Tarikh : 2/17/2006 3:58:33 PM
Dalam surah Al-Ahzab ayat 35 Allah SWT berfirman, “Dan golongan lelaki dan wanita yang banyak berzikir kepada Allah, Allah janjikan bagi mereka keampunan serta ganjaran yang besar.”
Siapakah sebenarnya mereka yang banyak berzikir kepada Allah?
Mengikut Imam Mujahid, “(Mereka ialah golongan) yang sentiasa mengingati Allah ketika sedang berdiri, duduk dan berbaring.”
Kadar zikir yang paling minimum yang perlu seseorang lakukan ialah melaksanakan solat dengan penuh khusyuk dan rendah hati.
Berhubung dengan ini Imam Atha berkata, “Sesiapa yang melaksanakan solat yang lima dengan melaksanakan segala hak-haknya, dia tergolong dalam golongan lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.”
Nabi SAW menggelar golongan yang banyak berzikir kepada Allah sebagai Al-Mufarridun.
Mengikut Imam Muslim, Nabi SAW bersabda; “Golongan Al-Mufarridun akan mendahului.”
Sahabat-sahabat bertanya, “Siapakah mereka yang mufarridun itu ya Rasulullah?”
Bersabda Nabi SAW, “Lelaki dan perempuan yang banyak berzikir kepada Allah.”
Zikrullah yang terbaik ialah yang dilakukan dengan hati dan lidah. Namun jika hendak dipilih di antara kedua-duanya, zikir dengan hati adalah pilihan yang lebih baik.
Berzikir Untuk Semua
Imam Nawawi dalam Al-Azkar berkata, “Telah ijmak ulama tentang keharusan berzikir dengan hati dan lidah bagi semua orang termasuk mereka yang berhadas, yang berjunub, yang haid dan yang mengalami nifas, tidak kira sama ada zikirnya berbentuk tahlil, tahmid, takbir, selawat, doa dan yang seumpamanya, kecuali membaca Al-Quran."
"Ia diharamkan ke atas mereka yang berjunub, mengalami haid dan nifas. Namun mereka masih boleh membaca Al-Quran di hati dan mereka juga boleh melihat mashaf ketika melakukannya."
"Walau bagaimana pun, kalimat-kalimat dari Al-Quran yang menjadi amalan harian boleh terus disebutkan ketika berjunub, mengalami haid dan nifas, sebagai contoh, basmalah, kalimat syukur, doa-doa Al-Quran dan yang seumpamanya."
"Walau bagaimanapun ketika melafazkannya, mereka yang berkenaan hendaklah berniat bahawa mereka melakukannya untuk berzikir dan berdoa.”
Zikir Mendamaikan Jiwa
Zikrullah mampu mendamaikan jiwa. Sehubungan dengan ini dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 Allah SWT berfirman, “Ketahuilah, dengan berzikir kepada Allah hati akan tenang.”
Berzikir dengan membaca Al-Quran merupakan satu cara yang baik untuk menenangkan jiwa.
Pada suatu ketika, seorang lelaki mendatangi sahabat Abdullah ibn Masud dan berkata, “Wahai Ibn Masud, nasihatilah aku dengan sesuatu yang dapat meredakan kegelisahanku. Buat masa ini, jiwaku tidak tenteram, fikiranku kusut, tidurku tidak nyenyak dan seleraku hilang.”
Abdullah ibn Masud menjawab, “Bawalah hatimu mengunjungi tiga tempat, pertama, ke tempat orang membaca Al-Quran tidak kira sama ada kamu ikut membacanya ataupun kamu sekadar mendengar pembacaan orang lain. Kedua, kamu menghadiri majlis pengajian yang mengingatkan kamu kepada Allah dan ketiga, kamu mencari satu waktu yang sunyi, contohnya di waktu malam, dan ketika itu kamu bangun melaksanakan ibadah kepada Allah serta memohon kepadaNya agar diberikan ketenangan dan kedamaian hati kepadamu. Jika selepas melakukan kesemua ini jiwamu masih juga tidak tenteram, mintalah kepada Allah agar digantikan hatimu dengan hati yang lain kerana hati yang kamu miliki sekarang ini bukannya hatimu.”
Lelaki itu pun kembali ke rumahnya dan terus mengambil wuduk dan membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk. Selesai membaca Al-Quran, didapati jiwanya berubah menjadi tenang, fikirannya menjadi jernih dan kegelisahan yang selama ini melanda hatinya hilang sama sekali.
[Note: Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin]
No comments:
Post a Comment