August 21, 2009

Jadual Harian Seorang Muslim di Bulan Ramadhan

4.00 pagi : Bangun

Berdoa kepada Allah : "Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan aku setelah Dia mematikan aku dan kepada-Nya lah aku akan dikembalikan".

Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhuk dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

4.20 pagi : Solat Sunat Taubat

Niatnya : Sahaja aku solat sunat taubat 2 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati)

Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.

Selepas solat, angkatlah tangan memohon ampun kepada Allah SWT. Menangislah kerana menyesali dosa-dosa yang telah kita lakukan.

Solat Sunat Tahajjud
Niatnya : Sahaja aku solat sunat tahajjud 2 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati).

Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas.

Selepas solat, angkatlah tangan berdoa kepada Allah.

Solat Sunat Hajat

Niatnya : Sahaja aku solat sunat hajat 2 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati).

Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali.

Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

Solat Sunat Witir

Niatnya : Sahaja aku solat sunat witir 2 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati).

Selepas salam, bangun lagi dan solat witir 1 rakaat.

Niatnya : Sahaja aku solat sunat witir 1 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati).

Perbanyakkan berdoa kepada Allah dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta,merintih-rintih agar Allah ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.


5.00 pagi : Makan Sahur

Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.


5.30 pagi : Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat.

Solat sunat Subuh dan solat Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sejadah atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

7.00 pagi : Membuat persiapan ke tempat kerja.

Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada Allah agar semua aktiviti kita diberkati-Nya.


Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya di mulut atau di hati.

Perbanyakkan istighfar dan meminta ampun kepada Allah SWT.

Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa Allah SWT sentiasa memerhati kerja-kerja yang kita lakukan dan yakinlah Dia akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi : Solat Sunat Dhuha

Ia adalah sumber rezeki yg berkat kalau istiqomah diamalkan.

Niatnya : Sahaja aku solat sunat dhuha 2 rakaat kerana Allah Taala (baca dalam hati).

Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.

Contoh dosa-dosa : Mengumpat, mengutuk, menyindir atau menyakitkan hati orang lain, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dengan kerja.

12.45 tgh : Bersiap untuk solat Zohor.

Menunggu waktu bersolat dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Rawatib.

Bersujud syukur setelah selesai solat sunat dan wirid sebagai tanda berterima kasih kepada Allah yg memberi kita nikmat besar agar dapat menyembah-Nya.

4.15 ptg : Bersedia untuk solat Asar.

Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah.

Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada Allah yang memberi kita nikmat besar agar dapat menyembah-Nya.

5.30 ptg : Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur

Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri masing-masing!!!

6.30 ptg : Memperbanyakkan doa sebelum berbuka.

Kerana waktu ini adalah masa yang mustajab untuk berdoa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga".

Merintihlah kepada Allah SWT dan memohon agar amalan kita diterima.

Apabila masuk watu Maghrib, bacalah doa dan berbuka: "Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka".

Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah. Setelah itu barulah makan makanan berat.

8.00 mlm : Solat Isyak berjemaah dan diteruskan dengan solat Tarawih.

Cuba pertahankan solat tarawih dalam apa keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar.

Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk. Seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca manakala yang lain menyemaknya.

Cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang Ramadhan.

Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali dalam bulan Ramadhan)

11.00 mlm : Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.

Berniatlah untuk puasa esok hari dengan berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa Ramadhan yg wajib ke atasku, pada tahun ini kerana Allah Taala. (Jangan Lupa)!!!

Tidur awal agar dapat bangun untuk beribadah. Bacalah doa sebelum tidur : "Dengan namaMu Ya Allah! aku hidup dan aku mati".

Ingatlah tidur adalah mati yg sementara. Kemungkinan kita dipanggil Allah SWT ketika sedang tidur.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment