Lisan atau lidah, anggota tubuh terpenting dan salah satu nikmat Allah yang wajib disyukuri. Dengan lidah, manusia dapat bertutur dan berhubung sesama manusia, memberi arahan pada haiwan dan menzahirkan sesuatu dalam bentuk perkataan pada Yang Esa.
Namun kadangkala manusia terlupa untuk bersyukur. Malah dosa manusia banyak berpunca daripada keterlanjuran mulut yang tidak dikawal. Kata orang, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan merana.
"Aku memberi jaminan sebuah rumah dalam kebun syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan, meskipun dia benar. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tengah syurga bagi orang yang tidak berbohong walaupun sekadar bergurau. Aku juga memberi jaminan sebuah rumah di tempat paling tinggi di dalam syurga bagi orang mempunyai budi pekerti baik". [Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Abu Daud]
Percakapan juga seperti perbuatan melambangkan tahap keimanan seseorang.
Kerana besarnya bencana berpunca daripada lidah, Rasulullah SAW menganjurkan sesiapa yang tidak mampu mengawal dirinya daripada berkata-kata tidak baik, lebih baik dia mendiamkan diri.
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, maka bercakaplah perkara yang baik atau mendiamkan diri". [Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Muslim dan Bukhari]
Berdiam diri adalah cara paling mudah untuk menyelamatkan diri dari fitnah, mengumpat dan meluahkan perkataan yang tidak perlu.
"Sesiapa yang diam, dia akan selamat". [Sabda Rasulullah SAW: Riwayat Ahmad]
Beruntunglah sesiapa yang mampu menjaga lidahnya sehingga menjadi lambang ketulusan budi dan pekertinya.
Sesiapa yang sentiasa berkata benar dan disenangi orang lain, hidupnya dalam kesejahteraan dan kedamaian.
Wallahu 'alam.
[Copyright Controlled]
No comments:
Post a Comment