November 01, 2006

Rezeki Berkat kerana Sedekah

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi.

Sebaliknya tanpa keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub AS ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya.

Lantas Allah SWT berfirman: "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?"

Nabi Ayub menjawab: "'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu."

Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insya-Allah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana mengharapkan pujian dan sebagainya (pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri).

Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh.

Jangan anggap pemberian itu hak kita. Sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan sedekah sunat secara rahsia, tetapi sedekah wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas disebutkan dalam Al-Quran, Surah Ali-Imran ayat 92.

9. Carilah harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat (dunia untuk akhirat, bukan dunia untuk dunia).

10. Amalan yang diberkati ialah hasil titik peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan).

Menurut Nabi SAW, 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan.

Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%).

Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum diutus menjadi Rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah.

Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para Nabi dan Rasul di akhirat kelak.

Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada orang Islam yang menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam akan menanggung dosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangkan bahawa setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi.

Yang satu menyeru: "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah."

Yang satu lagi menyeru: "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)."

Orang yang bakhil tidak akan memanfaatkan hartanya untuk dunia dan akhirat.

Menginfaqkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar."

Dan sabda Nabi SAW lagi: "Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api."

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insya-Allah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan.

Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.

Ajarkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan lagi ilmu.

Begitu juga harta. Belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment