February 24, 2006

Amiin (Ya Allah, Perkenankanlah Doa Kami)

Antara kelebihan umat Nabi Muhammad SAW ialah ucapan AMIN, yang bermaksud, Ya Allah perkenankanlah doa kami.

Keistimewaan ini adalah antara beberapa keistimewaan umat Nabi Muhammad SAW yang menimbulkan rasa hasad kepada orang Yahudi.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Perkara yang menjadikan Yahudi berasa dengki kepada kamu ialah kerana kamu dikurniakan ucapan salam dan Ta’min (Amin).” (Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, ertinya:

“Orang Yahudi berasa dengki kerana kita dikurniakan solat Jumaat oleh Allah SWT kerana kita telah diberi petunjuk, sedang mereka telah sesat dengannya. Allah SWT telah menentukan Qiblat yang menjadi petunjuk kepada kita dan mereka sesat dengannya dan kerana ucapan Amin kita di belakang imam.” (Riwayat Ahmad)

Dalam hadis lain, ertinya:

“Sesungguhnya orang Yahudi jemu terhadap agama mereka dan mereka bersifat dengki, mereka hasad kepada muslimin kerana tiga keistimewaan iaitu jawapan salam, solat jemaah bersaf dan ucapan Amin di belakang imam ketika solat fardhu.” (Riwayat Al-Thabrani)

Rasulullah SAW berbangga dengan beberapa pemberian Allah SWT.

Hal ini dijelaskan oleh hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT telah memberi kepadaku tiga perkara: Allah SWT memberi aku solat bersaf, Al-Tahiyat; sesungguhnya tahiyat adalah ucapan ahli syurga; kemudian mengurniakan ucapan Ta’min (Amin). Allah SWT tidak pernah mengurniakan kepada seorang Nabi pun sebelumku (ucapan Amin) kecuali kepada Nabi Harun, iaitu ketika Nabi Musa berdoa lalu Nabi Harun mengaminkannya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Ucapan Amin adalah satu pintu daripada pintu keampunan.

Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadis yang bermaksud:

"Apabila imam berkata (غَيرِ المَغضُوبِ عَلَيهِمْ وَلاَ الضَّالِّين) maka hendaklah kamu kata Amin. Sesungguhnya orang yang beriringan ucapan Aminnya dengan Amin malaikat, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah)

Keampunan tersebut termasuklah untuk semua jemaah masjid kerana An-Nasa’i meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis yang bermaksud:

“Maka sesungguhnya siapa yang berkebetulan ucapannya (ucapan Amin) dengan ucapan (Amin) malaikat akan diampunkan dosa orang berada di dalam masjid.” (Riwayat An-Nasa’i)

Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa siapa yang berkata AMIN akan diperkenankan oleh Allah doanya dengan katanya, “Hendaklah kamu kata Amin nescaya Allah SWT mengkabulkan.”

Hadis menjelaskan yang bermaksud:

“Kami keluar bersama Rasulullah SAW pada suatu malam lalu kami menemui seorang lelaki merayu-rayu dalam doanya dan Rasulullah SAW berhenti untuk mendengarnya."

Rasulullah SAW bersabda, “Doanya pasti akan dikabulkan jika dikhatamkan.”

Lantas seorang lelaki bertanya, “Dengan apakah ia perlu dikhatamkan?”

Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Dengan lafaz Amin. Sekiranya dia berbuat demikian doanya pasti akan dimakbulkan."

Selepas itu orang yang bertanya kepada Rasulullah SAW itu pun berlalu.

Kemudian Rasulullah SAW menemui lelaki yang berdoa itu seraya berkata:

“Tamatkanlah doa kamu dengan Amin dan bergembiralah kamu (dikabulkan).”

(Riwayat Abu Dawud)


Orang mukmin itu bersama dengan saudaranya yang mukmin dalam berdoa dengan memohon dan mengharap diperkenankan Allah SWT.

Hal ini dinyatakan di dalam hadis yang bermaksud:

“Apabila para pembesar yang berhimpun lalu sebahagian mereka berdoa sedang sebahagian yang lain mengaminkan nescaya doa itu akan diperkenankan oleh Allah SWT.” (Riwayat Al-Hakim)

Oleh itu sesiapa yang tidak mengucap amin, maka ia tidak memperolehi apa-apa.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Bandingan orang yang tidak mengucap Amin seperti seorang yang akan diundi samada ia turut berperang dengan kaumnya atau tidak. Kemudian ia tidak terpilih lalu ia bertanya, kenapa anak panahku tidak terpilih? Begitulah perumpamaannya bagi orang yang tidak menyebut Amin." (Riwayat Abu Yakli)

Hadis tersebut di atas menyatakan perbandingan orang yang tidak menyebut Amin bersama Imam kerana lupa dan lalai memberi perhatian kepada bacaan imam; mereka serupa dengan tentera yang berperang serta dapat harta rampasan.

Kemudian mereka berkumpul untuk membahagikan harta rampasan dan membahagikan hadiah, tetapi seorang daripada mereka tidak memperolehi sesuatu. Ia rugi kerana tidak mendapat sesuatu daripada harta rampasan itu lalu dia bertanya kepada ketua tentera, kenapa aku tidak memperolehi bahagianku?

Jawab ketua tentera, sebab awak tidak mengucapkan bersama orang yang berkata Amin.

Hal ini dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Oleh itu Rasulullah SAW menyuruh kita memperbanyakkan mengucap Amin dengan sabdanya, “Banyakkanlah berkata Amin.”

Wallahu a'lam.

[Copyright Controlled]

No comments:

Post a Comment