June 22, 2005

Maksimumkan Kuasa Minda Anak

1. Rangsang derianya - Anda perlu bercakap atau menyanyi kepada anak. Mendodoikannya juga adalah cara terbaik merangsang deria anak. Tunjukkan benda-benda yang hampir dengannya agar deria matanya terangsang dengan baik. Biarkan anak mencium bau masakan anda atau sebarang wangian supaya deria baunya dapat berfungsi dengan baik. Ketika anak bercakap dengan anda, tenung matanya agar anak tahu fungsi mata sebenarnya, iaitu untuk melihat.

2. Persekitaran - Sediakan persekitaran yang digemarinya. Misalnya, jika anak gemar muzik, sediakan satu ruang untuk hobinya itu. Atau anda boleh membawa anak ke taman permainan agar anak terdedah dengan persekitaran yang pelbagai dan menarik. Sekiranya anak anda masih lagi bayi, untuk menyediakan persekitaran yang positif untuk mereka adalah dengan mempelbagaikan mainan warna-warni di sekelilingnya. Dengan cara ini anak mudah tertarik dengan apa yang dilihatnya. Sebaik-baiknya, mainkan seberapa banyak permainan yang boleh untuk anak.

3. Sentiasa menerangkan rutin anda - Untuk merangsang otak anak secara lebih luas, komunikasi 2 hala perlu ada dan dijalankan semaksimum yang mungkin. Misalnya, menerangkan rutin harian anda kepada anak. Dengan menerangkan rutin harian kepadanya, anak mudah memahami "kerja" sebenar seorang manusia yang perlu bekerja, makan, rehat dan sebagainya.

4. Buku - Pilih buku yang sepadan dengan usia anak. Pastikan ketika usia anak masih kecil, berikan buku yang lebih banyak gambar berbanding teks. Warna juga memainkan peranan penting bagi memastikan anak terdorong untuk membaca. Peruntukkan masa yang sesuai setiap hari. Misalnya, pada waktu malam ketika sedang masuk tidur. Salah satu cara merangsang otak anak adalah dengan menunjukkan anak satu-satu perkara secara jelas. Misalnya ketika membaca buku, sebutkan nama beberapa benda yang ada pada setiap halaman. Pegang jari anak dan tunjukkan objek tersebut. Sebut nama objek itu dan ulanginya beberapa kali.

5. Berusaha - Biarkan anak menolong anda sebanyak yang boleh. Tugas-tugas mudah seperti menyimpan mainannya mampu dilakukan dan dapat mewujudkan perasaan bangga dalam diri anak. Untuk anak yang lebih besar, ajak anak membantu anda di dapur. Sama ada ketika memasak atau mengemas meja makan. Keadaan ini membantu anak memahami apa itu "usaha" dan hasil daripada usaha tersebut selalunya akan memuaskan hati.

6. Terangkan sifat benda - Di sekeliling kita terdiri daripada pelbagai jenis benda. Oleh yang demikian gunakan apa yang ada di sekeliling anda sebagai salah satu cara menjana pemikiran anak. Misalnya memperkenalkan anak tentang sifat benda. Apabila menunjukkan sesuatu kepada anak, nyatakan sama ada benda itu keras atau lembut, warnanya, bunyinya dan sebagainya.

7. Tingkatkan rasa kendiri - Galakkan anak supaya bersifat berdikari dan tidak mudah bergantung pada orang lain. Misalnya dengan cara menyuruh anak membuat keputusan yang mudah seperti meminta anak memilih sendiri baju yang ingin dipakainya. Atau anda boleh menyoal anak tentang satu-satu perkara yang mudah seperti "di mana kita tinggal?", "siapa nama?" dan sebagainya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment