December 21, 2009

Jangan Menunggu Ucapan Terima Kasih

Sesungguhnya sudah menjadi tabiat manusia untuk engkar, bersikap bongkak dan sombong.

Oleh sebab itu, jangan merasa hairan dan tertekan jika ada di antara manusia yang tidak mahu berterima kasih kepada anda, meremehkan kebaikan yang anda lakukan, melupakan bantuan yang pernah anda hulurkan dan bahkan menjadikan anda sebagai lawan yang harus digulingkan.

Andai terhadap Allah SWT yang menjadikan merekapun, mereka sanggup engkar dan tidak mahu bersyukur, apatah lagi kepada kita sesama manusia.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila setiap kebaikan tidak pernah berbalas rasa penghargaan mahupun ucapan terima kasih.

Justeru, jangan bersedih jika ini berlaku kepada kita. Juga jangan sesekali perkara sebegini mematikan semangat kita untuk terus berbuat baik.

Jangan terkejut jika mereka menyerang anda dengan kritikan pedas biarpun pelbagai kebaikan dan bantuan telah anda hulurkan.

Mereka melakukan yang demikian lantaran diri dikuasai pelbagai sifat keji hingga mereka tidak pernah ingin menghargai segala kebaikan yang telah anda berikan kepada mereka (halaman 58).

Jangan menyerah dan berputus asa meski apapun yang mereka lakukan. Sebaliknya, teruskan kebaikan anda.

Lakukan segala sesuatu kerana Allah SWT. Jika anda melakukan sesuatu kerana Allah SWT, maka anda adalah pemenang yang melebihi segala-galanya (halaman 59)

Bersama-Nya, segala penentangan ataupun tuduhan yang mereka lemparkan kepada anda tidak akan memberikan pengaruh atau kesan sedikitpun buat diri dan kehidupan anda.

Yakinlah betapa Allah SWT sentiasa bersama orang-orang yang sabar. Itu yang paling penting!

Biarpun mereka yang iri hati, dengki dan berniat jahat tidak sudi bersama anda mencorak kebaikan dalam kehidupan, tetapi Allah SWT tetap bersama-sama anda selagi mana keikhlasan menjadi tunggak di sebalik segala tindakan terpuji  yang anda lakukan.

Bersyukurlah kepada Allah SWT kerana anda adalah orang yang selalu melakukan kebaikan, sedangkan mereka adalah orang-orang yang melakukan kerosakan.

Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah (halaman 60).

[Sumber: Supaya Gelisah Bernilai Ibadah oleh Dr. Ibrahim Fiqhy]

No comments:

Post a Comment