November 07, 2005

Doa Yang Berterusan

Ibu bapa hendaklah mendoakan anak-anak mereka setiap masa terutamanya selepas setiap waktu solat secara berterusan.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: "Ketahuilah hanya dengan mengingat Allah, hati akan menjadi tenang". [Surah Ar-Ra'du: 28]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu adalah senjata bagi orang beriman, tiang agama, cahaya langit dan bumi". [Riwayat Abu Ya'la dan Hakim]

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Doa adalah otak ibadah". [Riwayat Bukhari]

Orang yang tidak suka berdoa seperti badan yang tidak berkepala atau kepala yang tidak berotak.

Pelbagai bangsa dan agama mempunyai cara yang berlainan untuk berdoa. Satu perkara yang sama ialah semua manusia berdoa dengan bersungguh-sungguh dan membayangkan di dalam minda mereka apa yang mereka minta. Proses ini dinamakan Visualization.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa Tuhan akan mengabulkan doa tersebut, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya mereka berjaya memperolehi seperti yang mereka minta. Maka, terkabullah doa mereka.

Doakan anak-anak dengan segala aspek yang positif. Tetapi adakalanya kita lupa atau terlepas pandang bahawa apa yang difikir dan dituturkan oleh ibu bapa merupakan doa yang amat mustajab.

Oleh itu, demi melihat anak-anak kita mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, sematkan pada fikiran kita bahawa anak-anak kita memang cemerlang.

Kaedah ini bersesuaian denga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah beserta dengan apa yang kamu sangka".

Fikirlah bahawa anak-anak kita adalah anak yang terbaik yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Selalulah sebut kepada anak-anak: "Kamu adalah anak abah yang baik, yang hebat, pandai, bertanggungjawab dan yang cemerlang".

Ulangilah ucapan seperti ini kerana apabila ianya diulang, ia akan menjadi doa yang sangat mustajab.

Metadologi Berdoa
  • Gambarkan apa yang diminta
  • Tumpukan pandangan mata
  • Rapatkan jari dan tangan

Waktu Yang Mustajab Berdoa

  • Sepertiga malam yang akhir [mulai jam 2 pagi]
  • Pada malam Jumaat dan juga siangnya
  • Di antara azan dan iqamah
  • Setelah selesai solat 5 waktu
  • Di dalam bulan Ramadhan
  • Pada waktu berbuka puasa [puasa wajib & puasa sunat]
  • Pada malam Lailatul Qadar [10 malam akhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan]
  • Pada hari Arafah [9 - 10 Zulhijjah]

Syarat-Syarat Berdoa

  • Memuji Allah SWT di awal doa
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan para sahabat Baginda
  • Dilakukan dengan ikhlas
  • Tidak terburu-buru
  • Berdoa untuk kebaikan sahaja. Jangan berdoa untuk keburukan atau kejahatan.
  • Keluar dari lubuk hati yang dalam
  • Makan minum hendaklah halal

Adab-Adab Berdoa

  • Sebelum membaca doa, hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT di atas dosa-dosa yang lalu.
  • Mulakan dengan membaca Basmalah.
  • Membaca Hamdalah iaitu memuji kepada Allah SWT.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan sahabat Baginda.
  • Diulang doa 3 kali terutama pada bahagian yang penting.
  • Panjatkan doa dengan hati yang khusyuk, rendah diri dan bersungguh-sungguh.
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan dan rapatkan di antara satu sama lain.
  • Akhiri doa dengan Hamdalah dan Selawat sebagaimana permulaan.
  • Merendahkan suara.

Doa Yang Tidak Ditolak

  • Doa orang yang teraniaya walaupun orang kafir
  • Doa orang yang di dalam keadaan terdesak kerana kesungguhannya berdoa.
  • Doa pemimpin dan penguasa yang adil yang tidak mementingkan diri sendiri.
  • Doa ibu bapa terhadap anaknya.
  • Doa anak soleh terhadap ibu bapanya.
  • Doa orang yang berjasa terhadap masyarakat.
  • Doa orang yang menghubungkan tali silaturrahim.
  • Doa orang yang bertaubat.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment