Surah Al-Jaathiyah merupakan surah yang ke-45 di dalam Al-Quran, mengandungi 37 ayat, diturunkan di Makkah.
Al-Jaathiyah bererti "bertelut" menerangkan setiap manusia akan bertelut dalam keadaan sentiasa cemas pada hari akhirat ketika menunggu suratan amalannya disampaikan. Surat amalan itu akan menentukan sama ada ia akan masuk syurga atau dihumban ke dalam neraka.
Surah tersebut menjelaskan bahawa pada langit dan bumi serta segala isinya, dan juga pada kejadian diri manusia itu sendiri terdapat tanda-tanda yang membuktikan keesaan Allah, kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya serta keluasan rahmat-Nya bagi mereka yang mahu berfikir.
Manusia yang menolak keterangan-keterangan Allah di dalam Al-Quran akan menerima akibat seburuk-buruknya. Mereka yang mengamalkan amal saleh akan menerima balasan nikmat dan kebaikan, manakala yang menentang hukum-hukum Allah akan menerima balasan neraka.
Diterangkan juga peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada hari akhirat termasuk balasan baik terhadap orang-orang yang beriman dan balasan buruk (neraka) bagi mereka yang kufur engkar.
Surah Al-Jaathiyah adalah satu dari tujuh surah sederet di dalam Al-Quran yang dimulai dengan "Haa Miim". Pada hari kiamat nanti surah ini akan berusaha agar mereka yang membaca dan menghayati surah ini tidak akan dimasukkan ke neraka jahannam.
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dari Khalil menyatakan bahawa di dalam Al-Quran terdapat tujuh surah yang dimulai dengan "Haa Miim"; (di akhirat kelak) akan datang ke setiap pintu neraka jahannam dan memohon kepada Allah: "Ya Allah! Janganlah Engkau masukkan (ke dalam neraka ini) orang yang percaya dan membaca aku."
Wallahu'alam.
No comments:
Post a Comment