Suka dan duka begitulah warna kehidupan manusia. Kita menangis dan berhiba apabila berada dalam duka dan derita. Dan kita pasti ketawa jika riang dan beroleh segala yang diinginkan.
Memang begitulah manusia. Islam pun tidak pernah melarang umatnya yang mahu menyatakan rasa kegembiraan mereka dengan ketawa. Namun selaras sebagai agama unggul yang sarat dengan pelbagai adab dan disiplin, ada batas ketawa yang harus dipatuhi. Ini bukanlah suatu kongkongan sebaliknya menjadi panduan agar orang islam tidak dipandang rendah martabatnya oleh bukan islam.
Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak." (Surah At-Taubah: 82)
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang bermaksud: "Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati." (Riwayat Ahmad dan At-Tarmidzi)
Hati yang sudah mati akan memudahkan syaitan menakluki dan merajai diri, seterusnya akan membawa individu ke lembah hina dan menyeleweng dari landasan kebenaran.
Jika hati sudah mati, punahlah keperibadian manusia. Malah jika hati sudah rosak, maka binasalah juga maruah diri.
Sementara seorang abid, Abdullah bin Abi Yu'la pernah berkata: "Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudahpun dikeluarkan dari istana Allah."
Muhasabahlah diri. Ketawalah sebagai suatu penyataan kesyukuran tetapi jangan sampai mematikan hati!
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment