Islam menuntut kesederhanaan dalam berakhlak. Baik dalam berbelanja, makan minum malah menyatakan perasaan. Semuanya haruslah secara sederhana dan tidak berlebih-lebihan sehingga mendatangkan mudarat.
Mengenai orang yang dermawan, Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Furqan, ayat 67 yang bermaksud; "Dan mereka (yang diredhai Allah itu adalah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu".
Malah cara berbelanja itu juga ditegaskan Allah SWT seperti dalam perumpamaan yang dinyatakan menerusi Surah Al-Isra, ayat 29 yang bermaksud; "Dan janganlah kamu jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu, dan janganlah pula engkau menghulurkannya dengan sehabis-habisnya, kerana akibatnya akan tinggallah engkau dengan keadaan yang tercela serta kering keputusan".
Begitu juga lama urusan makan minum, umat islam digalakkan tidak terlalu rakus kerana itu tidak mewakili akhlak Islam yang sebenar. Ini dinyatakan Allah SWT dalam Surah Al-A'raf, ayat 31 yang bermaksud; "Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas".
Sederhana dalam segala hal juga ditegaskan Rasulullah SAW lewat sabda baginda yang diriwayatkan oleh Baihaqi yang bermaksud; "Sebaik-baik perkara ialah yang pertengahan".
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment