March 25, 2005

Bagaimana Mahu Menasihati Anak agar Tidak Degil?

(Sumber: Dipetik dari e-mail yang saya terima dari seorang kawan)

Jawapan yang mahu saya nyatakan bukan hanya untuk anak tetapi untuk sesiapa sahaja terutamanya yang mempunyai hubungan rapat dengan kita. Tak kiralah anak, isteri atau suami. Bagaimana?

1. Semasa anak atau isteri/suami kita sedang tidur inilah waktu yang paling sesuai terutamanya di waktu dua pertiga malam, kerana fikiran bawah sedarnya(subconscius mind) adalah paling optimum ketika ini. Yang tidur hanyalah conscius mind (minda sedar).

2. Sentuhkan ibu jari anda ke langit-langit dan kemudian sentuhlah dengan halus ibu jari anda ke ubun - ubun orang yang ingin anda nasihati.

3. Semasa ibu jari diatas ubun-ubun selawatlah ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan bacalah surah Al-Fatihah. Kemudian terus dengan berzikir di dalam hati dan jangan putuskan zikir anda.

4. Angkat ibu jari anda, kalau boleh janganlah diputuskan zikir di dalam hati dan bercakaplah dengan suara yang agak perlahan agar tidak sampai mengejutkannya. Beritahulah apa yang ingin anda beritahunya. Kebiasaannya saya akan menasihati isteri saya agar tidak selalu melewatkan solat, banyakkan berselawat dan banyak bersabar.

Nasihatilah orang yang anda sayangi dengan apa sahaja nasihat yang anda inginkan. Jangan putuskan zikir anda, supaya zikir itu masuk bersama dengan nasihat anda.

5. Anda akan dapat melihat reaksi yang dia sedang menerima pernyataan anda iaitu kelopak matanya bergerak-gerak. Insya-Allah saya doakan diri saya dan anda berjaya dengan kaedah ini.

Wallahu'alam.

March 23, 2005

Bersihkan Hati dari Riak

Kebersihan hati menentukan kesahihan ibadah seseorang. Di dalam konteks solat, menurut Imam Al-Ghazali, unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada lima iaitu:

1. Kehadiran hati - hati tidak menerawang memikirkan perkara lain selain daripada solat.

2. Pemahaman - memahami segala perkataan yang dilafazkan ketika solat.

3. Pengagungan dan merasai kehebatan Allah SWT - rasa takut terhadap Allah SWT hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran-Nya.

4. Harap - mengharapkan pahala dari Allah SWT kerana Dia lah sahaja tempat pergantungan bagi manusia.

5. Malu - berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.


Di dalam Ihya Ulumuddin diriwayatkan Saidina Ali r.a. berkata "Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riak) mempunyai tiga tanda iaitu:

i. Apabila bersendirian, malas beribadah. Kononnya tak ada orang yang hendak menaikkan semangat untuk beribadah. Sebaliknya apabila berada bersama-sama dengan orang ramai, dia menjadi rajin.

ii. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan.

iii. Apabila dipuji, dia menambahkan amalannya.

Wallahu'alam.

March 21, 2005

9 Sebab Hati Tidak Bahagia

Hati tidak bahagia kerana adanya sifat-sifat mazmumah di dalam hati. Sifat-sifat inilah yang akan menghilangkan bahagia di dalam hati manusia. Antara sifat-sifat itu ialah:

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hatinya tentu tidak tenang. Sukar mendapat kawan kerana kita sukar didekati dan asyik 'moody'. Kawan-kawan hendak menegur pun serba salah. Takut ditempelak atau tidak mahu menyakitkan hati sendiri.

2. Pendendam - sifat ini tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sengaja menyakitkan hati atau mengutuk orang yang didendami itu. Selain tidak baik, orang yang pendendam juga mudah terkena sakit jantung. Di dalam hatinya sentiasa tersimpan dendam kesumat dan sukar dijangkakan bila dia akan melepaskan dendamnya itu.

3. Hasad Dengki - semua amalannya akan hangus dan sia-sia akibat hasad dengkinya itu. Orang seperti ini tidak boleh melihat orang lain memiliki sesuatu yang lebih daripada apa yang dia miliki. Ada sahaja perbuatan yang akan dilakukannya untuk menidakkan kelebihan orang lain.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain daripada dirinya. Contohnya, sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit apabila diminta menghulurkan derma atau sumbangan. Sengaja membiarkan orang lain kelaparan sedangkan dirinya mewah dengan rezeki. Ingatlah, Allah SWT lebih sayang kepada orang yang fasiq tetapi pemurah dan benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain.

5. Tamak - orang yang tidak pernah puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut. Walau berapa banyak yang diminum tetapi tetap tidak habis. Bukankah pepatah ada mengatakan "Orang tamak selalu rugi", "Macam anjing dengan bayang-bayang". Perlu diketahui yang dikatakan harta atau rezeki kita ialah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. Mungkin ada hak orang lain di situ. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan dari Yang Esa.

6. Tidak Sabar - andainya perkara yang kecilpun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. Selalulah bersabar ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan. Mungkin Allah SWT sedang menguji kita. Ingatlah Allah SWT akan sentiasa bersama mereka yang sabar dan berhati mulia. Walaupun banyak kerja yang diberikan kepada kita namun bersabarlah dan anggap itu sebagai cabaran untuk memajukan lagi diri kita dalam kerjaya.

7. Ego - ego adalah ibu segala mazmumah. Perasaan ego apabila menguasai diri manusia, ia akan membuatkan seseorang itu paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar atau dicabar dari sudut zahir mahupun batin. Perbuatan ego ini boleh merosakkan diri sendiri. Selagi ego beraja di hati selagi itulah hatinya tidak akan bahagia.

8. Riak - Perasaan ini hanya akan membuatkan diri terseksa kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon dan berbuat baik di hadapan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah SWT paling tidak suka akan sifat riak, takbur dan bangga diri ini.

9. Cinta Dunia - inilah yang selalu dikejar oleh manusia. Cinta Dunia. Memiliki harta memang penting untuk melangsungkan kehidupan dalam dunia ini. Tetapi sifat terlalu mementingkan harta dunia seolah-olah hidup akan menongkat langit sangat dibenci oleh Allah SWT. Mereka yang tidak mendapat harta akan menderita. Namun mereka yang mendapat hartapun akan menderita juga kerana susah pula hendak menjaganya. Berhartalah sekadarnya dan bantulah mereka yang memerlukan. Kawallah hati agar tidak berkiblatkan harta duniawi semata-mata.

Wallahu'alam.