"Malaslah. Nanti-nantilah selesaikan kerja. Esok kan masih ada..."
Tentu kita biasa mendengar nada sebegini. Sikap bertangguh kerja begini memang biasa jadi amalan kebanyakan kita. Cuma sama ada kita sedar atau tidak, sikap ini sebenarnya menggambarkan si pelakunya pemalas dan tidak optimis.
Bertangguh kerja juga menunjukkan sikap tidak mementingkan masa. Masyarakat kita banyak sekali mencipta bidalan atau perumpamaan yang berkaitan dengan sikap dan masa seperti "Kerja bertangguh tak menjadi", "Bertangguh pencuri masa", "Masa itu emas" dan sebagainya. Semuanya menjurus pada kesedaran supaya kita menghargai dan mementingkan masa.
Malah Islam juga amat memberikan penekanan pada masa. Lewat Surah Al-Asr, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan berwasiat (nasihat menasihati) dengan kebenaran dan berwasiat dengan kesabaran."
Mesej yang dihantar melalui firman ini amatlah jelas. Sebagai manusia, kita digalakkan supaya beramal soleh dan nasihat-menasihati mengenai kebenaran dan kesabaran.
Namun sebahagian besar manusia masih lalai dan cuai, masih hidup bergelumang dosa, yang bukan sahaja merugikan mereka di dunia tetapi juga bakal menerima seksa di akhirat kelak.
Malah Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Imam Bukhari turut memberi penekanan serupa. Ibnu Omar berkata bahawa Rasulullah SAW telah memegang bahunya seraya bersabda:
"Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Jika engkau berada di waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika anda di waktu pagi, jangan tunggu sampai petang. Gunalah peluang masa sihat sebelum datang sakit. Dan gunalah peluang masa hidup sebelum tiba mati."
Oleh itu, segeralah lakukan tugas. Jangan tunggu esok!
Wallahu a'lam.
No comments:
Post a Comment