Assalamulaikum wbt.
Tuan-tuan & puan-puan, para peminat Mutiara FM yang saya muliakan. Lagi sekali Dr Danial bersama-sama dengan anda pada pagi yang permai ini. Pagi ini saya teringat tentang satu isu yang mengejutkan kita yang pernah ditimbulkan oleh seorang mufti di salah sebuah negeri di Malaysia ini.
Ia berkaitan dengan golongan Islam yang murtad di Malaysia baru-baru ini. Beliau menganggarkan jumlah mereka yang murtad mencecah lebih kurang 100 ribu orang.
Kenyataan beliau sudah pastinya mengejutkan ramai pihak. Sudah pastinya ia bukanlah suatu yang menggembirakan kita. Saya tidak pasti tentang jumlah itu. Saya juga tidak terkejut dengan jumlah itu.
Melihat kepada gelagat-gelagat remaja kita sepanjang saya berceramah di negeri-negeri di Malaysia ini. Melihat kepada media masa kita dengan paparan hiburan yang melampau sehingga tidak meletakkan hiburan itu di atas landasan agama yang suci lagi murni.
Melihat kepada pendakwah-pendakwah dan ustaz ustazah kita berceramah yang kadangkala menyulit dan menyukarkan dan begitulah seterusnya dalam aspek ibu bapa yang jahil tentang Islam.
Apabila mereka bercakap tentang agama, mereka bercakap bahasa yang sempit, bukan agama yang moden, maju, mudah dan bukan agama yang komprehensif yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Saya tidak terkejut bila orang menyatakan bahawa ramai remaja kita, golongan Islam di Malaysia telah murtad. Sepatutnya perkara ini menginsafkan kita tentang kealpaan kita bersama. Betapa kita sebagai ibu bapa, kita melepaskan tangan kadangkala.
Kita mengharapkan ustaz dan ustazah di sekolah menyelesaikan kesemua masalah agama bagi anak kita sedangkan kita sebagai ibu bapa merupakan juga seorang pendidik dalam bahagian dan bidang agama bagi anak-anak kita. Paling kurang kita merupakan orang yang sepatutnya memantau agama anak-anak kita.
Saya tidak menafikan ada ibu bapa yang masya-Allah. Ada ustaz dan ustazah yang masya-Allah. Mereka gigih dan berkorban masa untuk mendidik anak-anak bangsa menjadi orang yang beriman dan bertakwa. Tetapi tidak kesemua kita seperti itu.
Tuan-tuan & puan-puan, kita perlu memandang serius dengan isu ini. Kita perlu melihat agama sebagai satu agama yang cukup mudah, moden dan maju. Mungkin aspek ini akan saya bicarakan pada ketika yang lain.
Bila saya membaca tentang apa yang berlaku di luar negara, ia menggembirakan pula. Orang luar negara yakni kristian sebagai contoh dan barat secara umumnya mula tertarik dengan Islam.
Jika di Malaysia makin ramai yang tidak tertarik dengan Islam, di barat makin ramai yang tertarik dengan Islam. Sebagai contoh; Rebecca Simmons daripada Abilene Reporter-news melaporkan pada Nov 1 1997, tentang seorang yang merupakan seorang tokoh wanita yang radikal, seorang wartawan radio, seorang kristian di barat tetapi akhirnya memeluk agama Islam dan beliau ialah Aminah Assilmi. Pada hari ini beliau merupakan duta wanita Islam di barat.
Kemudian Marc Ramirez daripada Seattle Times melaporkan pada Januari 24 1999, mengatakan dengan 6 juta orang Islam di Amerika maka Islam boleh dikatakan sebagai salah satu agama yang semakin hebat, semakin tinggi perkembangannya di Amerika.
Dalam The Sunday Morning Harold bertarikh May 19 2001, ia membawa tajuk Islam Finds Western Women To Be Rising Force Among Converts iaitu Islam telah berjaya menambat hati ramai wanita di barat sehingga mereka semakin meningkat jumlahnya yang memeluk agama Islam.
Dalam the Sojourners Magazine Online demikian juga yang dilaporkan tentang ramai orang-orang di barat yang jatuh hati kepada Islam. Demikian juga yang telah dilaporkan oleh Chris L. Jenkins pada tanggal Januari 7 2001 dalam Washington Post Online, beliau juga mengatakan semakin ramai wanita-wanita di barat yang memeluk agama Islam. Pada tanggal 9 November 1993 The Times London di bawah tajuk The Spread Of A World Creed oleh Lucy Berrington juga mengatakan makin ramai wanita di barat yang telah memeluk agama Islam.
Ini dan lain-lainnya menceritakan tentang suatu yang juga mengejutkan di barat iaitu tentang orang yang semakin dekat dengan Islam. Mereka sepatutnya anti Islam dan membenci Islam tetapi mereka jatuh hati dengan Islam dan memeluk agama Islam.
Lebih mengkagumkan lagi antara mereka yang memeluk Islam ialah paderi-paderi sebagai contoh paderi Kenneth L. Jenkins yang merupakan paderi di Pentecostal Church di Indianapolis Indiana. Beliau telah memeluk Islam baru-baru ini dan telah menceritakan pengalaman beliau dalam bukunya yang bertajuk How A Christian Preacher Embraced Islam.
Demikian juga dengan Sue Watson, Paderi George Anthony daripada gereja katholik, Sri Lanka. Demikian juga dengan paderi Ibrahim Khalil Philobus yang juga telah memeluk Islam dan baru-baru paderi Yusuf Estes dari Amerika dan beliau telah memberikan ceramah dan ceramahnya yang saya dengar mengatakan beliau telah bertemu dengan ramai lagi paderi yang kesemuanya memeluk agama Islam.
Tuan-tuan & puan-puan, apa sedang berlaku di sana dan apa yang sedang berlaku di sini. Di sana orang semakin mengkaji Islam. Di sini!!! Wallahu a'lam. Di sana orang semakin mengkaji Islam sehingga paderi memeluk Islam, golongan elit memeluk Islam, tokoh-tokoh di barat memeluk Islam dan tidak mustahil satu hari nanti di barat, jumlah muslim dan muslimat meningkat dan dengan itu akan bersinarlah Islam di barat seolah-olahnya matahari naik di barat.
Salah seorang diantara mereka ialah Yvonne Ridley. Beliau merupakan seorang wanita yang pernah ditahan oleh Taliban baru-baru ini. Selepas itu beliau memeluk agama Islam dan pada hari ini merupakan seorang muslimah yang gigih berdakwah untuk menaikkan nama Islam terutamanya di barat. Beliau akan datang ke Pulau Pinang minggu ini.
Tuan-tuan & puan-puan, jangan lepaskan peluang untuk mendengar ceramah oleh Yvonne Ridley. Mungkin bila kita mendengar ceramah dari orang yang berbeza dengan kita sebab dia berasal dari agama kristian, seorang yang anti Islam, tiba-tiba cinta yang amat sangat pada Islam.
Ini peribadi yang berbeza dengan mindset kita, kerangka minda kita, cara fikir kita. Dengar daripada orang yang macam ini. Ia akan memberikan motivasi kepada anda. Alhamdulillah Yvonne Ridley akan memberikan ceramah pada hari Khamis 3 Ogos 2006 di USM jam 8.15 malam. Pastikan anda datang dan mendengar, belajar dan ambil semangat daripada tokoh Islam ini yang sedang menaikkan nama Islam di barat membela Islam di penjuru beliau di barat. Itu yang sedang berlaku di sana.
Mereka jatuh hati dengan Islam. Semoga semangat mereka menjangkiti kita. Semoga kita akan mengkaji Al-Quran. Kita akan mengkaji semula agama kita dan dengan itu kita akan sama-sama berperanan untuk menaikkan nama Islam mencontohi Yvonne Ridley yang akan kita dengar ceramahnya pada Khamis ini di USM dan insya-Allah semoga dengannya kita akan menjadi orang Islam yang lebih baik. Insya-Allah. Semoga ada kebaikannya.
[Dari Dr Danial bin Zainal Abidin dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 01 Ogos 2006, hari Isnin jam 7.30 pagi di Mutiara FM pulau Pinang 95.7 mhz]
No comments:
Post a Comment