October 21, 2006

Kemusykilan Solat Witir

SOLAT WITIR

Witir itu maknanya ganjil, yakni tidak genap bilangan rakaatnya. Solat witir ini boleh dilakukan secara berseorangan atau berjemaah. Solat witir adalah solat sunat Muakkad yang dianjurkan dan digalakkan sangat oleh Rasulullah SAW, seperti keterangan hadis yang bermaksud:

“Sesungguhnya Solat Witir itu bukanlah wajib sepertimana solat-solat yang difardhukan. Hanya Rasulullah SAW setelah mendirikan Solat Witir, pernah bersabda “Wahai ahli Al-Quran, kerjakanlah Solat Witir, sebab Allah itu witir (Maha Esa) dan suka sekali kepada yang witir.” [HR. Ahmad]

Mengikut fahaman hadis di atas, bahawa solat witir itu mengandungi beberapa keutamaan, umpamanya:

Solat witir itu lebih afdhal daripada solat-solat sunat rawatib yang lain.

Para malaikat turut menyaksi diatas kesungguhan amalannya.

Waktu Solat Witir

Ulama bersepakat bahawa waktu solat sunat witir itu ialah selepas solat Isyak hingga sampai fajar. Ini berdasarkan keterangan hadis riwayat daripada Abu Tamin Al-Jaisyani yang antara maksudnya:

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah memberikan tambahan kepadamu suatu solat, iaitu solat witir. Maka kerjakanlah solat itu antara solat Isyak dan hingga ke solat fajar.“

Disegerakan atau Mentakhirkan Solat Witir

Disunatkan pula untuk tidak melengah-lengahkan malah disegerakan solat witir itu pada permulaan malam bagi seseorang yang takutkan kalau-kalau ia tidak dapat bangun pada akhir malam. Tetapi bagi seseorang yang merasa sanggup dan dapat bangun pada akhir malam, maka itulah yang lebih afdhal. Keterangan hujah di atas adalah terkandung di dalam sebuah hadis riwayat Ahmad, Muslim, Tarmizi dan Ibu Majah.

Rasulullah SAW berwasiat kepada sebahagian sahabat beliau, agar jangan tidur dahulu melainkan selepas mendirikan solat witir. Hal ini tentunya untuk sikap berhati-hati bagi seseorang yang bimbangkan atau merasa tidak boleh bangun pada akhir malam.

Bilangan Rakaat Solat Witir

Mengikut pandangan ulama fekah, terdapat tiga (3) cara solat witir itu dikerjakan. Ketiga-tiga cara ini diambil dari catatan hadis-hadis yang sahih. Terpulang kepada individu, mana satu yang lebih kita yakini dan fahami untuk melakukannya. Cara yang dimaksudkan, iaitu:
  1. Boleh dikerjakan setiap dua rakaat satu salam, kemudian diikuti dengan satu rakaat lagi dengan bertasyahud dan salam.
  2. Boleh dilakukan kesemua itu dilakukan dengan cara keseluruhannya sekali dengan dua kali tasyahud dan satu kali salam. Maknanya seluruh rakaat (umpamanya : tiga, lima, tujuh sembilan mahupun sebelas rakaat) disambung sekaligus tanpa tasyahud melainkan pada rakaat sebelum akhir, dan seterusnya berdiri semula untuk melanjutkan satu rakaat lagi.
  3. Boleh dilakukan keseluruh rakaat itu ( umpamanya : tiga, lima, tujuh, sembilan atau pun sebelas rakaat) disambung sekali dengan hanya satu tasyahud dan salam pada rakaat yang terakhir.

Bacaan Dalam Solat Witir

Di dalam riwayat hadis yang diceritakan oleh Aisyah yang bermaksud:

“Rasulullah di dalam solat witir membaca Surah Al-A’la pada rakaat pertama, Surah Al-Kafirun pada rakaat kedua, sedang dalam rakaat ketiga baginda membaca Surah Al-Ikhlas serta dua surah Muawwadzah iaitu surah Al-Falaq dan surah An-Nas.”

Tiada Dua Witir Pada Satu Malam

Bagi sesiapa yang telah mengerjakan witir penamat, kemudian hendak solat sunat semula selepas itu, maka baginya bolehlah mendirikan semua solat-solat sunat yang dikehendakinya. Tetapi tidak pula boleh mengulangi solat witir untuk kali keduanya pada malam yang sama. Hal ini merujuk kepada hadis riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Tarmizi yang bermaksud:

Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dua kali witir pada satu malam.”

Oleh itu, apabila seseorang telah mendirikan solat witir selepas solat Isyak, ataupun penamat solat Tarawih, maka apabila kita bangun malam untuk mendirikan solat-solat sunat, hal itu tidak jadi penghalang. Maknanya kita boleh mendirikan solat sunat seberapa banyak pada malam yang sama. Tetapi tidak boleh mengulangi atau mendirikan witir pada malam yang sama itu.

Kekeliruan Solat Witir

Banyak pendapat yang mengatakan bahawa sesudah solat witir itu, maka tidak boleh dilakukan lagi apa-apa solat sunat. Atau bilamana hendak dilakukan juga sunat yang lain, perlulah dibuka kembali dengan mengerjakan solat mutlak dan selepas mengerjakan solat sunat maka hendaklah ditutup kembali dengan sunat witir.

Pendapat ini adalah laro’ dan tidak mempunyai bukti dari hadis yang sahih. Pendapat ini adalah sekadar pendapat yang tidak terdapat dalam mana mana kitab yang muktabar.

Kesilapan kita ialah menganggap bahawa witir itu adalah penutup segala-galanya. Dan bagi sesiapa yang solat sunat selepas witir, maka ianya tidak dikira berpahala. Ini juga merupakan pendapat loro’ yang mengelirukan umat Islam.

Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment