May 22, 2005

Hakikat Harta

Lazim manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana gila mengejar harta dan dunia, kita sering teralpa akan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan Tuhan. Kita bekerja dari pagi sehingga malam, hingga terlupa tanggungjawab pada keluarga. Kita begitu sibuk dengan urusan pejabat sehingga membiarkan orang tersayang terabai dan tersingkir dari hati sendiri.

Hakikat harta diterangkan Rasulullah SAW seperti sabdanya yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah: "Seorang hamba (manusia) berkata, 'Hartaku, hartaku!' Padahal hartanya itu sesungguhnya ada 3 jenis: (1) Apa yang dimakannya lalu habis. (2) Apa yang dipakainya lalu lusuh. (3) Apa yang disedekahnya lalu tersimpan untuk akhirat. Selain yang 3 itu, semuanya akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain". (Sahih Muslim)

Disebabkan itu juga Rasulullah SAW berpesan supaya jangan sesekali berbangga dengan kelebihan yang dimiliki. Seelok-eloknya, tunduklah supaya kita dapat melihat bahawa ada orang lain yang lebih malang daripada kita. Justeru diri akan terasa lebih insaf.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; "Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-ruah dan dengan kecantikan, maka tengoklah pula orang-orang yang serba kekurangan". (Sahih Muslim)

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment