Apabila seseorang berhajat dan bercita-cita akan mengerjakan sesuatu perkara, sedangkan dia ragu-ragu dalam pekerjaan atau maksud itu, apakah elok dilakukan terus atau tidak, maka untuk memilih salah satu sama ada patut diteruskan atau tidak, disunatkan mengerjakan solat Istikharah sebanyak 2 rakaat.
Perkara ini dianjurkan sendiri oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud:
“Apabila seseorang kamu berkehendak melakukan sesuatu, hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (solat dua rakaat) selain daripada solat fardhu”.
Solat Istikharah ini boleh dilakukan secara berasingan atau dikerjakan pada waktu mengerjakan solat sunat Rawatib atau Tahiyatul Masjid.
Solat ini boleh dilakukan pada waktu siang mahupun pada waktu malam. Tetapi sebahagian ulama mengatakan bahawa ia lebih baik dikerjakan pada waktu malam, ketika suasana sepi dan hening, sebelum melakukan solat Witir.
Jawapan daripada Allah SWT sama ada perkara itu elok dibuat atau tidak akan didatangkan dengan rasa hati, iaitu hati merasakan keinginan yang kuat untuk melakukan atau tidak akan sesuatu perkara itu, atau dengan mimpi atau dengan dipermudahkan jalannya bagi sesuatu perkara itu berlaku ataupun disebaliknya.
Tetapi syaratnya, sebelum melakukan solat sunat Istikharah ini, janganlah hendaknya kita menyimpan kecenderungan kita sendiri mengikut pertimbangan akal fikiran, tetapi hendaklah mengosongkan akal dan hati serta menyerahkan urusan itu sepenuhnya kepada Allah SWT.
Terdapat dua cara untuk melakukan solat sunat Istikharah:
a. Dua rakaat, satu salam.
b. Dua belas rakaat, enam salam.
Cara Melaksanakannya
1. Apabila hendak memulakan solat, hendaklah diluruskan hati dengan menyerahkan segala urusan sepenuhnya kepada Allah SWT. Rehatkan akal fikiran daripada menimbang-nimbang sama ada pekerjaan itu elok dibuat ataupun tidak.
2. Setelah bersiap dengan wudhuk, berdiri tegak serta mengadap kiblat, mulakanlah solat dengan mengangkat takbiratul ihram dengan lafaz dan niat:
Ushalli sunnatal istikhaarati rak’ataini lillahi ta’aala.
Ertinya: Sahaja aku solat sunat Istikharah dua rakaat kerana Allah Taala.
3. Lakukanlah dua rakaat sunat Istikharah tersebut. Bacaan surah selepas Al-Fatihah ialah:
Rakaat pertama: Surah Al-Kaafiruun
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas
4. Dalam sujud yang terakhir [iaitu sujud kedua pada rakaat yang kedua], bacalah tasbih berikut:
Subhaa naka laa ‘ilmalanaa illaa maa ‘allamtanaa innaka antal-’aliimul hakiim.
Ertinya: Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami melainkan apa yang Engkau berikan pengetahuan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
5. Apabila sudah selesai melakukan solat ini, maka bacalah doanya.
Doa yang ditunjukkan di sini ialah sepertimana yang diriwayatkan oleh Jabir ibn Abdullah RA bahawa Rasulullah SAW mengajarkan mereka solat Istikharah sebagaimana baginda mengajarkan surah Al-Quran, baginda bersabda dengan mengucapkan:
“Allahumma innii astakhiiruka bi’ilmika wastaqdiruka biqudratika wa-as-aluka min fadhlikal ‘adziimi fainnaka taqdiru walaa aqdiru wata’lamu walaa a’lamu wa-anta ‘allaamul ghuyuub.
Allahumma inkunta ta’lamu hazal amru khairullii fii diinii wama’aasyii wa’aaqibati amrii. (‘Aajili amrii wa-aajilih) faqdarhu lii wayassirhu lii thumma baa rik lii fiihi wa-in kunta ta’lamu hazal amru syarrulii fii diinii wama’aasyii wa-‘aaqibati amrii (‘aajili amrii wa-aajilih) fashrifhu ‘annii ‘anhu waqdurlil khairu haithu kaana thumma ardhinii bih”.
Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada Engkau terhadap pilihan yang baik menurut ilmu Engkau, dan aku memohonkan penetapan dengan kekuasaan-Mu serta memohon anugerah Engkau yang besar.
Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Maha Tahu, sedangkan aku tidak mengetahui, Engkaulah yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Ya Allah! Jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini [sebutkan urusan kita di sini] baik bagiku, di dalam agamaku, di dalam kehidupanku dan akibat urusanku (atau sebagaimana sabdanya: pada waktu dekat atau masa yang akan datang), maka takdirkanlah kepadaku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam urusanku ini.
Dan sekiranya Engkau Mengetahui bahawa urusanku ini [sebutkan urusan kita di sini] tidak baik bagiku, di dalam agamaku, di dalam kehidupanku, dan akhir urusanku (atau sebagaimana sabdanya: pada waktu dekat, atau masa yang akan datang), maka hindarkanlah perkara itu daripadaku dan selamatkanlah aku daripadanya, dan takdirkanlah kepadaku sesuatu yang lebih baik di mana sahaja ia berada, kemudian redhailah aku dengan hal itu.
6. Adapun doa untuk solat Istikharah memilih jodoh ialah seperti berikut:
Allahumma innaka taqdiru walaa aqdiru wata’lamu walaa a’lamu innaka antal ‘aliimul ghuyuub. Fainna ra-aita lii fii fulaanah [sebutkan namanya di sini] khairal lii fii diinii wadun-yaaya wa-aakhiratii faqdhi lii biha.
Wain kaa ghairuhaa khairal lii fii diinii wa-dun-yaa-ya wa-aakhiratii faqdhi lii bihaa. Wain kaa ghairuhaa khai-rallii fii diinii wadun-yaaya wa-akhiratii faqdhi lii bihaa.
Ertinya: Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Berkuasa, sedangkan aku tidak berkuasa. Engkau Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau Mengetahui segala yang ghaib.
Jika Engkau Mengetahui bahawa si fulan/fulanah [sebutkan nama lelaki/perempuan yang dimaksudkan] baik untukku, untuk agamaku, duniaku dan akhiratku, maka berikanlah dia untukku. Jika yang selainnya lebih baik daripadanya untukku, untuk agamaku, untuk duniaku dan akhiratku, maka berikanlah yang lain itu untukku.
7. Ramai orang mengerjakan solat sunat Istikharah ini untuk
Selama 3 malam berturut-turut atau lebih baik sehingga 7 malam di samping meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah, maka laksanakanlah dengan yakin perkara yang dirasakan kuat di dalam hati.
Ini berdasarkan sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
“Apabila kamu bercita-cita untuk mengerjakan sesuatu, maka hendaklah kamu meminta pilih (solat Istikharah) daripada Allah sebanyak 7 kali. Selepas itu, lihatlah apa yang digerakkan pada hati oleh Allah mendahulukannya, kerana sesungguhnya kebaikan itu ada pada apa yang didahulukan”.
Hikmah Solat Sunat Istikharah:
1. Ia menggantikan amalan jahiliyah yang menetapkan pilihan dengan burung-burung atau anak panah (mengundi nasib) sama ada dalam soal perkahwinan, hendak berjalan jauh atau melakukan sesuatu pekerjaan.
Untuk orang yang beriman, cara seperti ini adalah tidak baik, maka solat Istikharah menandakan mereka kembali kepada Allah.
2. Ia dapat menghilangkan segala keresahan atau kebingungan dalam menentukan pilihan yang tepat. Dengan mengosongkan fikiran dan hati serta menyerahkan segala urusan kepada Allah, kita akan diberi pilihan terbaik untuk diri dan agama.
3. Kita tidak akan menyalahkan diri sendiri sekiranya berlaku sesuatu yang tidak baik daripada pilihan kita itu. Kita yakin bahawa itulah kehendak Allah yang mempunyai pelbagai hikmah, kalau tidak di dunia, di akhirat nanti.
4. Ia menandakan keikhlasan seorang hamba terhadap Tuhannya. Dengan melakukan solat ini, dia meniadakan kehendak peribadinya dan menyerahkan diri dan segala urusannya kepada Allah SWT.
[Sumber: Siri Panduan Lengkap Sembahyang Sunat – Siri 4, Penyusun – Ismaiza Ismail]
No comments:
Post a Comment