April 02, 2008

Penglipur Lara buat orang Mukmin




Salam.

Bila hamba Allah swt mengucapkan Laillahaillallah, maka keluarlah dari mulutnya yang mengucapkan perkataan yang mulia itu seekor burung hijau. Burung hijau itu akan naik ke Arasy Allah swt dan berkicauanlah burung-burung tadi di bawah Arasy.

Melihat kejadian itu malaikat yang menjaga Arasy Allah swt memerintahkan kepada burung-burung tadi supaya diam tetapi tidak dipatuhi oleh mereka. Oleh kerana arahan yang diberi tidak dipatuhi, malaikat yang menjaga Arasy mengadap Allah swt menceritakan kejadian itu.

Maka Allah swt memerintahkan malaikat tersebut supaya memberitahu burung-burung agar diam. Apabila perintah itu diberitahu kepada mereka, maka berkatalah burung-burung itu,

"Wahai malaikat yang menjaga Arasy Allah swt, kami boleh mendiamkan diri kami tetapi dengan satu permintaan".

Bertanya malaikat, "Apakah permintaan itu?"

Berkata burung-burung itu, "Jika Allah ampunkan dosa-dosa orang yang mengucapkan kalimah Lailahaillallah sehingga terciptanya aku, barulah aku tidak akan membuat bising di sini".

Berkata malaikat itu, "Baiklah aku akan sampaikan kepada Allah swt".

Beredarlah malaikat dan menyembah Allah swt dan disampaikan permintaan tadi kepada Allah swt. Maka Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang menerima permintaan tersebut.

Malaikat pun pergi berjumpa dengan burung-burung itu dan menyatakan bahawa Allah swt telah menerima permintaan mereka. Maka dengan segera mereka tidak membuat bising dan mereka bergantungan di Arasy Allah swt sambil berzikir dan memohon keampunan untuk orang yang mengucap Lailahaillallah tadi sehingga hari kiamat.

Oleh itu, kita sepatutnya tidak melepaskan peluang yang diberi oleh Allah swt itu. Dengan hanya mengucapkan kalimah yang disukai oleh Allah swt, maka balasannya akan berterusan hingga hari kiamat.

Maha Suci Allah swt yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Wallahu'alam.

[Sumber: E-mail]