Showing posts with label rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label rumahtangga. Show all posts

July 12, 2006

Memelihara Rumahtangga

Setiap Muslim hendaklah mengawal rumahtangganya daripada gangguan syaitan dan iblis.

Antara cara untuk memelihara rumahtangga daripada gangguan syaitan adalah:

1. Membaca al-Quran

Membaca al-Quran dengan penuh khusyuk banyak kelebihannya. Membiasakan membaca al-Quran dalam rumah, selain beroleh pahala, membawa berkat dan menyelamatkan penghuni rumah tangga daripada gangguan iblis dan syaitan.

2. Zikir ketika masuk dan keluar rumah

Daripada Abu Malik Al-Asyaari bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Apabila seorang hendak masuk ke dalam rumah, hendaklah dia mengatakan: Ya Allah, aku mohon kepada Engkau sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar. Dengan nama Engkau kami masuk dan dengan nama Engkau kami keluar, dan kepada Tuhan kami, kami menyerahkan diri. Kemudian memberi salam kepada keluarga."
(Riwayat Abu Daud).

3. Memberi salam kepada keluarga dan ahli rumah

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka apabila kamu masuk ke sebuah rumah dari rumah-rumah ini hendaklah kamu memberi salam kepada penghuninya yang bererti salam sejahtera kepada diri kamu sendiri, salam yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik." (Surah An-Nur: ayat 61)

Imam An-Nawawi berkata: "Disukai untuk mengucapkan salam dan banyak berzikir kepada Allah serta memberi salam sama ada dalam rumah itu ada orang atau pun tidak."

Rumah yang tiada penghuni perlu juga diberi salam sebab setiap rumah ada penghuni dalamnya iaitu malaikat sebagai penjaga dan pengawalnya. Seseorang yang masuk ke dalam rumah dengan memberi salam dijamin Allah SWT keselamatannya.

4. Zikir ketika makan dan minum

Daripada Jabir berkata, bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Apabila seorang masuk ke rumahnya dengan berzikir kepada Allah ketika memasukinya dan ketika makan, syaitan berkata: "Aku tidak makan dan tidak menginap di tempat kamu, dan apabila dia masuk tidak berzikir kepada Allah ketika masuk, maka syaitan mengatakan: "Aku boleh menginap dan apabila tidak berzikir ketika makan, syaitan berkata: "Aku boleh bermalam dan makan malam."
(Riwayat Muslim)

5. Membersihkan rumah daripada gambar patung

Islam melarang segala bentuk gambar patung disimpan dalam rumah. Hal ini kerana malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada gambar patung atau tanda salib dalamnya.

Diriwayatkan daripada Aisyah RA bahawasanya beliau membeli bantal kecil yang ada gambar. Ketika Rasulullah melihatnya, baginda berdiri di pintu, enggan masuk ke dalamnya.

Maka, diketahui daripada wajah Rasulullah kelihatan rasa tidak senang, lalu Aisyah berkata: "Ya Rasulullah, aku bertaubat kepada Allah dan utusannya, apakah dosaku?"

Baginda bersabda: "Bagaimana keadaan bantal kecil ini?"

Aisyah menjawab: "Aku sudah membelinya untuk engkau duduk padanya dan bersandar."

Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya orang membuat gambar ini akan diazab pada hari kiamat dan dikatakan kepada mereka: hidupkanlah apa yang kamu ciptakan itu."

Imam An-Nawawi berkata: Jika hendak membuat juga gambar itu, maka buatlah gambar pokok dan segala sesuatu yang tidak ada roh padanya.

Demikian menurut riwayat Bukhari dan lafaz bagi Muslim dan Nawawi.

6. Membanyakkan solat sunat di rumah

Solat yang dikerjakan sebagai benteng gangguan syaitan untuk masuk ke rumah.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Jadikanlah solat sunat dalam rumah kamu dan janganlah jadikan rumah kamu itu sebagai kubur."
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi).

Maksud sebagai kubur itu adalah tidak melakukan solat sunat di rumah.

Rasulullah SAW selalu mengerjakan solat sunat di rumah sebelum solat fardhu di masjid seperti sabdanya bermaksud:

"Wahai manusia, solatlah kamu (sunat) di rumah kamu kerana sesungguhnya solat seseorang yang paling afdhal adalah di rumahnya kecuali solat wajib." (Riwayat Nasai')

7. Harmonikan rumahtangga

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsana di atas air, kemudian mengutus pasukannya, maka yang paling dekat daripadanya (antara syaitan) kedudukannya adalah yang paling besar membuat fitnah sehingga datang salah satu daripada mereka mengatakan bahawa tidaklah dia tinggalkan seorang suami dan isteri, dia berkata: Maka mendekatlah dia daripadanya dan mengatakan sebaik-baik orang adalah kamu."
(Riwayat Muslim dan Nawawi)

Maka, wajib bagi suami isteri untuk bergaul harmoni, ceria dan mesra serta bergaul baik dengan keluarganya untuk mengelak daripada gangguan syaitan dan konconya.

8. Bentengkan anak daripada gangguan syaitan

Menjadi kewajipan ibu bapa untuk menjaga zikir (doa) pada waktu jimak 'bersama' bagi memelihara anak daripada bisikan dan pengaruh syaitan dari awal lagi.

Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Andai kata salah seorang antara kamu mendatangi isteri, hendaklah memulakan dengan menyebut nama Allah dan berdoa: "Ya Allah, jauhkanlah syaitan daripada kami, dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami. Maka apabila Allah menjadikan antara mereka berdua seorang anak, tidaklah syaitan akan dapat mengganggu anak itu selama-lamanya."
(Riwayat Bukhari, Muslim dan Nawawi)

Daripada Abi Rafi' bahawa beliau melihat Rasulullah SAW mengazan pada telinga Husin bin Ali ketika Fatimah melahirkannya dalam keadaan sihat.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tirmizi)

Kumpulkan anak-anak dan usap kepala mereka. Kemudian ucapkan doa bermaksud:

"Aku mohon perlindungan untuk kamu dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dan semua perbuatan syaitan dan ancaman berbahaya serta daripada semua mata yang jahat."

Rasulullah SAW memohon perlindungan kepada Allah SWT dengan doa ini untuk Husin dan Hasan dan mengatakan:

"Sesungguhnya bapa kamu berdua memohon perlindungan untuk mereka berdua iaitu Ismail dan Ishak."
(Riwayat Bukhari dan At-Tirmizi)

Wallahu a'lam.

November 25, 2005

Resipi Kasih Sayang

Warna ikatan yang putih
bercahaya dengan kerlipan kasih
bersinar dengan cahaya jernih
dari hati dan nurani
yang berhamparan sejati

Keserasian yang tumbuh
adalah dari keserasian yang utuh
menyuluh peribadi yang murni
menuras jejak yang suci
tidak terperi

Ketenteraman di dasar perasaan
hasil tumpahan pengertian
yang ranum pada jiwa
membuahkan bunga-bunga
bahagia
di dahan waja

Lumrah kejadian mengintai
keharmonian
resipi kasih sayang
sepanjang diri menitip ikatan
untuk kesejahteraan
hingga ke puncak pengabadian


[Sajak Hasil Nukilan: Nazira Mohd Noor, Kuala Terengganu]

June 29, 2005

10 Tips Kekalkan Kasih Sayang Suami Isteri

1. Kenali latar belakang pasangan. Tahu kegemaran dan kebencian pasangan masing-masing.

2. Faham minat pasangan dan sabar dengan minat masing-masing.

3. Saling memberi hadiah dan puji-pujian. Tetapi jangan terlalu kerap, kerana terlalu kerap akan menjadikan pasangan muak. Puji sekali-sekala lebih manis dan mengeratkan hubungan.

4. Jangan marah atau malukan pasangan di hadapan orang lain terutamanya keluarga atau anak-anak kerana pasangan juga ada maruah. Marah atau tegur ketika pasangan berada dalam keadaan yang tenang.

5. Lebih banyak memuji daripada mengeji. Sering bertanya khabar walaupun sekadar menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Kerap berlaku kita lebih rajin bertanya khabar rakan-rakan berbanding pasangan sendiri.

6. Bekerjasama dalam mengendalikan kerja di rumah.

7. Wujudkan suasana kediaman yang boleh menyemarakkan kasih sayang dan ketenteraman.

8. Saling mengingati tarikh-tarikh istimewa pasangan seperti harijadi dan ulang tahun perkahwinan.

9. Tidak salah menyimpan kad dan surat cinta lama daripada pasangan walaupun sudah berpuluh tahun mendirikan rumahtangga. Sesekali elok dibaca semula untuk mengembalikan kenangan manis dan memperbaharui cinta yang kian pudar. Anggap isteri/suami sebagai yang tercantik dan paling kacak dalam dunia.

10. Selalu berdoa agar perkahwinan bertahan dan kebahagiaan berkekalan.

Wallahu'alam.

June 17, 2005

Fahami Fungsi Perkahwinan

Daripada Abdullah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Hai para pemuda, sesiapa di antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah. Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (daripada dosa). Sesiapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi. (Sahih Muslim)

Demikianlah fungsi sesebuah perkahwinan yang tidak terbatas kepada memenuhi tuntutan nafsu semata-mata. Sebaliknya perkahwinan juga dilihat sebagai suatu ibadah dan jalan selamat ke arah melahirkan generasi sihat dan beriman.

Disebabkan itu juga, Allah SWT tidak menggalakkan seseorang terus hidup membujang semata-mata mahu beribadat kepada-Nya. Ini kerana makna beribadah tidak terhad pada solat dan berdoa semata-mata tetapi lebih luas daripada itu.

Daripada Saad bin Abi Waqas katanya, Rasulullah SAW pernah melarang Usman bin Mazh'un daripada membujang selama-lamanya semata-mata untuk melakukan ibadah kepada Allah SWT. Andai kata Rasulullah mengizinkan kami berbuat begitu, sudah tentu kami mengembiri diri sendiri. (Sahih Muslim)

Demikianlah cantiknya peraturan yang disediakan Allah Taala yang tidak meminggirkan kepentingan manusia tetapi dalam masa yang sama memberikan penekanan kepada ibadah.

Wallahu'alam.

June 14, 2005

Tips Mudah Agar Keluarga Tetap Bahagia Meski Isteri Bekerja

Wanita yang terpaksa keluar meninggalkan anak-anak di rumah demi mencari pendapatan bagi menambah kewangan keluarga merupakan fenomena biasa dewasa kini. Apatah lagi untuk hidup di zaman yang memerlukan kita memenuhi keperluan dan kehendak diri dan keluarga.

Wanita sebagai isteri kepada yang tersayang dan ibu kepada anak-anaknya, nyata masih dapat bekerja tanpa sedikitpun mengenepikan keperluan keluarga. Biarpun terpaksa membina kerjaya dan aktif di pejabat, namun rumahtangga masih dapat dipelihara. Sebagai wanita yang mempunyai pelbagai peranan, adalah perlu untuk mereka mengikut landasan bagi mengelak 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.

Beberapa tips sederhana ini mungkin dapat diterapkan:

1. Utamakan Tuhan dalam Keluarga - 'Takut akan Tuhan' jangan hanya dijadikan slogan tetapi ia perlu benar-benar dihayati dan diresapi sehingga menjadi prinsip dasar setiap anggota keluarga.

2. Utamakan Keperluan Keluarga Berbanding Kerjaya - Sesibuk manapun kita, ingat bahawa keluarga paling utama dan mereka jauh lebih penting daripada segalanya. Sentiasa ingat bahawa keluarga sihat akan menghasilkan generasi berkualiti.

Kecenderungan individu yang bekerja biasanya meletakkan wang sebagai raja. Jangan terlalu mengejar wang dan kebahagiaan material hingga akhirnya keluarga terbiar, anak dan suami tidak diperhatikan.

Adalah penting untuk menitikberatkan dan menjaga komunikasi. Sesibuk manapun diri, luangkan masa untuk menghubungi pasangan mahupun anak walau sekadar bertanya, "Sudah makan, Sayang?". Namun ia mampu menyejukkan hati mereka.

3. Atur Jadual dengan Baik - Bagi memastikan anda punya waktu bersama keluarga, atur jadual serapi mungkin. Misalnya, hari Ahad akan diperuntukkan khusus untuk keluarga. Setelah itu, jadikan waktu itu benar-benar berkualiti. Bermain, bergurau-senda, berbual dari hati ke hati dengan keluarga tanpa diganggu televisyen mahupun panggilan telefon. Kalau perlu, matikan telefon bimbit.

Sesekali, rancanglah untuk bersantai bersama keluarga. Tidak perlu bercuti jauh-jauh; yang penting keluarga dapat merasai kualiti hubungan bersama. Sementara anak-anak bermain, anda suami isteri boleh habiskan masa bermesra, mengembalikan kehangatan cinta bersama pasangan.

4. Sediakan Waktu Khusus untuk Berdua dengan Pasangan - Memenuhi tuntutan kerjaya dan melayani keperluan anak-anak, membuatkan wanita terlepas pandang terhadap keperluan pasangan secara tidak disedari. Ini menyebabkan lama-kelamaan kita akhirnya berasa diri semakin jauh dari pasangan.

Disebabkan itu juga, sebagai isteri anda perlukan waktu berdua-duaan dengan suami. Pastikan tiada langsung gangguan. Tidak perlu ke restoran mahal. Pilihan menikmati makan malam bersama pasangan di tempat makan anda ketika bercinta dahulu, pasti akan membangkitkan kembali kenangan manis. Nikmati bulan madu setelah perkahwinan masuk tahun ke-5. Rasakan kembali getaran cinta dan api cinta yang mulai redup pasti kembali menyala.

Wallahu'alam.

June 02, 2005

8 Cara Atasi Suami Baran

1. Wujudkan Empati dalam Diri - Sudah menjadi lumrah manusia mudah selesa dan tenang apabila mengetahui ada individu lain yang memahaminya. Lantaran itu, cubalah letakkan diri anda dalam situasi suami. Empati yang wujud dalam diri anda sebenarnya secara tidak langsung boleh meredakan kemarahannya. Apabila berpeluang, tanyalah suami dengan soalan terbuka (open ended question). Namun, pada masa yang sama anda perlu ingat. Cara dan nada anda bertanya penting dalam mempengaruhi emosi suami. Setelah selesai bertanya, diamlah seketika untuk memberi laluan kepada suami meluahkan rasa marahnya. Kemarahannya akan beransur-ansur reda.

2. Alihkan Perhatian - Perasaan marah jika dibiar dan dilayan tentu menjadi bertambah parah. Apabila menyedari ada tanda-tanda baran suami akan muncul, berusahalah untuk mengalihkan perhatiannya. Sebagai isteri, anda tentu maklum tentang perkara-perkara yang mampu menarik perhatian suami anda. Jadi, anda boleh memancingnya dengan berbicara tentang hal-hal tersebut. Kebijaksanaan anda melakukannya mampu membuatkan dia terlupa sebentar tentang kemarahan yang sudah berputik tadi.

3. Usah Simbah Minyak ke Api - Umumnya, kemarahan boleh menjadi bertambah hebat jika ada yang merangsangnya. Oleh itu, usah cuba-cuba membakarkan lagi amarahnya. Ini boleh memburukkan keadaan. Dan tidak mustahil juga nanti, tangannya akan singgah ke muka anda.
Oleh itu, hadapilah suami anda dengan tenang. Apabila anda ingin bersuara, ucapkanlah dengan nada yang rendah dan perlahan. Tindakan ini boleh menjadikan dia lebih relaks sekaligus membuatkan dia tidak jadi untuk terus marah. Cara ini mungkin kurang efektif jika baran suami anda memuncak kerana pengaruh dadah ataupun alkohol. Walau bagaimanapun, setidak-tidaknya ia dapat mengelakkan situasi daripada bertambah teruk.

4. Buatkan Dia Tersenyum - Ketawa bukan sekadar pengubat duka. Namun, kalau kena pada gayanya ia mampu menjadi penawar kemarahan suami. Apatah lagi jika sememangnya suami anda mempunyai unsur humor dalam dirinya. Apabila anda lihat ada riak wajah marah ataupun terdapat tanda-tanda dia akan baran, cubalah bergurau dan berbuat jenaka dengannya. Cara anda yang spontan sedikit sebanyak boleh memadamkan api kemarahannya. Namun jika suami anda seorang yang serius, cara ini mungkin tidak sesuai.

5. Bernafaslah dengan Relaks - Tidak dapat tidak, hati anda akan mula berdebar apabila melihat tingkah laku suami yang baran. Perasaan anda juga tentu bercampur baur. Sebaik-baiknya anda cuba relaks. Kemudian tarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan. Selepas itu, lepaskan nafas dengan cara yang sama. Sedikit sebanyak cara ini mampu membuatkan anda lebih bertenang. Kandungan oksigen yang mencukupi di samping perjalanan darah yang lancar membolehkan 'cerebral cortex' anda dirangsang. Ini membolehkan anda berfikir lebih rasional selain memberikan anda keupayaan untuk menguruskan tekanan akibat baran suami anda.

6. Kenal Pasti Punca - Akur ataupun tidak, setiap kemarahan pasti ada puncanya. Lantaran itu, cubalah anda selami sebab baran suami anda terutamanya jika selalu benar dia begitu. Mungkin anda boleh kenal pasti dengan cara berbual dan berbincang sewaktu dia berada dalam keadaan tenang. Kemudian, anda boleh cuba memperbaiki keadaan. Kejayaan anda menyelesaikan punca sebenar tentu boleh mengelakkan suami anda menjadi baran sebagai suatu tabiat.

7. Berjumpa Orang Ketiga - Berhadapan dengan suami yang panas baran memang memeningkan kepala. Apatah lagi jika tabiat tersebut seolah-olah sudah sebati dengannya. Pelbagai cara telah diambil, namun suami masih begitu. Cubalah minta bantuan orang ketiga yang rapat dengannya sekaligus turut dihormati oleh suami. Mintalah orang tersebut menasihati suami anda. Jika tiada pilihan lain, anda dan suami juga boleh pergi bertemu dengan kaunselor bagi mendapatkan bantuan dan khidmat kaunseling.

8. Berdoa - Bukan mudah mengubah sikap seseorang terutamanya kalau sudah sebati dengan dirinya. Oleh itu, berdoa dan berserahlah diri kepada Allah SWT. Minta petunjuk daripada-Nya agar suami anda tergerak hati untuk berubah.

Wallahu'alam.

May 15, 2005

Romantis... Ikutlah Sunnah Rasulullah SAW

Cara yang paling tepat untuk membina sebuah rumahtangga berlandaskan Islam ialah dengan mengikuti petunjuk Rasulullah SAW. Kehidupan dan alam perkahwinan Rasulullah SAW ternyata kaya dengan amalan-amalan dan suasana romantis dan mesra sehingga setiap perkahwinannya kekal hingga waktu ditakdirkan oleh Allah SWT.

Panduan berikut mungkin boleh membantu anda membina sebuah rumahtangga yang bahagia seterusnya mengekalkannya hingga ke akhir hayat.

1. Seorang suami haruslah selalu lembut dalam berbicara, demikian pula sebaliknya.

2. Masing-masing harus selalu membersihkan diri agar tampil sentiasa menyenangkan pasangan.

3. Berusahalah untuk selalu berhias secara wajar, memakai wangi-wangian dan memanggil pasangan masing-masing dengan panggilan kesayangan.

4. Hindari sikap saling merendahkan, baik di sudut tahap pendidikan, ilmunya, hartanya mahupun keturunannya.

5. Harus saling menutupi kelemahan atau kekurangan pasangannya.

6. Jika ada yang melakukan kesalahan, sebagai pasangan kita mestilah membuka pintu kemaafan seluas-luasnya.

7. Tidak semua wanita pandai memasak. Untuk itu, seorang suami jangan mencelanya sebaliknya berilah nasihat dan teguran bagaimana dia boleh memperbaiki masakannya agar menepati selera seisi keluarga.

8. Sebagai pasangan normal, suami isteri pastinya mempunyai sifat cemburu. Untuk itu, berhati-hatilah agar hal-hal yang boleh mengundang kecemburuan dihindari.

9. Jauhkan membandingkan pasangan kita dengan orang lain. Hal itu amat melukakan hati pasangan kita. Seeloknya apabila kita mengambil keputusan menikah dengannya, kita harus bersedia menerima pasangan kita dengan segala kelebihan dan kekurangannya.

10. Agar kemesraan terus terjalin, adakan waktu bersenda-gurau dengan pasangan kita. Berikan hadiah pada hari-hari istimewanya. Ajaklah dia bersolat jemaah.

11. Sentiasalah mendoakan agar pasangan ini selalu diberi rahmat, taufik dan hidayah dari Allah SWT agar menjadi pasangan suami isteri yang sakinah, mawadah dan penuh rahmah.

Wallahu'alam.

May 12, 2005

5 Deria di Bilik Tidur

Pilihan aksesori di dalam bilik tidur yang tepat boleh mencetuskan suasana harmoni dan tenang. Cubalah ikuti panduan memilih aksesori mengikut keperluan deria pula.

1. Melihat - Pilih perabot dan aksesori yang sedap mata memandang. Dapatkan rekabentuk produk yang cantik dan unik pada cermin dinding, penyangkut baju, bakul sampah dan kusyen kecil pada sofa di bilik.

2. Mendengar - Bagi anda yang berminat untuk memerap di bilik tidur dan mahukan bunyi-bunyian, anda boleh membeli discman atau radio. Wind chime boleh dijadikan alat alternatif bunyi-bunyian yang disangkutkan pada tingkap.

3. Mencium - Pilih produk haruman yang sesuai untuk diletakkan di dalam bilik. Produk haruman ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk. Terdapat haruman yang boleh membangkitkan mood tertentu. Anda boleh menggunakan potpouri, semburan ataupun lilin beraroma terapi sebagai bahan haruman di bilik.

4. Menyentuh - Dalam sebuah bilik berukuran besar mahupun kecil, pasti mempunyai pelbagai barang. Deria sentuhan berasa lembut mahupun kasar pada tekstur fabrik, dinding perabot serta lantai. Pelbagaikan tekstur dalam bilik anda supaya ia seimbang.

5. Merasa - Anda boleh menikmati keenakan tidur di bilik yang kemas, bersih dan cantik. Apabila semua deria anda diberi rangsangan dalam bentuk positif, jiwa anda akan berasa tenang dan ceria. Elakkan unsur-unsur negatif dalam hiasan bilik tidur anda seperti pakaian kotor serta barang tak terpakai.

Wallahu'alam.

(Sumber: Petikan dari Majalah Nur Januari 2005)