Showing posts with label keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label keibubapaan. Show all posts

April 21, 2006

Mendidik Anak cara 'Sichida'

Artikel ini saya copy dari website Fauzynm (credits to him).

Kaedahnya sangat berguna untuk dipraktikkan sewaktu mendidik anak-anak, insya-Allah.

Assalamualaikum. Ini ada sedikit panduan untuk mendidik anak yang diberi oleh kawan saya. Moga-moga kita akan mendapat manfaat daripada pengalaman beliau. Wassalam.

Beberapa minggu lepas, boss saya ada memberitahu bahawa dia menghantar anak dia yang baru berusia 2 tahun belajar kat kelas Sichida. Kelas Sichida ini diuruskan oleh orang Jepun untuk melatih anak-anak berfikir menggunakan otak sebelah kanan. Otak sebelah kanan ni lebih efektif sebenarnya dari otak sebelah kiri, tetapi perlu dilatih penggunaannya.

Kelas ni teramatlah mahal kosnya.Kalau kelas tadika Juanna yang saya nak masukkan tahun depan tu kosnya lebih tinggi dari kos kita belajar 1 semester kat UiTM. Kos belajar 1 semestar kat Kelas Sichida ni pula rasanya sama banyak dengan kos 1 semestar buat Master.

Tapi atas inisiatif beliau yang menyedari bahawa ramai sangat orang cina yang menghantar anak-anak mereka belajar kat kelas tu, sedangkan orang Melayu cuma setengah kerat aje, maka beliau secara ikhlas bersetuju untuk mengajar saya dan staff melayu yg lain.

Saya juga nak kalian praktikkan kaedah ini kepada anak-anak kalian. Sebab walau pun baru seminggu sahaja saya buat kat anak saya tapi dah mula nampak keberkesanannya.

1. Sewaktu anak nak tidur @ tidur-tidur ayam.

Cakap kat dia sepenuh hati dan sejujurnya yang kita sayang kat dia, dia budak baik, dia anak soleh, dia budak kuat, tak sakit, dia budak pandai dsb. Sebab ketika tidur-tidur ayam, otak kanan sedang bekerja sedangkan otak kiri dah lena.

Boleh gak dipraktikkan kat suami, tapi perlu dibuat dengan ikhlas. Jangan buat ketika tengah marah. Kalau anak anda dah lena, ramas-ramaslah @ picit dengan lembut tangannya agar dia kembali berada dalam keadaan tidur-tidur ayam.

Saya buat kat anak saya Nana sebab dahlah dia sentiasa lewat bangun pagi, pastu siap melalak-lalak lagi. Saya cakap hari-hari kat dia; dia budak baik, dia suka pergi sekolah, dia budak sihat, dia suka bangun awal. Sekarang jam 6.30 pagi, dia dah bangun kecuali hari Sabtu dan Ahad.

2. Start guna Flash Card untuk mengajar anak.

Saya ajar Nana ABC-Z guna card seminggu je. Sekarang dah kenal semua huruf. Siap boleh eja perkataan pendek-pendek. Buat card banyak-banyak dan tunjuk kat dia secara laju / cepat. Macam.. a... b.. c.. d.. e, insya-Allah dia cepat tangkap sebab bila kita tunjuk kad secara laju / cepat, otak kanan dia akan bekerja keras untuk menangkap benda yang kita tunjuk tu.

Kita boleh buat card 1,2,3, gambar dll. Potonglah gambar kat mana-mana majalah, suratkhabar dsb. Sebaiknya, guna bahasa English.

3. Gerak kerja tangan adalah hasil dari otak kanan.

Jadi, ajar anak anda main tanah liat, main water colour, melukis, gunting kertas, origami dsbnya. Memanglah kita yang kena mengemas tapi takpe. Lagi satu, cuba anda lukis gambar. Cth : rama-rama, tapi lukis sebelah sahaja dan suruh dia sambung lukis ikut apa yg anda lukis tu kat sebelah lagi. Ini pun dapat mengaktifkan penggunaan otak kanan.

Kalian tahu tak kenapa orang cina dan jepun pandai-pandai? Sebab mereka makan menggunakan chopstik. Chopstik tu mengaktifkan kerja tangan dan juga menggerakkan otak kanan.

4. Jangan marah-marah atau tengking anak!

Sebab dia boleh simpan kesemuanya dalam otak kiri. Kalau termarah tanpa sengaja, pergi balik ke cara no 1 tadi dan minta maaf kat dia.

5. Develop their imagination.

Kita mulakan dengan bercerita kat dia dan kemudian minta dia sambung cerita tu. Walaupun cerita tu mungkin merapu, tapi takpe. Kitapun bukannya tak biasa merapu, betul tak.

6. Main teka-teki.

Letak satu barang dalam kotak tisu dan suruh dia teka apa benda tu. First few times, bolehlah bagi dia hints dulu. Cth : bagi tau warna, bunyi dsb. Lama-kelamaan dia akan develop his/her 6 Sense. By concentrating, dia boleh teka apa benda dalam kotak tisu tu. Ni semua untuk aktifkan otak sebelah kanan.

Tapi ingat, semua ‘game’ yang kalian bercadang nak buat tu hanya boleh dibuat selama ½ jam sahaja dalam sehari. Jangan amik masa lama. Sebelum membuatnya, tarik nafas dalam-dalam dan releks (santai / tenang).

Jangan buat kaedah ini sewaktu tengah sibuk nak memasak, membasuh kain, menonton TV dsb. Nanti tak berhasil. Buatlah dengan ikhlas dan merendah diri. Kita kena berusaha dan sekiranya ia berhasil, kita kenalah bersyukur ke hadrat-Nya. Sebab kalau anak kita pandai, ia adalah kerana dengan izin-Nya jua.

Wallahu a'lam.

February 28, 2006

Children Learn What They Live

If children live with criticism
The learn to condemn

If children live with hostility
They learn to fight

If children live with ridicule
They learn to be shy

If children live with shame
They learn to feel guilty

If children live with tolerance
They learn to be patient

If children live with encouragement
They learn confidence

If children live with praise
They learn to appreciate

If children live with fairness
They learn justice

If children live with security
They learn to have faith

If children live with approval
They learn to like themselves

If children live with acceptance and friendship
They learn to find love in the world


[A nice poem by: Dorothy Law Nolte]

December 20, 2005

Panduan Dapatkan Anak Soleh

Untuk menjadikan anak soleh, disiplinkan diri supaya menjadi contoh dalam melakukan ibadah kepada Allah SWT. Ajak anak-anak mengaji Al-Quran selepas solat (terutama malam), berbakti kepada orang tua (kerana anak-anak akan mengikut), doakan mereka serta berdoa :

"Tuhan kami, kurniakanlah kami pasangan dan zuriat yang menjadi penyejuk mata dan jadikanlah kami pemimpin kepada orang yang bertaqwa".

"Tuhanku, jadikanlah aku dan zuriatku sebagai orang yang sentiasa mendirikan solat".

Wallahu'alam.

November 04, 2005

Rangsang Kecerdasan Minda

Ibu bapa hendaklah sentiasa berusaha merangsang minda dan pemikiran anak-anak. Allah SWT menjadikan semua anak kita dengan anugerah tertinggi iaitu otak dan akal yang sama dan setara bagi semua manusia.

Kaedah untuk merangsang minda anak-anak ini amat penting kerana ianya akan mendatangkan kesan-kesan positif kepada anak-anak kita nanti.


Kaedah Merangsang Kecerdasan Minda Anak-Anak

1. Dedahkan anak-anak dengan input yang pelbagai.

2. Tanamkan motivasi yang tinggi dalam diri anak-anak.

3. Beri didikan agama yang intensif dan lengkap. Telah terbukti bahawa anak-anak di peringkat sekolah rendah yang berusia sekitar 7 - 10 tahun yang mempunyai pencapaian yang cemerlang, mampu untuk menghafal Al-Quran sebanyak 1 juzuk dalam masa 1 - 2 bulan di samping kerja harian seperti pelajar lain.

4. Gambarkan kehebatan dan kekuasaan Allah SWT.

5. Beri tugasan yang mencabar.

6. Beri contoh teladan yang mudah diikuti atau dicapai oleh anak-anak.

7. Jangan terlalu menyuapkan bahan-bahan ke minda anak-anak. Galakkan mereka mencari sendiri.

8. Ibu bapa perlu menceritakan pengalaman positif mereka yang lalu untuk dicontohi.

9. Apabila berbual dengan anak-anak, tinggalkan persoalan untuk anak-anak mencari sendiri jawapannya.

10. Selalu gambarkan perkara abstrak yang mungkin menjadi cita-cita atau wawasan bersama keluarga pada masa akan datang.

11. Agihkan sebahagian daripada tugas ibu bapa yang mudah-mudah kepada anak-anak.

12. Rangsang anak-anak dengan teknik berfikir, teknik belajar dan teknik bersoal-jawab dengan betul.


Merangsang Minda Dari Segi Fizikal
  • Pastikan anak-anak diberi pemakanan yang seimbang, berzat dan berkhasiat. Realitinya, orang kita kurang memberi penekanan terhadap pemakanan yang sebenarnya.
  • Beri kemudahan untuk anak-anak mendapat makanan tambahan (food supplement) seperti vitamin, kismis, susu, buah tamar, air kacang soya dan sebagainya,
  • Pastikan anak-anak diberi makanan yang bersih, halal dan tidak syubhat dari segi penyediaan dan juga dari segi sumber pendapatan ibu bapa.
  • Pastikan anak-anak mendapat riadah ringan setiap hari. Riadah yang cergas akan menyebabkan darah mengalir dengan efisyen ke otak. Darah akan membawa oksigen yang sangat diperlukan oleh otak untuk menghasilkan minda yang cemerlang.

Makanan Tambahan Untuk Merangsang Minda Anak-Anak
  • Vitamin
  • Kismis
  • Susu
  • Air Kacang Soya
  • Kurma
Wallahu'alam.

November 02, 2005

Berdialog

Ibu bapa hendaklah memberi peluang kepada anak-anak untuk berdialog dengan mereka.

Ibu bapa hendaklah menjawab apa yang ditanya sebaik mungkin. Jangan memotong percakapan anak-anak sebelum mereka habis menyuarakannya.

Sesi dialog lazimnya melibatkan dua orang. Jika lebih ramai terlibat, maka majlis bertukar menjadi sesi muzakarah atau perbincangan.

Bagaimanapun, untuk menghidupkan sesi dialog ini perlulah dengan cara yang berhikmah dan penuh kasih sayang. Kaedah ini merupakan kaedah yang amat penting untuk merangsang anak-anak kita yang sememangnya cemerlang.

Kepentingan Ibu Bapa Berdialog Bersama Anak-Anak
  • Anak-anak ada hak untuk memberi pendapat atau pandangan di dalam sesuatu hal.
  • Anak-anak boleh bertanya apa-apa yang mereka musykilkan.
  • Anak-anak boleh menjawab apa yang ditanya oleh ibu bapa jika diminta menjawab.
  • Anak-anak boleh menyuarakan hasrat atau kehendaknya.
  • Anak-anak dapat meluahkan masalahnya.
Tujuan Berdialog Dengan Anak-Anak
  • Untuk mencari atau menjelaskan kebenaran.
  • Untuk menggerakkan minda anak-anak.
  • Menggerakkan kemahiran berfikir di kalangan anak-anak.
  • Untuk anak-anak mendapat maklumat.
  • Mengeratkan hubungan ibu bapa dengan anak-anak.
  • Menimbulkan keyakinan diri anak-anak.
  • Melatih anak-anak cekap berhujah.
Adab-Adab Berdialog Dengan Anak-Anak
  • Kedua-dua pihak tidak boleh meninggikan suara.
  • Jangan keluar dari tajuk perbahasan/perbincangan.
  • Jangan sindir-menyindir di antara kedua-dua belah pihak.
  • Ibu bapa jangan menunjuk jari ke muka, menunjukkan simbol pergaduhan seperti genggaman penumbuk atau mengenakan tindakan fizikal atau deraan seperti memukul, mencubit dan sebagainya.
  • Hadkan masa, jangan meleret-leret.
Jika adab-adab di atas tidak dapat kedua-dua belah patuhi, maka jangan mulakan sesi dialog langsung.
Wallahu'alam.

August 05, 2005

Menjana Keyakinan Diri Anak-Anak

Ibu bapa hendaklah berusaha meningkatkan kemahuan, keyakinan diri dan kekentalan jiwa anak-anak melalui teknik berikut:

a. Belajar Menyimpan Rahsia - Seandainya anak-anak pandai menyimpan rahsia sejak kecil lagi, maka mereka sebenarnya telah membentuk kekentalan dalam jiwa dan akhirnya menghasilkan keyakinan dalam dirinya.

b. Berpuasa Sunat - Latih anak berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Syarat utama untuk latihan ini ialah ibu atau bapa atau kedua-duanya sekali hendaklah sama-sama bangun untuk makan sahur dengan anak-anak.

Didik anak-anak bahawa puasa baik untuk kesihatan tubuh badan dan otak. Puasa juga menginsafkan kita terhadap umat Islam yang kurang bernasib baik di merata tempat di dunia ini seperti di Palestin, Iraq, Afghanistan, Chechnya, Sudan dan di Afrika.

Berpuasa adalah ibadah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila melihat seseorang, kita tidak tahu samada dia berpuasa atau tidak. Orang yang engkar boleh mencuri makan dan minum dan berpura-pura puasa selepas itu.

Sebab itu dari latihan berpuasa akan terbentuk keikhlasan. Keikhlasan akan membentuk keyakinan diri kerana seseorang itu tahu kekuatan dirinya yang menyebabkan dia mampu berpuasa terutama bagi puasa sunat.

Di rumah, jadikan waktu berbuka puasa satu majlis yang ceria dengan juadah yang istimewa yang akan menyebabkan anak-anak tertunggu-tunggu untuk berpuasa sunat pula pada minggu berikutnya.

c. Didik Kemahiran Sosial - Mendidik anak di dalam kemahiran sosial paling penting membantu mereka membentuk keyakinan diri.

d. Rajin Membaca - Latih anak-anak supaya sentiasa ada buku di tangan walau di mana jua mereka berada; seperti waktu rehat di rumah, di dalam kereta, sementara menunggu bas sekolah datang, waktu pulang ke kampung nenek dan waktu berkelah di tepi pantai.

Ibu bapa hendaklah mengawasi bahan bacaan anak-anak. Kenalkan mereka kepada buku atau majalah yang bermaklumat dan berpengetahuan. Cuba elakkan majalah yang berunsur hiburan semata-mata. Majalah hiburan selalunya mendedahkan pemikiran, budaya dan cara hidup yang tidak sihat.

Untuk menarik minat anak-anak membaca, ibu bapa boleh menceritakan sesuatu perkara yang sangat disukai oleh anak tersebut dan beritahu bahawa ibu bapa mengetahui cerita tersebut dari majalah atau buku tertentu. Anak-anak pasti gembira untuk mengetahui sambungan cerita selanjutnya.

Kajian mendapati bahawa kaedah yang paling mujarab untuk menggalakkan anak-anak membaca ialah dengan ibu bapa sentiasa ada sebuah buku di tangan!

e. Luaskan Pengetahuan - Anak-anak hendaklah dilatih meluaskan pengetahuan melalui pelbagai sumber. Di antaranya ialah:
  • Membaca akhbar harian
  • Menonton berita perdana dan berita dunia di tv
  • Menonton dokumentari di tv
  • Melanggan majalah pengetahuan bulanan dalam/luar negara
  • Membaca sumber-sumber di dalam bahasa Inggeris
  • Mendapatkan maklumat dan pengetahuan dari internet
  • Membeli video dokumentari
  • Menulis surat kepada sahabat pena di luar negara
  • Berchatting yang bermanfaat
  • Suka berkomunikasi dengan pelancong
f. Ajar Anak Berniaga - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "90% punca rezeki datang dari perniagaan".
Bangsa yang bertamadun tinggi di dunia menjalankan perniagaan. Mereka berniaga bukan sahaja sesama mereka malah merentasi benua dan lautan. Ada bangsa yang menakluki dunia dengan perniagaan. Malah tamadun manusia berkembang melalui perniagaan.
Di zaman moden hari ini pun, kuasa besar dunia menakluki minda rakyat dan tanah air negara-negara kecil di dalam rangkaian dunia ketiga juga melalui perniagaan.
Rasulullah SAW juga seorang ahli perniagaan sebelum dilantik menjadi Rasul. Baginda memperdagangkan barangan Sayidatina Khadijah serta mendapat keuntungan besar serta berlipat ganda.
Kepintaran dan kejujuran Rasulullah SAW ini telah menarik perhatian Khadijah hingga membuahkan bibit cinta lalu dia menghantar wakil untuk meminang baginda menjadi suaminya.
Maka seharusnya kita ajar anak-anak kita berniaga sedari kecil. Berniaga mendidik hati untuk yakin kepada kekuasaan Allah SWT. Orang berniaga banyak bergantung harap kepada Allah SWT kerana punca rezeki mereka tidak menentu.
Di zaman moden dunia hari ini, ilmu perniagaan sudah boleh dipelajari dari kursus-kursus di kolej dan universiti, dalam dan luar negara. Bagaimanapun, latihan berniaga harus menjadi darah daging anak-anak kita sepertimana menjadi darah daging sesetengah bangsa di dunia seperti bangsa Cina.
Jadi, pilihan terbaik kita ialah melatih anak-anak berniaga sejak kecil terutama pada masa-masa lapang mereka, cuti hujung minggu atau ketika cuti sekolah. Berniagalah apa sahaja barangan yang bermanfaat. Pastikan lokasi perniagaan yang strategik supaya perniagaan itu berdaya maju.
Berniaga juga akan melatih anak-anak supaya cekap dan amanah. Cekap dalam ertikata menguruskan barangan perniagaan dan perhitungan untung rugi. Amanah pula merujuk kepada barangan dan wang ringgit yang diuruskan. Sifat amanah Rasulullah SAW lah yang telah menjadikan perniagaan baginda berjaya dan mengaut keuntungan yang besar.
Anak-anak juga harus diingatkan bahawa perniagaan juga boleh menjerumuskan manusia kepada risiko hutang dan kerugian jika tidak cekap dan tidak amanah.
g. Dengar Pandangan Anak-Anak - Apabila anak-anak cuba mengutarakan pandangan dan pendapatnya, dengarlah dengan bersungguh-sungguh. Berhentilah dari melakukan sebarang perbuatan ketika mendengar pandangan mereka.
Lihat tepat ke muka atau ke dalam mata mereka. Beri sokongan terhadap pendapat yang cuba diutarakan dengan memberi reaksi positif dan riak muka yang meyakinkan. Bantu menguatkan hujah mereka apabila mereka tersekat di dalam mengeluarkan idea.
Jangan pandang rendah kemampuan dan pendapat mereka terutama bagi anak yang kian meningkat remaja atau dewasa. Apabila pandangan mereka dihargai, mereka akan merasa diri mereka lebih yakin.
Sebaliknya, jika ada pandangan anak-anak yang menyalahi kebenaran; tegurlah dengan baik dan berhemah supaya mereka boleh mengubah pandangan dan pendirian mereka terhadap sesuatu perkara itu.
Jangan sekali-kali bertengkar dengan anak-anak, ataupun bertegang urat dengan mereka kerana banyak kesan negatif yang akan timbul.
Kesan Bertengkar Dengan Anak-Anak:
  • Anak akan hilang rasa hormat pada ibu bapa
  • Mereka mula tidak yakin dengan kemampuan diri mereka sendiri
  • Anak-anak akan rasa rendah diri
  • Mereka berasa tidak dihargai
  • Timbul rasa kebencian di antara kedua belah pihak
h. Didik Anak Membuat Keputusan - Anak-anak hendaklah dididik untuk pandai membuat keputusan sendiri. Jangan mengharapkan orang lain menentukan peraturan dan perjalanan hidup mereka hingga dewasa.
Mungkin ketika kecil, ibu dan bapa boleh membantu mereka membuat keputusan. Tetapi, tidak untuk selama-lamanya. Apabila dewasa, mereka harus berdikari.
Anak yang terlalu bergantung kepada ibu dan bapanya untuk membuat keputusan, sering memandang muka ibu atau bapanya apabila terpaksa membuat keputusan. Ketika itu, ibu atau bapa hendaklah menghalakan pandangan ke tempat lain. Latih anak itu untuk membuat keputusan sendiri.
i. Pandai Menyelesaikan Masalah - Anak-anak hendaklah dididik menyelesaikan masalah terutama masalah peribadinya. Untuk bijak menyelesaikan masalah peribadi, anak-anak hendaklah dididik mengatur kehidupan harian dengan sempurna. Apabila kehidupan teratur, masalah akan berkurangan. Masalah peribadi tidak wajar dibebankan kepada orang lain.
Anak yang telah terdidik bijak mengatasi masalah peribadi akan mampu menolong menyelesaikan masalah orang lain seperti kawan-kawan atau adik-beradiknya.
Di satu tahap yang lebih tinggi, anak itu akan mempunyai inisiatif sendiri untuk membantu menyelesaikan masalah keluarga, orang ramai, masyarakat atau masalah ummah.
Kemahiran menyelesaikan masalah ini akan dapat menjana keyakinan diri seseorang anak dengan cemerlang.
j. Minta Nasihat Dari Anak-Anak - Apa salahnya jika ibu atau bapa meminta nasihat anak-anak terutama daripada anak yang telah dewasa dan matang?
Rasional Ibu Bapa Meminta Nasihat Daripada Anak-Anak:
  • Melatih anak-anak supaya mempunyai keyakinan diri lebih awal dan lebih mantap
  • Anak mungkin mempunyai kepakaran/kemahiran tertentu
  • Anak mungkin ada sudut pandangan berbeza yang tidak terjangkau oleh ibu bapa
  • Anak-anak juga memahami masalah keluarga kerana mereka terlibat di dalamnya
  • Anak akan merasa dihargai
  • Anak merasakan dirinya cepat matang
  • Anak akan lebih memahami keluarganya
Perlulah diingat bahawa anak-anak kita memang cemerlang, cuma kita sahaja yang sering terlepas pandang.

Bidang Kemahiran Sosial
1. Kemahiran Bercakap (Public Speaking/Khutbah) - Anak hendaklah dilatih petah dan mahir bercakap melalui latihan formal yang dipanggil "Public Speaking" atau "Khutbah". Beri galakan anak-anak memasuki pertandingan bercerita, bersyarah, forum, berbahas dan sebagainya. Di dalam majlis tidak rasmi di kalangan keluarga atau kawan-kawan tonjolkan anak-anak supaya berani bercakap dan memberi pendapat.
2. Kemahiran Berkomunikasi - Latih anak-anak berhubung dengan pelbagai lapisan masyarakat. Terdapat anak-anak yang tidak pandai membahasakan panggilan diri yang formal iaitu "saya", sebaliknya menggunakan bahasa "panggilan" atau "gelaran" seperti "adik", "abang", "along", "kita" dan sebagainya mengikut gelaran yang biasa digunakan di kalangan keluarga di rumah. Penggunaan bahasa diri ini kadang-kadang digunakan sehingga dewasa.
3. Kemahiran Bergaul - Anak-anak hendaklah dilatih mahu bergaul dengan saudara-mara, jiran-jiran dan masyarakt setempat. Di sinilah pentingnya mengadakan "Hari Keluarga" samada di pejabat, syarikat atau di kalangan ahli keluarga.
Untuk melatih anak-anak bergaul, hendaklah diciptakan agenda yang akan menyebabkan mereka berinteraksi di antara satu sama lain seperti:
  • Adakan acara sukan persahabatan
  • Wujudkan kumpulan belajar (Study group)
  • Membuat projek sekolah bersama
  • Lawatan bersama
  • Gotong-royong
  • Jamuan atau kenduri-kendara
  • Majlis hari lahir
4. Kemahiran Menyesuaikan Diri - Latih anak-anak supaya pandai menyesuaikan diri di dalam majlis dan suasana yang berlainan. Jika tidak, mereka akan menjadi "Kera Sumbang". Mereka akan dipandang ganjil oleh orang lain dan akhirnya mereka akan malu.
5. Kemahiran Bertoleransi - Jangan biarkan anak terlalu keras dengan kehendak, kemahuan dan prinsipnya. Ajar mereka bertoleransi asalkan tidak menyalahi syariat Islam. Anak-anak hendaklah bertoleransi dengan orang yang bukan segolongan atau sependapat dengannya, berlainan bangsa atau agama dan orang yang belum mereka kenali.
Ingat: Lebih baik kita mengalah dalam jangka masa pendek asalkan kita menang dalam jangka masa panjang. Beralah bukan bererti mengalah atau menggadai prinsip. Kelembutan kita akan memikat hati orang lain. Jangan pentingkan diri sendiri. Utamakan kepentingan orang lain, nanti Allah akan utamakan kepentingan anda insya-Allah.
6. Kemahiran Membaca Bahasa Tubuh (Body Language) - Anak-anak hendaklah dilatih agar peka dan boleh membaca bahasa tubuh (body language) orang lain. Jangan sekali-kali mengabaikan atau buat tidak peduli terhadap bahasa tubuh orang lain.
Lazimnya, bahasa tubuh dilakukan tanpa dirancang atau tanpa disedari. Ia dilakukan dengan spontan mengikut gerak hati dan keinginan minda seseorang itu. Bahasa tubuh jenis inilah yang mesti kita peka dan faham serta bertindak mengikut isyarat tersebut.
Tetapi, ada orang yang sengaja memberi bahasa tubuh kepada tetamunya. Bahasa tubuh jenis ini ada yang tidak ikhlas. Lebih baik kita berterus-terang kepada tetamu kita daripada sengaja memberi isyarat bahasa tubuh. Orang lain akan lebih hormat kepada kita jika kita berterus-terang.
Misalnya, jika kita ada tetamu sedangkan pada masa yang sama kita ada komitmen lain. Maka, janganlah memberi isyarat dengan sering melihat jam di tangan atau jam di dinding. Sebaliknya, berterus-teranglah dengannya bahawa kita ada komitmen lain dan berjanji untuk berurusan lagi dengannya pada masa yang lain.
7. Kemahiran Bertindak - Latih anak-anak bertindak balas dengan segera terhadap segala tindakan. Jadikan mereka anak yang pro-aktif. Anak-anak yang pro-aktif bertindak spontan. Bagaimanapun, bertindak hendaklah di atas pertimbangan akal fikiran yang waras.
Jangan bertindak tergesa-gesa dan membuta tuli tanpa pertimbangan yang teliti. Pastikan tindakan kita menyenangkan semua pihak dan tidak menyinggung sesiapa.
8. Kemahiran Mempertahankan Diri - Anak hendaklah diajar mempunyai maruah diri. Jangan menggadaikan maruah diri semata-mata kerana perkara yang kecil, mudah dan murah. Jika ada orang lain yang memperkecil-kecilkan atau merendah-rendahkan diri kita, wajib kita mempertahankan diri demi maruah.
Lebih-lebih lagi jika kita dilontarkan dengan hasutan, fitnah dan cacian. Maka menjadi kewajiban kita untuk mempertahankan diri, malah hendaklah mendedahkan kebenaran. Jangan biar diri kita dipijak oleh orang lain.
Sebaliknya, anak-anak hendaklah dididik supaya tidak bertegang leher menegakkan yang palsu atau yang tidak benar. Jika kita telah tersilap langkah, biarlah kita berani mengaku kesilapan kita dan meminta maaf. Jangan sekali-kali cuba "menegakkan benang yang basah".
9. Kemahiran Kepemimpinan - Anak-anak hendaklah dilatih menjadi pemimpin dari kecil. Galakkan mereka menjadi ketua kumpulan, ketua kelas, ketua pasukan dan sebagainya. Bila berada dalam sesuatu kumpulan, galakkan mereka mengetuai kumpulan tersebut. Ibu bapa hendaklah berusaha memberi kemudahan dan jalan ke arah itu. Berikan sokongan moral dan material.
Konsep kepemimpinan hendaklah ditonjolkan kepada anak-anak. Di kalangan adik-beradik pun, biasakan melantik seorang di antara mereka menjadi ketua mengepalai sesuatu misi atau tugas. Selalunya anak yang paling tua dilantik menjadi ketua.
Elakkan melantik anak yang muda kerana abang-abangnya akan kecil hati , kecuali di dalam sesuatu tugas yang si adik memang mempunyai kemahiran atau kelebihan yang ketara berbanding si abang. Namun, adik lelaki boleh dengan mudah dilantik menjadi ketua kepada kakak-kakaknya.
Aspek Menyesuaikan Diri
a. Pakaian - Pakaian hendaklah bersesuaian dengan majlis. Jangan memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata atau yang "over". Ada pakaian yang sesuai untuk ke surau atau ke masjid atau apabila menziarahi orang sakit, menziarahi orang meninggal dunia, menghadiri majlis membaca Yaasin atau kenduri/tahlil arwah; tetapi pakaian yang sama tidak sesuai dipakai ke majlis perkahwinan/kenduri-kendara, majlis sambutan hari lahir, sukaneka/outdoor/acara padang, pameran/ekspo atau majlis rasmi/forum/seminar/kursus.
b. Aksesori - Jangan memakai aksesori yang berlebihan atau "over". Aksesori yang berlebihan akan memperlihatkan anda seperti lampu isyarat (traffic light) merah, kuning, hijau atau seperti "Mak Datin" kecuali anda memang ingin kelihatan begitu atau ingin menonjolkan imej sebegitu! Memakai topi koboi dan cermin mata hitam adalah perlakuan biasa jika majlis diadakan di tempat terbuka, di tepi pantai atau di tempat panas.
c. Peralatan Yang Dibawa - Bawa peralatan yang diperlukan untuk sesuatu majlis atau program dengan selengkapnya. Misalnya, jika program membaca Yaasin, hendaklah bersedia membawa Surah Yaasin dan pakaian solat. Jika aktiviti sukan keluarga, hendaklah sedia membawa pakaian riadah dan kasut sukan. Bukankah ganjil jika anda masuk pertandingan tarik tali atau main bola jaring dengan berkaki ayam atau memakai kasut tumit tinggi?
d. Usia - Jangan masuk ke dalam majlis yang pesertanya mempunyai perbezaan usia yang terlalu jauh dengan kita. Jika termasuk juga, maka hendaklah pandai menyesuaikan diri.
e. Golongan Audien - Kenalpasti audien bagi majlis yang kita hadiri sama ada golongan pelajar rendah, menengah, IPT, petani, orang kampung, golongan korporat, pekerja kolar biru, golongan seni atau golongan suri rumahtangga.
f. Jenis Majlis - Kenalpasti majlis apa yang kita hendak hadiri itu. Apakah majlis sosial, ibadah, aktiviti lasak (outdoor), ceria atau berkabung (misalnya kematian, sakit) atau sebagainya.
g. Masa - Pastikan apakah majlis itu diadakan di waktu pagi, petang atau malam? Kadang-kadang warna dan jenis pakaian pun diambil kira mengikut waktu pagi, petang atau malam. Apakah majlis itu melibatkan waktu solat atau waktu makan tengahari? Jika melibatkan waktu solat, hendaklah bersedia dengan peralatan untuk bersolat. Jika melibatkan makan tengah hari, hendaklah bersedia untuk makan tengah hari. Misalnya, jangan makan terlebih dahulu sebelum ke majlis tersebut.
Wallahu'alam.

July 29, 2005

Ambil Berat Kebajikan Anak-Anak

Ibu bapa yang baik akan cuba memenuhi keperluan anak-anak setakat yang mereka mampu.

Sediakan apa sahaja permintaan anak yang munasabah seperti:
  • Yuran sekolah
  • Mengikuti aktiviti ko-kurikulum
  • Membeli majalah pengetahuan
  • Membeli pakaian yang munasabah terutama pakaian seragam ko-kurikulum yang mahal
  • Membeli permainan yang munasabah
  • Membeli alat tulis baru
  • Mengganti beg sekolah yang telah koyak
Namun, pastikan keperluan yang kita sediakan itu benar-benar perlu dan layak diterima oleh anak-anak.
Kita boleh ucapkan kepada mereka: "Abah sangat bersyukur dan berbangga dengan kamu kerana kamu anak yang baik, rajin dan mendengar nasihat. Insya-Allah, abah akan tunaikan permintaan kamu itu."
Ucapan yang sebegini akan memberikan semangat dan nafas baru kepada mereka. Ingatlah, penuhi hak anak-anak selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam.
Wallahu'alam.

July 27, 2005

Suruhan dan Gesaan

Dalam mendidik anak, kita tidak perlu menyuruh mereka dengan banyak kali untuk melakukan sebarang tugasan. Jika kita memberi tugasan kepada anak-anak, beritahu atau sampaikan sekali sahaja. Selepas itu perlulah ada tindakan susulan.

Sebagai contoh: Jika ingin anak kita solat, perintahkan mereka untuk solat sekali sahaja. Selepas itu, ibu bapa perlu perhatikan dan tunggu sehingga mereka membentangkan sejadah dan terus solat.

Ingat, perintahkan mereka sekali sahaja, tapi tunggu sehingga mereka melaksanakan tugas itu. Anak-anak akan mendengar dan mengikut arahan ibu bapa seandainya kita menasihati mereka dengan penuh hikmah dan kasih sayang.

Seandainya kita mengamalkan cara atau kaedah ini, maka akan lahirlah anak-anak yang berdisiplin dan mendengar kata.

Tetapi jika ada anak-anak yang masih degil dengan sekali suruhan, maka hendaklah digesa sekali lagi dengan penuh kasih sayang. Jangan menaikkan suara tanpa sebab.

Pastikan suruhan dan gesaan kita itu didengar dengan jelas oleh anak-anak. Jangan sekali-kali merungut atau membebel sedangkan butir-butirnya tidak didengar dengan jelas oleh anak-anak.

Kaedah 'Remote Control'

Ada ibu bapa yang mengarahkan anak supaya belajar dari luar bilik sambil menonton TV atau membaca surat khabar. Sedangkan anak belajar di dalam bilik yang berkunci.

Si ibu atau bapa akan menjerit, "Usop, belajar!!"

Maka Usop pun menjawab, "Baik ayah" atau "Baik ibu."

Usop tahu dan faham bahawa ayahnya atau ibunya yang sedang menonton tv atau membaca surat khabar tidak akan menjenguk ke biliknya. Lagipun, biliknya berkunci dari dalam. Kalau ayahnya datang sekalipun, beliau akan mengetuk pintu terlebih dahulu. Jadi, sempatlah Usop berpura-pura belajar.

Kalau anak belajar di tingkat atas sementara ibu bapa menonton tv di tingkat bawah, bunyi tapak kaki ayah dan ibu yang menapak tangga ke tingkat atas pun sudah mencukupi masa si anak untuk kembali berpura-pura belajar.

Mendidik dengan cara ini dinamakan kaedah 'Remote Control' iaitu mendidik anak dari jarak jauh sahaja. Ternyata didikan cara ini tidak berkesan.Malah ianya menggalakkan anak-anak nanti pandai untuk belajar bercakap bohong atau menipu.

Apa Tindakan Sepatutnya?
  • Anak-anak yang belajar di dalam bilik, jangan dibenarkan menutup pintu. Lebih-lebih lagi tidak boleh mengunci pintu dari dalam.
  • Bapa dan ibu harus melapangkan sedikit masa untuk melihat apa yang sedang dilakukan oleh anak-anak.
  • Luangkan masa untuk membantu anak-anak menyelesaikan kerja sekolah mereka.
  • Selalu buat 'spot-check'.
Wallahu'alam.

July 25, 2005

Galakan (Targhib) dan Amaran (Tarhib)

Mengikut kaedah Galakan (Targhib) dan Amaran (Tarhib), ahli psikologi berpendapat teknik mendidik anak-anak hendaklah mengandungi unsur-unsur seperti di bawah:

Galakan (Targhib)

1. Ciri-ciri:
  • Galakan
  • Dorongan
  • Beri hadiah
  • Janji
  • Jaminan harapan
  • Belaian
  • Menyeronokkan
  • Penghargaan
2. Nisbah Perlaksaan Dalam Didikan: 80%
Amaran (Tarhib)
1. Ciri-ciri:
  • Amaran
  • Hukuman
  • Denda
  • Ugutan
  • Gertak
  • Marah
  • Teguran
  • Kritikan
2. Nisbah Perlaksaan Dalam Didikan: 20%
Ada juga pakar psikologi yang meletakkan pada kadar 70 : 30.
Bagaimanapun, kedua-dua kaedah ini penting kerana di samping membelai anak-anak, memberi motivasi, sokongan, jaminan dan janji manis; ibu bapa adakalanya perlu marah, menegur, menggertak dan menghukum mereka.
Namun begitu penghargaan, hadiah dan jaminan mesti dilebihkan kerana kesannya lebih mendalam dan lebih positif berbanding kritikan, marah dan teguran.
Ibu bapa yang cemerlang akan sentiasa memberikan sokongan moral kepada anak-anak mereka.
Contoh Perbandingan
Galakan (Targhib)
  • Kalau Amin dapat 5A, ayah akan belikan basikal
  • Untuk berjaya, kita mesti rajin belajar
  • Kalau hari hujan, ayah akan hantar kamu dengan kereta
  • Tahun hadapan Amin mungkin akan dilantik menjadi pengawas
  • Mari ayah bantu buat lukisan tu
  • Basuhlah kasut dengan baik
  • Amin memang anak yang soleh
  • Orang yang rajin sentiasa berjaya
  • Tak mengapa, bukan salah Amin
  • Allah sayang dengan orang-orang yang solat
Amaran (Tarhib)
  • Kalau gagal, Usop tak boleh naik sekolah menengah
  • Orang pemalas memang selalu gagal
  • Kalau hari hujan, gunalah payung sendiri
  • Kalau Usop masih nakal, Usop akan dilucutkan jawatan pengawas
  • Dulu waktu ayah bersekolah, datuk kamu tak tolong pun ayah buat lukisan
  • Kamu selalu basuh kasut tidak bersih
  • Usop memang anak yang tak mengenang jasa
  • Orang malas memang akan kecewa
  • Lain kali Usop, berhati-hatilah bila buat sesuatu!
  • Kalau kamu tak solat, Allah akan masukkan kamu ke neraka
Wallahu'alam.

July 19, 2005

Ibu Bapa Sebagai Teladan

Seorang pujangga berkata: "Anak-anak tidak belajar dari apa yang ibu bapa cakap atau tuturkan, tetapi mereka lebih banyak belajar daripada apa yang ibu bapa mereka lakukan."

Seorang ulama pernah berkata: "Jangan risau seandainya anak-anak tidak mendengar cakap kita, tetapi risaulah jika anak-anak memerhatikan tindak-tanduk dan amalan kita."

Amalan ibu bapa merupakan kaedah yang berkesan untuk mendidik anak-anak.

Berkata seorang sarjana: "Ibu bapa yang sederhana banyak memberitahu, memberi nasihat, semangat dan saranan. Ibu bapa yang baik memberikan penjelasan dengan terperinci dan bersungguh-sungguh. Tetapi ibu bapa yang cemerlang menjadi ikutan dan contoh kepada anak-anaknya."

Ini bermaksud, ibu bapa yang baik akan menerangkan sesuatu perkara dengan jelas dan terperinci. Mereka tidak memberi arahan secara umum sahaja. Arahan secara umum akan ditafsirkan dengan pelbagai cara oleh anak-anak. Anak-anak yang nakal akan mentafsirkan mengikut kenakalan mereka. Tetapi arahan ibu bapa yang baik bersifat lebih khusus dan anak-anak tidak dapat lari dan membuat tafsiran yang berbeza dari maksud asal.

Ibu bapa yang cemerlang juga akan melaksanakan apa yang mereka perkatakan. Sikap dan amalan baik mereka akan diteladani oleh anak-anak. Ianya menjadi contoh teladan kepada mereka.

Ibu bapa yang mempamerkan amalan yang buruk di hadapan anak-anak akan diikuti oleh mereka. Malah mungkin si anak akan menjadi lebih teruk lagi, seperti kata pepatah Melayu: "Kalau dah guru kencing berdiri, murid kencing berlari."

Berkata seorang ulama: "Ibu bapa yang mithali ialah ibu bapa yang sentiasa menggerakkan anak-anaknya untuk jadi cemerlang."

Tahap Kecemerlangan Ibu Bapa:

1. Ibu Bapa Sederhana

  • Ciri-ciri: Banyak memberitahu, memberi nasihat, semangat & saranan.
  • Contoh aktiviti: "Kamu hendaklah rajin membaca buku jika mahu jadi orang pandai."
2. Ibu Bapa Baik
  • Ciri-ciri: Memberi penjelasan dengan terperinci. Arahan lebih khusus dan bersungguh-sungguh.
  • Contoh Aktiviti: "Untuk menguasai Bahasa Inggeris, kamu kena membaca akhbar The New Strait Times."
3. Ibu Bapa Cemerlang
  • Ciri-ciri: Menjadi contoh kepada anak-anak.
  • Contoh Aktiviti: "Ayah dah habis baca akhbar The New Strait Times ini. Sekarang kamu pilih rencana yang baik, potong dan baca serta tengok kamus."
Wallahu'alam.

July 15, 2005

Latihan yang Berterusan

Kaedah ini juga merupakan kaedah yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Anak kita memang cemerlang tetapi perlu dilatih secara praktikal dan berterusan. Kaedah latihan ini boleh dibahagikan kepada beberapa ciri, di antaranya:

1. Jantina - Ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak sesuai dengan jantinanya. Anak lelaki diagihkan dengan kerja-kerja luar yang berat dan kasar. Sementara anak-anak perempuan diagihkan kerja-kerja dalaman yang ringan dan sesuai dengan watak keperempuanan mereka.

Bagaimanapun, anak lelaki boleh diajar dan diasuh melakukan pekerjaan yang sering dilakukan oleh orang perempuan seperti:
  • Membasuh pakaian sendiri.
  • Menyidai pakaian seisi keluarga.
  • Mengangkat pakaian dari ampaian.
  • Melipat pakaian seisi keluarga.
  • Menggosok pakaian sendiri.
  • Memasak hidangan untuk keluarga.
  • Menghidang makanan.
  • Membasuh pinggan mangkuk.
  • Mengemas rumah.
  • Menyiram bunga.
2. Usia - Perlu diingat bahawa ibu bapa hendaklah memberi tugas kepada anak-anak mengikut usia. Anak-anak yang berusia di bawah 6 tahun, belum boleh diberi tanggungjawab yang serius.
Tahap tanggungjawab boleh ditingkatkan apabila usia mereka meningkat. Bagaimanapun kemampuan anak-anak untuk memikul tanggungjawab berubah mengikut latar belakang dan didikan yang mereka terima.
Anak perempuan selalunya matang lebih awal dari anak lelaki kerana mereka mencapai baligh lebih awal.
Sebenarnya anak-anak mampu untuk menerima arahan dan tanggungjawab yang lebih serius jika diberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukannya.
3. Bertahap - Mendidik anak perlu bertahap iaitu daripada tugas yang senang kepada tugas yang lebih berat dan rumit. Sebahagian anak perlu membiasakan diri agak lama dengan kerja yang senang sebelum mampu memikul tugas yang lebih berat. Sebilangan anak yang lain pula mampu meningkatkan tahap tanggungjawab yang diagihkan kepada mereka dengan begitu cepat sekali.
4. Waktu - Beri tugas pada anak-anak mengikut kesesuaian waktu. Jangan ganggu jadual waktu mereka yang telah ditetapkan seperti waktu belajar, mengulangkaji, bermain, berehat dan sebagainya. Sebaiknya masukkan tugas untuk membantu ibu dan bapa di rumah di dalam jadual waktu harian mereka.
Ibu bapa juga jangan teragak-agak untuk mendisiplinkan anak apabila masuk waktu yang tertentu seperti waktu solat wajib, waktu bangun pagi, waktu pergi sekolah, waktu kelas tuisyen dan sebagainya.
5. Pujian - Jangan lupa untuk memberi pujian dan penghargaan kepada anak-anak setelah mereka berjaya melakukan sesuatu pekerjaan itu dengan baik. Tapi haruslah diingat, ibu bapa tidak boleh memuji mereka secara berlebihan kerana bimbang anak itu akan bersifat takbur.
Pujian berlebihan juga dilarang dilakukan di hadapan anak-anak yang lain kerana akan menimbulkan rasa cemburu yang negatif.
Sebaliknya ibu bapa dilarang keras untuk mengutuk anak-anak walaupun mereka melakukan kesalahan. Melakukan kesalahan adalah sifat kanak-kanak. Tetapi mereka harus belajar dari kesalahan dengan cepat. Mereka tidak wajar melakukan kesalahan berulang kali.
Latihan untuk Anak-anak Perempuan
  • Membasuh pakaian sendiri dan pakaian seisi rumah.
  • Menyidai pakaian seisi keluarga.
  • Mengangkat pakaian dari ampaian.
  • Melipat pakaian seisi keluarga.
  • Memasak hidangan untuk keluarga.
  • Menghidang makanan.
  • Menyapu dalaman rumah.
  • Membantu ibu mengurus adik-adik kecil.
Latihan untuk Anak-anak Lelaki
  • Membasuh pakaian sendiri.
  • Menggosok pakaian sendiri.
  • Membasuh pinggan mangkuk.
  • Mengemas rumah.
  • Membasuh kereta ayah.
  • Menyiram bunga.
  • Menyapu di luar rumah.
Wallahu'alam.

July 14, 2005

Bermain-main dan Bergurau

Seperti yang kita tahu bahawa terdapat pelbagai kaedah untuk kita bergurau dan bermesra dengan anak-anak. Sebagai contoh, ibu bapa boleh bergurau mesra dengan anak-anak ketika sedang bermain, berkelah dan bersukan.

Matlamat kita bergurau dengan anak-anak ini ialah untuk menggembirakan hati mereka. Mengikut kajian psikologi, apabila anak berasa gembira dan disayangi, mereka akan menjadi anak yang berdisiplin dan berakhlak baik.

Untuk melahirkan anak-anak yang cergas dan cemerlang, kaedah bermain dan bergurau ini wajar dilaksanakan. Tetapi jangan pula ibu atau bapa bermain-main dan bergurau dengan anak-anak hingga melampaui batas seperti bermain-main dan bergurau berlarutan hingga meninggalkan ibadah wajib, kerja dan tugas yang lebih penting. Melampaui batas juga boleh menyebabkan selisih faham, perkelahian dan hilang rasa hormat di antara satu sama lain.

Bapa juga tidak manis bergurau atau bermain-main dengan anak perempuan yang telah meningkat dewasa. Begitu juga ibu tidak manis bergurau dan bermain dengan anak-anak lelaki yang telah meningkat dewasa.

Perlakuan tidak manis ini jika tidak diikat oleh iman yang kuat, sering berlarutan hingga boleh menyebabkan berlakunya sumbang mahram.

Bagaimana Rasulullah bermain-main dan bergurau?

Rasulullah SAW sendiripun mencari masa untuk bermain, bergurau dan bermesra dengan isteri, anak-anak dan cucu baginda.

Rasulullah SAW pernah membawa isterinya Sayidatina Aisyah RA melihat orang-orang Habsyi meraikan perayaan di dalam masjid hingga Aisyah RA berasa puas menonton baharulah baginda pulang.

Baginda juga sering berlumba lari dengan Aisyah RA. Baginda berpura-pura kalah supaya Aisyah gembira. Baginda juga sering bermain dengan cucu baginda sehinggakan ketika baginda solat, cucu baginda iaitu Sayidina Hasan RA dan Sayidina Husin RA pernah memanjat tengkuk baginda ketika baginda sedang sujud. Baginda membiarkannya sehingga baginda sujud dengan begitu lama sekali sehinggalah mereka turun.

Wallahu'alam.

July 12, 2005

Nasihat dan Teguran

Kaedah ini sangat penting dan ia berbeza dengan kaedah pesanan dan arahan. Ini kerana, kaedah nasihat dan teguran ini tidak boleh dibuat tiap-tiap hari atau setiap masa kerana anak-anak akan mudah berasa jemu dan bosan.

Dalam soal-soal apakah nasihat dan teguran perlu diberi?

Pertama: Akidah - Perbetulkan akidah anak-anak. Ajar anak-anak mengucap Dua Kalimah Syahadah dengan tepat serta memahami pengertiannya.

"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah".

Beritahu mereka bahawa hanya Allah sahaja yang wajib disembah dan tiada Tuhan selain-Nya. Didik mereka agar tidak syirik atau menyekutukan Allah dengan benda-benda yang lain.

Ajar juga mereka bahawa segala yang baik itu datang dari Allah SWT dan segala yang buruk itu adalah di atas kelemahan diri kita sendiri sebagai tanda kita beradab dengan Allah SWT.

Kedua: Ibadah - Didik anak-anak bahawa ibadah terbahagi dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Ibadah khusus ialah seperti solat, puasa, membaca al-Quran dan bersedekah. Ibadah umum ialah belajar, bekerja, berpakaian, makan minum, tidur, ziarah-menziarahi dan sebagainya.

Tekankan kepentingan menuntut ilmu. Mereka harus tahu menilai dan membuat kesimpulan bahawa setiap yang mereka lakukan adalah satu ibadah asalkan menepati 5 syarat**.

Ketiga: Akhlak - Asuh anak-anak tentang akhlak-akhlak yang terpuji (sifat Mahmudah) seperti dalam tutur kata, menghormati orang tua, berpakaian, tatacara makan dan sebagainya. Di samping itu, halang mereka dari melakukan akhlak yang buruk (sifat Mazmumah).

Keempat: Kerjasama - Ajar anak-anak tentang kepentingan kerjasama. Adik-beradik jangan suka berkelahi: Seperti Anjing dengan kucing. Beritahu mereka yang Allah tidak akan memandang kepada golongan yang berpecah-belah. Pepatah melayu ada mengatakan: Bersatu teguh, bercerai roboh.

Kambing yang berada di dalam kumpulannya tidak mudah dimakan serigala tetapi kambing yang bersendirian akan mudah dibaham serigala.

Kita hendaklah bersatu hati di mana-mana sahaja; di rumah, di sekolah dan di tempat kerja.

Kelima: Tanggungjawab - Beritahu anak-anak akan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak, abang, kakak atau adik. Mereka adalah pemimpin. Paling kurang pemimpin kepada diri mereka sendiri.

Di sekolah mereka akan menjadi pemimpin sebagai Ketua Kelas, Presiden Persatuan, Ketua Pasukan Sukan, Ketua Study Group, Ketua Pengawas Pusat Sumber, Ketua Pelajar dan sebagainya. Semua ada tanggungjawab yang tertentu.

Tanggungjawab umum sebagai seorang pelajar ialah untuk belajar dengan bersungguh-sungguh hingga beroleh kejayaan yang cemerlang.

Keenam: Kesihatan - Didik anak-anak agar pandai menjaga kesihatan; baik dari segi pemakanan, penjagaan tubuh badan, panca indera, pakaian, tempat tinggal, riadah dan lain-lain. Suruhlah mereka sentiasa bersenam kerana tubuh badan yang sihat menjamin akal fikiran yang cerdas.

Didik anak-anak supaya memakan makanan yang halal sahaja kerana makanan akan membentuk darah daging. Tubuh badan yang terbentuk dari makanan yang haram hanya layak untuk dibakar oleh api neraka.

Ketujuh: Husnu Zhon (Berbaik Sangka) - Ajar anak-anak agar sentiasa bersikap husnu zhon atau berbaik sangka dengan sesiapa jua dan di mana jua mereka berada. Berbaik sangka akan membentuk jiwa optimis (berkeyakinan positif). Orang yang selalu berburuk sangka akan membentuk jiwa pesimis (berkeyakinan negatif).

Kelapan: Menyucikan Hati - Sucikan minda dan hati anak-anak dengan membaca al-Quran, istighfar, berselawat, solat sunat Taubat, rajin bersedekah dan lain-lain ibadah.

Ini kerana hati yang suci akan lebih mendekatkan diri kepada Yang Maha Pencipta. Hati yang suci juga akan mudah menerima nasihat, teguran dan tunjuk ajar.

Kesembilan: Belajar Erti Kesusahan - Jangan didik anak-anak dengan kemewahan. Sebaliknya, didiklah mereka dengan cara hidup yang sederhana tetapi sempurna supaya mereka tahu dan faham akan situasi dan penderitaan orang yang mengalami nasib yang tidak sebaik mereka.

Apa yang dikatakan "Ibadah Khusus"
  • Solat
  • Puasa
  • Membaca al-Quran
  • Bersedekah
Apa yang dikatakan "Ibadah Umum"
  • Belajar
  • Bekerja
  • Berpakaian (menutup aurat)
  • Bersahabat
  • Makan minum
  • Ziarah-menziarahi
  • Tidur
**5 Syarat Sebarang Perbuatan Jadi Ibadah
  1. Niat mesti betul.
  2. Perlaksanaan mesti mengikut syariat.
  3. Perkara/perbuatan itu sah di sisi Islam.
  4. Tidak meninggalkan perkara yang wajib.
  5. Natijahnya (hasilnya) mesti betul.
Sifat Mahmudah (Akhlak Baik)
  • Solat di awal waktu
  • Pakaian menutup aurat
  • Membantu orang yang memerlukan pertolongan
  • Memaafkan orang lain
  • Selalu senyum
  • Membantu ibu dan bapa
  • Rajin belajar
  • Berdoa kepada Allah SWT
  • Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW
  • Berbuat baik dengan sesiapa sahaja
Sifat Mazmumah (Akhlak Buruk)
  • Melalaikan/meninggalkan solat
  • Pakaian mendedah aurat
  • Menzalimi orang lain
  • Sombong/bongkak
  • Suka mencaci orang lain
  • Sifat malas
  • Membuang masa/lepak
  • Tidak bersyukur kepada Allah SWT
  • Mudah terpengaruh dengan budaya barat yang negatif
  • Mementingkan diri sendiri
Berbaik Sangka
  • Setelah belajar bersungguh-sungguh, saya akan lulus di dalam subjek ini.
  • Walaupun saya gagal di dalam mata pelajaran ini, jika saya berusaha dari sekarang, saya tetap akan berjaya akhirnya.
  • Saya akan berjaya menamatkan larian ini.
  • Jika saya bersungguh-sungguh, saya akan memenangi pertandingan ini.
  • Cikgu Ahmad tentu suka membantu saya
  • Allah sangat pemurah kepada hamba-Nya.
  • Bila saya makan ubat, saya akan sembuh dengan izin Allah.
  • Jika saya mengaku, bapa akan memaafkan kesalahan saya ini.
  • Baik saya tolong orang susah ini.
  • Saya mampu untuk bangun awal pagi esok.
Berburuk Sangka
  • Walaupun telah belajar bersungguh-sungguh, saya tidak akan lulus subjek ini.
  • Mata pelajaran ini terlalu susah. Walau bagaimana kuatpun saya belajar, saya tidak akan lulus.
  • Saya tidak mampu menamatkan larian ini.
  • Ramai orang lain lagi yang akan memenangi pertandingan ini.
  • Cikgu Talib mungkin sibuk dan tidak ada masa untuk membantu saya.
  • Rezeki secupak tidak akan jadi segantang.
  • Jika saya makan ubatpun, jika Allah tidak izinkan saya sembuh, saya akan terus sakit.
  • Jika saya mengaku, bapa akan merotan saya.
  • Orang ini mungkin berpura-pura susah kot...
  • Saya tidak akan mampu bangun pagi walaupun menggunakan jam loceng.
Wallahu'alam.

July 11, 2005

Rujuk Pengalaman Lalu

Ibu bapa boleh mendidik dengan merujuk atau menceritakan kepada anak-anak peristiwa-peristiwa dan pengalaman yang mereka lalui. Pengalaman yang positif boleh dijadikan teladan. Pengalaman yang negatif hendaklah dijadikan sempadan.

Pengalaman ini elok dibuktikan dengan gambar foto, dokumen dan barangan peninggalan yang terlibat.

Ibu bapa juga boleh mengaitkan pengalaman diri mereka dengan peristiwa yang terdapat di dalam al-Quran, drama atau kisah-kisah benar di televisyen atau kisah dan berita yang dipaparkan di dalam akhbar atau majalah.

Ini adalah kerana pengalaman ini amat mudah untuk menjelaskan mesej yang ingin kita sampaikan dan mudah pula untuk dijadikan iktibar oleh anak-anak. Malah anak-anak akan mudah ingat rentetan peristiwa seperti itu untuk dijadikan pengajaran. Kerana gambaran yang diberikan adalah dalam bentuk realiti hidup atau seperti cerita filem, ia memberi kesan tersendiri berbanding nasihat yang tidak disertakan dengan cerita.

Di samping itu, pengalaman anak-anak itu sendiri juga penting! Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mengingatkan anak-anak mereka akan pengalaman positif yang pernah mereka lalui.

Kaitkan apa perlunya mereka berwaspada dengan peristiwa pahit yang telah mereka alami atau peristiwa manis dan kejayaan yang pernah mereka kecapi.

Wallahu'alam.

July 08, 2005

Soal Jawab

Ibu bapa yang cemerlang hendaklah sentiasa bersoal jawab dan mengambil tahu tentang diri anak-anak dan mengenai perkembangan aktiviti dan pembelajaran mereka. Kaedah ini hendaklah dilakukan berterusan dan istiqamah. Jangan biarkan ibu bapa dan anak-anak berada di dalam suasana diam dalam masa yang panjang.

Di Dalam Perjalanan - Sewaktu di dalam perjalanan dalam kereta misalnya, ibu bapa boleh berbual dengan anak-anak. Gunakan elemen daripada pemandangan di sekitar perjalanan untuk mencari topik perbualan yang menarik. Amat malang sekali ibu bapa yang hanya berdiam diri dengan anak-anak di sepanjang perjalanan yang jauh.

Di Rumah - Begitu juga sewaktu di rumah. Amat malang sekali keluarga yang berkeadaan membisu seribu bahasa di dalam rumah. Akhirnya, si anak akan membawa diri ke dalam biliknya dan ibu bapa pula masuk ke dalam bilik mereka.

Ibu bapa seharusnya bertanya anak-anak tentang perkembangan pelajaran mereka di sekolah atau di IPT. Pendek kata, untuk bersoal jawab dengan anak-anak ini, ianya tidak mengira masa, keadaan dan tempat.

Waktu Makan - Ibu bapa boleh bersoal jawab dengan anak-anak waktu makan kerana ketika itu seisi keluarga lazimnya berkumpul dan keadaan boleh dikatakan tenang dan selesa. Jadi, amalan orang tua-tua yang mengatakan jangan bercakap ketika makan adalah tidak tepat.

Masa makan merupakan masa yang baik untuk nasihat-menasihati dan bersoal jawab secara positif. Jangan bercakap tentang benda-benda yang lagha (melalaikan) dan duniawi semata-mata.

Jika Ibu Bapa Tidak Tahu

Di samping itu, ibu bapa hendaklah berusaha menjawab semua persoalan anak-anak. Seandainya ibu bapa tidak tahu atau tidak pasti akan sesuatu jawapan kepada soalan anak, jangan teragak-agak atau enggan untuk mengaku tidak tahu. Ibu bapa tidak perlu malu kerana ibu bapa tidak semestinya tahu di dalam semua persoalan. Tambahan pula ibu bapa telahpun memberi jawapan kepada banyak persoalan lain sebelumnya.

Dalam Hal Ini, Apa Tindakan Ibu Bapa?
  • Ibu bapa hendaklah mencari penjelasan atau jawapan kepada persoalan yang ditanyakan anak daripada orang yang mahir dalam bidangnya.
  • Pujuk dan ajak anak-anak untuk mencari jawapannya bersama.
Pertanyaan Anak Kecil
Anak-anak kecil lazimnya bertanya soalan yang bertubi-tubi. Ramai ibu bapa yang tidak ambil peduli keletah anak-anak ini. Malah ada ibu bapa yang memperolok-olokkan anak-anak dengan seribu satu macam helah. Mereka rasa mendengar soalan anak-anak tidak penting. Tabiat ini tidak sewajarnya menjadi amalan ibu bapa.
Tabiat anak-anak bertanya itu sudah menggambarkan pembangunan minda anak-anak yang cemerlang. Jika ditangani dengan baik, anak itu mempunyai potensi yang tinggi untuk menjadi anak cemerlang.
Sebelum Keluar Rumah
Pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah sentiasa mengambil tahu akan perkembangan diri anak-anak terutama apabila anak itu hendak keluar rumah. Beri sedikit nasihat sebelum anak keluar supaya pandai menjaga maruah diri dan berhati-hati dengan keselamatan di jalanraya dan keselamatan di atas kenderaan.
Ibu bapa hendaklah sentiasa bertanya kepada anak-anak dengan kasih sayang. Ibu bapa tidak boleh bertanya dengan kasar seolah-olah seperti pegawai polis menyoal orang yang bersalah.
Pertanyaan Jika Anak Hendak Keluar Rumah
  • Ke mana anak pergi?
  • Pergi dengan siapa?
  • Naik kenderaan apa?
  • Apa tujuan?
  • Apa nombor telefon bimbit kawannya yang ikut serta?
  • Pukul berapa dijangka pulang?
Panduan Khusus Untuk Anak Perempuan
  • Jangan benarkan keluar bersendirian. Pastikan ditemani oleh abang, kakak atau adik lelaki.
  • Jangan sekali-kali keluar dengan kawan lelaki.
  • Lebih-lebih lagi jangan naik motosikal atau kereta bersama kawan lelaki.
  • Mesti menutup aurat dengan lengkap.
  • Jangan sekali-kali keluar pada waktu malam atau sampai ke rumah pada waktu malam.
  • Jangan lalu di laluan yang sunyi, gelap, terpencil atau lalu di kawasan yang dikenali sebagai tempat budak lelaki berkumpul.
  • Jangan menerima pelawaan dari orang yang tidak dikenali untuk ditumpangkan kenderaan atau dibelanja makan.
Wallahu'alam.

July 07, 2005

Bercerita (Uslub Al-Qasas)

Ibu bapa hendaklah menggunakan kisah-kisah teladan untuk bercerita kepada anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan bahawa semua golongan suka mendengar cerita; tidak mengira usia, baik yang muda mahupun yang tua, dan yang paling seronok mendengar cerita adalah kanak-kanak.

Di samping itu, kaedah bercerita ini boleh mengeratkan hubungan di antara anak dengan pencerita, iaitu ibu bapanya. Akan wujud pertalian yang erat dan komunikasi dua hala di antara ibu bapa dan anak-anak sewaktu sesi bercerita itu berlangsung, di samping anak-anak dapat ilmu dan maklumat yang baru daripada cerita-cerita dan kisah-kisah yang menarik tersebut.

Melalui kaedah ini, kita boleh bercerita mengenai kisah dari al-Quran, kisah-kisah nabi, cerita dan pengalaman menarik ibu bapa sendiri, cerita kartun dan juga cerita rekaan atau fiksyen.

Ciri-ciri Kelebihan Kaedah Bercerita
  • Suasana atau wahana penyampaian lebih santai.
  • Posisi anak berada lebih dekat dengan ibu bapa.
  • Terdapat persentuhan fizikal.
  • Suasana tidak formal.
  • Anak-anak tidak tertekan untuk mendengarnya.
  • Anak-anak boleh bertindakbalas / memberi respon melalui komunikasi dua hala.
Tujuan Menyampaikan Cerita
1. Pertama : Untuk mendidik anak-anak secara tidak langsung melalui pemahaman minda di bawah sedar mereka, kerana cerita yang disampaikan tidak berbentuk arahan atau paksaan terhadap mereka untuk mendengarnya. Dengan lain perkataan, anak-anak akan mendengar cerita tersebut dengan rela hati dan penuh minat
2. Kedua : Untuk menyampaikan maklumat dan menyerapkan pengajaran yang boleh dicungkil daripada cerita tersebut.
3. Ketiga : Boleh mengerat dan merapatkan hubungan antara anak dengan ibu bapanya kerana sesi bercerita lebih santai dan bersentuhan fizikal di antara pencerita dan pendengar.
4. Keempat : Anak-anak boleh menggambarkan atau membayangkan di dalam minda mereka dengan jelas dan ini lebih berkesan bergantung kepada kemahiran pencerita.
Wallahu'alam.

July 06, 2005

Pesanan dan Arahan

Pesanan dan arahan merupakan salah satu daripada kaedah-kaedah yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu.

Lihatlah bagaimana reaksinya. Apakah mereka boleh melakukannya hanya dengan sekali pesanan? Jika tidak berkesan, maka hendaklah dipesan berulangkali tanpa merasa jemu dan bosan.

Menurut pandangan pakar pendidikan kanak-kanak, anak yang pintar perlu diberi nasihat dan pesanan 200 kali tanpa bosan, supaya mereka benar-benar memahami pesanan itu dan dapat bertindak dengan baik.

Kita selaku ibu bapa patutlah sentiasa berpesan sesuai dengan tindak-tanduk dan amalan-amalan yang mereka lakukan setiap hari.

Jika pesanan demi pesanan tidak berkesan, maka ibu bapa perlu bertindak pada tahap yang kedua iaitu mengarah atau memberi arahan. Tetapi arahan hendaklah dengan lemah-lembut dan kasih sayang. "Arahan tetapi nadanya berbentuk pesanan".

Setelah berpesan dan memberi arahan berulangkali, barulah ada penghayatan yang terpahat kukuh di kalbunya. Ingatlah, pesanlah tanpa rasa bosan dan jemu setiap hari. Pesanlah dengan istiqamah atau berterusan.

Apabila anak telah meningkat dewasa, berumahtangga dan tinggal berasingan, ibu bapa masih perlu berpesan dan mengingatkan. Jika tinggal berjauhan, sampaikanlah melalui SMS atau telefon.

Pesanan dan Arahan kepada anak-anak :

1. Tentang solat di awal waktu.

2. Adab dengan orang tua-tua.

3. Adab dengan guru.

4. Adab dengan kawan-kawan.

5. Tugas harian di rumah seperti mandi pada waktu yang betul dll.

6. Mengemas bilik sendiri termasuk meja belajar.

7. Tatacara makan mengikut sunnah Rasulullah SAW.

8. Cara belajar yang berkesan.

9. Ingat untuk sentiasa menutup aurat apabila keluar dari rumah.

10. Keselamatan di jalanraya.

11. Tanggungjawab melindungi adik-adik.

Wallahu'alam.

July 04, 2005

21 Kaedah Mendidik Anak Cemerlang

1. Pesanan dan Arahan.

2. Bercerita (Uslub Al-Qasas).

3. Bersoal Jawab.

4. Rujuk Pengalaman Lalu.

5. Nasihat dan Teguran.

6. Bermain-main dan Bergurau.

7. Latihan yang Berterusan.

8. Ibu bapa sebagai Teladan.

9. Galakan (Targhib) dan Amaran (Tarhib).

10. Suruhan dan Gesaan.

11. Ambil Berat Kebajikan Anak-anak.

12. Guna Firasat dan Gelombang.

13. Menjana Keyakinan Diri Anak-anak.

14. Kenal Pasti Kecenderungan dan Bakat Anak-anak.

15. Menasihati Pada Waktu Sesuai.

16. Mendidik Bertahap-tahap.

17. Patuhi Allah dan Teladani Rasul.

18. Mengisi Waktu Lapang.

19. Berdialog.

20. Rangsang Kecerdasan Minda.

21. Doa yang Berterusan.

Wallahu'alam.

July 01, 2005

4 Tahap Mendidik Anak Cemerlang

Tidak ada formula khusus mendidik anak kerana setiap anak adalah makhluk yang luarbiasa dan unik, yakni berbeza-beza di antara satu sama lain.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW menggariskan 4 tahap mendidik anak:

1. Tahap Pertama - Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (6 tahun). Hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang sepertimana haiwan menjaga anak.

2. Tahap Kedua - Anak berumur 7 tahun hingga baligh (14 tahun). Hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan beri tanggungjawab.

3. Tahap Ketiga - Anak berumur 15 tahun hingga dewasa (21 tahun). Hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi yang tidak bertentangan dengan syariat Islam.

4. Tahap Keempat - Anak berumur lebih daripada 21 tahun. Hendaklah para ibubapa memberi mereka kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat Islam. Ibubapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.

Wallahu'alam.

June 27, 2005

Permainan Menjana Minda Anak Siri-5: Usia 2 - 3 1/2 Tahun

1. Cat air dan gunting - Kerja-kerja halus boleh dicuba sekarang. Berikan anak beberapa jenis warna untuk mewarnai lakaran. Gunting juga boleh diberikan. Tetapi pastikan gunting yang digunakan tumpul dan khusus untuk kanak-kanak.

2. Mainan binaan - Permainan bina cantum seperti LEGO adalah contoh mainan binaan. Anak berpeluang menggunakan imaginasinya membina binaan yang dianggap menarik.

3. Mainan manipulasi - Mainan yang memerlukan pergerakan halus perlu dicuba sekarang. Misalnya permainan yang memerlukan anak memberi tumpuan sepenuhnya.

~~ Siri-5 tamat ~~
Wallahu'alam.