Nabi Ibrahim AS pernah berpesan kepada Nabi Muhammad SAW pada saat perjumpaan keduanya di malam Mikraj:
"Hai Muhammad, sampaikan salamku untuk umatmu dan ceritakan kepada mereka bahwa syurga bertanahkan wangi-wangian, airnya terasa segar dan tanaman-tanamannya adalah "Subhanallah", "Alhamdulillah" dan "La Ilaaha Illallah".
Syurga ibaratnya, tidak ada mata yang pernah melihatnya dan tidak ada telinga yang pernah mendengarnya, bahkan tidak sedetikpun bisa terbersit dalam hati manusia, dari sesuatu yang maha sempurna. Kerana itulah kebahagiaan yang hakiki.
Tingkat syurga terendah adalah perumpamaan seseorang yang berkesempatan menikmati kampung halamannya, melihat isterinya, sanak saudaranya dengan penuh kebahagiaan selama seribu tahun. Dan tingkat tertinggi syurga adalah melihat Allah siang dan malam. Muka-muka mereka pada hari itu berseri kerana melihat Tuhan mereka. [H.R. Tirmizi]
Siapakah tetamu-tetamu yang berhak mendapat jamuan syurga ketika bertemu Allah nanti?
Mereka adalah orang-orang yang telah dijelaskan oleh Al-Qur'an dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-135 sebagai berikut:
1. Orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang takut kepada Allah, dengan menjalankan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.
2. Orang-orang yang menyedekahkan hartanya sesuai dengan anjuran agama, baik ianya zakat, sedekah mahupun infak, baik dalam keadaan sulit mahupun mudah. Ketika mereka banyak rezeki, tidak mencerminkan orang yang cinta harta. Bahkan ketika mereka dalam kesulitan, sama sekali tidak mencerminkan keperitan atau kebakhilan.
3. Mereka yang bisa menahan amarah dan tidak berbuat aniaya.
4. Mereka yang pemaaf dan yang [demi kebaikan] selalu memaafkan orang yang pernah menganiayainya dan memusuhinya.
5. Mereka yang ketika melakukan perbuatan tercela, segera ingat kepada Allah dan meminta keampunan-Nya atas dosa-dosa yang dilakukannya.
6. Mereka yang tidak suka berlarut-larut dalam kesalahan dan perbuatan dosa.
Dalam Surah Al-Mu'minun, ayat 1-11 juga dijelaskan sifat-sifat penghuni syurga, sebagai berikut:
7. Orang-orang yang beriman dengan rukun-rukun iman, iaitu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat Allah, kitab-kitab Allah, nabi-nabi Allah, hari akhir dan ketentuan dan keputusan Allah. Mereka beriman dengan lisan, hati dan perbuatan mereka.
8. Mereka yang mendirikan solat mereka dengan khusyuk.
9. Mereka yang meninggalkan hal-hal yang tidak berguna, dan yang memanfaatkan waktu mereka untuk tindakan-tindakan yang bermanfaat.
10. Mereka yang membayar zakat, baik zakat harta mahupun zakat fitrah.
11. Mereka yang menjaga alat kelamin mereka dari perbuatan zina dan pelanggaran seksual yang dilarang agama.
12. Mereka yang sentiasa memenuhi amanah dan janji-janji mereka.
13. Mereka yang sentiasa menjaga solat-solat mereka.
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment