Wanita memang gemarkan kecantikan dan kebersihan pada penampilan diri mereka. Kecenderungan mengenakan fesyen pakaian yang pelbagai pada masa kini kadangkala menyebabkan Muslimah alpa akan tanggungjawab mereka dalam soal berpakaian. Pengaruh fesyen yang banyak mendedahkan aurat sebagai wanita Muslimah tidak sepatutnya menjadi pilihan anda yang bijaksana.
Tuntutan Islam dalam berpakaian sepatutnya memenuhi syarat-syarat berikut:
a. Menutup aurat
b. Menjaga kebersihan
c. Mementingkan kekemasan
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 222, bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri".
d. Menjaga keselamatan wanita dimana pakaian yang tidak mendedahkan aurat wanita, sebenarnya telah mengelakkan wanita mendapat perhatian daripada pandangan mereka yang bukan muhrim; seterusnya menyelamatkan mereka daripada mendapat penganiayaan.
e. Jenis fabrik yang digunakan hendaklah tidak nipis dan jarang sehingga boleh menampakkan susuk tubuh badan.
f. Potongan baju juga tidak terlalu ketat hingga menunjukkan potongan badan.
g. Pilihan warna tidak boleh terlalu terang hingga boleh menarik perhatian orang lain yang bukan muhrim.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 31, bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka".
Justeru apa sahaja jenis pakaian dan fesyen yang memenuhi syarat seperti tersebut, adalah memenuhi tuntutan Islam. Tidak dinafikan amat penting bagi Muslimah mementingkan penampilan diri dan gaya mereka ketika berurusan. Tambahan pula, penglibatan Muslimah dalam bidang kerjaya yang mencabar dan hebat terus meningkat. Tentu sahaja mereka memerlukan gaya fesyen yang bersesuaian dengan bidang kerjaya yang diceburi, namun tetap mengekalkan ciri-ciri Muslimah sebenar.
Penampilan diri mencerminkan agama Islam yang kaya dengan kebersihan, keindahan, keceriaan dan kekemasan. Justeru Muslimah berkerjaya perlu bergaya untuk memberikan gambaran sebenar ajaran Islam yang sukakan keindahan dan kebersihan penganutnya, dan bukan bergaya dengan tujuan untuk menarik perhatian orang lain, selain bersikap riak diatas kecantikan yang dimiliki.
Bagi anda yang sering berurusan dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam tugasan seharian, tentu sahaja penampilan diri penting untuk memastikan orang yakin dengan kebolehan diri. Penampilan diri daripada sudut fizikal dilihat pada pakaian yang dipakai, solekan yang dikenakan, aksesori yang digayakan serta keceriaan si pemakai. Namun ia bukan hanya terhad pada penampilan fizikal semata-mata; aspek akhlak diri juga diambil kira. Begitu juga dengan cara berjalan, bercakap, bau badan/mulut serta ketepatan masa berurusan.
Oleh yang demikian, penampilan diri dan gaya perlu ditekankan oleh Muslimah berkerjaya kerana ia memberikan maklumat diri kepada orang lain yang baru pertama kali berurusan dengan anda. Penampilan diri juga memberikan keyakinan pada anda untuk menonjolkan imej sebagai Muslimah yang hebat seterusnya mencerminkan agama Islam yang mementingkan kekemasan dan keindahan.
Sekiranya penampilan diri anda sebagai seorang yang berjawatan tinggi, buruk pada pandangan orang, tentu sahaja ia memberikan pandangan negatif pada orang yang berurusan dengan anda. Misalnya sebagai seorang arkitek Muslimah, tentu sahaja anda perlu berpakaian yang sesuai ketika melakukan tugasan di luar pejabat seperti di tapak projek. Namun aurat sebagai Muslimah tetap perlu dipelihara disamping menampilkan imej yang meyakinkan.
Selain itu, berfesyen dan bergaya turut memberi peluang kepada wanita untuk mencapai matlamat pekerjaan dimana keyakinan majikan akan kebolehan seseorang akan meningkat apabila melihat kekemasan dan keyakinan yang diserlahkan melalui fesyen yang dipilih.
Manakala bagi wanita yang memegang jawatan tinggi dan sering berurusan dengan pelanggan-pelanggan syarikat, fesyen yang dikenakan ketika berurusan dengan pihak luar berfungsi memberi gambaran diri dan organisasi yang diwakili. Misalnya, jika bekerja di organisasi yang merupakan sebuah institusi agama, maka pakaian yang dipakai perlulah menonjolkan imej institusi tempat anda bertugas.
Sesungguhnya, secara tidak langsung kita bukan sahaja memenuhi tanggungjawab menutup aurat sebagai seorang Muslimah, bahkan telah memancarkan ajaran agama Islam yang penuh dengan kesempurnaan, keindahan, keceriaan dan sekaligus berjaya melaksanakan tugas berdakwah. Tiada larangan untuk Muslimah berfesyen kerana yang penting dia masih lagi menutup auratnya iaitu seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment