October 31, 2005

Surah Al-Waaqi'ah

Surah Al-Waaqi'ah adalah surah yang ke-56 di dalam Al-Quran, tidak asing lagi pada umat Islam terutama kerana fadhilat dan faedahnya iaitu mudah mendapat rezeki serta kekayaan di samping lain-lain fadhilat lagi bagi yang mengamalkan membacanya.

Surah Al-Waaqi'ah yang bererti Hari Kiamat menolak anggapan kaum kafir musyrik yang meragui akan berlakunya Hari Kiamat. Apabila tiba waktunya nanti, sesiapa pun tidak dapat mendustakannya lagi. Semua manusia akan menerima pembalasan terhadap apa yang dilakukannya semasa hidup di dunia.

Terdapat beberapa hadis Rasulullah SAW tentang fadhilat dan faedahnya bagi sesiapa yang mengamalkan membaca surah Al-Waaqi'ah ini. Di antaranya diriwayatkan oleh Al-Baihaqi bermaksud :

"Sesiapa yang membaca Surah Al-Waaqi'ah pada tiap-tiap malam akan terjauhlah ia dari kepapaan selama-lamanya".

Hadis yang serupa maksudnya diriwayatkan juga oleh At-Tarmidzi :

Daripada Ibnu Abbas RA beliau berkata, Abu Bakar Al-Siddiq RA berkata : "Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan berambut putih (kelihatan tua) kerana surah-surah Hud, Al-Waaqi'ah, Al-Mursalat, Amma Yatasaalun dan Iza-Saymsul-Kuwwirat". [HR At-Tarmidzi]

Selain daripada itu, fadhilat amalan membaca Surah Al-Waaqi'ah :
  1. Sesiapa yang mengamalkan membacanya sebagai wirid selepas tiap kali solat Asar sebanyak 14 kali, insya-Allah akan mudah mendapat rezeki.
  2. Jika dibacakan kepada orang yang sedang sakit, insya-Allah akan ringanlah sakitnya.
  3. Jika dibacakan di hadapan orang yang sedang nazak, insya-Allah akan memudahkan sakaratul mautnya.
  4. Jika dibacakan untuk ahli kubur, insya-Allah akan meringankan siksa kuburnya.

Amalkanlah membaca Surah Al-Waaqi'ah ini sebagaimana maksud di atas, semoga kita akan turut menikmati fadhilat dan faedahnya.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment