February 13, 2006

Tuntut Ilmu Satu Kewajipan

~::~ Posting kali ini dedikasi khas buat adik-adik blogger iaitu Aini, Aida, Yati, Hany, Zilla, Iena, Ieka, Annnum dan yang seperjuangan dengannya. Moga-moga tazkirah ini dapat menjadi pendorong dan peniup semangat buat kalian meneruskan perjuangan menuntut ilmu demi mencari keredhaan Allah SWT, insya-Allah, aminn ~::~

Ilmu pengetahuan adalah punca kemajuan dan perkembangan sesuatu bangsa. Disebabkan itu, umat Islam digalakkan supaya berlumba-lumba dengan bangsa lain bagi menuntut ilmu untuk kemajuan dan kebaikan masa depan. Ini kerana hanya dengan ilmu pengetahuan dapat menjamin kemajuan dan ketinggian umat Islam.

Umat maju dan tinggi taraf hidupnya kerana mereka dapat menguasai ilmu pengetahuan dalam segala bidang. Umat mundur kerana jahil dan tidak berilmu pengetahuan. Demikianlah perbandingan yang ketara antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu.

Dalam sebuah hadis, Abi Darda' berkata; "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang menjalani satu jalan kerana menuntut ilmu dalamnya pengetahuan, Allah SWT membuka baginya satu jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat menghentikan sayapnya tanda hormat kepada penuntut ilmu pengetahuan dan sesungguhnya seorang alim memohon baginya siapa yang ada di langit dan siapa yang ada di bumi hingga ikan di air. Dan keutamaan seorang alim ke atas orang biasa umpama keutamaan bulan ke atas cakerawala yang lain. Sesungguhnya ulama adalah pewaris Nabi. Sesungguhnya Nabi tidak meninggalkan wang ringgit, bahkan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Maka sesiapa yang mengambilnya, mendapat keuntungan yang banyak." [Riwayat Abu Daud dan Tarmizi]

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Allah SWT mengangkat darjat (kedudukan) mereka yang beriman daripada kamu dan mereka yang menuntut ilmu pengetahuan." [Surah Al-Mujadalah: 11)

Demikianlah pentingnya menuntut ilmu dan bergunanya pada orang Islam sehingga ia diletakkan pada taraf wajib.

Ini dijelaskan dalam sebuah hadis daripada Anas bin Malik, katanya; Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap orang Islam. Dan orang yang meletakkan ilmu bukan pada tempatnya adalah seperti orang yang menghias babi-babi dengan permata dan mutiara dan emas." [Riwayat Ibn Majah & lainnya]

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.

2 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete