Showing posts with label rezeki. Show all posts
Showing posts with label rezeki. Show all posts

November 02, 2006

Syukur Rezeki

Sesungguhnya rezeki merupakan pemberian atau habuan Allah SWT kepada makhluk-Nya. Anugerah Allah tidak sekadar berupa kekayaan, sebaliknya meliputi pelbagai aspek kehidupan.

Rezeki Allah meliputi apa saja yang diperlukan dalam kehidupan termasuk makanan, pakaian, kediaman dan sumber yang berkaitan.

Keperluan itu untuk kesejahteraan jasmaniah insan. Selain itu, rezeki untuk kesuburan rohaniah juga penting. Ini termasuk ilmu pengetahuan, kecerdasan serta taufik dan hidayah.

Pintu rezeki untuk kenikmatan hidup di dunia terbuka kepada semua insan sama ada kafir atau mukmin, yang jahat ataupun yang baik.

Rezeki untuk kesejahteraan jasmani turut dikurniakan kepada semua makhluk.

Tetapi rezeki untuk kenikmatan hidup di akhirat hanya dikurniakan kepada orang beriman.

Sejarah sejak zaman Rasul dan ulama hingga ke hari ini membuktikan salah satu sebab golongan kafir menolak agama Allah SWT kerana mereka terlalu terpesona dengan kehidupan dunia.

Golongan kafir menganggap rezeki datang daripada hasil titik peluh mereka semata-mata. Sedangkan orang Islam menganggap rezeki itu daripada sumber kemurahan dan rahmat Allah SWT.

Di akhir Ayat 212 Surah Al-Baqarah, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab."

Ini memberi pengertian rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepada seseorang itu perlu disyukuri.

Jangan sekali-kali kita berasa angkuh dan sombong dengan kekayaan harta yang kita miliki. Kita juga tidak seharusnya menyangka kekayaan dan rezeki melimpah ruah yang diperolehi itu milik mutlak kita yang tidak boleh digugat.

Sesungguhnya kunci rezeki di tangan Allah SWT. Allah yang menentukan pembahagian rezeki kepada hamba-Nya.

Dalam kehidupan seharian, isu rezeki bukan satu persoalan yang selalunya tunduk kepada perkiraan hisab manusia.

Cara dan petua untuk mendapatkan rezeki tidak selama-lamanya tepat. Pada keseluruhannya, rajin dan usaha syarat untuk mencapai kejayaan dan menjamin seseorang itu menjadi kaya.

Tetapi syarat ini kadangkala tidak tepat dan berakhir dengan kegagalan dan menemui jalan buntu.

Ada juga golongan membuat andaian ilmu yang tinggi anak kunci rezeki. Semakin banyak sijil dan semakin tinggi ilmu seseorang insan, maka semakin luaslah pula rezekinya.

Tetapi ada juga orang yang cetek ilmu pengetahuannya atau buta huruf mampu menjadi hartawan. Tidak kurang juga orang tercicir dalam pelajaran menjadi pemilik atau tauke besar.

Selain itu, ada pula golongan mengatakan kekayaan itu terletak kepada peluang dan nasib seseorang dan tidak kurang pula meletakkan kekayaan dan rezeki itu kepada hubungan seseorang. Semakin luas hubungannya dengan orang berkuasa maka semakin cerah peluangnya mendapat rezeki.

Inilah di antara syarat yang selalu dikaitkan untuk mendapat rezeki lumayan, tetapi semua syarat itu adakalanya tidak membawa kejayaan.

Sesungguhnya urusan rezeki bukan ditentukan manusia, tetapi ia dalam tangan Allah SWT semata-mata. Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Dialah (Allah) yang memegang kunci rezeki seluruh alam ini dan Dialah yang berkuasa memberi dan menarik serta meluas dan menyempitkan pemberian rezeki itu.

Dari itu, janganlah kita bersifat angkuh dan sombong dengan rezeki yang melimpah ruah dan usahlah kita bermegah-megah dengan kurniaan Allah kepada kita.

Sebaliknya kita seharusnya bersyukur dengan rahmat dan nikmat Allah SWT itu.

Sesungguhnya balasan bagi orang yang bersyukur jelas dinyatakan Allah dengan Firman-Nya yang bermaksud:

"Jika kamu bersyukur, Aku tambahkan lagi nikmat-Ku. Jika kamu kufur, sesungguhnya azab Aku amat pedih."

[Surah Ibrahim: Ayat 7]

Sedar akan hakikat ini, maka bersyukurlah dengan nikmat dan rahmat kurniaan Allah SWT. Semoga dengan berbuat demikian, rahmat kurniaan rezeki itu akan terus berkekalan dan hidup kita akan diberkati Allah hingga ke akhir zaman, insya-Allah.

Kesimpulan: Kita manusia harus berusaha secara halal kemudian bertawakal kepada ALLAH SWT serta berdoa semoga dikurniakan rezeki yang berkat, ameen.

Wallahu a'lam.

November 01, 2006

Rezeki Berkat kerana Sedekah

Kekayaan tidak membawa erti tanpa ada keberkatan. Dengan adanya keberkatan, harta/rezeki yang sedikit akan dirasakan seolah-olah banyak dan mencukupi.

Sebaliknya tanpa keberkatan, akan dirasakan sempit dan susah meskipun banyak harta.

Dalam kisah Nabi, ada diceritakan Nabi Ayub AS ketika sedang mandi tiba-tiba Allah datangkan seekor belalang emas dan hinggap di lengannya. Baginda menepis-nepis dengan bajunya.

Lantas Allah SWT berfirman: "Bukankah Aku lakukan begitu supaya kamu menjadi lebih kaya?"

Nabi Ayub menjawab: "'Ya benar, demi keagunganMu apalah makna kekayaan tanpa keberkatanMu."

Kisah ini menegaskan betapa pentingnya keberkatan dalam rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Cara untuk mendapatkan keberkatan daripada Allah SWT.

1. Bersyukur atas apa yang diberikan oleh Allah.

2. Belanjakan harta pada jalan yang diredhai oleh Allah.

3. Berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.

4. Keluarkan sedekah wajib (zakat) jika sampai nisab dan berikan sedekah sunat kepada orang miskin dan anak yatim.

5. Bersedekah kepada anak yatim/miskin kalau boleh setiap hari (cari anak-anak yatim untuk diberikan). Insya-Allah akan diganti oleh Allah tanpa kita sedari.

6. Ikhlaskan pemberian/sedekah hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana mengharapkan pujian dan sebagainya (pemberian tangan kanan tanpa diketahui tangan kiri).

Sedekah mulakan dengan keluarga sendiri dahulu selepas itu barulah kepada jiran dan orang-orang yang lebih jauh.

Jangan anggap pemberian itu hak kita. Sebenarnya dalam harta kita ada hak mereka.

7. Hulurkan sedekah sunat secara rahsia, tetapi sedekah wajib (zakat) perlu diberi secara terangan sebagai menegakkan syiar Islam.

8. Konsep sedekah: Berikan sesuatu yang kita sayangi. Ini jelas disebutkan dalam Al-Quran, Surah Ali-Imran ayat 92.

9. Carilah harta dunia untuk dijadikan bekalan akhirat (dunia untuk akhirat, bukan dunia untuk dunia).

10. Amalan yang diberkati ialah hasil titik peluh sendiri dan juga melalui jual beli (perniagaan).

Menurut Nabi SAW, 9/10 (90%) daripada sumber rezeki ialah berpunca daripada perniagaan.

Makan gaji mungkin 1/10 sahaja (10%).

Nabi Muhammad SAW sendiri sebelum diutus menjadi Rasul adalah seorang ahli perniagaan yang jujur, cekap dan amanah.

Peniaga yang amanah akan dibangkitkan bersama para Nabi dan Rasul di akhirat kelak.

Perniagaan merupakan amalan fardhu kifayah. Barang makanan orang Islam sepatutnya dikeluarkan sendiri oleh orang Islam. Kalau tidak ada orang Islam yang menjalankan aktiviti ini, seluruh umat Islam akan menanggung dosa.

11. Hulurkan bantuan kepada janda yang ketiadaan suami.

Dalam satu hadis, Nabi SAW menerangkan bahawa setiap awal pagi, semasa terbit matahari ada dua malaikat menyeru kepada manusia di bumi.

Yang satu menyeru: "Ya Tuhanku, kurniakanlah ganti kepada orang yang membelanjakan hartanya kerana Allah."

Yang satu lagi menyeru: "Musnahkanlah orang yang menahan hartanya (lokek)."

Orang yang bakhil tidak akan memanfaatkan hartanya untuk dunia dan akhirat.

Menginfaqkan (membelanjakan) harta adalah berkat, sebaliknya menahannya adalah celaka.

Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Takutilah api neraka walaupun dengan sebelah biji tamar."

Dan sabda Nabi SAW lagi: "Sedekah itu penghapus dosa sebagaimana air memadam api."

Sedekah walaupun kecil tetapi amat berharga di sisi Allah SWT. Dan digalakkan memberi sedekah pada awal pagi.

Sekiranya dapat diamalkan perkara-perkara di atas, insya-Allah rezeki yang dikurniakan oleh Allah akan kekal walaupun telah digunakan.

Allah akan membalas atau menggantikan apa yang telah dibelanjakan.

Ajarkan ilmu yang ada, nanti Allah akan menambahkan lagi ilmu.

Begitu juga harta. Belanjakan harta yang ada, Allah akan tambahkan lagi dari sumber yang kita tidak ketahui.

Wallahu a'lam.