May 29, 2006

Surah An-Naas & Surah Al-Falaq

Surah Al-Falaq (bererti sekalian makhluk), iaitu surah yang ke 113 mengandungi 5 ayat dan Surah An-Naas (bererti manusia) iaitu surah yang ke 114 di dalam Al-Quran mengandungi 6 ayat, adalah dua surah yang digelar "Mu'awwizatain" atau dua Ta'awuz.

Ia diturunkan setelah Nabi Muhammad SAW selalu berdoa kepada Allah Taala memohon perlindungan dari kejahatan manusia dan syaitan atau jin.

Surah Al-Falaq mengajar kita memohon perlindungan dari Allah Yang Maha Kuasa terhadap kejahatan makhluk-makhluk Allah dan juga perbuatan-perbuatan sihir, khianat, hasad dengki dan sebagainya.

Surah An-Naas juga mengajar kita memohon perlindungan dari Allah Taala terhadap bahaya-bahaya yang batin seperti bahaya dari syaitan atau jin, tipu daya makhluk, perasaan atau ingatan buruk yang boleh merosakkan akidah, amal ibadah dan cara hidup kita.

Fadhilat dan Faedahnya :

1. Hadis Rasulullah SAW diriwayatkan oleh Ahmad dari Ibnu Abbas RA bahawa baginda bersabda yang maksudnya:

"Ingatlah saya beritahu kepada kamu tentang Ta'awuz (doa memohon perlindungan) yang paling berkesan ialah QUL A'UUZUBIRABB."

2. Untuk menyembuhkan orang terkena sihir atau yang seumpamanya, bacakan sebanyak 41 kali setiap hari selama 3, 5 atau 7 hari berturut-turut, insya-Allah akan sembuh.

3. Untuk menaikkan semangat berani membela kebenaran dari kekejaman orang-orang memegang kuasa, orang-orang jahat dan sebagainya, bacalah kedua-dua surah ini 100 kali.

4. Bacalah kedua-dua surah ini seberapa banyak apabila kita sesat jalan seperti dalam gelap atau dalam hutan, insya-Allah akan terselamat.

5. Amalkan membaca kedua-dua surah ini 3 kali, pagi dan petang didahului membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas, insya-Allah segala keperluan hidup akan cukup dan sempurna.

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment