Showing posts with label syurga. Show all posts
Showing posts with label syurga. Show all posts

November 20, 2006

Syurga

Syurga adalah tempat kediaman abadi bagi hamba-hamba Allah yang mukmin. Di dalamnya terdapat pelbagai nikmat zahir dan batin.

Nikmat yang paling besar di dalam Syurga adalah dapat melihat Allah yang tidak ada suatupun yang menyerupai-Nya.

"Dan orang-orang yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah ahli syurga. Mereka kekal di dalamnya." [Surah Al-Baqarah: 82]

"Aku (Allah) telah menyediakan bagi hamba-hambaKu yang soleh nikmat yang belum pernah dilihat oleh mata, belum terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di dalam hati manusia." [Hadis Qudsi: Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

Tingkat dan nama-nama Syurga:

1. Syurga Firdaus
2. Syurga 'Adn
3. Syurga Na'iim
4. Syurga Ma'wa
5. Syurga Darussalam
6. Syurga Darul Muqamah
7. Syurga Al-Maqamul Amin
8. Syurga Khuldi


Malaikat yang menjaga Syurga ialah Malaikat Ridhwan AS.

"Ahli syurga masuk ke dalam syurga dan ahli neraka masuk ke dalam neraka. Kemudian Allah menyeru (kepada malaikat penjaga neraka): "Keluarkanlah setiap orang yang ada di dalam hatinya terdapat seberat biji sawi dari keimanan". Mereka (orang-orang mukmin) itu lalu keluar dari neraka dan tubuh mereka sudah hangus dan berwarna hitam. Lalu mereka dimasukkan ke dalam sungai 'Hayat' (sungai kehidupan), maka tumbuhlah badan mereka (menjadi manusia yang baik dan sempurna) sebagaimana tumbuhnya biji yang terbawa banjir. Tidakkah engkau lihat biji itu kemudiannya tumbuh kering lagi membelok-belok."

[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

"Akan keluar dari neraka, setiap orang yang mengucapkan 'La Ilaaha Illallah' dan di dalam hatinya ada kebaikan sebesar kacang. Dan akan keluar dari neraka orang yang pernah mengucapkan 'La Ilaaha Illallah' dan di dalam hatinya terdapat kebaikan sebesar gandum. Juga akan keluar dari neraka orang yang mengucapkan 'La Ilaaha Illallah' dan di dalam hatinya terdapat kebaikan sebesar debu."

[Riwayat Imam Bukhari dan Muslim]

"Akan keluar dari neraka satu golongan dengan syafaat Nabi Muhammad SAW, lalu mereka masuk ke dalam syurga dan mendapat gelaran 'Jahannamiyyiin' ertinya bekas orang-orang yang dihukum di neraka Jahannam."

[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Wallahu a'lam.

[Sumber: Panduan Fardhu Ain Lengkap oleh Abu Al-Baqir Al-Burhami Al-Fathani]

November 17, 2006

Tingkat Syurga

Nabi Ibrahim AS pernah berpesan kepada Nabi Muhammad SAW pada saat perjumpaan keduanya di malam Mikraj:

"Hai Muhammad, sampaikan salamku untuk umatmu dan ceritakan kepada mereka bahwa syurga bertanahkan wangi-wangian, airnya terasa segar dan tanaman-tanamannya adalah "Subhanallah", "Alhamdulillah" dan "La Ilaaha Illallah".

Syurga ibaratnya, tidak ada mata yang pernah melihatnya dan tidak ada telinga yang pernah mendengarnya, bahkan tidak sedetikpun bisa terbersit dalam hati manusia, dari sesuatu yang maha sempurna. Kerana itulah kebahagiaan yang hakiki.

Tingkat syurga terendah adalah perumpamaan seseorang yang berkesempatan menikmati kampung halamannya, melihat isterinya, sanak saudaranya dengan penuh kebahagiaan selama seribu tahun. Dan tingkat tertinggi syurga adalah melihat Allah siang dan malam. Muka-muka mereka pada hari itu berseri kerana melihat Tuhan mereka. [H.R. Tirmizi]

Siapakah tetamu-tetamu yang berhak mendapat jamuan syurga ketika bertemu Allah nanti?

Mereka adalah orang-orang yang telah dijelaskan oleh Al-Qur'an dalam Surah Ali-Imran, ayat 133-135 sebagai berikut:

1. Orang-orang yang bertaqwa iaitu mereka yang takut kepada Allah, dengan menjalankan semua perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

2. Orang-orang yang menyedekahkan hartanya sesuai dengan anjuran agama, baik ianya zakat, sedekah mahupun infak, baik dalam keadaan sulit mahupun mudah. Ketika mereka banyak rezeki, tidak mencerminkan orang yang cinta harta. Bahkan ketika mereka dalam kesulitan, sama sekali tidak mencerminkan keperitan atau kebakhilan.

3. Mereka yang bisa menahan amarah dan tidak berbuat aniaya.

4. Mereka yang pemaaf dan yang [demi kebaikan] selalu memaafkan orang yang pernah menganiayainya dan memusuhinya.

5. Mereka yang ketika melakukan perbuatan tercela, segera ingat kepada Allah dan meminta keampunan-Nya atas dosa-dosa yang dilakukannya.

6. Mereka yang tidak suka berlarut-larut dalam kesalahan dan perbuatan dosa.

Dalam Surah Al-Mu'minun, ayat 1-11 juga dijelaskan sifat-sifat penghuni syurga, sebagai berikut:

7. Orang-orang yang beriman dengan rukun-rukun iman, iaitu beriman kepada Allah, malaikat-malaikat Allah, kitab-kitab Allah, nabi-nabi Allah, hari akhir dan ketentuan dan keputusan Allah. Mereka beriman dengan lisan, hati dan perbuatan mereka.

8. Mereka yang mendirikan solat mereka dengan khusyuk.

9. Mereka yang meninggalkan hal-hal yang tidak berguna, dan yang memanfaatkan waktu mereka untuk tindakan-tindakan yang bermanfaat.

10. Mereka yang membayar zakat, baik zakat harta mahupun zakat fitrah.

11. Mereka yang menjaga alat kelamin mereka dari perbuatan zina dan pelanggaran seksual yang dilarang agama.

12. Mereka yang sentiasa memenuhi amanah dan janji-janji mereka.

13. Mereka yang sentiasa menjaga solat-solat mereka.

Wallahu a'lam.

June 23, 2006

Bidadari Syurga

Bidadari merupakan salah satu anugerah Allah SWT kepada seorang lelaki yang memasuki syurga.

Bagi seorang wanita yang solehah, maka bidadari bagi suaminya adalah di kalangan bidadari-bidadari kurniaan Allah SWT dan dia (isteri solehah) merupakan ketua akan segala bidadari-bidadari tersebut.

Berjihad pada agama Allah merupakan satu amalan yang menjadi kesukaan Allah SWT dan ini merupakan sunnah Nabi SAW juga di kalangan sahabat-sahabat.

Al-kisahnya, Ainul Mardhiah merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain.

Suatu pagi (dalam bulan puasa) ketika Nabi SAW memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan sahabat untuk berjihad pada agama Allah), kata baginda sesiapa yang keluar di jalan Allah tiba-tiba ia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari Syurga.

Mendengar berita itu, seorang sahabat yang usianya sangat muda teringin sangat nak tahu bagaimana cantiknya bidadari tersebut. Tetapi dia malu nak bertanyakan kepada Nabi SAW kerana malu pada sahabat-sahabat yang lain.

Namun dia tetap memberi nama sebagai salah seorang yang akan keluar/pergi berjihad. Sebelum Zohor, Nabi SAW akan tidur sebentar (dipanggil khailulah), maka sahabat yang muda tadi juga turut bersama jemaah tidur bersama-sama.

Semasa tidur, dia bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah dan bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian bersih lagi cantik serta muka yang berseri-seri.

Lalu dia bertanya, di manakah dia berada.

Lelaki itu menjawab, "Inilah Syurga."

Lantas dia menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Ainul Mardhiah. Lalu ditunjuk oleh lelaki itu ke suatu arah. Maka berjalanlah dia menuju ke arah itu.

Sampai di suatu pepohon, beliau mendapati ada seorang wanita yang tak pernah dia melihat kecantikan sebegitu. Juga tak pernah dilihat di dunia ini.

Lalu diberi salam dan dia bertanya, "Andakah Ainul Mardhiah?"

Wanita itu menjawab, "Ehh tidakk. Saya khadamnya. Ainul Mardhiah ada di dalam singgahsana sana."

Lalu dia berjalan dan memasuki satu mahligai yang cukup indah dan mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-permata perhiasan di dalam mahligai.

Lantas dia memberi salam dan bertanya lagi, "Adakah anda Ainul Mardiah?"

Lalu wanita itu menjawab, "Eh tidakkk. Saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana."

Lalu dinaikinya anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikannya sungguh mengkagumkan.

Lalu dia sampai ke satu mahligai dan mendapati seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua dan tak pernah dia lihat di dunia.

Lantas wanita itu berkata, "Akulah Ainul Mardhiah. Aku diciptakan untuk kamu dan kamu diciptakan untuk aku."

Pabila lelaki itu mendekatinya, wanita itu berkata "Nantiii kamu belum syahid lagiiii......"

Pemuda itu pun tersentak lantas terjaga dari tidurnya. Lalu dia menceritakan tentang mimpinya itu kepada satu sahabat lain. Namun begitu, dia berpesan agar sahabat itu tidak menceritakannya kepada Nabi SAW melainkan sekiranya dia syahid.

Petang itu, pemuda itu bersama-sama dengan jemaah beserta Nabi SAW telah keluar berperang lalu ditakdirkan pemuda tadi telah syahid.

Petang tersebut ketika semua jemaah telah pulang ke masjid, di waktu hendak berbuka puasa, maka mereka telah menunggu makanan untuk berbuka. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan mendekati Nabi SAW lantas menceritakan perihal mimpi sahabat yang syahid tadi.

Sewaktu dia bercerita, Nabi SAW berkata benar, benar, benar di sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya Nabi SAW berkata memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di Syurga. Subhanallah.

Wallahu a'lam.