February 09, 2006

Hati Yang Selalu Muda

Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai 2 perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda." [Riwayat Muslim]

Kehidupan akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain, apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat walaupun dalam usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'.

Ingatlah bahawa manusia selalu diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tibanya 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.

Jika kita percaya akan kedatangan hari Kiamat dan kematian itu pasti tiba bila-bila masa, maka kita tidak akan menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Detik yang kita miliki hanyalah sekarang! Oleh itu, jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang teguh kepada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment