May 22, 2005

10 Ciri Pemimpin yang Berkesan

1. Kebersihan Jiwa dan Rohani - Seorang ketua harus sentiasa menyelidik dan memeriksa segala keaiban dan kelemahannya sendiri lalu memperbaikinya. Kebersihan jiwa dan rohani diperoleh dengan keikhlasan tujuan bahawa segala perbuatan semata-mata untuk Allah SWT. Memperbanyakkan amalan sunnah dan tidak meninggalkan suruhan Allah SWT.

2. Kuat dan Sihat Tubuh Badan - Orang yang lemah tentulah tidak cerdas dan cergas dalam melaksanakan tugas yang mencabar. Oleh yang demikian, seorang ketua tidak boleh sekali-kali mengabaikan keadaan kesihatannya.

3. Memiliki Keupayaan Mental dan Fikiran - Keadaan dunia hari ini yang semakin rencam dengan berbagai ragam idea, ideologi dan kebudayaan memerlukan pemimpin membangunkan keupayaan mental dan fikirannya bagi membolehkannya menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran. Akalnya perlu diperkembangkan dengan bahan-bahan yang berbagai rupa supaya menjadi lebih subur, matang dan mantap. Ketua mesti banyak membaca dan peka dengan peristiwa sekeliling.

4. Mengenal Ahli dan Organisasi yang Dipimpin - Selain tekun melaksanakan kegiatannya, ketua harus juga memerhatikan tindak-tanduknya dengan teliti dan jujur. Dia juga harus tahu berkenaan situasi fikiran dan organisasinya. Dia harus mengenali pendapat para anggotanya dan memahami masalah-masalah mereka.

5. Mengenali Jiwa - Pemimpin wajib mengetahui potensi yang ada pada dirinya, mengukuhkan kekuatan dan menguatkan mana-mana kelemahannya. Dia mesti berusaha memperkaya pengetahuan amnya serta mempelajari pelbagai topik, pendapat dan fikiran dalam pelbagai bidang. Dia harus memberi perhatian dengan mengkaji peribadi pemimpin yang terdahulu.

6. Memberi Perhatian kepada Ahli - Ketua harus dapat menawan keyakinan orang bawahannya bagi membolehkan dia mendapat manfaat daripada kebolehan ahli sendiri untuk seluruh organisasi yang dipimpin. Namun hal ini akan berjaya sekiranya pemimpin benar-benar menunjukkan usaha mahu mengenali anggota-anggotanya dari dekat, mengambil tahu hal-ehwal mereka sama ada yang berbentuk peribadi atau bercorak umum, ikut menyertai mereka ketika mereka gembira dan duka serta berusaha mencari penyelesaian bagi masalah-masalah mereka.

7. Menjadi Teladan yang Baik - Orang bawahan yang dipimpin akan sentiasa memerhati dan memandang kepada pemimpin mereka sebagai contoh terbaik yang boleh mereka teladani. Oleh itu, telatah pemimpin, kecergasannya, budi pekertinya, kata-kata dan segala perubahannya mempunyai pengaruh yang amat berkesan ke atas seluruh organisasi. Oleh itu pemimpin mesti menunjukkan contoh teladan yang baik untuk diteladani.

8. Pandangan yang Tajam - Seorang ketua haruslah mampu melakukan penyiasatan yang cepat dan tepat bagi membuat keputusan yang tegas dalam pelbagai suasana dan masa. Perkara ini penting bagi kestabilan organisasi dan ahli yang dipimpinnya. Sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas akan mengakibatkan keadaan kucar-kacir sehingga menyebabkan para anggota bawahan menjadi hilang keyakinan dan seterusnya menyukarkan pengawalan ke atas anggota dan perjalanan pasukan.

9. Kuat Kemahuan - Hanya dengan kemahuan yang kuat sahaja memungkinkan ketua sanggup mengharung segala rintangan dan masalah yang sememangnya dijangkakan akan berlaku dalam mengendalikan sesebuah kumpulan atau organisasi.

10. Optimistik - Selaku ketua, barisan pemimpin mempunyai pengaruh yang berkesan ke atas anggotanya. Jika pemimpin berputus asa, maka ia sudah pasti mendedahkan barisan perjuangannya itu kepada kekecewaan dan putus asa. Sebaliknya jika ia bersikap optimistik, tentulah ia akan menyemarakkan semangat mereka.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment