Showing posts with label rumah. Show all posts
Showing posts with label rumah. Show all posts

May 01, 2006

Adab Berpindah Rumah dalam Islam

Berpindah ke rumah baru merupakan pengalaman yang amat indah, lebih-lebih lagi selepas berhempas pulas mengumpul wang untuk memiliki rumah idaman dan kemudian menghiasnya mengikut cita rasa yang sesuai dengan diri kita. Tempat di mana kita melarikan diri dari kesibukan kerja di pejabat serta yang boleh kita gelar 'mahligai'.

Sebagai Islam, kita perlu menyesuaikan setiap yang dilakukan agar berlandaskan ajaran Islam dan tentunya ramai di antara kita yang mungkin tidak mengetahui apakah yang baik untuk dilakukan tatkala pertama kali memasuki rumah tersebut.

Berbagai-bagai cara dilakukan. Ada yang mengadakan kenduri Doa Selamat dan ada pula yang mengadakan Khatam Quran dan sebagainya.

Berikut adalah beberapa perkara yang sepatutnya diamalkan serta sesuai dengan ajaran Islam serta sunnah Rasulullah SAW ketika melangkah memasuki rumah baru :-

1] AZAN

Para ulama berpendapat bahawa adalah baik bagi kita untuk melaungkan azan ketika pertama kali memasuki rumah baru. Selain itu, adalah baik juga untuk kita melaungkan azan sekiranya berpindah masuk ke rumah yang telah lama ditinggalkan dan tidak dihuni oleh sesiapa lebih daripada satu jangkamasa tertentu. Contohnya, lebih daripada 40 hari.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW pernah memberitahu bahawa sekiranya sesebuah rumah itu terlalu lama dikosongkan (tidak berpenghuni), ianya akan dimasuki sejenis makhluk halus (jin yang dikenali dengan Al-'Ammar) yang suka tinggal di rumah yang tidak berpenghuni.

Dalam hadis yang lain pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Ketika azan dilaungkan, syaitan akan melarikan diri..."


2] MEMBACA SURAH AL-BAQARAH

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kamu jadikan rumahmu seperti kubur (hanya untuk tidur), sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibacakan Surah Al-Baqarah".

Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah SAW juga menggalakkan agar memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran di dalam rumah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sinarilah rumahmu dengan memperbanyakkan solat dan membaca Al-Quran".

Selain itu, adalah digalakkan agar azan dilaungkan pada setiap waktu solat serta mengadakan solat secara berjemaah.

Wallahu a'lam.

April 28, 2006

Tip Memilih Rumah

Sekiranya berpeluang untuk memiliki unit rumah yang hendak dibeli, mungkin anda perlu mengambil kira beberapa faktor luaran dan dalaman bagi membolehkan kita membuat pilihan yang tepat.

Perkara yang perlu diambil kira antaranya ialah :

1. Kedudukan bilik-bilik di bahagian dalam rumah tidak terdedah kepada penglihatan orang yang lalu-lalang di luar terutama sekali tingkap bilik dan dapur.

2. Usahakan sedapat mungkin agar mendapat jiran yang menenteramkan, sebagaimana sepotong kata-kata hikmah yang masyhur di kalangan kita :

"Lihatlah dulu siapakah yang bakal menjadi jiran sebelum memilih rumah".

Wallahu a'lam.

February 20, 2006

Rumahku Syurgaku

Dari Jabir RA katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila kamu telah menunaikan solat (wajib) di masjid, maka kerjakanlah pula solat (sunat) di rumah kerana dengan itu Allah SWT akan menjadikan rumah itu bahagia." [Riwayat Bukhari]

Rumahku Syurgaku merupakan konsep rumahtangga yang mempunyai ciri-ciri keislaman yang sebenar; yang boleh menyediakan persekitaran yang harmoni dan melahirkan kasih sayang. Malah hormat menghormati serta penuh dengan pelaksanaan ibadah yang membawa kepada ketenangan dan ketenteraman.

Malah terdapat beberapa tempat yang jika dilakukan ibadah di dalamnya akan mendapat pahala dan keutamaan yang lebih besar berbanding dilakukan di tempat lain. Tempat berkenaan termasuklah melakukan solat di Masjidil Haram yang setara dengan 100,000 solat di tempat lain.

Begitu juga solat di Masjid Nabawi yang setara dengan 1,000 solat di tempat lain dan solat di Masjid Al-Aqsa yang menyamai dengan 500 solat di tempat lain.

Solat yang paling utama dilakukan di masjid adalah solat wajib. Sementara untuk solat sunat yang paling utama adalah jika dilakukan di rumah.

Kesempatan berada di rumah seharusnya diisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan pahala kerana perhatian terhadap pembangunan rumah dan isi rumah merupakan perkara yang paling penting untuk membangunkan masyarakat Muslim.

Hal ini kerana sebuah masyarakat akan terbina daripada gabungan isi rumah. Jika unsur dasarnya baik, maka akan kuatlah sesebuah masyarakat itu.

Jadikanlah kediaman kita sebagai syurga kerana di sana banyak keberkatannya.

Wallahu'alam.

(Copyright Controlled)