October 31, 2006

Anjuran Bersedekah

Daripada Abu Hurairah RA berkata:

Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: "Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya?"

Nabi SAW menjawab: "Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila roh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata: Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain."

[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Pengajaran Hadis

Sedekah atau derma adalah amalan soleh yang sukar dilakukan oleh seseorang.

Amalan ini biasanya dilaksanakan berdasarkan kewajipan seperti zakat atau dalam bentuk kesedaran yang timbul dalam hati seseorang kerana menganggap ia sebagai aset kekal yang akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Terdapat sebahagian daripada umat Islam yang enggan melakukan amalan mulia ini dalam kehidupan seharian.

Nabi SAW menjelaskan punca masalah ini ialah perasaan takut menjadi fakir apabila banyak bersedekah, lalu manusia berusaha lebih kuat lagi untuk mengumpul dan menambahkan kekayaan yang sedia ada.

Melalui hadis di atas, Nabi SAW menerangkan waktu terbaik untuk melakukan amalan sedekah. Baginda menyarankan supaya sedekah dilaksanakan apabila seseorang itu masih sihat dan terlalu sayangkan kepada hartanya.

Jika dilakukan sedekah pada masa ini, bermakna seseorang itu sudah berjaya melawan godaan syaitan dan hawa nafsu yang selalu menakutkannya dengan pelbagai kesan negatif.

Kemampuan menghadapi serangan dua musuh ini, bererti ia telah meraih kejayaan yang sangat besar.

Pada masa yang sama, baginda juga menghuraikan situasi orang yang suka menangguhkan amalan bersedekah hingga berada di saat sakit tenat.

Nabi SAW melarang umat Islam daripada bertindak secara demikian. Ini adalah kerana jika tidak dilakukan sedekah pada masa itu, orang yang masih hidup (waris) akan tetap mendapat harta yang ditinggalkan.

Sekiranya, penerima harta itu membelanjakan harta mengikut yang ditetapkan oleh syariat Islam, maka si mati akan mendapat keuntungan.

Namun jika harta yang ditinggalkan hanya disia-siakan atau digunakan untuk melakukan kemungkaran, maka si matilah yang letih mencari harta dengan membanting tulang dan memerah keringat semasa hidup. Ia juga akan dihisab di hadapan Allah SWT sedangkan ahli-ahli waris bersenang-senang dengan harta tersebut.

Kesimpulannya, agama Islam amat menggalakkan umatnya melakukan amalan sedekah dengan menggunakan harta yang paling baik.

Lakukanlah amalan ini dengan segera dan janganlah bertangguh. Semoga Allah SWT menerima segala amalan soleh tersebut.

Wallahu a'lam.

October 30, 2006

Usahawan Berjaya di Rumah

Bagi wanita bekerjaya, bekerja dan menguruskan rumahtangga bukan suatu perkara yang mudah. Jika memilih berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga di samping membantu menambah pendapatan keluarga; mungkin kemahiran yang ada pada diri anda boleh dimanfaatkan.

Pada rencana lepas, kita telah berbincang mengenai kemahiran yang boleh ditukar menjadi kerjaya di rumah. Kali ini, kita bincang pula cara hendak memulakannya.

Bisnes atau perniagaan sering dikaitkan dengan modal besar, risiko tinggi dan persaingan.


Tetapi ia sebenarnya boleh dimulakan dengan modal yang kecil dan persediaan yang baik dan teliti pasti mampu bersaing dengan baik. Bagaimana?

Langkah pertama

Kenalpasti tujuan utama perniagaan kita (business goals).

Adakah untuk mendapat wang banyak atau untuk membolehkan kita meluangkan lebih masa dengan keluarga, atau adakah untuk memberi perkhidmatan yang amat diperlukan oleh orang ramai?

Ini adalah penting kerana ia akan menjadi batu pengukur kejayaan kita. Mungkin kita tidak mendapat wang berjuta, tetapi jika tujuan kita ialah untuk meluangkan lebih masa dengan keluarga dan ia tercapai, kita telah berjaya!

Kenalpasti bentuk perniagaan.
Ingat, untuk berjaya dalam perniagaan (dan mana-mana bidang pun), kita harus bersedia bekerja keras.
Jangan ambil jalan pintas untuk berjaya dengan melibatkan diri dalam perniagaan “cepat kaya” atau yang menyalahi undang-undang dan agama. Sungguhpun lumayan, adakah ia berkat? Tepuk dada tanya iman.
Hobi menjadi perniagaan
1. Jika gemar memasak, boleh saja buka perkhidmatan “catering” untuk acara tertentu. Di rumah saja tidak perlu membuka restoran dengan belanja besar.
Atau anda boleh juga menyediakan kuih-muih dalam bentuk “packs” untuk pejabat-pejabat atau sekolah bagi Hari Sukan, seminar dan sebagainya.
Jika bekerjaya Guru, buka pusat tuisyen di rumah.
Begitu juga jika kita Akauntan, anda boleh menawarkan perkhidmatan nasihat perakaunan (book keeping dll) untuk syarikat dari rumah anda.
2. Tawarkan perkhidmatan istimewa (specialty market).
Jaga orang semasa pantang.
Ramai wanita di bandar sukar mendapatkan perkhidmatan selepas bersalin yang baik. Anda boleh menawarkan perkhidmatan ini yang turut menyediakan penjagaan bayi dan ibu semasa berpantang, khidmat berurut dan makanan semasa berpantang.
Lihatlah contoh kejayaan “Confinement Services” bangsa lain yang boleh dijadikan inspirasi.
Rawatan rambut wanita bertudung?
Mungkin mereka lebih selesa datang ke rumah anda yang menyediakan bilik tertutup agar aurat mereka terjaga daripada ke salon luar?
Anda juga boleh menawarkan khidmat rumah ke rumah untuk mereka yang kurang upaya atau yang memerlukan perhatian khas.
3. Menjadi agen pemasaran.
Terdapat syarikat yang mencari agen untuk memasarkan produk mereka (termasuk UmmikuSayang.com).
Anda cuma perlu membuat pelaburan kecil untuk menjadi agen pemasaran mereka.
Jika anda menemui produk yang menarik tetapi sukar didapati di tempat anda, hubungi syarikat tersebut untuk mengetahui jika mereka memerlukan agen pemasaran untuk memasarkan produk tersebut.
Agen insurans dan “unit trust” selalu mencari mereka yang boleh menjadi agen mereka. Jika anda berminat dalam bidang perundingan kewangan dan mahu membantu orang lain dalam masalah kewangan, mungin anda boleh mencuba bidang ini.
Anda juga boleh menceburi bidang “multi-level marketing” jika berminat. Tetapi pastikan produk itu adalah sesuatu yang anda percayai juga dan boleh dimanfaatkan oleh orang lain.
4. Tawarkan perkhidmatan yang diperlukan.
Apakah yang amat diperlukan oleh penduduk setempat anda?
Adakah mereka mencari penjaga kanak-kanak? Jika ya, mungkin satu peluang untuk memulakan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak dari rumah anda?

Adakah mereka sukar mendapatkan makanan organic untuk kesihatan? Mungkin anda boleh menjadi pembekalnya?

Atau mereka mencari agen menguruskan Haji dan Umrah? Anda menjadi agen untuk bidang ini.

Sertailah persatuan penduduk atau tanyalah mereka yang anda kenali akan apa yang mereka perlukan.
Anda mungkin boleh menyelesaikan pencarian mereka dan menjadi usahawan yang berjaya dari rumah!
5. E-Perniagaan.
Salah satu perniagaan yang boleh dibuat ialah e-niaga (e-business) di mana anda menjual dan memasarkan produk anda melalui internet.
Carilah produk yang boleh dipasarkan dengan mudah melalui internet seperti buku, pakaian, aksesori wanita dan sebagainya.

Cari juga produk yang mudah didapati di Malaysia tetapi sukar didapati di luar negara.

Contohnya, tudung wanita yang berbagai corak mungkin sukar didapati oleh wanita Muslim di negara barat.

Begitu juga pakaian kanak-kanak Muslim mungkin amat dicari oleh keluarga Muslim di luar negara.

Layarilah internet untuk mendapat maklumat mengenai permintaan di luar negara dan apa yang diperlukan oleh mereka. Seperti perniagaan lain, perniagaan dari rumah memerlukan komitment dan ketekunan untuk menjayakannya.

Buatlah kajian yang rapi dengan menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan juga swasta.

Ilmu, usaha dan doa merupakan tangga kepada kejayaan kita, insya-Allah.
Wallahu a'lam.

October 29, 2006

Zikrullah

Muaz bin Jabal r.a. memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bahawa penghuni-penghuni syurga setelah tibanya di syurga tidak akan menyesal dan tidak akan berdukacita mengenai suatu apapun kecuali masa yang telah berlalu dalam dunia tanpa zikrullah."

Apabila penghuni-penghuni syurga menyaksikan pahala ganjaran yang bertimbun-timbun laksana gunung bagi sebutan nama Allah yang Maha Suci yang ia sebutkan di dalam dunia hanya sekali sahaja, maka dia akan menyesal seraya berkata:

"Alangkah ruginya aku kerana masaku yang banyak terbuang di dunia tanpa zikir."

Hafiz Ibnu Hajar r.a. menulis dalam kitabnya 'Al-Munabbihat' bahawa Yahya bin Muaz r.a. (seorang ahlullah yang terkemuka di mana-mana di dunia ini) sering berkata di dalam munajatnya:

"Ya ALLAH, hamba tidak merasa gembira di malam hari kecuali dengan bermunajat dan berbisik-bisik kepada Engkau. Dan hamba tidak berasa gembira di siang hari kecuali dengan beribadah kepada Engkau. Dan hamba tidak merasa gembira di dunia ini kecuali dengan menyebut nama Engkau yang Maha Agung. Dan hamba tidak akan berasa puas di alam akhirat kecuali dengan pengampunan Engkau (terhadap dosa-dosaku). Dan hamba tidak akan berdukacita di syurga kecuali dengan menyaksikan wajah Engkau (Yang Maha Indah).”

Fadhilat Zikir

20 fadhilat yang diperolehi oleh orang-orang yang berzikir apabila orang itu benar-benar mengerjakan zikirnya menurut cara yang dikehendaki oleh Allah dan RasulNya.

1. Mewujudkan tanda baik sangka kepada Allah dengan amal soleh ini.

2. Menghasilkan rahmat dan hidayah Allah.

3. Memperolehi sebutan dari Allah di hadapan hamba-hamba yang terpilih.

4. Membimbing hati dengan mengingat Allah dan menyebut Allah.

5. Melepaskan diri dari azab.

6. Memelihara diri dari gangguan syaitan khannas dan membenteng diri dari maksiat.

7. Mendatangkan kebahagiaan dunia dan akhirat.

8. Mendapatkan darjat yang mulia di sisi Allah.

9. Memberikan sinaran kepada hati dan menghilangkan keruhan jiwa.

10. Menghasilkan tegaknya satu rangka dari Iman dan Islam.

11. Menghasilkan kemuliaan dan kehormatan di hari kiamat.

12. Melepaskan diri dari penyesalan.

13. Memperolehi penjagaan dan pengawalan dari para malaikat.

14. Menyebabkan Allah bertanya kepada para Malaikat yang menjadi utusan Allah tentang keadaan orang-orang yang berzikir itu.

15. Menyebabkan berbahagianya orang-orang yang duduk beserta orang-orang yang berzikir, walaupun orang yang turut duduk itu orang yang tidak berbahagia.

16. Menyebabkan dipandang ahlul ihsan, dipandang orang-orang yang berbahagia dan memperolehi kebaikan.

17. Menghasilkan keampunan dan keredhaan Allah.

18. Menyebabkan terlepas dari suatu pintu fasik dan derhaka. Kerana orang yang tiada mahu menyebut Allah (berzikir) dihukum orang yang fasik.

19. Merupakan ukuran untuk mengetahui darjat yang diperolehi di sisi Allah.

20. Menyebabkan para Nabi-nabi dan orang-orang Mujahidin (syuhada) menyukai dan mengasihi.

Zikir Membersihkan Hati

Adalah disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa baginda Rasulullah s.a.w bersabda:

"Bagi segala sesuatu ada penggosok untuk membersihkan dan menghilangkan kekotorannya (umpamanya untuk membersihkan badan dan pakaian dipergunakan sabun dan untuk menghilangkan karat besi dipergunakan api dan lain-lainnya). Maka demikian itulah penggosok (pembersih) hati ialah zikrullah."

Hadis ini juga mengatakan bahawa zikrullah adalah lebih utama daripada yang lain-lain. Zikir itu dianggap sebagai pembersih hati yang kotor, kerana setiap ibadah dikira dalam ertikata sebenarnya apabila ibadah-ibadah itu dikerjakan dengan ikhlas dan pencapaian ikhlas itu adalah bergantung kepada hati yang jernih lagi suci.

Oleh itu sebahagian ulama tasawuf mengatakan bahawa zikir yang dimaksudkan di dalam hadis ini ialah zikir qalbi (zikir dalam hati) bukan zikir lisani (zikir dengan lidah). Dengan mengerjakan zikir qalbi itu hati seseorang manusia terhubung dengan ALLAH buat selama-lamanya.

Hakikat ini tidaklah dapat disangkalkan lagi bahawa keadaan yang disebutkan ini adalah lebih utama dari segala ibadah kerana tercapai sama ada anggota-anggota zikir mahu pun anggota-anggota batin.

Anggota-anggota ini semuanya adalah menurut hati. Jika hati itu berhubung dengan sesuatu maka anggota-anggota lain dengan sendirinya akan terhubung dengannya. Keadaan para pencinta tidaklah tersembunyi kepada sesiapa pun.

[Sumber: http://daawah.com/links/islam/zikir]

Wallahu a'lam.

October 28, 2006

Fadhilat Ayat 1000 Dinar

Ayat 1000 dinar murahkan rezeki

Sesiapa yang mewiridkan ayat 1000 Dinar, Allah s.w.t akan murahkan rezekinya dan memberi keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Amalan membaca ayat ini selepas menunaikan Solat Fardhu 5 waktu sebagai usaha untuk memohon supaya dengan keberkatan ayat itu sendiri, Allah akan melimpahkan rezeki kepadanya.

Ayat ini dipetik dari Surah At-Tholaq [65:3] yang bermaksud:

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendakinya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

Ayat ini daripada Rijalu'Ighaib, diberikan kepada seorang lelaki di tengah lautan dengan hadiah 1000 dinar.

Siapa yang mewiridkan membacanya setiap kali sesudah menunaikan Solat Fardhu 5 waktu, nescaya Allah murahkan rezekinya dan ia bakal mencapai kemuliaan di dunia dan di akhirat.

Barangsiapa membaca ayat ini sesudah menunaikan Solat Fardhu dengan bilangan ganjil iaitu 1, 3, 5, 7, 9 atau 11 dan seterusnya, nescaya akan ditolak kesulitan yang dihadapinya.

Malah Allah s.w.t akan melapangkan urusannya dan pengamalnya berasa tenang. Pergaulan seharian serta pekerjaan juga menjadi mudah.

Wallahu a'lam.

October 26, 2006

Berbakti kepada Ibu Bapa

Berbakti Kepada Ibu Bapa Setelah Kematian Mereka

Berbuat baik kepada kedua ibu bapa bukanlah berakhir setelah kematian mereka, tetapi hendaklah diteruskan selepas kematian mereka. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Menyembahyangkan jenazahnya. Jika ia anak lelaki maka lebih utama ia mengimamkan solat jenazah ke atas kedua ibu bapanya serta membaca doa bagi mereka.

2. Sentiasa memohon keampunan dosa kedua ibu bapa. Ini antara tanda anak yang soleh.

3. Menunaikan janji yang belum sempat ditunaikan oleh ibu bapa sebelum kematiannya. Janji ini termasuk sedekah jariah, wakaf dan sebagainya.

4. Berbuat baik kepada sahabat baik ibu bapa seperti meneruskan hubungan silaturrahim dengan sahabat baik mereka.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya termasuk perbuatan yang paling baik ialah meneruskan silaturrahim dengan sahabat baik bapanya sesudah bapanya meninggal”. [Riwayat Muslim]

5. Membantu keluarga yang dahulunya dibantu oleh ibu bapanya.

Abu Daud meriwayatkan satu hadis: Telah datang seorang bertanya kepada Rasulullah adakah sesuatu kebaikan yang masih ia dapat dilakukan kepada ibu bapanya sesudah mereka meninggal dunia.

Rasulullah SAW menjawab "Ada; iaitu mendirikan solat jenazah bagi keduanya, berdoa meminta ampun bagi keduanya, melaksanakan apa yang menjadi janji keduanya, memuliakan orang yang menjadi sahabat keduanya dan memberi pertolongan kepada keluarga yang bergantung kepada keduanya”. [Riwayat Abu Daud]

October 25, 2006

Solat Tasbih

1. Empat rakaat (satu salam jika siang; dua salam jika malam).

2. Fadhilatnya ialah mengampunkan dosa yang lama atau baru. Rasulullah SAW menganjurkan umat Islam agar mengerjakannya pada setiap malam. Jika tidak berupaya, kerjakan pada tiap-tiap minggu atau setahun sekali atau sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

3. Lafaz dan niat solat:

Waktu Siang

Usholli sunnatat tasbiihi arba'a raka’aatin lillahi taala.

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tasbih empat rakaat kerana Allah Taala.

Waktu Malam

Usholli sunnatat tasbiihi rak’ataini lillahi taala.

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat tasbih dua rakaat kerana Allah Taala.

4. Bacaan surah selepas Fatihah:

Rakaat Pertama: Surah At-Takathur
Rakaat Kedua: Surah Al-‘Asr
Rakaat Ketiga: Surah Al-Kaafiruun
Rakaat Keempat: Surah Al-Ikhlas


5. Bacaan Tasbihnya:

Subhanallah walhamdulillah walaa ilaaha illallah wallahu akbar, walaa haula walaa quwwata illaa billa hil ‘aliyyil ‘azhiim.

Maksudnya: Maha Suci Allah; dan segala pujian bagi Allah; dan tiada Tuhan melainkan Allah; dan Allah Maha Besar; dan tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah yang Maha Mulia dan Maha Agung.

6. Tasbih dibaca 300 kali (75 kali setiap rakaat) mengikut kaedah berikut:

a. Selepas membaca Surah sebelum rukuk (15 kali).

b. Selepas membaca Tasbih biasa dalam rukuk (10 kali).

c. Selepas membaca Tahmid dalam iktidal (10 kali).

d. Selepas membaca Tasbih biasa dalam sujud (10 kali).

e. Selepas membaca Doa ketika duduk antara dua sujud (10 kali).

f. Selepas membaca Tasbih biasa dalam sujud kedua (10 kali).

g. Sebelum berdiri, hendaklah duduk istirehat dan baca Tasbih ini (10 kali).

h. Bagi rakaat kedua waktu siang hari, baca Tasbih ini selepas Tahiyyat Awal (10 kali).

i. Bagi rakaat terakhir, baca Tasbih ini selepas Tahiyyat Akhir (10 kali).

j. Membaca Doa berikut selepas memberi salam:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon taufiq daripadaMu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk; dan jadikan amalan kami ini sepertimana amalan ahli yakin dan jadikan kami dari golongan orang yang menerima nasihat orang-orang yang bertaubat; dan keazaman kami sepertimana orang-orang yang sabar; dan gementar kami sepertimana orang-orang yang takut; dan kami memohon sepertimana permohonan orang yang suka kebaikan dan beribadah seperti ibadah orang-orang yang warak dan jadikan pengetahuan kami ini sebagai ahli-ahli yang berilmu sehingga kami termasuk ke dalam golongan orang-orang yang takut kepada Engkau.

Ya Allah, kami memohon kepadaMu, jadikan kami golongan orang yang takut yang menghalang kami daripada melakukan maksiat sehinggalah kami beramal dengan taat kepadaMu sebagaimana amalan yang kami merasa perlu mendapat keredhaanMu dan juga sehingga kami benar-benar ikhlas dan bertawakkal kepadaMu dalam setiap perkara dan kami memohon supaya menjadi orang yang baik sangka terhadap Engkau, Maha Suci Engkau sebagai Pencipta.

Wallahu a'lam.

October 24, 2006

Solat Syukur

1. Apabila kita mendapat sesuatu kenikmatan atau sesuatu yang dihajati atau mencapai kejayaan, maka sewajarnya kita bersyukur kepada Allah SWT dengan mendirikan solat.

2. Dua rakaat atau seberapa banyak, tetapi dikerjakan dua rakaat pada tiap-tiap satu salam.

3. Waktunya pada bila-bila masa, tetapi bukan dalam waktu yang ditegah solat.

4. Lafaz dan niat:

Usholli sunnatash shukri rak’ataini lillahi taala.

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat syukur dua rakaat kerana Allah Taala.

5. Selepas memberi salam, bacalah doa-doa kesyukuran di antaranya seperti berikut:

Maksudnya: Ya Allah, baikkanlah keberkesanan perbuatan kami dalam segala urusan dan selamatkanlah kami dari kehinaan dunia dan azab akhirat.

Ya Allah, tunjukkanlah kami kepada perkara yang benar itu adalah benar dan pandulah kami supaya mengikutinya; dan tunjukkanlah kami perkara yang batil itu adalah batil supaya kami meninggalkannya.

October 22, 2006

Solat Dhuha

1. Dua rakaat atau sehingga 12 rakaat, dikerjakan dua rakaat tiap-tiap satu salam.

2. Waktunya setelah matahari naik kira-kira segalah (kira-kira jam 8.00 pagi sehingga kira-kira tengahari).

3. Fadhilatnya selain daripada mendapat pahala yang banyak, mereka yang mengamalkan solat sunat ini mudah mendapat rezeki dan ganjaran sebagai orang-orang yang soleh.

4. Lafaz dan niat:

Usholli sunnatadh dhuha rak’ataini lillahi taala.

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Taala.

5. Surah yang dibaca selepas Fatihah:

Kaedah 1
Rakaat Pertama: Surah Al-Syamsy
Rakaat Kedua: Surah Al-Laiil


Kaedah 2
Rakaat Pertama: Surah Ad-Dhuha
Rakaat Kedua: Surah An-Nasr


Kaedah 3
Rakaat Pertama: Ayat Al-Kursi (7 kali)
Rakaat Kedua: Surah Al-Ikhlas (11 kali)


6. Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya waktu dhuha waktu dhuhaMu, cahayanya cahayaMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu; Ya Allah, sekiranya ada rezeki di langit maka turunkannya, jika ada di bumi keluarkannya, jika jauh maka perdekatkannya, dan jika adanya hampir maka permudahkannya dengan kebenaran dhuhaMu, cahayaMu, kekuatanMu dan kesucianMu, berilah kepadaku sebagaimana Engkau berikan kepada hamba-hamba Engkau yang soleh-soleh. Dan semoga Allah cucuri rahmat ke atas Penghulu kami Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan para sahabat baginda sekalian. Segala puji adalah bagi Allah, Tuhan pentadbir seluruh alam.

[Sumber: Panduan Lengkap Ibadah Solat – Hj Johari Hj Alias]

October 21, 2006

Kemusykilan Solat Witir

SOLAT WITIR

Witir itu maknanya ganjil, yakni tidak genap bilangan rakaatnya. Solat witir ini boleh dilakukan secara berseorangan atau berjemaah. Solat witir adalah solat sunat Muakkad yang dianjurkan dan digalakkan sangat oleh Rasulullah SAW, seperti keterangan hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Solat Witir itu bukanlah wajib sepertimana solat-solat yang difardhukan. Hanya Rasulullah SAW setelah mendirikan Solat Witir, pernah bersabda “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir, sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada yang witir.” [HR. Ahmad]

Mengikut fahaman hadis di atas, bahawa solat witir itu mengandungi beberapa keutamaan, umpamanya:

Solat witir itu lebih afdhal daripada solat-solat sunat rawatib yang lain.

Para malaikat turut menyaksi diatas kesungguhan amalannya.

Waktu Solat Witir

Ulama bersepakat bahawa waktu solat sunat witir itu ialah selepas solat Isyak hingga sampai fajar. Ini berdasarkan keterangan hadis riwayat daripada Abu Tamin Al-Jaisyani yang antara maksudnya:

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah memberikan tambahan kepadamu suatu solat, iaitu solat witir. Maka kerjakanlah solat itu antara solat Isyak dan hingga ke solat fajar.“

Disegerakan atau Mentakhirkan Solat Witir

Disunatkan pula untuk tidak melengah-lengahkan malah disegerakan solat witir itu pada permulaan malam bagi seseorang yang takutkan kalau-kalau ia tidak dapat bangun pada akhir malam. Tetapi bagi seseorang yang merasa sanggup dan dapat bangun pada akhir malam, maka itulah yang lebih afdhal. Keterangan hujah di atas adalah terkandung di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi dan Ibu Majah.

Rasulullah SAW berwasiat kepada sebahagian sahabat beliau, agar jangan tidur dahulu melainkan selepas mendirikan solat witir. Hal ini tentunya untuk sikap berhati-hati bagi seseorang yang bimbangkan atau merasa tidak boleh bangun pada akhir malam.

Bilangan Rakaat Solat Witir

Mengikut pandangan ulama fekah, terdapat tiga (3) cara solat witir itu dikerjakan. Ketiga-tiga cara ini diambil dari catatan hadis-hadis yang sahih. Terpulang kepada individu, mana satu yang lebih kita yakini dan fahami untuk melakukannya. Cara yang dimaksudkan, iaitu:
  1. Boleh dikerjakan setiap dua rakaat satu salam, kemudian diikuti dengan satu rakaat lagi dengan bertasyahud dan salam.
  2. Boleh dilakukan kesemua itu dilakukan dengan cara keseluruhannya sekali dengan dua kali tasyahud dan satu kali salam. Maknanya seluruh rakaat (umpamanya : tiga, lima, tujuh sembilan mahupun sebelas rakaat) disambung sekaligus tanpa tasyahud melainkan pada rakaat sebelum akhir, dan seterusnya berdiri semula untuk melanjutkan satu rakaat lagi.
  3. Boleh dilakukan keseluruh rakaat itu ( umpamanya : tiga, lima, tujuh, sembilan atau pun sebelas rakaat) disambung sekali dengan hanya satu tasyahud dan salam pada rakaat yang terakhir.

Bacaan Dalam Solat Witir

Di dalam riwayat hadis yang diceritakan oleh Aisyah yang bermaksud:

“Rasulullah di dalam solat witir membaca Surah Al-A’la pada rakaat pertama, Surah Al-Kafirun pada rakaat kedua, sedang dalam rakaat ketiga baginda membaca Surah Al-Ikhlas serta dua surah Muawwadzah iaitu surah Al-Falaq dan surah An-Nas.”

Tiada Dua Witir Pada Satu Malam

Bagi sesiapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian hendak solat sunat semula selepas itu, maka baginya bolehlah mendirikan semua solat-solat sunat yang dikehendakinya. Tetapi tidak pula boleh mengulangi solat witir untuk kali keduanya pada malam yang sama. Hal ini merujuk kepada hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tarmizi yang bermaksud:

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dua kali witir pada satu malam.”

Oleh itu, apabila seseorang telah mendirikan solat witir selepas solat Isyak, ataupun penamat solat Tarawih, maka apabila kita bangun malam untuk mendirikan solat-solat sunat, hal itu tidak jadi penghalang. Maknanya kita boleh mendirikan solat sunat seberapa banyak pada malam yang sama. Tetapi tidak boleh mengulangi atau mendirikan witir pada malam yang sama itu.

Kekeliruan Solat Witir

Banyak pendapat yang mengatakan bahawa sesudah solat witir itu, maka tidak boleh dilakukan lagi apa-apa solat sunat. Atau bilamana hendak dilakukan juga sunat yang lain, perlulah dibuka kembali dengan mengerjakan solat mutlak dan selepas mengerjakan solat sunat maka hendaklah ditutup kembali dengan sunat witir.

Pendapat ini adalah laro’ dan tidak mempunyai bukti dari hadis yang sahih. Pendapat ini adalah sekadar pendapat yang tidak terdapat dalam mana mana kitab yang muktabar.

Kesilapan kita ialah menganggap bahawa witir itu adalah penutup segala-galanya. Dan bagi sesiapa yang solat sunat selepas witir, maka ianya tidak dikira berpahala. Ini juga merupakan pendapat loro’ yang mengelirukan umat Islam.

Wallahu a’lam.

October 20, 2006

Solat Lailatul Qadar

1. Pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan, disunatkan Solat Sunat Lailatul Qadar.

2. Empat rakaat satu salam.

3. Lafaz dan niat solat:

Usholli sunnata lailatul qadri arba’a raka’aatin lillahi taala.

Maksudnya: Sahaja aku solat sunat Malam Lailatul Qadar empat rakaat kerana Allah Taala.

4. Bacaan surah selepas Fatihah:

Rakaat Pertama: Surah At-Takathur.
Rakaat Kedua: Surah Al-Ikhlas.

5. Selepas memberi salam, bacalah doa berikut:

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka keampunan, maka ampunilah aku; tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya; milikNya seluruh kerajaan dan bagiNya segala pujian; Dia yang menghidup dan mematikan dan Dia berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu.


[Sumber: Panduan Lengkap Ibadat Solat – Hj Johari Hj Alias]

October 19, 2006

Amalan pada Malam Lailatul Qadar

Mulailah amalan pada jam 12.00 tengah malam.

1. Solat sunat wuduk selepas mengambil wuduk.

2. Solat sunat hajat dan berdoa kepada Allah supaya dipertemukan malam Lailatul Qadar.

3. Membaca Al-Quran.

4. Istighfar selama 30 minit atau 1000 kali (Astaghfirullah hal azim wa atubu ilaih).

5. Zikrullah (La ila ha illallah 1000X , La ila ha illallah muhammadur rasulullah 300X, Allahhu akbar 300X).

6. Bertasbih:

  • Subhanallah, walhamdulillah, wala ilaha illallah, Allahhu akbar, wala haula wala qhuwwata illa billahil ‘aliyyil ‘aziim 300X
  • Subhanallah wabihamdihi, Subhanallah il azim 300X
  • Subhana robbiyal 'ala wabihamdih 300X
  • Subhana robbiyal a’zimi wabihamdih 300X
7. Selawat 100X atau 1,000X (Allahhumma solli ‘ala Muhammad).
8. Solat sunat tahajjud.
9. Solat sunat tasbih.
10. Sambungkan dengan zikrullah atau membaca Al-Quran sehingga solat Subuh.
[Sumber: http://www.daawah.com/links/islam/hari]

October 18, 2006

Malam Lailatul Qadar

Lailatul Qadar Malam yang Dinanti oleh Mukmin

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin.

Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w.

Tidak perlu ada kesangsian tentang ujudnya Lailatul Qadar kerana firman Allah di dalam surah Al-Qadar yang maksudnya:

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Diriwayatkan oleh Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah s.a.w. telah menyebut tentang 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu.

Lalu Malaikat Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Malaikat Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah s.a.w. bahawa anugerah Allah ini adalah lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1,000 bulan.

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah.

Kata Aisyah r.a. maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatul Qadar

Kerana mulianya Lailatul Qadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya:

"Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat dan berbagai jenis ibadah yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta'ala, nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam Lailatul Qadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatul Qadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. katanya: maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.

Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatul Qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan.

Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatul Qadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.

Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadah.

Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Malam Lailatul Qadar


Doa khusus pada malam tersebut diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a. maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana kiranya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu."

Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa yang berikut. Maksud doa: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku.”


Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatul Qadar wujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatul Qadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting adalah disebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatNya dan keredaanNya.


Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu Taubat Nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Tanda Malam Lailatul Qadar

Para alim ulama menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatul Qadar:

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatul Qadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
  • Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.

Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w : "Carilah malam Lailatul Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadhan."

10 hari terakhir bermula dari 6hb hingga 15hb Disember. Malam 6, 8, 10, 12 dan 14 Disember adalah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Marilah kita memperbanyakkan ibadah untuk mencari keredaan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

October 17, 2006

Lailatul Qadar

Dalam Surah Al-Qadr, Allah berfirman yang bermaksud:

1. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Qadar.
2. Dan tahukah kamu apakah malam Qadar itu.
3. Malam Qadar itu lebih baik dari seribu bulan.
4. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya.
5. Malam itu penuh dengan kesejahteraan sampai terbit fajar.


Petikan Dari Munajat Nabi Musa a.s. Kepada Allah s.w.t.

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah yang Tuhanku! Aku ingin menjadi seorang hamba yang paling hampir sekali denganMu."

Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya Aku telah hampir dengan hamba-hambaKu yang bangun pada malam Lailatul Qadar."

Munajat Nabi Musa a.s., ‘Ya Allah ya Tuhanku! Aku amat mengharapkan sekali akan RahmatMu itu."

Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya RahmatKu itu adalah bagi mereka yang berkasih sayang dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap orang-orang miskin pada malam Lailatul Qadar."

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah yang Tuhanku! Aku ingin sekali untuk melintasi pada titian Siratul Mustaqim di hari kiamat kelak dengan pantas seperti kilat yang menyambar."

Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya yang demikian itu engkau akan perolehi dengan memberi dan membanyakkan sedekah pada malam Lailatul Qadar."

Munajat Nabi Musa a.s. "Ya Allah ya Tuhanku! Aku teringin sekali untuk berteduh di bawah pohon-pohon syurgaMu sambil dapat pula memakan buah-buahnya."

Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Sesungguhnya kamu akan memperolehi niatmu itu tetapi banyakkanlah olehmu akan bertasbih serta bersungguh-sungguh kamu dalam mengerjakannya pada malam Lailatul Qadar."

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah ya Tuhanku! Selamatkanlah aku dari azab neraka jahanamMu."

Firman Allah s.w.t., "Wahai Musa! Bermohonlah kamu kepadaKu dengan membanyakkan meminta keampunan dan beristighfar hingga ke waktu subuh hari pada malam Lailatul Qadar."

Munajat Nabi Musa a.s., "Ya Allah ya Tuhanku! Anugerahkanlah keredaanMu itu terhadap diriku ini."

Firman Allah s.w.t. "Wahai Musa! Sesungguhnya keredaanKu itu adalah bagi orang-orang yang mengerjakan Solat Sunat 2 rakaat pada malam Lailatul Qadar."

Bilakah Malam Lailatul Qadar?

Imam Al-Ghazali Rahimullah berpendapat malam berlakunya Lailatul Qadar itu boleh dikenali dengan cara yang berikut seperti:
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 29hb Ramadhan.
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 21hb Ramadhan.
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 27hb Ramadhan.
  • Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu maka Lailatul Qadar jatuh pada malam 23hb Ramadhan.

Wallahu a'lam.

October 16, 2006

Rahsia Solat, Puasa dan Syafaat Nabi SAW

KISAH RAHSIA DI SEBALIK SOLAT LIMA WAKTU, PUASA dan SYAFAAT NABI SAW

Ali bin Abi Talib RA berkata: "Sewaktu Rasulullah SAW duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata : "Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa AS yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab (terhampir)."

Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Silakan bertanya."

Berkata orang Yahudi: "Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu."

Sabda Rasulullah SAW: "Solat Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhan-Nya, Solat Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam AS memakan buah Khuldi, Solat Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam AS, maka setiap mukmin yang bersolat Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya. Solat Isyak itu ialah solat yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku, Solat Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir."

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah SAW maka mereka berkata: "Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang solat?"

Rasulullah SAW bersabda: "Jagalah waktu-waktu solat terutama solat yang pertengahan, solat Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukmin yang mengerjakan solat pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat."

Sabda Rasulullah SAW lagi: "Manakala solat Asar, adalah saat di mana Nabi Adam AS memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan solat Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir."

Setelah itu Rasulullah SAW membaca ayat yang bermaksud: "Jagalah waktu-waktu solat terutama sekali solat yang pertengahan, solat Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam AS diterima. Seorang mukmin yang ikhlas mengerjakan solat Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan."

Sabda Rasulullah SAW: "Solat Isyak (attammah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan Solat Isyak berjamaah, Allah SWT haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath."

Sabda Rasulullah SAW seterusnya: "Solat Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan Solat Subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah SWT dua kebebasan iaitu: Dibebaskan dari api neraka, dibebaskan dari nifaq (sifat munafik)."

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasulullah SAW maka mereka berkata: "Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (SAW). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah SWT mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?"

Sabda Rasulullah SAW: "Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam AS selama 30 hari. Kemudian Allah SWT mewajibkan ke atas keturunan Adam AS berlapar selama 30 hari. Sementara izin makan di waktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah SWT kepada makhluk-Nya."

Kata orang Yahudi: "Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu."

Sabda Rasulullah SAW: "Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah SWT dia akan diberi oleh Allah SWT tujuh perkara:
  • Akan dicairkan daging haram yang tumbuh di badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram).
  • Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
  • Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
  • Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
  • Diringan baginya siksa kubur (siksa yang sangat mengerikan).
  • Diberikan cahaya oleh Allah SWT pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
  • Allah SWT akan memberinya balasan syurga."

Kata orang Yahudi: "Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para Nabi-Nabi."

Sabda Rasulullah SAW: "Seorang Nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat)."

Kata orang Yahudi: "Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah)."

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah: 155)

[Sumber: http://www.daawah.com/links/islam/solat

]

October 15, 2006

Kebesaran Solat

Diriwayatkan bahawa setelah Allah SWT selesai menciptakan Jibrail AS dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124, 000 sayap).

Setelah itu Jibrail AS memandang dirinya sendiri dan berkata: "Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?"

Lalu Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Tidak."

Kemudian Jibrail AS berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah SWT dan tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail AS solat, maka Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kamu telah menyembah aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembah kepadaku seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi yang mulia yang paling aku cintai, namanya 'Muhammad.' Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaan-Ku dan ketinggian-Ku, sesungguhnya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintah-Ku, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintah-Ku."

Kemudian Jibrail AS berkata: "Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadah mereka?"

Lalu Allah berfirman yang bermaksud: "Ya Jibrail, akan Aku berikan Syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal."

Kemudian Jibrail AS meminta izin kepada Allah untuk melihat Syurga Ma'waa.

Setelah Jibrail AS mendapat izin dari Allah SWT, maka pergilah Jibrail AS dengan mengembangkan sayapnya dan terbang. Setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3,000 tahun.

Terbanglah malaikat Jibrail AS selama 300 tahun sehingga ia merasa letih dan lemah dan akhirnya dia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan dia sujud kepada Allah SWT lalu ia berkata dalam sujud: "Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya?"

Kemudian Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3000 tahun dan meskipun aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan."

Marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha lakukan.

Sesungguhnya Allah SWT telah menyembunyikan enam perkara iaitu:

* Allah SWT telah menyembunyikan redha-Nya dalam taat.

* Allah SWT telah menyembunyikan murka-Nya di dalam maksiat.

* Allah SWT telah menyembunyikan nama-Nya yang Maha Agung di dalam Al-Quran.

* Allah SWT telah menyembunyikan Lailatul Qadar di dalam bulan Ramadhan.

* Allah SWT telah menyembunyikan solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu).

* Allah SWT telah menyembunyikan (tarikh terjadinya) hari kiamat di dalam semua hari.

Semoga kita mendapat berkat daripada ilmu ini.

Wallahu a’lam.

October 14, 2006

Doa Rajin Solat





















Surah Ibrahim: Ayat 40-43

[40] Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

[41] Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.

[42] Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyangka Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim; sesungguhnya Dia hanya melambatkan balasan mereka hingga ke suatu hari yang padanya terbeliak kaku pemandangan mereka, (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku).

[43] (Dalam pada itu) mereka terburu-buru (menyahut panggilan ke padang Mahsyar) sambil mendongakkan kepala mereka dengan mata tidak berkelip dan hati mereka tidak bersemangat (kerana bingung dan cemas).


**************************************************

Dari Dr Fadhilah Kamsah. Kalau nak jadi orang yang rajin mengerjakan Solat, amalkanlah doa ini.

Bacalah selalu Surah Ibrahim: Ayat 40

"Rabbij 'alnii muqiimaSSalaati wa min dzurriyyatii, Rabbana wataqabbal du'aa'."

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."

Wallahu a'lam.

October 13, 2006

Rahsia Solat

Sebagai peringatan atau panduan bagi semua muslimin dan muslimat.

1. Niat Solat : Sebenarnya memelihara taubat kita dunia dan akhirat.

2. Berdiri Betul : Fadhilatnya; ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.

3. Takbir-ratul Ihram : Fadhilatnya; sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.

4. Fatihah : Sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.

5. Rukuk : Sebagai tikar kita di dalam kubur.

6. Iktidal : Akan memberi minuman air dari Telaga Al-Kautsar ketika di dalam kubur.

7. Sujud : Memagar kita ketika menyeberangi titian SIRATUL MUSTAQIM.

8. Duduk antara 2 Sujud : Akan menaung panji-panji Nabi kita di dalam kubur.

9. Duduk antara 2 Sujud (akhir) : Menjadi kenderaan ketika kita di Padang Mahsyar.

10. Tahiyat Akhir : Sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh malaikat Munkar & Nankir di dalam kubur.

11. Selawat Nabi : Sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.

12. Salam : Memelihara kita di dalam kubur.

13. Tertib : Akan pertemuan kita dengan Allah SWT.

Senarai di atas adalah salah satu sebab mengapa orang Yahudi/ Kafir tidak sukakan angka 13 dan juga hari Jumaat.

Itulah sebab mengapa mereka mencipta cerita yang begitu seram sekali iaitu "FRIDAY the 13th" jika ada di kalangan kamu yang perasan!

Wallahu a'lam.

Today: 13th October 2006, FRIDAY

October 12, 2006

Website Islamik yang dibuat oleh Yahudi


Pesanan kepada semua saudara Muslim kita di seluruh dunia.

Waspadalah terhadap website di bawah ini:


1. www.answering-islam.org
2. www.aboutislam.com
3. www.thequran.com
4. www.allahassurance.com

Website tersebut telah sengaja dibuat oleh kaum Yahudi dengan tujuan untuk menyebarkan pemahaman yang salah tentang Al-Quran, Hadis dan Islam.

Mohon agar pesanan ini dapat disebarkan kepada semua saudara Muslim kita di seluruh dunia.

Kita hendaklah sentiasa berwaspada terhadap semua sumber informasi tentang Islam yang ada di beberapa Islamic Website yang boleh dicapai melalui internet meskipun ianya kelihatan sungguh meyakinkan.

Berwaspadalah!

Moga Allah SWT melindungi kita sentiasa, amiin.

Wallahu a'lam.

October 11, 2006

Fadhilat Surah As-Sajdah

Surah As-Sajdah ialah surah ke-32, dalam juz 21 mengandungi 30 ayat. Diturunkan di Makkah, ayat Makkiyah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa membaca Surah As-Sajdah, pahalanya seperti orang yang solat menepati malam al-Qadar dan dikuatkan keIslamannya, tauhidnya serta mendapat ilmu yang benar."

Kerana itu, alangkah eloknya kita beramal dengan surah As-Sajdah ini supaya kita mendapat ganjaran yang besar, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak.

Selain daripada ganjarannya berhubung dengan keimanan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, surah ini juga mengandungi anjuran melakukan solat malam (solat Tahajjud dan solat Witir).

Kita dianjurkan menghafazkan surah ini terutama kepada para Imam untuk dibaca semasa Solat Fardhu Subuh pada hari Jumaat.

Jadikanlah Surah As-Sajdah ini sebagai surah hafalan tanpa perlu membaca menerusi mushaf supaya lebih mudah anda mengamalkannya bila-bila masa sahaja anda kehendaki.

************************************************

Sabda Rasulullah SAW:

"Surah Alif Laam Sajdah akan datang pada hari Kiamat dengan 2 sayap sambil melindungi si pembacanya seraya berkata; "Tidak ada kesusahan bagimu.""

Rasulullah SAW sentiasa membaca Surah Alif Laam Sajdah dan Surah Al-Mulk pada tiap-tiap malam.

Sabda Baginda SAW:

"Kedua-dua surah ini melebihi surah-surah yang lain sebanyak 17 kali ganda."

Fadhilat Surah As-Sajdah: Ayat 7-9
  • Supaya kanak-kanak menjadi orang yang soleh dan baik, tulislah ayat-ayat ini pada bekas yang diperbuat dari kaca.
  • Kemudian hapuskanlah dengan air hujan.
  • Bahagikan air itu kepada 2 bahagian. Satu bahagian dicampurkan ke dalam makanannya dan yang bakinya untuk diminum dan dibasuh mukanya dengan air tersebut selama 7 hari.
  • Sebaik-baiknya dilakukan selepas 70 hari dari tarikh kelahirannya.
  • Insya-Allah ia akan menjadi seorang anak yang soleh, yang dapat menyenangkan hati kedua ibu bapanya.
Wallahu a'lam.
Sumber:
i. Fadhilat & Khasiat Surah-Surah Mustajab Doa & Hajat - Ustaz Tolhah Muzakir
ii. Khasiat dan Fadhilat Ayat-Ayat Al-Quran - Abu Al-Baqir Al-Burhami

October 10, 2006

Kenali Lelaki di sisi Anda

Banyak untung kalau kenal lelaki oleh DR. HM TUAH

Jika suami anda menyendiri dan menjauhkan diri, ketahuilah dia dalam keadaan tertekan. Boleh jadi ada tekanan di tempat kerjanya. Boleh jadi oleh kereta yang dimilikinya atau boleh jadi beberapa karenah anda yang menjadi penyebabnya.

Apabila lelaki menyendiri, kita boleh simpulkan dia sedang tertekan. Berbeza dengan anda, dalam keadaan tertekanlah segala rahsia akan diceritakan. Anda melakukan begitu untuk meraih simpati.

Meskipun begitu, usahlah risau. Ia sekejap saja. Emosi pada orang lelaki umpama getah. Sekejap saja telah kembali ke bentuk asal walaupun tadinya terhenyak pipih.

Berbeza dengan anda bukan? Tatkala anda tertekan, emosi anda umpama ombak. Ombak memang tidak pernah reda. Kalau reda pun, mengambil masa yang lama.

Apabila lelaki suka menyendiri dan berdiam diri, biasanya disebabkan imejnya yang tergugat. Biarkan sahaja untuk tempoh-tempoh tertentu.

Usah 'gatal-gatal' sangat memujuk. Kadang-kadang lelaki hanya perlukan 'tempoh bertenang' sebelum mengambil langkah seterusnya.

Anda kelam-kabut. Maka itu anda mudah marah, cemburu dan merajuk apabila berdepan dalam situasi begini. Ohhh itu silap.

Lelaki selalunya dapat menyesuaikan diri apabila menghadapi kesukaran. Berbeza wanita, biasanya cukup risau dalam keadaan demikian.

Dan usah risau sangat kalau lelaki anda cuba berjauhan dari anda dalam keadaan-keadaan demikian. Sebab semulajadinya lelaki terasa selesa berjauhan dengan keluarga. Ini tentu berbeza sekali dengan anda yang suka dan berasa tenang bersama keluarga.

Mengapa lelaki begitu? Itulah bukti kekuasaan ALLAH SWT. DIA menjadikan perbezaan yang ketara antara lelaki dengan wanita. Agar apabila disatukan, terjalinlah satu bentuk kekuatan lantaran saling sempurna menyempurnakan dan lengkap melengkapi.

Semua kekurangan isteri akan dipenuhi oleh suami dan semua kekurangan suami akan dipenuhi pula oleh isteri. Lihat perbezaan sebagai sebab untuk sempurna menyempurnakan bukan jurang kedegilan untuk tidak mahu memahami.

Lelaki itu cara fikirnya makro, iaitu dia melihat secara keseluruhan. Sedangkan anda para wanita mempunyai penilaian bersifat mikro iaitu melihat sesuatu secara terperinci.

Maka itu, usah hairan. Terkadang suami selamba dengan masalah yang anda rasakan cukup berat. Anda telah kering air mata sedangkan dia masih belum menitis walau sebutirpun airmata.

Jika berlaku pertengkaran selalunya dia akan melawan habis-habisan dan anda pula mengalah dan pura-pura setuju demi perhubungan.

Usah terasa teruk sangat dengan keadaan ini. Lelaki memang begitu, sentiasa mahu menang dan mahu sentiasa dilihat menang walaupun hatinya mengakui kesilapannya dan mahu berubah mengikut apa yang anda perkatakan.

Walaupun anda tahu anda benar dan anda tidak pernah berbuat salah, akhirilah semua pertengkaran dan perselisihan dengan anda yang meminta maaf.

Anda mahukan dia yang meminta maaf? Usah harap. Lelaki memang berat untuk meminta maaf terutama daripada pasangannya. Ikut kajian, wanita lebih mudah meminta maaf dalam keadaan apa jua dan atas hal apa jua. Maka, gunakan kelebihan ini untuk lebih mudah meminta maaf walaupun tidak bersalah.

Satu lagi yang anda patut tahu tentang lelaki ialah mereka memang suka memberi arahan bagaikan ketua yang mempunyai kuasa.

Usah dilawan, tapi layanlah hati sendiri dengan berleter hingga anda sendiri berasa puas. Tapi awas, jangan sampai berleter di hadapannya. Itu boleh memburukkan keadaan.

Kata orang, wanita sinonim dengan leteran. Kalau tak pandai berleter, bukan wanita namanya. Ya, teruskan saja berleter. Hamburkan semua yang menekan kepala.

Cuma, mohon berleter di dalam bilik yang tertutup. Sebab kucing pun pening dengan leteran anda. Lelaki memang rimas dengan leteran dan cepat naik darah apabila asyik dileteri.

Lihatlah betapa berbezanya anda dengan suami. Tidakkah anda setuju jika saya katakan, adalah amat beruntung jika anda tahu lebih banyak tentang lelaki?

Kecantikan Lelaki

Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani.

Lelaki yang cantik adalah:-

1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yang ada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita

Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan.

Perempuan yang gagah adalah:-

1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan.

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang ada pada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan.

Wallahu a'lam.

October 09, 2006

Petikan Hadis mengenai Puasa

Hadis-hadis riwayat dari Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Kelebihan Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Kelebihan berpuasa

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun."

Akhlak sewaktu berpuasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)."

Kelebihan bersahur

Diriwayatkan daripada Anas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya."

Kelebihan menyegerakan berbuka

Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."

Kelebihan Solat Tarawih dalam bulan Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan."

Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

Beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.

Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan

Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.

Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah."

Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub

Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah RA, kedua-duanya berkata: Nabi SAW bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa.

Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa."

October 08, 2006

Kelebihan Solat Tarawih

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali RA daripada Rasulullah SAW, sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi SAW tentang fadhilat (kelebihan) solat sunat tarawih pada bulan Ramadhan:

Malam 1 - Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama sepertimana ia baru dilahirkan, mendapat keampunan dari Allah.

Malam 2 - Diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang solat tarawih serta kedua ibu bapanya (sekiranya mereka orang beriman).

Malam 3 - Berseru Malaikat di bawah ‘Arash supaya kami meneruskan solat tarawih terus menerus semoga Allah mengampunkan dosa engkau.

Malam 4 - Memperolehi pahala ia sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

Malam 5 - Allah kurniakan baginya pahala seumpama orang solat di Masjidil Haram, Masjid Madinah dan Masjidil Aqsa.

Malam 6 - Allah kurniakan pahala kepadanya pahala Malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul Ma’mur (70 ribu Malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah-tanah mendoakan supaya Allah mengampunkan dosa-dosa orang yang mengerjakan solat tarawih pada malam ini.

Malam 7 - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa serta menolong Nabi ‘Alaihissalam menentang musuh ketatnya Fir’aun dan Hamman.

Malam 8 - Allah mengurniakan pahala orang solat tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihissalam.

Malam 9 - Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadah hambanya seperti Nabi Muhammad SAW.

Malam 10 - Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan di dunia dan di akhirat.

Malam 11 - Keluar ia daripada dunia (mati) bersih daripada dosa seperti ia baru dilahirkan.

Malam 12 - Datang ia pada hari Qiamat dengan muka yang bercahaya (cahaya ibadahnya).

Malam 13 - Datang ia pada hari Qiamat dalam aman sentosa daripada tiap-tiap kejahatan dan keburukan.

Malam 14 - Datang Malaikat menyaksikan ia bersolat tarawih, serta Allah tiada menyesatkannya pada hari Qiamat.

Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 - Allah SWT tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat: "Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati)".

Malam 19 - Allah SWT tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.

Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar).

Malam 23 - Allah SWT binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.

Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang bertarawih malam ini (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratul Mustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 - Allah SWT kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 - Allah SWT kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 - Allah SWT beri penghormatan kepada orang bertarawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:

“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama ‘Al-Kauthar’ ”.