Showing posts with label hati. Show all posts
Showing posts with label hati. Show all posts

March 20, 2006

Jangan Ikut Hawa Nafsu

Hawa nafsu merujuk pada sesuatu yang diingini oleh jiwa iaitu kecenderungan kepada syahwat dan maksiat. Disebabkan itu, hawa nafsu disebutkan dalam Al-Quran diikuti dengan kalimah celaan.

Apabila hati dikuasai hawa nafsu, akan membawa seseorang pada kebatilan, meninggalkan kebenaran dan memusuhi pendukungnya. Orang yang tunduk kepada hawa nafsu mudah terheret ke dalam kancah perselisihan.

"Dan apabila datang kepada mereka al-kitab (Al-Quran) dari sisi Allah yang membenarkan apa yang ada pada mereka sedang mereka sebelum ini biasa memohon kedatangan Nabi untuk mendapatkan kemenangan ke atas orang-orang kafir, maka apabila datang kepada mereka apa yang telah mereka ketahui, mereka mengengkarinya. Maka laknat Allahlah ke atas orang yang ingkar itu." [Surah Al-Baqarah: 89]

Hawa nafsu gemarkan kemasyhuran dan mahu mengatasi orang lain.

Kata Az-Zuhri, "Kami tidak melihat sifat zuhud dalam sesuatu perkara lebih sedikit daripada zuhud pada pangkat. Kami melihat seorang lelaki zuhud pada makanan, minuman dan harta, tetapi apabila ditawarkan pangkat, dia bersungguh-sungguh padanya dan melampaui batas".

Membersihkan jiwa daripada hawa nafsu sesuatu yang sukar tetapi tidak mustahil. Menjadi kewajipan kita supaya sentiasa menjaga diri agar tidak dikuasai hawa nafsu walaupun sedikit.

Sekiranya gagal menghilangkannya, sekurang-kurangnya kita menyanggah dan tidak mengikutinya.

"Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah". [Surah Sadd: 26]

Wallahu 'alam.

[Copyright Controlled]

March 13, 2006

Hidupkan Hati dengan Al-Quran

Hati yang hidup menggerakkan potensi diri seseorang. Hati yang mati membunuh segala bakat. Hati yang dihidupkan dengan Al-Quran, bersedia mematuhi perintah syarak.

"Sesungguhnya Al-Quran ini membimbing ke jalan yang lurus (benar)." [Surah Al-Isra': ayat 9]

Untuk menghidupkan hati dengan Al-Quran, patuhilah beberapa syarat:

1. Baca Al-Quran dengan tenang, khusyuk, dalam keadaan sunyi terutama tengah malam atau subuh.
"Sesungguhnya membaca Al-Quran pada waktu fajar (subuh) itu disaksikan malaikat." [Surah Al-Isra': ayat 78]
2. Baca Al-Quran dengan mengamati maknanya.
"Tidakkah mereka merenungi (tadabur) Al-Quran itu?" [Surah Muhammad: ayat 24]
Membaca cara begini akan membuka pintu hati seseorang untuk menerima kebenaran yang terkandung dalam Al-Quran.
3. Sentiasa bersedia untuk menerima kebenaran Al-Quran sebelum membaca atau mendengarnya.
Ini kerana kadangkala keinginan dunia (yang membawa kepada kegilaan) adalah tembok tebal yang menutup hati sehingga menyebabkan seseorang enggan menerima hidayah.
4. Realisasikan kehambaan (ubudiyyah) diri sewaktu membaca Al-Quran.
Perasaan ini dapat menimbulkan keazaman untuk merealisasikan segala ajaran Al-Quran dalam mencari keredhaan Allah SWT.
Wallahu'alam.
[Copyright Controlled]

February 16, 2006

Nilai Sekeping Hati

Daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah SWT tidak melihat kepada rupa dan hartamu, tetapi Allah SWT melihat kepada hati dan amalmu." [Riwayat Muslim]

Hati menurut ilmu perubatan adalah darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang letaknya di sebelah kiri dada.

Bagaimanapun Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.

Katanya, "Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kekotoran batin dan maksiat, padahal Allah SWT hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam Surah Asy-Syams, ayat 7 hingga 10."

Hati diibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua kegiatan.

Jika hati baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu. Jika sebaliknya, maka buruklah peribadi seseorang itu.

Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah SWT yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.

(Copyright Controlled)

Wallahu'alam.

February 09, 2006

Hati Yang Selalu Muda

Dari Abu Hurairah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai 2 perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda." [Riwayat Muslim]

Kehidupan akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain, apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.

Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat walaupun dalam usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari'.

Ingatlah bahawa manusia selalu diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tibanya 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.

Jika kita percaya akan kedatangan hari Kiamat dan kematian itu pasti tiba bila-bila masa, maka kita tidak akan menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.

Detik yang kita miliki hanyalah sekarang! Oleh itu, jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang teguh kepada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadah seolah-olah dia akan mati pada esok hari.

(Copyright Controlled)


Wallahu'alam.

January 04, 2006

Nilai Sekeping Hati

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu, tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu." [Riwayat Muslim]

Hati menurut ilmu perubatan darah hitam yang beku, mempunyai bentuk tersendiri yang terletak di sebelah kiri dada.

Bagaimanaupun, Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani.

Katanya, "Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh, sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan daripada kotoran batin dan maksiat, padahal Allah SWT hanya memandang hati mereka seperti firman-Nya dalam Surah Asy-Syams, ayat 7 hingga 10."

Hati diibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya.

Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua kegiatan. Jika hati baik, maka akan baiklah kelakuan seseorang itu. Jika sebaliknya, maka buruklah peribadi seseorang itu.

Sesungguhnya, hati adalah nilaian Allah SWT yang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.

Wallahu'alam.

December 31, 2005

Kaya Harta, Kaya Jiwa

Setiap kita mengimpikan kesenangan, hidup dalam limpahan harta dan kemewahan. Selalu juga kita menganggap bahawa kekayaan harta benda lebih bermakna dari kekayaan hati dan jiwa. Disebabkan itu, selalu kita terlajak dalam perbuatan kerana lebih mengejar kekayaan dunia melebihi kekayaan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Bukanlah kekayaan itu harta yang melimpah, akan tetapi kekayaan (yang sebenar-benarnya) ialah kaya jiwa". [Riwayat Bukhari]

Masih ingatkah kisah Qarun pada zaman Nabi Musa AS yang menjadi contoh manusia yang kufur dan angkuh dengan kekayaan yang dimilikinya?

Dia bakhil, juga boros pada perkara-perkara yang tidak kena tempat (perkara haram), sedangkan Allah SWT memerintahkan hamba-Nya bersederhana dalam membelanjakan harta di samping mengeluarkan zakat yang difardhukan.

Mendapat kekayaan tidak salah sama sekali.

Sesungguhnya kekayaan harta dan usaha untuk mendapatkan harta tidak menjadi halangan di dalam Islam, selagi seseorang itu berusaha dan bekerja dengan cara yang halal dan menunaikan tanggungjawabnya dengan sempurna.

Namun, mana yang lebih utama? Hidup mewah tetapi kosong jiwa atau hidup sederhana seadanya tetapi kaya jiwa? Tepuk dada, tanya selera.

Wallahu'alam.


Selamat Menyambut Tahun Baru 2006 buat semua teman-teman blogger yang dihormati. Semoga kehidupan kita sentiasa dilimpahi rahmat dan keredhaan-Nya, aminn.

March 23, 2005

Bersihkan Hati dari Riak

Kebersihan hati menentukan kesahihan ibadah seseorang. Di dalam konteks solat, menurut Imam Al-Ghazali, unsur-unsur ibadah hati yang ditekankan ada lima iaitu:

1. Kehadiran hati - hati tidak menerawang memikirkan perkara lain selain daripada solat.

2. Pemahaman - memahami segala perkataan yang dilafazkan ketika solat.

3. Pengagungan dan merasai kehebatan Allah SWT - rasa takut terhadap Allah SWT hasil daripada kefahaman berhubung keagungan dan kebesaran-Nya.

4. Harap - mengharapkan pahala dari Allah SWT kerana Dia lah sahaja tempat pergantungan bagi manusia.

5. Malu - berasa malu dengan ibadah yang telah dilakukan kerana pastinya terdapat kekurangan padanya.


Di dalam Ihya Ulumuddin diriwayatkan Saidina Ali r.a. berkata "Mereka yang suka menunjuk-nunjuk (riak) mempunyai tiga tanda iaitu:

i. Apabila bersendirian, malas beribadah. Kononnya tak ada orang yang hendak menaikkan semangat untuk beribadah. Sebaliknya apabila berada bersama-sama dengan orang ramai, dia menjadi rajin.

ii. Apabila dicaci, amal ibadahnya dikurangkan.

iii. Apabila dipuji, dia menambahkan amalannya.

Wallahu'alam.

March 21, 2005

9 Sebab Hati Tidak Bahagia

Hati tidak bahagia kerana adanya sifat-sifat mazmumah di dalam hati. Sifat-sifat inilah yang akan menghilangkan bahagia di dalam hati manusia. Antara sifat-sifat itu ialah:

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hatinya tentu tidak tenang. Sukar mendapat kawan kerana kita sukar didekati dan asyik 'moody'. Kawan-kawan hendak menegur pun serba salah. Takut ditempelak atau tidak mahu menyakitkan hati sendiri.

2. Pendendam - sifat ini tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sengaja menyakitkan hati atau mengutuk orang yang didendami itu. Selain tidak baik, orang yang pendendam juga mudah terkena sakit jantung. Di dalam hatinya sentiasa tersimpan dendam kesumat dan sukar dijangkakan bila dia akan melepaskan dendamnya itu.

3. Hasad Dengki - semua amalannya akan hangus dan sia-sia akibat hasad dengkinya itu. Orang seperti ini tidak boleh melihat orang lain memiliki sesuatu yang lebih daripada apa yang dia miliki. Ada sahaja perbuatan yang akan dilakukannya untuk menidakkan kelebihan orang lain.

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dan lain-lain daripada dirinya. Contohnya, sentiasa berdalih mengatakan dia tiada duit apabila diminta menghulurkan derma atau sumbangan. Sengaja membiarkan orang lain kelaparan sedangkan dirinya mewah dengan rezeki. Ingatlah, Allah SWT lebih sayang kepada orang yang fasiq tetapi pemurah dan benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain.

5. Tamak - orang yang tidak pernah puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak kerana dunia ini ibarat meminum air laut. Walau berapa banyak yang diminum tetapi tetap tidak habis. Bukankah pepatah ada mengatakan "Orang tamak selalu rugi", "Macam anjing dengan bayang-bayang". Perlu diketahui yang dikatakan harta atau rezeki kita ialah apabila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. Mungkin ada hak orang lain di situ. Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan dari Yang Esa.

6. Tidak Sabar - andainya perkara yang kecilpun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. Selalulah bersabar ketika berhadapan dengan pelbagai dugaan. Mungkin Allah SWT sedang menguji kita. Ingatlah Allah SWT akan sentiasa bersama mereka yang sabar dan berhati mulia. Walaupun banyak kerja yang diberikan kepada kita namun bersabarlah dan anggap itu sebagai cabaran untuk memajukan lagi diri kita dalam kerjaya.

7. Ego - ego adalah ibu segala mazmumah. Perasaan ego apabila menguasai diri manusia, ia akan membuatkan seseorang itu paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar atau dicabar dari sudut zahir mahupun batin. Perbuatan ego ini boleh merosakkan diri sendiri. Selagi ego beraja di hati selagi itulah hatinya tidak akan bahagia.

8. Riak - Perasaan ini hanya akan membuatkan diri terseksa kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakon dan berbuat baik di hadapan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah SWT paling tidak suka akan sifat riak, takbur dan bangga diri ini.

9. Cinta Dunia - inilah yang selalu dikejar oleh manusia. Cinta Dunia. Memiliki harta memang penting untuk melangsungkan kehidupan dalam dunia ini. Tetapi sifat terlalu mementingkan harta dunia seolah-olah hidup akan menongkat langit sangat dibenci oleh Allah SWT. Mereka yang tidak mendapat harta akan menderita. Namun mereka yang mendapat hartapun akan menderita juga kerana susah pula hendak menjaganya. Berhartalah sekadarnya dan bantulah mereka yang memerlukan. Kawallah hati agar tidak berkiblatkan harta duniawi semata-mata.

Wallahu'alam.