Wanita yang terpaksa keluar meninggalkan anak-anak di rumah demi mencari pendapatan bagi menambah kewangan keluarga merupakan fenomena biasa dewasa kini. Apatah lagi untuk hidup di zaman yang memerlukan kita memenuhi keperluan dan kehendak diri dan keluarga.
Wanita sebagai isteri kepada yang tersayang dan ibu kepada anak-anaknya, nyata masih dapat bekerja tanpa sedikitpun mengenepikan keperluan keluarga. Biarpun terpaksa membina kerjaya dan aktif di pejabat, namun rumahtangga masih dapat dipelihara. Sebagai wanita yang mempunyai pelbagai peranan, adalah perlu untuk mereka mengikut landasan bagi mengelak 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.
Beberapa tips sederhana ini mungkin dapat diterapkan:
1. Utamakan Tuhan dalam Keluarga - 'Takut akan Tuhan' jangan hanya dijadikan slogan tetapi ia perlu benar-benar dihayati dan diresapi sehingga menjadi prinsip dasar setiap anggota keluarga.
2. Utamakan Keperluan Keluarga Berbanding Kerjaya - Sesibuk manapun kita, ingat bahawa keluarga paling utama dan mereka jauh lebih penting daripada segalanya. Sentiasa ingat bahawa keluarga sihat akan menghasilkan generasi berkualiti.
Kecenderungan individu yang bekerja biasanya meletakkan wang sebagai raja. Jangan terlalu mengejar wang dan kebahagiaan material hingga akhirnya keluarga terbiar, anak dan suami tidak diperhatikan.
Adalah penting untuk menitikberatkan dan menjaga komunikasi. Sesibuk manapun diri, luangkan masa untuk menghubungi pasangan mahupun anak walau sekadar bertanya, "Sudah makan, Sayang?". Namun ia mampu menyejukkan hati mereka.
3. Atur Jadual dengan Baik - Bagi memastikan anda punya waktu bersama keluarga, atur jadual serapi mungkin. Misalnya, hari Ahad akan diperuntukkan khusus untuk keluarga. Setelah itu, jadikan waktu itu benar-benar berkualiti. Bermain, bergurau-senda, berbual dari hati ke hati dengan keluarga tanpa diganggu televisyen mahupun panggilan telefon. Kalau perlu, matikan telefon bimbit.
Sesekali, rancanglah untuk bersantai bersama keluarga. Tidak perlu bercuti jauh-jauh; yang penting keluarga dapat merasai kualiti hubungan bersama. Sementara anak-anak bermain, anda suami isteri boleh habiskan masa bermesra, mengembalikan kehangatan cinta bersama pasangan.
4. Sediakan Waktu Khusus untuk Berdua dengan Pasangan - Memenuhi tuntutan kerjaya dan melayani keperluan anak-anak, membuatkan wanita terlepas pandang terhadap keperluan pasangan secara tidak disedari. Ini menyebabkan lama-kelamaan kita akhirnya berasa diri semakin jauh dari pasangan.
Disebabkan itu juga, sebagai isteri anda perlukan waktu berdua-duaan dengan suami. Pastikan tiada langsung gangguan. Tidak perlu ke restoran mahal. Pilihan menikmati makan malam bersama pasangan di tempat makan anda ketika bercinta dahulu, pasti akan membangkitkan kembali kenangan manis. Nikmati bulan madu setelah perkahwinan masuk tahun ke-5. Rasakan kembali getaran cinta dan api cinta yang mulai redup pasti kembali menyala.
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment