May 14, 2005

10 Langkah Mendisiplinkan Anak

1. Memastikan bahawa setiap perbuatan baik akan mendapat ganjaran sedangkan perbuatan buruk tidak akan mendapat apa-apa, malah hanya akan merugikan - Kedengarannya mudah dan biasa. Kita seringkali merasa malu dan terganggu ketika anak merengek-rengek meminta kita membelikan mereka dengan macam-macam barang kesukaan mereka saat kita sedang membeli belah. Dengan rasa terpaksa, kita cuba juga menunaikan permintaan anak. Namun, tahukah anda bahawa peristiwa ini membuatkan anak anda meletakkan satu kesimpulan dalam fikirannya bahawa jika dia merengek di tempat awam, pasti permintaannya akan ditunaikan. Anak-anak memang akan menjadi perhatian. Biarkan mereka merengek atau menangis. Yang pasti, anda harus tegas mengatakan pada mereka bahawa jika mereka merengek, mereka tidak akan mendapat apa-apa. Sebaliknya, jika mereka berkelakuan baik, mereka pasti akan mendapat hadiah.

2. Berhemah dengan kata larangan - Jangan terlalu banyak menggunakan kata 'tidak' dan 'jangan'. Berhematlah dengan kata 'tidak' dan 'jangan'. Usahakan agar kata ini hanya digunakan untuk hal-hal yang penting, darurat dan tidak boleh ditafsirkan lain. Pada dasarnya anak anda sukakan kegiatan yang menguji fizikal dan minda. Anak-anak tidak suka dan tidak biasa duduk diam. Disebabkan itu anak akan merasa lebih teruja dengan perkataan "Cuba, ibu ingin lihat, Azli boleh 'parking' motor mainan ini di sebelah kereta ayah atau tidak?" dibandingkan dengan "Azli, jangan 'parking' atau letakkan mainan sebarangan...!" Sebagai anak-anak yang masih kecil, Azli tidak suka dilarang melakukan sesuatu dan tidak mengerti dengan maksud "letakkan sebarangan". Gunakan kata 'tidak' dan 'jangan'. Misalnya, "Azli tidak boleh main pisau, ya!".

3. Jelas - Jangan memberikan aturan yang abstrak dan tidak dapat difahami oleh anak. Kata-kata seperti "Jangan nakal!" terdengar sangat abstrak dan tidak ada ertinya bagi anak. Begitu juga dengan "Jangan buat ibu marah, ya!". Tahukah anda bahawa anak anda sebenarnya tidak tahu apa yang membuatkan anda marah. Cuba jelaskan bahawa anda tidak mahu anak anda bermain di halaman rumah disebabkan kereta di luar amat laju dan membahayakan diri mereka.

4. Selalu memberikan alasan yang baik dan masuk akal - Penjelasan memberikan anak ruang untuk berfikir sendiri. Kesempatan ini akhirnya membolehkan anak-anak agar dapat menerapkan untuk melakukan hal yang sama ketika berhadapan dengan situasi yang sama dengan situasi pengalaman yang mereka lalui satu masa lalu. Misalnya, "Azli, simpan semula kasut itu di tempatnya". Maka, Azli akan bertanya-tanya mengapa anda menyuruhnya agar menyimpan semula kasut itu? Apakah kerana kasut itu kotor? Mudah rosak? atau apa? Namun jika anda cuba menerangkan kepada anak dengan jelas bahawa kasut itu kepunyaan ayahnya untuk dipakai ketika pergi bekerja, maka anak anda akan memahami bahawa dia perlu menjaga dan menghormati barang orang lain yang bukan kepunyaannya.

5. Berikan kepercayaan kepada anak - Anak tidak akan membesar dan berfikir dengan baik jika mereka terus-menerus diawasi dengan ketat. Ada masanya, kita harus membiarkan anak berusaha sendiri. Misalnya, biarkan anak bergaul dengan lingkungan rakan-rakannya tanpa campur tangan kita untuk sentiasa mengingatkannya agar tidak lupa mengucapkan salam, terima kasih, maaf dan sebagainya. Biarkan anak berani menyapa dan berkawan sendirian. Anda hanya perlu mengawasinyadari jauh. Tindakan ini akan memberikan ruang untuk anak anda membentuk rasa yakin dalam diri mereka selain memberikan mereka peluang agar lebih bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang diambilnya.

6. Konsisten dengan prinsip-prinsip kita - Jika kita menginginkan anak supaya patuh pada peraturan, maka kita harus konsisten juga untuk patuh pada peraturan. Sekecil mana pun peraturan tersebut, kita harus mendidik anak untuk mematuhinya. Contohnya, membuang sampah di tempat yang betul walau di mana mereka berada. Begitu juga dengan kesepakatan antara orang tua. Jangan sekali-kali bertengkar tentang apa sahaja masalah di hadapan anak-anak. Jika ada perbezaan pendapat, sebagai seorang ayah dan ibu, anda harus menyelesaikannya di tempat yang tidak dapat dilihat dan didengar anak, atau menunda sahaja perdebatan pada waktu lain yang lebih sesuai. Tunjukkan bahawa kita adalah ibu bapa yang sempurna. Jangan biarkan anak-anak berasa takut atau gerun terhadap anda. Dekati anak-anak secara psikologi. Tentu anda tidak mahu anak-anak menjauhi anda kerana takut berhadapan dengan anda tetapi melakukan perbuatan sumbang di luar pengetahuan anda, kan?

7. Realistik terhadap peraturan yang dikenakan pada anak - Setiap anak memiliki kemampuan dan pemahaman yang berbeza, pada usia yang juga berbeza. Oleh kerana itu, peraturan dan disiplin yang diterapkan pada anak harus disesuaikan dengan kemampuan dan usia anak. Contohnya, kanak-kanak yang masih kecil mungkin belum dapat diberi peraturan untuk membawa sendiri piring dan gelas mereka ke dapur sesudah selesai makan. Tapi mereka perlu diberi penghargaan jika mahu makan tanpa disuapkan. Peraturan yang anda kenakan pada anak yang masih kecil tentu sekali tidak sesuai dilaksanakan pada anak anda yang sudah besar sedikit. Ini kerana penerimaan mereka juga akan berbeza.

8. Berbicara kepada anak dengan cara yang baik, tidak dengan merendahkan harga diri anak, memaki atau berteriak - Anak-anak amat manja dan sensitif. Memarahi anak atau menengking mereka di hadapan rakan-rakan mereka yang lain pasti membuatkan mereka merajuk dan berjauh hati. Peristiwa ini adakalanya memberikan kesan pada diri mereka hingga mereka dewasa. Dulu Rasulullah S.A.W. pernah melarang seorang sahabat yang bersikap kasar kepada seorang anak. Ini kerana baginda sangat memahami bahawa kerosakan yang disebabkan sikap kasar tersebut amat sulit untuk dihilangkan. Apalagi jika sejak kecil anak tersebut didera dan dicela oleh ibu bapa atau pengasuh mereka. Pastinya sulit untuk mereka mencipta rasa yakin dan percaya terhadap diri mereka sendiri.

9. Biarkan anak memikul tanggungjawab atas segala perbuatannya - Ajar anak tentang sebab dan akibat dari segala perbuatan mereka. Ketidakmampuan anak untuk memperbaiki keadaan bukanlah alasan untuk membebaskan anak dari tanggungjawab. Misalnya, jika anak anda marah dan mencampak gelas atau botol susunya ke lantai, maka biarkan dia memikul tanggungjawab dengan menyuruhnya membersihkan tumpahan susu. Mungkin anak anda belum dapat membersihkan lantai dengan sempurna, namun paling tidak dia harus merasakan akibat dari perbuatannya. Setelah anak anda sempurnakan tanggungjawabnya sebaik mungkin, barulah anda atau pembantu rumah mengambil tugas menyempurnakan kerja-kerja membersihkan tumpahan tersebut sekali lagi. Namun jangan pula anda meleteri anak serta menjatuhkan airmukanya.

10. Penerapan konsep 'sebab dan akibat' harus dilakukan dengan segera - Jika anak berbuat salah, penerapan konsep 'sebab dan akibat' harus disegerakan. Misalnya, jika anak anda memukul rakannya, maka sebagai ibu bapa anda harus serta-merta menegur mereka dengan tegas. Sebutkan apa kesalahan mereka dan jatuhkan hukuman pada anak dengan segera. Jika tidak, anak akan merasa bahawa apa yang mereka lakukan adalah tidak salah. Jangan simpan kesalahan anak sehingga mereka lupa akan kesalahan yang telah dilakukannya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment