonton dan jangka masa yang diberikan kepada anak untuk menonton.

Program bercorak hiburan dan keseronokan semata-mata tanpa menyisipkan elemen ilmu hanya membuang masa. Program seperti realiti TV yang semakin digilai kini, juga harus diperhalusi. Kerana tidak semua program yang dilihat itu mendatangkan manfaat.


Namun dalam mendidik anak-anak, ibu bapa seharusnya menjadi 'role model' dan bukannya menjadi 'ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul'.

Sekiranya anak dilarang menonton tv terlalu lama, ibu bapa juga seharusnya menghadkan masa menonton. Jangan menjadi mangsa TV.

Ibu bapa perlu sedar sekiranya mereka ingin membentuk anak menjadi sempurna, ia perlu dimulai dengan diri sendiri. Berkasih sayanglah sesama sendiri kerana kasih sayang itu mampu diluahkan dan diterapkan dalam diri anak-anak.

Fakta Mendidik anak

Kurangkan hukuman fizikal kerana ia hanya menyakitkan tetapi kurang memberikan kesan dalam mendidik. Sekiranya anak melakukan kesalahan yang perlu diberikan denda, jelaskan apa kesalahan yang telah mereka lakukan dan kenapa denda itu perlu dilakukan.

Contohnya: "Kita mempunyai undang-undang dalam keluarga yang tidak membenarkan pulang lewat dari jam 7.00 malam, dan ia perlu dipatuhi" dan anak akan menerima kesalahan itu kerana dia tahu dia telah melanggar peraturan dengan pulang lewat pada jam 10.00 malam.

Hukuman boleh dikenakan kepada anak sebagai pengajaran tetapi beberapa perkara perlu diambil kira iaitu jangan marah ketika anda berada dalam keadaan marah; mengherdiknya di hadapan orang ramai atau kawan-kawannya; jangan memarahi dia kerana dirinya tetapi sebaliknya atas kesalahan yang telah dilakukannya.

Ibu bapa jangan terlalu berharap mendapat anak yang sempurna dari segala segi kerana ia adalah biasa andai anak melakukan kesilapan apatah lagi manusia sememangnya tidak sempurna. Ia amat bergantung kepada sejauh mana kemampuan ibu bapa itu sendiri.

Matlamat disiplin ialah untuk mengawal dan membentuk keperibadian anak dengan sempurna. Ada ibu bapa yang gembira jika mampu mengawal anak seperti 'remote control'.


Tetapi pernahkah anda terfikir bahawa anak itu mungkin mengikut hanya kerana rasa takut dan bukannya kerana rasa hormat kepada anda sebagai ibu bapa!

Adakah itu yang anda mahukan???

[Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof, Berita Harian 8/9/05]

July 07, 2006

Surah untuk Menjadikan Anak Pintar

KUALA LUMPUR: Ibu kepada kanak-kanak pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 6, gemar membaca Surah Maryam, Yusuf dan Luqman sebagai amalan harian terutama pada waktu lapang ketika mengandungkannya.

Serihana Elias, 30, berkata; dia juga tidak dapat melupakan peristiwa bermimpi melihat sebutir berlian di langit, hasil gabungan lima bintang yang cukup terang dan bersinar-sinar ketika berusia belasan tahun dan percaya ia ada kaitan dengan kelahiran Adi Putra.

“Mengandungkannya tidak sama mengandungkan dua anak yang lain. Naluri untuk mengaji dan membaca tiga surah berkenaan lebih kuat. Kalau hari ini saya membaca Surah Maryam berulang-ulang kali, keesokannya pula saya membaca Surah Yusuf dan Luqman” kata Serihana ketika menceritakan amalan dilakukannya ketika mengandungkan anak bongsunya itu.

Serihana yang mendirikan rumahtangga dengan Abdul Ghani Abdul Wahid ketika berusia 18 tahun berkata, amalan membaca al-Quran ketika mengandung sudah menjadi kebiasaan kepada dirinya.

“Ketika mengandungkan dua anak yang lain iaitu Amirul Ezuan, 10, dan Seri Amelia, 8, saya tidak menumpukan kepada tiga surah saja. Sebaliknya akan membaca keseluruhan surah dalam al-Quran” katanya yang pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Menengah Slim River, Perak selama lima tahun.

Adi Putra yang belajar sendiri di rumah bersama ibu bapanya dianggap pakar dalam menyelesaikan soalan Algebra, Trigonometri dan Indeks dan kepintarannya itu menyebabkan beberapa guru gemar merujuk kepadanya mengenai formula tertentu menyelesaikan soalan matematik.

Dia sering menghadiri majlis motivasi anjuran pelbagai pihak dan sehingga kini sudah menerima 26 sijil penghargaan, termasuk diiktiraf sebagai pakar motivasi daripada Majlis Guru Besar Daerah Larut, Matang dan Selama.

Kepintarannya juga menyebabkan ada sekolah rendah dan menengah menjemputnya untuk memberikan motivasi, selain dua institusi pengajian tinggi seperti Politeknik Tanjung Malim dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Semalam, Adi Putra ditemani bapanya, Abdul Ghani, 47, dan Serihana menghadiri Program Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3.

Esok pula, Adi Putra akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Menurut Serihana, dia tidak dapat melupakan mimpi itu sampai bila-bila kerana bukan mimpi biasa sebagai mainan tidur.

“Mimpi itu penuh makna kerana saya melihat lima bintang membentuk sebutir permata yang bersinar-sinar di langit."

“Mulanya saya sangka kehidupan menjadi semakin hebat sebelum berkahwin, tetapi biasa saja. Bagaimanapun, selepas berkahwin dan menimang cahayamata bernama Adi Putra, barulah saya sedar mungkin mimpi itu sebagai petunjuk kelahiran insan istimewa” katanya.

Ibu kepada tiga cahayamata itu mengatakan kepintaran luarbiasa Adi Putra dikesan ketika anak bongsunya itu dapat menghafal sifir Matematik sekaligus membetulkan kesilapan sifir yang diperdengarkan abang sulung.

Adi Putra anak yang istimewa. Dia mempunyai aura yang sama sekali tidak dimiliki kanak-kanak lain seusianya. Kepintarannya agak luarbiasa sehingga mampu menyelesaikan masalah Matematik, selain mencipta formulanya sendiri."

“Saya sama sekali tidak menduga Adi Putra mampu menghafal sifir. Mustahil bagi seorang kanak-kanak berusia empat tahun dapat menghafal sifir berkenaan. Lagipun dia tidak pernah mendapat pendidikan secara formal di sekolah ataupun mendalami subjek itu."

“Pada mulanya Adi Putra sekadar menangis meminta untuk dia turut sama menghafal sifir seperti abangnya. Bagaimanapun saya tersentak, selepas dia mampu menghafal sifir dua, sebelum menghafal keseluruhan sifir terakhir iaitu dua belas” katanya.

Sambil berbangga dengan kepintaran anaknya, Serihana berkata; dia bukan saja seorang pintar tetapi bercita-cita untuk menjadi Profesor Matematik Islam berjaya sekaligus menyebarkan ilmu dimiliki kepada masyarakat.

Sikap suaminya yang penyayang dan mengambil berat terhadap anak sedikit sebanyak menaikkan motivasi Adi Putra dan anak lain.

“Dua petua yang diamalkan suami yang sewajarnya diikuti ibu bapa; pertamanya mereka perlu memilih nama yang baik dan keduanya nama anak perlulah dipanggil dengan nama penuh kerana mempunyai kaitan dengan pintu rezeki mereka” katanya.

Difahamkan Adi Putra yang bertemankan sebuah komputer akan dapat menyelesaikan masalah Matematik atau menemui formula baru, selepas mendapat ilham antara jam 12 tengah malam sehingga empat pagi.

Dia turut menanam azam tinggi untuk menabur bakti seperti idolanya iaitu Naib Canselor Kolej Universiti Teknologi Antarabangsa Twintech, Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.

Adi Putra pernah menunjukkan kepintaran luarbiasanya dalam Ujian Kepintaran Minda di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau Baru, Kuala Kurau, Perak apabila memberi jawapan betul dan pantas mengalahkan 19 guru dan 230 murid Tahun Satu hingga Enam sekolah berkenaan.

Malah, kanak-kanak itu hanya mengambil masa kurang satu minit menjawab soalan asas matematik, manakala soalan peringkat sekolah menengah dan asas universiti pula kurang lima minit dengan hanya menggunakan jari dan kekuatan ingatannya.

Wallahu a'lam.

July 05, 2006

Bursa Saham Blog

Ini satu penemuan yang mengejutkan dan secara kebetulan saya menemuinya di internet sewaktu tengah "searching info" semalam...

Jangan tak caya! Blog pun ada bursa sahamnya gak... kehkehkeh [it's include your blog, pn. limau]

Let's check it out:

http://blogshares.com/blogs.php?blog=http%3A%2F%2Fsofira.blogspot.com%2F


Nukilan Sofiee

General
URL : http://sofira.blogspot.com/
BSID # : 2991429
Valuation : B$6,544.55
Added : 09:17 20 Apr 2005
Status : Available to Trade.
Industries
None[
Vote for which Industry this blog belongs to][Who voted this blog's industries]
Problem?
Report an Error with this listing
Valuations are updated when the blog is re-indexed.

Statistics
Incoming Links : 16
Outgoing Links : 0
Outgoing Link Value : B$6,644.55
Market Share : 0.00014 %
Statistics are only updated when the blog is re-indexed.

Top 100 Incoming Links

This is a list of the most valuable incoming links at the time OTHER blogs are indexed. It is indicative of FUTURE value not CURRENT value.
1. words to me (B$688.57)
2. LoLLy (B$658.68)
3. TasTE Of LiFe (B$626.60)
4. Cantik Menarik Tertarik D'Bomb (B$550.00)
5. me01my (B$464.87)
6. Fir[Z]anah Amni (B$421.59)
7. words to me (B$366.67)
8. Inner Peace (B$364.31)
9. The Ups & Down of the journey... (B$360.34)

10. mailto:y@ti (B$338.81)
11. ....SIMPLe, SEMPOi & SLUMBEr (B$233.63)
12. Nash Wuz Here (B$229.18)
13. Happiness shared becomes double (B$151.42)
14. nasz (B$149.09)
15. Ke Dalam Diri....... (B$135.19)
16. wanita dan keluarga (B$119.51)
17. Somewhere under the rainbow..... (B$99.41)

Sub-Notes:
* For last 7 days
** Transactions in last 24 hours
*** Artefact Efficiency Level - Estimate of Hype/PRD Performance.



July 03, 2006

Aset Produktif

Berapa perbelanjaan yang telah anda buat bukanlah ukuran betapa kaya dan besarnya pendapatan anda.

Sebaliknya, kekayaan anda mestilah diukur dengan berapa jumlah aset yang anda miliki yang dapat memberi pendapatan tambahan kepada anda.

Perlu diingat bukannya berapa banyak perabot yang anda miliki atau berapa banyak pakaian berjenama yang anda pakai atau betapa mewahnya kenderaan yang anda naiki.

Di sini ada beberapa aset yang anda boleh beli yang pastinya akan memberi pulangan (wang) kepada anda. Selain kurang risiko, ia tidak memerlukan perhatian yang keterlaluan untuk diuruskan.

1. Rumah yang disewakan

Memiliki aset seperti rumah, rumah kedai atau bangunan yang disewakan merupakan aset terbaik yang boleh anda miliki. Bayangkan jika anda menyewakan rumah yang dibeli [dengan harga ansuran bulanan ke pihak bank sebanyak RM700 sebulan] pada kadar RM1,000 sebulan; anda sebenarnya sudah untung RM300 setiap bulan ditambah pula dengan bayaran bank yang dilunasi oleh penyewa anda. Anda akhirnya tidak keluar walau sesen pun, sedangkan anda dapat memiliki rumah dan pendapatan tambahan (sewaan) setiap bulan.

2. Kenderaan yang disewakan

Memiliki van, bas, lori atau kereta dan kemudiannya disewakan adalah suatu tindakan yang bijak. Anda boleh sahaja menyewakan kenderaan tersebut kepada mana-mana pihak yang berminat seperti pengusaha agensi pelancongan, pihak hotel, restoran ataupun syarikat pengangkutan yang membawa pekerja kilang, murid-murid sekolah dan lain-lain.

3. Wang deposit di bank atau institusi kewangan

Anda tentu sahaja akan mendapat faedahnya setiap tahun. Pada masa kini, sudah banyak institusi kewangan yang menawarkan sistem perbankan secara Islam. Pilih sahaja bank mana yang mampu menawarkan pulangan yang bagus dan diyakini ketelusannya. Dan laburkanlah wang tunai anda. Ingat wang banyak sekalipun tetapi jika hanya disimpan di dalam tabung di rumah, ia tetap tidak menjadi aset produktif!

4. Perniagaan

Melabur di dalam perniagaan yang rendah risiko adalah aset yang produktif. Tentu sahaja anda akan dapat mengaut keuntungan pada setiap bulan, 3 bulan sekali, 6 bulan sekali ataupun setahun sekali. Bergantung kepada bagaimana keuntungan syarikat dibahagikan.

Selain aset yang dinyatakan tadi, ada beberapa lagi aset lain yang anda boleh miliki tetapi pulangannya agak memakan masa. Namun ia mampu memberi pulangan yang lebih besar. Untuk aset-aset seperti ini, anda perlu menyimpannya terlebih dahulu untuk satu tempoh masa yang agak lama.

Namun aset seperti ini agak berisiko kerana kadangkala aset tersebut boleh turun nilainya. Aset-aset ini seperti emas, saham dan lain-lain yang pasarannya bergantung pada pasaran dunia.

Jadi sekarang bagaimana? Anda pastinya sudah faham, aset bagaimana yang wajar anda miliki agar ia benar-benar memberi keuntungan dan pendapatan tambahan untuk anda.

Mungkin satu hari nanti anda bercadang untuk bersara. Jadi, pastinya anda mahukan persaraan yang aman dan tenang dengan wang yang mencukupi.

Wallahu a'lam.