August 05, 2005

Menjana Keyakinan Diri Anak-Anak

Ibu bapa hendaklah berusaha meningkatkan kemahuan, keyakinan diri dan kekentalan jiwa anak-anak melalui teknik berikut:

a. Belajar Menyimpan Rahsia - Seandainya anak-anak pandai menyimpan rahsia sejak kecil lagi, maka mereka sebenarnya telah membentuk kekentalan dalam jiwa dan akhirnya menghasilkan keyakinan dalam dirinya.

b. Berpuasa Sunat - Latih anak berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Syarat utama untuk latihan ini ialah ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali hendaklah sama-sama bangun untuk makan sahur dengan anak-anak.

Didik anak-anak bahawa puasa baik untuk kesihatan tubuh badan dan otak. Puasa juga menginsafkan kita terhadap umat Islam yang kurang bernasib baik di merata tempat di dunia ini seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Sudan dan di Afrika.

Berpuasa adalah ibadah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila melihat seseorang, kita tidak tahu samada dia berpuasa atau tidak. Orang yang engkar boleh mencuri makan dan minum dan berpura-pura puasa selepas itu.

Sebab itu dari latihan berpuasa akan terbentuk keikhlasan. Keikhlasan akan membentuk keyakinan diri kerana seseorang itu tahu kekuatan dirinya yang menyebabkan dia mampu berpuasa terutama bagi puasa sunat.

Di rumah, jadikan waktu berbuka puasa satu majlis yang ceria dengan juadah yang istimewa yang akan menyebabkan anak-anak tertunggu-tunggu untuk berpuasa sunat pula pada minggu berikutnya.

c. Didik Kemahiran Sosial - Mendidik anak di dalam kemahiran sosial paling penting membantu mereka membentuk keyakinan diri.

d. Rajin Membaca - Latih anak-anak supaya sentiasa ada buku di tangan walau di mana jua mereka berada; seperti waktu rehat di rumah, di dalam kereta, sementara menunggu bas sekolah datang, waktu pulang ke kampung nenek dan waktu berkelah di tepi pantai.

Ibu bapa hendaklah mengawasi bahan bacaan anak-anak. Kenalkan mereka kepada buku atau majalah yang bermaklumat dan berpengetahuan. Cuba elakkan majalah yang berunsur hiburan semata-mata. Majalah hiburan selalunya mendedahkan pemikiran, budaya dan cara hidup yang tidak sihat.

Untuk menarik minat anak-anak membaca, ibu bapa boleh menceritakan sesuatu perkara yang sangat disukai oleh anak tersebut dan beritahu bahawa ibu bapa mengetahui cerita tersebut dari majalah atau buku tertentu. Anak-anak pasti gembira untuk mengetahui sambungan cerita selanjutnya.

Kajian mendapati bahawa kaedah yang paling mujarab untuk menggalakkan anak-anak membaca ialah dengan ibu bapa sentiasa ada sebuah buku di tangan!

e. Luaskan Pengetahuan - Anak-anak hendaklah dilatih meluaskan pengetahuan melalui pelbagai sumber. Di antaranya ialah:
  • Membaca akhbar harian
  • Menonton berita perdana dan berita dunia di tv
  • Menonton dokumentari di tv
  • Melanggan majalah pengetahuan bulanan dalam/luar negara
  • Membaca sumber-sumber di dalam bahasa Inggeris
  • Mendapatkan maklumat dan pengetahuan dari internet
  • Membeli video dokumentari
  • Menulis surat kepada sahabat pena di luar negara
  • Berchatting yang bermanfaat
  • Suka berkomunikasi dengan pelancong
f. Ajar Anak Berniaga - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "90% punca rezeki datang dari perniagaan".
Bangsa yang bertamadun tinggi di dunia menjalankan perniagaan. Mereka berniaga bukan sahaja sesama mereka malah merentasi benua dan lautan. Ada bangsa yang menakluki dunia dengan perniagaan. Malah tamadun manusia berkembang melalui perniagaan.
Di zaman moden hari ini pun, kuasa besar dunia menakluki minda rakyat dan tanah air negara-negara kecil di dalam rangkaian dunia ketiga juga melalui perniagaan.
Rasulullah SAW juga seorang ahli perniagaan sebelum dilantik menjadi Rasul. Baginda memperdagangkan barangan Sayidatina Khadijah serta mendapat keuntungan besar serta berlipat ganda.
Kepintaran dan kejujuran Rasulullah SAW ini telah menarik perhatian Khadijah hingga membuahkan bibit cinta lalu dia menghantar wakil untuk meminang baginda menjadi suaminya.
Maka seharusnya kita ajar anak-anak kita berniaga sedari kecil. Berniaga mendidik hati untuk yakin kepada kekuasaan Allah SWT. Orang berniaga banyak bergantung harap kepada Allah SWT kerana punca rezeki mereka tidak menentu.
Di zaman moden dunia hari ini, ilmu perniagaan sudah boleh dipelajari dari kursus-kursus di kolej dan universiti, dalam dan luar negara. Bagaimanapun, latihan berniaga harus menjadi darah daging anak-anak kita sepertimana menjadi darah daging sesetengah bangsa di dunia seperti bangsa Cina.
Jadi, pilihan terbaik kita ialah melatih anak-anak berniaga sejak kecil terutama pada masa-masa lapang mereka, cuti hujung minggu atau ketika cuti sekolah. Berniagalah apa sahaja barangan yang bermanfaat. Pastikan lokasi perniagaan yang strategik supaya perniagaan itu berdaya maju.
Berniaga juga akan melatih anak-anak supaya cekap dan amanah. Cekap dalam ertikata menguruskan barangan perniagaan dan perhitungan untung rugi. Amanah pula merujuk kepada barangan dan wang ringgit yang diuruskan. Sifat amanah Rasulullah SAW lah yang telah menjadikan perniagaan baginda berjaya dan mengaut keuntungan yang besar.
Anak-anak juga harus diingatkan bahawa perniagaan juga boleh menjerumuskan manusia kepada risiko hutang dan kerugian jika tidak cekap dan tidak amanah.
g. Dengar Pandangan Anak-Anak - Apabila anak-anak cuba mengutarakan pandangan dan pendapatnya, dengarlah dengan bersungguh-sungguh. Berhentilah dari melakukan sebarang perbuatan ketika mendengar pandangan mereka.
Lihat tepat ke muka atau ke dalam mata mereka. Beri sokongan terhadap pendapat yang cuba diutarakan dengan memberi reaksi positif dan riak muka yang meyakinkan. Bantu menguatkan hujah mereka apabila mereka tersekat di dalam mengeluarkan idea.
Jangan pandang rendah kemampuan dan pendapat mereka terutama bagi anak yang kian meningkat remaja atau dewasa. Apabila pandangan mereka dihargai, mereka akan merasa diri mereka lebih yakin.
Sebaliknya, jika ada pandangan anak-anak yang menyalahi kebenaran; tegurlah dengan baik dan berhemah supaya mereka boleh mengubah pandangan dan pendirian mereka terhadap sesuatu perkara itu.
Jangan sekali-kali bertengkar dengan anak-anak, ataupun bertegang urat dengan mereka kerana banyak kesan negatif yang akan timbul.
Kesan Bertengkar Dengan Anak-Anak:
  • Anak akan hilang rasa hormat pada ibu bapa
  • Mereka mula tidak yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri
  • Anak-anak akan rasa rendah diri
  • Mereka berasa tidak dihargai
  • Timbul rasa kebencian di antara kedua belah pihak
h. Didik Anak Membuat Keputusan - Anak-anak hendaklah dididik untuk pandai membuat keputusan sendiri. Jangan mengharapkan orang lain menentukan peraturan dan perjalanan hidup mereka hingga dewasa.
Mungkin ketika kecil, ibu dan bapa boleh membantu mereka membuat keputusan. Tetapi, tidak untuk selama-lamanya. Apabila dewasa, mereka harus berdikari.
Anak yang terlalu bergantung kepada ibu dan bapanya untuk membuat keputusan, sering memandang muka ibu atau bapanya apabila terpaksa membuat keputusan. Ketika itu, ibu atau bapa hendaklah menghalakan pandangan ke tempat lain. Latih anak itu untuk membuat keputusan sendiri.
i. Pandai Menyelesaikan Masalah - Anak-anak hendaklah dididik menyelesaikan masalah terutama masalah peribadinya. Untuk bijak menyelesaikan masalah peribadi, anak-anak hendaklah dididik mengatur kehidupan harian dengan sempurna. Apabila kehidupan teratur, masalah akan berkurangan. Masalah peribadi tidak wajar dibebankan kepada orang lain.
Anak yang telah terdidik bijak mengatasi masalah peribadi akan mampu menolong menyelesaikan masalah orang lain seperti kawan-kawan atau adik-beradiknya.
Di satu tahap yang lebih tinggi, anak itu akan mempunyai inisiatif sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah keluarga, orang ramai, masyarakat atau masalah ummah.
Kemahiran menyelesaikan masalah ini akan dapat menjana keyakinan diri seseorang anak dengan cemerlang.
j. Minta Nasihat Dari Anak-Anak - Apa salahnya jika ibu atau bapa meminta nasihat anak-anak terutama daripada anak yang telah dewasa dan matang?
Rasional Ibu Bapa Meminta Nasihat Daripada Anak-Anak:
  • Melatih anak-anak supaya mempunyai keyakinan diri lebih awal dan lebih mantap
  • Anak mungkin mempunyai kepakaran/kemahiran tertentu
  • Anak mungkin ada sudut pandangan berbeza yang tidak terjangkau oleh ibu bapa
  • Anak-anak juga memahami masalah keluarga kerana mereka terlibat di dalamnya
  • Anak akan merasa dihargai
  • Anak merasakan dirinya cepat matang
  • Anak akan lebih memahami keluarganya
Perlulah diingat bahawa anak-anak kita memang cemerlang, cuma kita sahaja yang sering terlepas pandang.

Bidang Kemahiran Sosial
1. Kemahiran Bercakap (Public Speaking/Khutbah) - Anak hendaklah dilatih petah dan mahir bercakap melalui latihan formal yang dipanggil "Public Speaking" atau "Khutbah". Beri galakan anak-anak memasuki pertandingan bercerita, bersyarah, forum, berbahas dan sebagainya. Di dalam majlis tidak rasmi di kalangan keluarga atau kawan-kawan tonjolkan anak-anak supaya berani bercakap dan memberi pendapat.
2. Kemahiran Berkomunikasi - Latih anak-anak berhubung dengan pelbagai lapisan masyarakat. Terdapat anak-anak yang tidak pandai membahasakan panggilan diri yang formal iaitu "saya", sebaliknya menggunakan bahasa "panggilan" atau "gelaran" seperti "adik", "abang", "along", "kita" dan sebagainya mengikut gelaran yang biasa digunakan di kalangan keluarga di rumah. Penggunaan bahasa diri ini kadang-kadang digunakan sehingga dewasa.
3. Kemahiran Bergaul - Anak-anak hendaklah dilatih mahu bergaul dengan saudara-mara, jiran-jiran dan masyarakt setempat. Di sinilah pentingnya mengadakan "Hari Keluarga" samada di pejabat, syarikat atau di kalangan ahli keluarga.
Untuk melatih anak-anak bergaul, hendaklah diciptakan agenda yang akan menyebabkan mereka berinteraksi di antara satu sama lain seperti:
  • Adakan acara sukan persahabatan
  • Wujudkan kumpulan belajar (Study group)
  • Membuat projek sekolah bersama
  • Lawatan bersama
  • Gotong-royong
  • Jamuan atau kenduri-kendara
  • Majlis hari lahir
4. Kemahiran Menyesuaikan Diri - Latih anak-anak supaya pandai menyesuaikan diri di dalam majlis dan suasana yang berlainan. Jika tidak, mereka akan menjadi "Kera Sumbang". Mereka akan dipandang ganjil oleh orang lain dan akhirnya mereka akan malu.
5. Kemahiran Bertoleransi - Jangan biarkan anak terlalu keras dengan kehendak, kemahuan dan prinsipnya. Ajar mereka bertoleransi asalkan tidak menyalahi syariat Islam. Anak-anak hendaklah bertoleransi dengan orang yang bukan segolongan atau sependapat dengannya, berlainan bangsa atau agama dan orang yang belum mereka kenali.
Ingat: Lebih baik kita mengalah dalam jangka masa pendek asalkan kita menang dalam jangka masa panjang. Beralah bukan bererti mengalah atau menggadai prinsip. Kelembutan kita akan memikat hati orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, nanti Allah akan utamakan kepentingan anda insya-Allah.
6. Kemahiran Membaca Bahasa Tubuh (Body Language) - Anak-anak hendaklah dilatih agar peka dan boleh membaca bahasa tubuh (body language) orang lain. Jangan sekali-kali mengabaikan atau buat tidak peduli terhadap bahasa tubuh orang lain.
Lazimnya, bahasa tubuh dilakukan tanpa dirancang atau tanpa disedari. Ia dilakukan dengan spontan mengikut gerak hati dan keinginan minda seseorang itu. Bahasa tubuh jenis inilah yang mesti kita peka dan faham serta bertindak mengikut isyarat tersebut.
Tetapi, ada orang yang sengaja memberi bahasa tubuh kepada tetamunya. Bahasa tubuh jenis ini ada yang tidak ikhlas. Lebih baik kita berterus-terang kepada tetamu kita daripada sengaja memberi isyarat bahasa tubuh. Orang lain akan lebih hormat kepada kita jika kita berterus-terang.
Misalnya, jika kita ada tetamu sedangkan pada masa yang sama kita ada komitmen lain. Maka, janganlah memberi isyarat dengan sering melihat jam di tangan atau jam di dinding. Sebaliknya, berterus-teranglah dengannya bahawa kita ada komitmen lain dan berjanji untuk berurusan lagi dengannya pada masa yang lain.
7. Kemahiran Bertindak - Latih anak-anak bertindak balas dengan segera terhadap segala tindakan. Jadikan mereka anak yang pro-aktif. Anak-anak yang pro-aktif bertindak spontan. Bagaimanapun, bertindak hendaklah di atas pertimbangan akal fikiran yang waras.
Jangan bertindak tergesa-gesa dan membuta tuli tanpa pertimbangan yang teliti. Pastikan tindakan kita menyenangkan semua pihak dan tidak menyinggung sesiapa.
8. Kemahiran Mempertahankan Diri - Anak hendaklah diajar mempunyai maruah diri. Jangan menggadaikan maruah diri semata-mata kerana perkara yang kecil, mudah dan murah. Jika ada orang lain yang memperkecil-kecilkan atau merendah-rendahkan diri kita, wajib kita mempertahankan diri demi maruah.
Lebih-lebih lagi jika kita dilontarkan dengan hasutan, fitnah dan cacian. Maka menjadi kewajiban kita untuk mempertahankan diri, malah hendaklah mendedahkan kebenaran. Jangan biar diri kita dipijak oleh orang lain.
Sebaliknya, anak-anak hendaklah dididik supaya tidak bertegang leher menegakkan yang palsu atau yang tidak benar. Jika kita telah tersilap langkah, biarlah kita berani mengaku kesilapan kita dan meminta maaf. Jangan sekali-kali cuba "menegakkan benang yang basah".
9. Kemahiran Kepemimpinan - Anak-anak hendaklah dilatih menjadi pemimpin dari kecil. Galakkan mereka menjadi ketua kumpulan, ketua kelas, ketua pasukan dan sebagainya. Bila berada dalam sesuatu kumpulan, galakkan mereka mengetuai kumpulan tersebut. Ibu bapa hendaklah berusaha memberi kemudahan dan jalan ke arah itu. Berikan sokongan moral dan material.
Konsep kepemimpinan hendaklah ditonjolkan kepada anak-anak. Di kalangan adik-beradik pun, biasakan melantik seorang di antara mereka menjadi ketua mengepalai sesuatu misi atau tugas. Selalunya anak yang paling tua dilantik menjadi ketua.
Elakkan melantik anak yang muda kerana abang-abangnya akan kecil hati , kecuali di dalam sesuatu tugas yang si adik memang mempunyai kemahiran atau kelebihan yang ketara berbanding si abang. Namun, adik lelaki boleh dengan mudah dilantik menjadi ketua kepada kakak-kakaknya.
Aspek Menyesuaikan Diri
a. Pakaian - Pakaian hendaklah bersesuaian dengan majlis. Jangan memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata atau yang "over". Ada pakaian yang sesuai untuk ke surau atau ke masjid atau apabila menziarahi orang sakit, menziarahi orang meninggal dunia, menghadiri majlis membaca Yaasin atau kenduri/tahlil arwah; tetapi pakaian yang sama tidak sesuai dipakai ke majlis perkahwinan/kenduri-kendara, majlis sambutan hari lahir, sukaneka/outdoor/acara padang, pameran/ekspo atau majlis rasmi/forum/seminar/kursus.
b. Aksesori - Jangan memakai aksesori yang berlebihan atau "over". Aksesori yang berlebihan akan memperlihatkan anda seperti lampu isyarat (traffic light) merah, kuning, hijau atau seperti "Mak Datin" kecuali anda memang ingin kelihatan begitu atau ingin menonjolkan imej sebegitu! Memakai topi koboi dan cermin mata hitam adalah perlakuan biasa jika majlis diadakan di tempat terbuka, di tepi pantai atau di tempat panas.
c. Peralatan Yang Dibawa - Bawa peralatan yang diperlukan untuk sesuatu majlis atau program dengan selengkapnya. Misalnya, jika program membaca Yaasin, hendaklah bersedia membawa Surah Yaasin dan pakaian solat. Jika aktiviti sukan keluarga, hendaklah sedia membawa pakaian riadah dan kasut sukan. Bukankah ganjil jika anda masuk pertandingan tarik tali atau main bola jaring dengan berkaki ayam atau memakai kasut tumit tinggi?
d. Usia - Jangan masuk ke dalam majlis yang pesertanya mempunyai perbezaan usia yang terlalu jauh dengan kita. Jika termasuk juga, maka hendaklah pandai menyesuaikan diri.
e. Golongan Audien - Kenalpasti audien bagi majlis yang kita hadiri sama ada golongan pelajar rendah, menengah, IPT, petani, orang kampung, golongan korporat, pekerja kolar biru, golongan seni atau golongan suri rumahtangga.
f. Jenis Majlis - Kenalpasti majlis apa yang kita hendak hadiri itu. Apakah majlis sosial, ibadah, aktiviti lasak (outdoor), ceria atau berkabung (misalnya kematian, sakit) atau sebagainya.
g. Masa - Pastikan apakah majlis itu diadakan di waktu pagi, petang atau malam? Kadang-kadang warna dan jenis pakaian pun diambil kira mengikut waktu pagi, petang atau malam. Apakah majlis itu melibatkan waktu solat atau waktu makan tengahari? Jika melibatkan waktu solat, hendaklah bersedia dengan peralatan untuk bersolat. Jika melibatkan makan tengah hari, hendaklah bersedia untuk makan tengah hari. Misalnya, jangan makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut.
Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment