August 30, 2005

Patuhi Allah dan Teladani Rasul

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya sentiasa taat kepada Allah SWT. Allah telah menjadikan alam ini dan segala makhluk di dalamnya. Allah telah menyediakan segala kemudahan untuk kita hidup. Allah telah menyediakan udara untuk kita bernafas dengan percuma.

Maka untuk menunjukkan terima kasih kepada Allah yang telah banyak berjasa, kita perlulah mentaati segala perintah-Nya. Pepatah Melayu ada mengatakan: "Masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek." Maka apabila kita masuk ke 'kandang' Allah (hidup di atas mukabumi ini), undang-undang siapakah yang patut kita ikuti? Jika ada orang yang tidak mahu mengikut hukum-hakam Allah, Allah mencabar di dalam hadis Qudsi untuk mereka mencari tuhan lain dan mencari bumi lain untuk hidup!

Allah menghantar wakilnya iaitu Rasulullah SAW untuk menunjukkan contoh teladan di dalam menjalani kehidupan di atas mukabumi ini. Ramai yang mengaku mencintai Rasulullah SAW, tetapi tidak mengamalkan sunnah-sunnah baginda, malah sebaliknya meninggalkannya pula.

Jadi kita perlu mendidik anak-anak agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai role-model atau contoh teladan yang terbaik untuk diikuti. Didiklah mereka agar mengikut segala sunnah yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW
  • Menutup aurat
  • Menghormati dan taat ibu bapa
  • Solat
  • Berakhlak mulia
  • Menghormati orang lain
  • Memakai serban

Gunakan Nama Allah dan Rasul

Gunakanlah nama Allah dan Rasul setiap kali memberi nasihat dan berbicara kepada anak-anak. Kaedah ini amat penting dalam mendidik anak-anak, kerana jika kita menggunakan nama Allah dan Rasul, maka akan lahirlah rasa sayang dan cinta yang mendalam dalam diri anak-anak terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Kita mahu melatih anak-anak supaya merasakan Allah SWT sebagai 'Pengawas' yang sentiasa memerhatikan dirinya sama ada dia berada di tengah ramai atau berada berseorangan di dalam bilik.

Kita juga mahu melatih anak-anak supaya menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola yang dipuja dan dicontohi.

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Allah

  • "Allah melihat apa yang kita buat"
  • "Allah tidak suka orang yang sombong"
  • "Gempa bumi dan ombak besar tsunami yang melanda Acheh adalah ketentuan Allah"
  • "Allah suka orang yang berkasih sayang"

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Rasul

  • "Rasulullah akan memberi syafaat (pertolongan) kepada umatnya yang soleh di akhirat nanti"
  • "Nabi Muhammad cinta kepada pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid"
  • "Rasulullah melaknat umatnya yang mengamalkan homoseks dan lesbian"
  • "Rasulullah sayangkan anak yatim"

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment