Showing posts with label sujud. Show all posts
Showing posts with label sujud. Show all posts

June 22, 2006

Doa Sewaktu Bersujud & Keistimewaannya

Sewaktu bersujud, kita berada amat hampir dengan Allah SWT. Katakanlah apa sahaja di dalam hati hajat kita sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah SAW yang biasa memanjangkan sujudnya dengan memperbanyakkan zikir dan doa di dalamnya.

Sabda Rasulullah SAW : "Suasana yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah di kala ia bersujud kerana itu hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Banyak doa yang diamalkan oleh Rasulullah SAW untuk kita ikuti. Salah satunya yang paling baik untuk diamalkan ialah doa yang dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat.

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, imam yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Semoga dengan mengamalkan doa itu kita mendapat manfaat atau sekurang-kurangnya menjadi cita-cita kita dalam mencari keredhaan Allah SWT dunia dan akhirat.

Banyak kelebihan memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya. Rasulullah SAW biasa berbuat begitu sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Keistimewaan umatnya yang bersujud telah disebut oleh baginda dalam sabdanya yang bermaksud : "Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat."

Mendengar itu para sahabat bertanya : "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab baginda : "Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat menjawab : "Bahkan !"

Rasulullah menyambung : "Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berseri-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka ( terutama anggota wudhu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' !!!"

KEISTIMEWAANNYA

Ahli neraka juga mendapat keselamatan kerana bekas sujudnya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah menegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud."

Begitulah Allah SWT memuliakan hambaNya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

Wallahu a'lam.

February 25, 2005

17 Kebaikan Sujud

1. Membetulkan kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit daripada tempat asalnya.

2. Membetulkan pundi peranakan yang jatuh.

3. Melegakan sakit hernia.

4. Mengurangkan sakit sengugut ketika haid.

5. Melegakan paru-paru daripada ketegangan.

6. Mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.

7. Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang tubuh.

8. Meringankan bahagian pelvis.

9. Memberi dorongan supaya mudah tidur.

10. Menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung ketika akan sujud dan bangun daripada sujud. Pergerakan otot ini akan menjadikan ototnya lebih kuat dan elastik secara semulajadi dan ia juga akan memastikan kelancaran perjalanan darah.

11. Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik dan mudah berfungsi untuk menyusukan bayi serta terhindar daripada sakit buah dada.

12. Sujud juga mampu mengurangkan kegemukan.

13. Pergerakan bahagian otot sewaktu sujud juga boleh memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut (convulsions).

14. Organ terpenting iaitu otak kita juga akan menerima banyak bekalan darah dan oksigen.

15. Mengelakkan pendarahan otak jika tiba-tiba menerima pengepaman darah ke otak secara kuat dan mengejut serta terhindar dari penyakit salur darah dsb.

16. Dari segi psikologi, sujud membuatkan kita merasa rendah diri di hadapan Yang Maha Pencipta sekaligus mengikis sifat sombong, riak, takbur dsb.

17. Dari sudut perubatan, kesan sujud yang lama akan menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran sekaligus menguatkan mentaliti seseorang.

Wallahu'alam.