June 01, 2005

6 Kaedah Atasi Anak Kerap Menangis

1. Lapar atau Dahaga - Anak kecil khususnya bayi tentu menangis apabila dia berasa lapar. Sekiranya dia belum menyusu sejak 3 jam tadi, berilah dia peluang untuk menyusu sepuas-puasnya. Tidak sukar untuk mengenal pasti sama ada bayi berasa lapar atau tidak. Cubalah suakan susu kepadanya. Jika dia berpaling, ini bermakna dia menangis disebabkan perkara lain. Bagi anak kecil yang lebih dewasa, keletihan membuatkan dia tidak sedar bahawa dia sebenarnya berasa lapar. Oleh itu, adalah lebih baik jika anda menyimpan stok makanan seperti buah-buahan dan biskut untuknya. Bayi juga mungkin berasa dahaga. Jadi, berikan kepadanya sedikit air suam. Lazimnya, dia mudah berasa dahaga selepas mengambil makanan pejal.

2. Menangis kerana Letih - Terlalu banyak bermain mahupun dirangsang membuatkan bayi dan kanak-kanak berasa letih. Apabila keletihan memuncak, dia mula menangis. Sebagai penyelesaian, tidurkanlah anak anda agar dia dapat berehat sekaligus memulihkan tenaga yang hilang. Anak anda mungkin enggan tidur dan bertegas bahawa dia tidak letih. Oleh itu, pujuklah dia dengan baik. Mandikanlah dia supaya dia kembali segar. Kemudian bawalah dia tidur.

3. Menangis kerana Sakit - Adakalanya bayi anda akan menangis dengan kuat dan nyaring sambil kakinya diangkatkan ke atas. Jika keadaan ini berlaku, anda perlu berwaspada kerana lazimnya ia merupakan petanda anak anda sedang dalam kesakitan. Boleh jadi perutnya kembung ataupun dia sedang mengalami pertumbuhan gigi. Selain itu, dia juga berkemungkinan berhadapan dengan masalah lebih serius seperti sakit telinga ataupun sistem dalam tubuhnya terganggu. Agak sukar memujuknya pada waktu begini. Oleh itu sebagai langkah terbaik, bawalah dia segera bertemu doktor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

4. Lampin tidak Selesa - Lampin yang kotor dan basah membuatkan anak anda berasa tidak selesa. Jika dibiarkan begitu selalu, dia boleh berhadapan dengan masalah ruam. Apabila berada dalam situasi ini, bayi lazimnya akan menangis. Sebaik-baiknya tukarlah lampin anak anda tanpa berlengah.

5. Berasa Takut dan Bimbang - Anak biasanya menangis lantaran cuba menarik perhatian anda. Dia mungkin sedang berada dalam keadaan takut dan bimbang terutamanya jika berada dalam suasana dan persekitaran yang asing. Lebih menggusarkan dia apabila gagal mengecam orang di sekelilingnya. Dia mula menangis apabila menyedari ada orang yang tidak dikenali cuba mengambilnya dari pelukan anda. Ketika ini, anda perlu menenangkan dia.

Selain itu, dia juga boleh menangis apabila berada dalam keadaan terkejut. Lazimnya bayi mahupun kanak-kanak tidak senang berada dalam keadaan gelap, mendengar bunyi yang terlalu kuat seperti guruh dan mengalami mimpi seram. Jadi, cubalah pujuk anak anda dan yakinkan bahawa dia berada dalam keadaan selamat di samping anda.

6. Diusik dan Berebut Barangan - Jika anda memiliki anak lebih dari seorang, perselisihan antara mereka tidak dapat tidak tentu berlaku. Adakalanya mereka menangis lantaran gagal berebut mahupun memiliki sesuatu barang. Malah tidak kurang juga si adik boleh menangis lantaran diusik oleh kakak dan adik. Jadi sebagai ibu bapa anda perlu bijak memujuknya. Elakkan daripada terus memarahi anak jika keadaan ini berlaku.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment