October 18, 2006

Malam Lailatul Qadar

Lailatul Qadar Malam yang Dinanti oleh Mukmin

10 akhir Ramadhan adalah merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh seluruh orang mukmin.

Bulan Ramadhan, Al-Quran dan malam Lailatul Qadar mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w.

Tidak perlu ada kesangsian tentang ujudnya Lailatul Qadar kerana firman Allah di dalam surah Al-Qadar yang maksudnya:

"Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatul Qadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatul Qadar. Lailatul Qadar lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Diriwayatkan oleh Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah s.a.w. telah menyebut tentang 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu.

Lalu Malaikat Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah s.w.t. menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Malaikat Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah s.a.w. bahawa anugerah Allah ini adalah lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan dan ini menjadikan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.

Daripada ayat di atas dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam Lailatul Qadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1,000 bulan.

Rasulullah s.a.w. melakukan ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah.

Kata Aisyah r.a. maksudnya: "Nabi s.a.w. apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah. Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah."

Kelebihan Menghayati Malam Lailatul Qadar

Kerana mulianya Lailatul Qadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya:

"Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan solat dan berbagai jenis ibadah yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah Ta'ala, nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu.

Rasulullah s.a.w. sendiri menjadi contoh yang baik yang menghayati malam Lailatul Qadar terutama 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatul Qadar yang mulia.

Ini diterangkan di dalam satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. katanya: maksudnya: "Biasanya Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang lain."

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan.

Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam Lailatul Qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan.

Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatul Qadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatul Qadar itu adalah malam 27 Ramadhan.

Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatul Qadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.

Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatul Qadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadah.

Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup bahagia di dunia mahupun di akhirat.

Malam Lailatul Qadar


Doa khusus pada malam tersebut diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan daripada Aishah r.a. maksudnya: "Saya pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagaimana kiranya saya mengetahui malam Lailatul Qadar dengan tepat. Apa yang saya akan doakan pada saat itu."

Baginda menjawab: "Berdoalah dengan doa yang berikut. Maksud doa: "Ya Allah ya Tuhanku sesungguhnya Engkau sentiasa memaafkan salah silap hamba lagi suka memaafkan, oleh itu maafkanlah salah silapku.”


Orang yang beribadah pada 10 malam yang tersebut akan mendapat rahmat yang dijanjikan dan telah sabit di dalam hadis-hadis yang sahih bahawa malam Lailatul Qadar wujud pada salah satu malam yang 10 itu terutama pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.

Orang-orang yang tekun beribadah di dalam masa tersebut untuk menemui malam Lailatul Qadar akan mendapat rahmat yang dijanjikan itu samada ia dapat menemui atau tidak dan tidak melihat apa-apa kerana yang penting adalah disebut di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim ialah:

1. Menghayati malam tersebut dengan beribadah.
2. Beriman dengan yakin bahawa malam Lailatul Qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
3. Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmatNya dan keredaanNya.


Adalah diharapkan sebelum daripada kita beramal ibadah di malam Lailatul Qadar hendaklah kita bertaubat dengan sebenar-benarnya iaitu Taubat Nasuha dan terus beristiqamah tetap teguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya.

Tanda Malam Lailatul Qadar

Para alim ulama menyebutkan beberapa tanda atau alamat berhubung dengan malam Lailatul Qadar:

  • Ada yang berkata orang yang menemui malam Lailatul Qadar ia melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga di segala ceruk yang gelap gelita.
  • Ada pula yang berkata ia mendengar ucapan salam dan kata-kata yang lain dari Malaikat.
  • Ada juga yang berkata ia melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
  • Ada pula yang berkata doa permohonannya makbul.

Imam Tabari r.h. memilih kaul yang menegaskan bahawa semuanya itu tidak lazim dan tidak semestinya ia dapat melihatnya kerana tidak disyaratkan melihat sesuatu atau mendengarnya untuk menemui malam Lailatul Qadar.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w : "Carilah malam Lailatul Qadar pada bilangan yang ganjil di dalam tempoh sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadhan."

10 hari terakhir bermula dari 6hb hingga 15hb Disember. Malam 6, 8, 10, 12 dan 14 Disember adalah malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan.

Marilah kita memperbanyakkan ibadah untuk mencari keredaan Allah SWT.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment