Solat sunat Taubat adalah solat yang disunatkan apabila sesudah seseorang melakukan dosa, atau merasa dia telah berbuat dosa, lantas bertaubat ke hadrat Allah SWT.
Anjuran bertaubat ini terkandung di dalam sepotong ayat Al-Quran, di dalam surah Ali Imran, ayat 135:
“Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri mereka sendiri, lantas mereka ingat kepada Allah, kemudian mereka memohon ampun atas dosa-dosa mereka itu”.
Ibnu Khatir menafsirkan ayat ini bahawa adalah sangat dikehendaki kepada orang yang bertaubat kepada Allah SWT agar mengambil wudhuk, kemudian solat dua rakaat, sesuai dengan riwayat Imam Ahmad dari Ali ibn Abi Talib RA, katanya yang bermaksud:
“Apabila saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, maka saya segera memanfaatkannya (melakukan perbuatan itu) sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah. Tetapi apabila saya mendengarnya dari orang lain, maka saya membantahnya, kecuali orang yang menyampaikan itu mahu bersumpah barulah saya mahu membenarkannya”.
“Abu Bakar memberitahukan kepada saya, dan Abu Bakar adalah orang yang jujur, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: Seseorang yang telah berbuat dosa, kemudian berwudhuk dengan wudhuk yang sempurna, lantas dia solat – kata Sufyan – kemudian memohon ampun kepada Allah, maka Allah ‘Azza Wa Jalla akan mengampuninya”.
Bertaubat dari sesuatu dosa itu ialah menyesal akan perbuatan yang dilakukan, bercita-cita tidak akan melakukannya lagi, dan memohon keampunan dari Allah.
Justeru itu, orang yang merasakan dia sudah berbuat dosa hendaklah mengerjakan solat sunat sebanyak 2 rakaat dengan memperbanyak istighfar di dalam solatnya itu serta berjanji kepada Allah SWT dan kepada dirinya sendiri bahawa dia tidak akan mengulangi lagi perbuatan keji itu selama-lamanya.
Apabila perbuatan ini dilakukan dengan sungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran, insya-Allah segala dosa dan kesalahan yang terlanjur dilakukannya itu akan diampuni Allah SWT.
Solat sunat Taubat ini boleh dilakukan seberapa banyak rakaat yang dikehendaki, asalkan ianya dilakukan setiap 2 rakaat, sekali salam.
Cara Melaksanakannya
1. Cara melaksanakan solat sunat Taubat ini adalah serupa dengan solat sunat 2 rakaat yang lain, dan lafaz serta niatnya adalah seperti berikut:
Ushalli sunnatat taubati rak’ataini lillahi ta’ala.
Ertinya: Sahaja aku solat sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Taala.
2. Terdapat pelbagai pilihan surah dan ayat yang elok dibaca selepas Al-Fatihah. Salah satu pilihan ialah:
Rakaat pertama: Ayat Al-Kursi [11 kali]
Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas [11 kali]
3. Di dalam sujud yang terakhir, selepas membaca tasbih biasa sewaktu sujud, bacalah tasbih ini sebanyak 40 kali. Tasbih ini dinamakan Tasbih Taubat.
Laa ilaaha illa anta subhaa naka innii kuntu minazzhoolimiin.
Ertinya: Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang zalim.
4. Sesudah memberi salam, maka hendaklah memperbanyak Istighfar dengan memohon keampunan kepada Allah SWT, seringkas-ringkasnya dengan ucapan “Astaghfirullah hal a’zhim” dan sebaik-baiknya ucapkanlah berulang kali:
Astaghfirullah hal a’zhiim. Allazii laa ilaaha illa huwal hayyul qayyuumu wa-atuubu ilaihi taubata ‘abdizzoolimiin la yamliku linafsihi dharrau naf’au walaa mautau walaa hayaatau walaa nusyuuraa.
Ertinya: Aku memohon keampunan kepada Allah Yang Maha Agung, yang tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Hidup dan terus menerus ada; dan aku bertaubat kepada-Nya sebagaimana taubatnya seorang hamba yang banyak dosa, yang tidak mempunyai daya upaya untuk berbuat mudarat atau manfaat untuk mati atau hidup mahupun ketika dibangkitkan nanti.
[Sumber: Siri Panduan Lengkap Sembahyang Sunat – Siri 4, Penyusun – Ismaiza Ismail]
No comments:
Post a Comment