Showing posts with label info. Show all posts
Showing posts with label info. Show all posts

December 05, 2005

Risiko Akibat Kerja Terlalu Lama

Satu kajian dari University Massachusetts menyimpulkan bahawa bekerja terlalu lama meningkatkan risiko penyakit atau cedera. Menurut kajian tersebut, kira-kira 61% responden yang sering bekerja lebih masa [overtime] lebih mudah diserang sakit.

1/3 responden yang bekerja 12 jam setiap hari juga menanggung risiko yang sama. Berdasarkan data yang dihimpunkan di US, mereka yang menghabiskan 60 jam seminggu untuk bekerja menanggung 23% risiko lebih besar. Data tersebut diperolehi daripada 110,236 pekerja sejak 1987 hingga 2000.

Menurut salah seorang pakar yang terlibat, semakin panjang waktu kerja seseorang, semakin tinggi risiko kemalangan kerja dan diserang penyakit termasuk kepenatan atau stress kerja.

Wallahu'alam.

November 24, 2005

Makan Lebih Salmon

Tahukah anda bahawa risiko strok di kalangan lelaki boleh diturunkan sehingga 43% hanya dengan memakan ikan 1 - 3 kali sebulan.

Itulah yang dibuktikan hasil kajian yang dilakukan secara berterusan selama 12 bulan melibatkan 4300 orang.

Dikatakan bahawa 80% serangan strok di Amerika Syarikat disebabkan oleh gangguan iskemik (ischemic) iaitu pengumpulan darah yang menyekat aliran darah kaya oksigen ke otak.

Perkara ini dapat dicegah dengan mengambil ikan yang kaya asid lemak omega-3 secara kerap, khususnya ikan laut dalam seperti salmon.

Wallahu'alam.

November 15, 2005

Pengharum Udara

Hati-hati Gunakan Pengharum Udara

Menurut sebuah kajian, pengharum udara atau produk aerosol yang digunakan di rumah boleh menyebabkan diarea dan sakit telinga pada anak dan depresi bagi ibu.

Maklumat dari kajian Children of The 90's di Universiti Bristol menunjukkan bahawa pengharum udara bertanggungjawab meninggikan 'volatile organic compounds' (VOC) di rumah.

Penggunaan sehari-hari seperti deodoran dan penyembur rambut boleh meningkatkan risiko diarea sehingga 30% pada bayi, sakit kepala 10% dan 16% depresi pada ibu.

Adalah lebih baik jika anda hadkan penggunaan produk-produk ini di rumah.

Wallahu'alam.

November 07, 2005

Doa Yang Berterusan

Ibu bapa hendaklah mendoakan anak-anak mereka setiap masa terutamanya selepas setiap waktu solat secara berterusan.

Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud: "Ketahuilah hanya dengan mengingat Allah, hati akan menjadi tenang". [Surah Ar-Ra'du: 28]

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa itu adalah senjata bagi orang beriman, tiang agama, cahaya langit dan bumi". [Riwayat Abu Ya'la dan Hakim]

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Doa adalah otak ibadah". [Riwayat Bukhari]

Orang yang tidak suka berdoa seperti badan yang tidak berkepala atau kepala yang tidak berotak.

Pelbagai bangsa dan agama mempunyai cara yang berlainan untuk berdoa. Satu perkara yang sama ialah semua manusia berdoa dengan bersungguh-sungguh dan membayangkan di dalam minda mereka apa yang mereka minta. Proses ini dinamakan Visualization.

Dengan keyakinan yang tinggi bahawa Tuhan akan mengabulkan doa tersebut, mereka berusaha bersungguh-sungguh dan akhirnya mereka berjaya memperolehi seperti yang mereka minta. Maka, terkabullah doa mereka.

Doakan anak-anak dengan segala aspek yang positif. Tetapi adakalanya kita lupa atau terlepas pandang bahawa apa yang difikir dan dituturkan oleh ibu bapa merupakan doa yang amat mustajab.

Oleh itu, demi melihat anak-anak kita mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat, sematkan pada fikiran kita bahawa anak-anak kita memang cemerlang.

Kaedah ini bersesuaian denga sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah beserta dengan apa yang kamu sangka".

Fikirlah bahawa anak-anak kita adalah anak yang terbaik yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita. Selalulah sebut kepada anak-anak: "Kamu adalah anak abah yang baik, yang hebat, pandai, bertanggungjawab dan yang cemerlang".

Ulangilah ucapan seperti ini kerana apabila ianya diulang, ia akan menjadi doa yang sangat mustajab.

Metadologi Berdoa
  • Gambarkan apa yang diminta
  • Tumpukan pandangan mata
  • Rapatkan jari dan tangan

Waktu Yang Mustajab Berdoa

  • Sepertiga malam yang akhir [mulai jam 2 pagi]
  • Pada malam Jumaat dan juga siangnya
  • Di antara azan dan iqamah
  • Setelah selesai solat 5 waktu
  • Di dalam bulan Ramadhan
  • Pada waktu berbuka puasa [puasa wajib & puasa sunat]
  • Pada malam Lailatul Qadar [10 malam akhir yang ganjil dalam bulan Ramadhan iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan]
  • Pada hari Arafah [9 - 10 Zulhijjah]

Syarat-Syarat Berdoa

  • Memuji Allah SWT di awal doa
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan para sahabat Baginda
  • Dilakukan dengan ikhlas
  • Tidak terburu-buru
  • Berdoa untuk kebaikan sahaja. Jangan berdoa untuk keburukan atau kejahatan.
  • Keluar dari lubuk hati yang dalam
  • Makan minum hendaklah halal

Adab-Adab Berdoa

  • Sebelum membaca doa, hendaklah bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT di atas dosa-dosa yang lalu.
  • Mulakan dengan membaca Basmalah.
  • Membaca Hamdalah iaitu memuji kepada Allah SWT.
  • Berselawat ke atas Nabi SAW, keluarga dan sahabat Baginda.
  • Diulang doa 3 kali terutama pada bahagian yang penting.
  • Panjatkan doa dengan hati yang khusyuk, rendah diri dan bersungguh-sungguh.
  • Mengangkat kedua-dua belah tangan dan rapatkan di antara satu sama lain.
  • Akhiri doa dengan Hamdalah dan Selawat sebagaimana permulaan.
  • Merendahkan suara.

Doa Yang Tidak Ditolak

  • Doa orang yang teraniaya walaupun orang kafir
  • Doa orang yang di dalam keadaan terdesak kerana kesungguhannya berdoa.
  • Doa pemimpin dan penguasa yang adil yang tidak mementingkan diri sendiri.
  • Doa ibu bapa terhadap anaknya.
  • Doa anak soleh terhadap ibu bapanya.
  • Doa orang yang berjasa terhadap masyarakat.
  • Doa orang yang menghubungkan tali silaturrahim.
  • Doa orang yang bertaubat.

Wallahu'alam.

August 30, 2005

Patuhi Allah dan Teladani Rasul

Ibu bapa hendaklah mendidik anak-anak supaya sentiasa taat kepada Allah SWT. Allah telah menjadikan alam ini dan segala makhluk di dalamnya. Allah telah menyediakan segala kemudahan untuk kita hidup. Allah telah menyediakan udara untuk kita bernafas dengan percuma.

Maka untuk menunjukkan terima kasih kepada Allah yang telah banyak berjasa, kita perlulah mentaati segala perintah-Nya. Pepatah Melayu ada mengatakan: "Masuk kandang kerbau menguak, masuk kandang kambing mengembek." Maka apabila kita masuk ke 'kandang' Allah (hidup di atas mukabumi ini), undang-undang siapakah yang patut kita ikuti? Jika ada orang yang tidak mahu mengikut hukum-hakam Allah, Allah mencabar di dalam hadis Qudsi untuk mereka mencari tuhan lain dan mencari bumi lain untuk hidup!

Allah menghantar wakilnya iaitu Rasulullah SAW untuk menunjukkan contoh teladan di dalam menjalani kehidupan di atas mukabumi ini. Ramai yang mengaku mencintai Rasulullah SAW, tetapi tidak mengamalkan sunnah-sunnah baginda, malah sebaliknya meninggalkannya pula.

Jadi kita perlu mendidik anak-anak agar menjadikan Rasulullah SAW sebagai role-model atau contoh teladan yang terbaik untuk diikuti. Didiklah mereka agar mengikut segala sunnah yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW.

Mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW
  • Menutup aurat
  • Menghormati dan taat ibu bapa
  • Solat
  • Berakhlak mulia
  • Menghormati orang lain
  • Memakai serban

Gunakan Nama Allah dan Rasul

Gunakanlah nama Allah dan Rasul setiap kali memberi nasihat dan berbicara kepada anak-anak. Kaedah ini amat penting dalam mendidik anak-anak, kerana jika kita menggunakan nama Allah dan Rasul, maka akan lahirlah rasa sayang dan cinta yang mendalam dalam diri anak-anak terhadap Allah dan Rasul-Nya.

Kita mahu melatih anak-anak supaya merasakan Allah SWT sebagai 'Pengawas' yang sentiasa memerhatikan dirinya sama ada dia berada di tengah ramai atau berada berseorangan di dalam bilik.

Kita juga mahu melatih anak-anak supaya menjadikan Rasulullah SAW sebagai idola yang dipuja dan dicontohi.

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Allah

  • "Allah melihat apa yang kita buat"
  • "Allah tidak suka orang yang sombong"
  • "Gempa bumi dan ombak besar tsunami yang melanda Acheh adalah ketentuan Allah"
  • "Allah suka orang yang berkasih sayang"

Contoh Nasihat Menggunakan Nama Rasul

  • "Rasulullah akan memberi syafaat (pertolongan) kepada umatnya yang soleh di akhirat nanti"
  • "Nabi Muhammad cinta kepada pemuda yang hatinya terpaut kepada masjid"
  • "Rasulullah melaknat umatnya yang mengamalkan homoseks dan lesbian"
  • "Rasulullah sayangkan anak yatim"

Wallahu'alam.

August 16, 2005

Mendidik Bertahap-Tahap

1. Tahap Usia

Rasulullah SAW pernah menyebut, bahawa mendidik anak-anak hendaklah menggunakan pendekatan yang bertahap-tahap.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ibu bapa hendaklah menyuruh anak-anak solat ketika berusia 7 tahun dan sekiranya mereka enggan, maka hendaklah ibu bapa merotannya pada usia 10 tahun."

Apabila Rasulullah SAW memberi nasihat; nasihat baginda singkat, pendek, padat dan tidak membosankan. Jangan terlampau ghairah dalam mendidik anak-anak hingga sering memberi ceramah, celoteh dan khutbah yang panjang menjela-jela. Lagi rendah usia anak itu, lagi ringkas dan pendek nasihat kita.

2. Tahap Kemampuan

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Berbicaralah dengan manusia mengikut tahap kemampuan orang itu."

Maka untuk mendidik anak-anak juga perlu diambil perhatian kemampuan anak itu untuk menerima nasihat yang berkaitan.

Anak yang lebih cerdik dan yang telah meningkat baligh mungkin boleh menerima arahan yang lebih sulit dan rumit, tetapi anak yang berusia muda tidak mampu menerima bebanan yang sama. Jika pun ada, bebanan dan nasihat itu harus dipermudah dan diringkaskan.

3. Tahap Kesusahan Kerja atau Tugas

Anak-anak hendaklah diberi kerja yang ringan dan mudah terlebih dahulu. Jika dia dapat menyelesaikan dengan mudah, barulah ditambah dengan kerja yang lebih rumit dan susah. Kaedah ini sama seperti anak-anak belajar Matematik.

Sebab itu ibu bapa harus bijak menghuraikan tugas dan kerja yang susah kepada beberapa bahagian yang boleh diselesaikan satu persatu. Dalam tahap yang lebih tinggi, anak-anak dilatih untuk menghuraikan sendiri kerja yang susah kepada beberapa bahagian supaya mudah diselesaikan.

Bagaimana Menghuraikan Kerja yang Rumit?

Tugas: Bapa anda menugaskan anda mengemaskan sebuah stor yang berselerak di rumah anda. Di dalam stor tersebut; terdapat kerusi yang baik dan yang patah, buku teks lama, suratkhabar lama, cermin tingkap yang pecah dan yang baik, kain buruk, botol kosong, minyak pelincir kereta dan tayar lama.

Bagaimana anda melaksanakan tugas ini?

Penyelesaian: Pertama, anda pecahkan tugas tersebut kepada beberapa bahagian, mengikut keutamaan dan keperluan. Kemudian, buat satu persatu hinggalah selesai.

Kronologi Penyelesaian:

a) Tugas 1: Asingkan barang-barang yang perlu dibuang dan terus dibuang.
  • Buang terus: Kerusi patah, cermin tingkap pecah.
  • Buku teks lama, suratkhabar lama dan botol kosong dijual kepada pembeli suratkhabar lama

b) Tugas 2: Asingkan barang-barang yang akan dipindahkan keluar dari stor dan terus letakkan barang-barang itu di tempat barunya.

  • Tayar lama akan dijadikan tempat tanam bunga.
  • Kerusi yang masih baik boleh digunakan di anjung rumah, di taman atau di garaj.

c) Tugas 3: Asingkan barang yang perlu disimpan kembali di dalam stor.

  • Minyak pelincir kereta
  • Kain buruk

d) Tugas 4: Bersihkan lantai stor dengan cara membasuh dan mengeringkan.

  • Jangan biarkan lantai stor lembab.

e) Tugas 5: Susun semula barang-barang yang perlu disimpan di dalam stor mengikut kategori. Barang yang boleh disangkutkan di dinding, buat penyangkutnya.

  • Minyak pelincir kereta
  • Kain buruk

f) Tugas 6: Usahakan untuk stor itu dikunci.

Tugas selesai.

Wallahu'alam.